Rate

Takdir Terindah Kita

Short Story Completed 2804

Petang Jumaat itu Adwa Shaza sampai ke rumahnya seperti biasa. Seperti hari Jumaat dua minggu yang lepas, dia memang akan pulang ke rumah kerana jarak rumahnya dengan universiti tidak begitu jauh. Lagi pula dia tidak perlu menyusahkan sesiapa untuk menjemputnya pulang kerana dia lebih suka menaiki kenderaan awam. Menaiki kenderaan awam memerlukan kesabaran yang tidak sedikit. Kadang-kala perjalanan tergendala tetapi Adwa Shaza tetap memilih untuk menaiki kenderaan awam seperti bas, komuter atau LRT kerana tambangnya yang murah. Walaupun dia berasal dari keluarga yang boleh dikatakan berada, namun dia tidak sukakan pembaziran. Ini adalah hasil didikan ibunya, Puan Aya Sofea dan bapanya, Encik Abdul Qayyum yang sering mengingatkan agar berbelanja apabila perlu dan mengelakkan pembaziran. Tatkala melihat rumahnya yang hanya beberapa langkah lagi, Adwa Shaza sudah tersengih kerana dia sudah merencana di mindanya apa yang akan dia lakukan sebentar lagi. Sudah tentu dia akan terus naik ke bilik dan berehat. Adwa Shaza melajukan langkahnya.

"Assalamualaikum... Mama, orang balik ni, tak nak sambut buat kenduri bagai ke? Takde kenduri, pulut kuning pun tak ape."

Sambil menanggalkan kasut dan meletakkan di rak kasut yang tersedia, Adwa Shaza memberi salam dan terus masuk ke dalam rumah kerana sebelah pintu rumahnya memang sudah terbuka.

Ish mama ni, menjemput perompak ke apa? Biar pintu terbuka. Macam cakap kat perompak, silalah datang merompak di rumah saya, pintu sentiasa terbuka!

Adwa Shaza mengomel dalam hati sambil berjalan ke ruang tamu.

Oh, ada tetamu rupa-rupanya. Buek malu den yo! Patutlah mama tak bertunggu bertangga kat pintu. Eh, sejak bila pula pintu depan rumah ni ada tangga, tangga ke tingkat atas tu ada laa. Hehe. Tak baik aku cakap kat mama macam tu. Walaupun dalam hati. Astaghfirullahal'adzim.

Adwa Shaza tersenyum sambil menghampiri ibunya dan menyalam tangan serta mencium pipi kiri dan kanan Puan Aya Sofea. Adwa Shaza melabuhkan punggung di sebelah ibunya dan memandang tetamu di hadapannya itu.

"Abang Mizan bila datang? Tak perasan pulak kalau-kalau ada motor abang Mizan kat luar tadi. Tu yang ingatkan mama dengan Mak Limah je dekat rumah."

Adwa Shaza menyapa mesra Mizan yang memang sudah menjadi kebiasaan akan datang ke rumah mereka paling kurang sebulan sekali. Dia tidak menjangka akan kedatangan Muhammad Zhafran Naufal bin Muhammad Zahin yang dipanggil abang Mizan itu ke rumah mereka pada hari ini. Oleh itu dia menyangkakan hanya ibunya dan Mak Limah iaitu pembantu rumah mereka yang berada di rumah pada ketika itu. Muhammad Zhafran Naufal mula mendapat nama Mizan dari rakan-rakan sejak sekolah rendah. Semua itu gara-gara Mizan yang selalu menulis pangkal huruf namanya iaitu MZN di setiap alat tulis dan apa jua barang miliknya. Lama kