Rate

Bab 1

Romance Series 1159

Suasana di bilik kelas Tingkatan Lima Merah kelihatannya sunyi sepi kerana waktu itu adalah mata pelajaran Matematik yang diajar oleh Puan Maimun yang dikenali sebagai guru paling tegas dan garang di sekolah itu. Sepadan sungguh dengan jawatan yang disandang sebagai guru disiplin di sekolah mereka. Didalam bilik kelas itu kelihatan seorang gadis yang bertudung litup tidak senang duduk apabila matanya tidak lagi fokus pada papan putih tetapi pada jam tangan kecil yang dipakai di tangan kirinya.

Azila sahabat baiknya yang duduk di sebelah mula mencoret sesuatu pada buku latihannya dan menyiku gadis itu untuk membaca tulisan yang baru ditulisnya.

‘Kenapa dengan awak ni?’

Membaca tulisan tangan Azila itu membuatkan Rina menoleh melihat gadis itu yang berpura-pura fokus pada Puan Maimun yang mengajar padahal dia tahu gadis itu tidak sabar mahu membaca balasan daripada dirinya.

‘Saya harus pulang segera, abi sendirian di rumah.’

Rina menolak sedikit buku latihannya agar Azila mudah membaca. Azila memandangnya kembali sebelum membalas tulisan Rina itu.

‘Bukankah awak sudah janji mahu teman saya ke padang bola hari ini?’

Azila menolak semula buku latihan itu sambil matanya memandang ke arah Rina. Rina membaca balasan Azila itu dan mengeluh. Benar, dia terlupa sudah berjanji kepada sahabatnya itu mahu menemani Azila ke padang bola sebaik saja selesai sesi persekolahan pada hari itu.

“Apa yang kamu berdua buat tu?” Puan Maimun menegur Azila dan Rina yang saling berpandangan antara satu sama lain kerana tidak fokus pada pelajarannya.

“Tidak ada apa-apa cikgu, saya cuma mahu minta bantuan Rina untuk jelaskan semula apa yang diaajari oleh cikgu kerana saya tidak dapat memahaminya lagi.” Azila bersuara sedikit takut sambil berdiri apabila Puan Maimun mendekati mereka berdua. Buku latihan Rina segera diselak ke helaian yang lain agar Puan Maimun tidak melihat tulisan ‘mesej’ mereka.

Puan Maimun mengecilkan matanya kerana masih curiga dengan alasan Azila itu. Azila dan Rina merupakan pelajar cemerlang di sekolah mereka dan tidak pernah sekalipun gadis remaja itu mempunyai masalah dengan pelajaran yang diajar oleh dirinya.

Belum sempat Puan Maimun bicara loceng sekolah berbunyi menandakan waktu balik sekolah sudah tiba. Puan Maimun menggelengkan kepala sebelum ke hadapan semula dan mengingatkan pelajar-pelajar Tingkatan Lima Merah agar menghantar latihan yang diberi pada keesokan pagi sebelum waktu rehat.

Sebaik saja Puan Maimun keluar daripada bilik kelas mereka, Rina segera mengemas buku dan alat tulisnya masuk ke dalam beg sekolah. Azila hanya memerhati saja tingkah Rina yang sepertinya memang sedang terburu-buru.

“Mengapa abi bersendirian? Bukankah ada makcik dan pakcik awak yang selalu menjaga abi?” Azila turut mengemas dalam keadaan terburu-buru dan mempercepatkan langkah kakinya apabila Rina sudahpun keluar daripada bilik kelas mereka.

“Mereka harus ke bandar kerana mahu menjenguk abang Adam di sana.” Rina menoleh ke tepinya apabila Azila sudah berjalan beriringin dengan dirinya. Mereka menuruni anak tangga dengan berhati-hati walaupun dalam keadaan tergesa-gesa kerana tidak mahu ditimpa kemalangan.

“Bukankah abang Adam belajar di luar negara? Mengapa dia sudah berada di Malaysia? Bila dia habis belajar? Kenapa dia tidak balik ke kampung bertemu dengan makcik pakcik awak?” Azila bertanyakan soalan bertubi-tubi kepada Rina.

“Dia sudah habis belajar sebulan yang lalu tetapi terus ke bandar kerana dia sudah mendapat pekerjaan di syarikat bapa sahabatnya. Selanjutnya saya tidak tahu. Saya juga baru tahu daripada makcik semalam. Mereka akan ke Kuala Lumpur sekejap lagi. Mereka tidak mahu kemalaman di jalan raya jadi mereka harus pergi sekarang. Kalau saya terlambat nanti abi sendirian di rumah. Saya risau berlaku sesuatu pada abi jika dia bersendirian di rumah.” Rina masih menjawab pertanyaan Azila itu walaupun dia mahu segera pulang.

“Jadi terpaksalah saya pergi ke padang bola sendiri?” Azila bersuara sedih sehingga membuatkan langkahnya terhenti apabila Rina menghentikan langkahnya.

“Azila, saya tahu saya sudah berjanji dengan awak tapi saya betul-betul minta maaf kerana terpaksa memungkiri janji saya. Saya tidak mahu terjadi sesuatu kepada abi. Saya hanya ada dia seorang di dunia ini Azila. Jika sesuatu berlaku pada dirinya saya tidak akan memaafkan diri saya sendiri. Saya benar-benar harapkan pengertian daripada awak sekarang ini.” Rina memandang sahabatnya itu dengan wajah yang sedih. Azila memang kawan baiknya tetapi jika melibatkan bapanya dia sanggup melakukan apa saja walaupun terpaksa kehilangan kawan baiknya.

“Maafkan saya kalau buat awak rasa bersalah, Rina. Saya yang bersalah sebab tak nak cuba faham situasi awak padahal selama ini awak tak pernah menolak permintaan saya. Saya memang kawan yang teruk kerana pentingkan diri sendiri. Baliklah cepat, kasihan kalau benar makcik dan pakcik awak tinggalkan Abi Sulaiman sendirian di rumah. Awak hati-hati balik ke rumah. Jika awak perlukan bantuan nanti hubungi saya saja.” Azila mengusap bahu Rina sebelum menolak kawannya itu lembut agar segera balik ke rumah. Azila melambaikan tangannya kepada Rina walaupun gadis itu tidak menoleh lagi kepadanya.

“Mengapa Rina tergesa-gesa balik? Ada sesuatu yang berlaku ke?” Tiba-tiba Azila terdengar suara seorang remaja lelaki disebelahnya. Ketika Azila menoleh wajah Zaim berada di hadapan matanya.

“Bukan urusan kau.” Azila menjawab dingin sebelum membawa langkah kakinya ingin menuju ke padang bola. Hari ini adalah hari yang penting untuk pasukan bola sepak sekolahnya kerana bakal bertanding dengan pasukan bola sepak kampung sebelah untuk memenangi gelaran pasukan bola sepak terbaik di daerah dua perkampungan. Tetapi bukan itu tujuan Azila mahu ke padang bola melainkan dia mahu melihat pujaan hatinya Azri yang merupakan pemain bola sepak daripada pihak lawan. Bukan mudahnya untuk dirinya melihat Azri kerana kampung mereka berbeza. Mendapat peluang keemasan seperti ini dia tidak akan sia-siakan.

“Amboi sombong benar kau. Kalau yang berurusan dengan Rina semuanya akan menjadi urusan aku.” Zaim masih tidak mahu mengalah dan membuntuti Azila daripada belakang. Jika bukan disebabkan Rina tidak hingin langsung dia bercakap dengan Azila yang berpewatakan garang itu berbeza dengan Rina yang lemah lembut.

“Sudahlah, lupakan saja dia. Dia tidak berminat dengan kau. Berapa kali harus aku ingatkan kau agar menjauhkan diri kau daripada Rina sebab aku tak nak kekasih hati kau Si Syafiqah itu menganggu kawan baik aku. Apa yang kau tak faham bahasa sangat ni?” Azila memusingkan badannya menghadap Zaim yang mengekorinya sejak daripada tadi.

“Petama, aku tidak akan berhenti untuk memikat dia selagi dia tidak terima aku jadi kekasih dia. Kedua, Syafikah itu bukan teman wanita atau kekasih hati aku sebab kita orang sudah berpisah secara rasmi dan yang ketiga kau jangan nak jadi penyibuk antara aku dengan Rina.” Zaim membuat muka sombongnya sebelum berjalan melepas Azila. Dia sengaja melanggar bahu gadis itu dengan kuat agar gadis itu tahu dia tidak main-main apabila dia mahu mendapatkan Rina.

Rina berlari dengan sangat laju sebaik saja dia masuk ke kawasan rumah makcik dan pakciknya apabila dia tidak melihat kereta pakciknya di kawasan lapang itu. Dia segera memanjat anak-anak tangga sebelum tergesa-gesa membuka pintu rumah rumah. Hampir gugur air mata Rina saat itu ketika dia melihat kaki dan tangan Abi Sulaiman diikat menjadi satu.

“Rina, Rina sudah balik. Rina, tolong buka tali ni. Belakang abi gatal. Abi tidak boleh garu.” Satu persatu ayat dituturkan oleh Abi Sulaiman sambil menggesekkan badannya ke dinding sebagai ganti tangnnya untuk menggaru.

Rina mendekati Abi Suliman dan membuka ikatan di tangan dan kaki Abi Sulaiman yang diikat dengan sangat ketat sehingga Rina hilang sabar dan menyelongkar beg sekolahnya untuk mencari gunting. Rina segera mengguntingkan ikatan tali itu dan mengusap tangan Abi Sulaiman yang memerah akibat diikat dengan ketat.

Saat Rina meniup tangan itu tanpa sedar air matanya mengalir dan terkena tangan Abi Sulaimain.

“Maafkan Rina.” Hanya itu yang mampu Rina ucapkan ketika itu sambil menangis.

“Rina, jangan menangis. Kenapa Rina menangis? Abi tak sakit pun.” Abi Sulaiman mengusap air mata Rina yang masih mengalir dan tersenyum panjang seperti tiada apa-apa yang terjadi.

“Rina, jangan menangis lagi. Rina anak baik. Rina anak yang cantik. Jangan menangis lagi.” Abi Sulaiman terus memujuk Rina dengan senyumannya apabila anaknya itu semakin menangis teresak-esak. Dipeluk badan anaknya itu erat dan diusap perlahan-lahan seakan memujuk anak kecil yang sedang menangis.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience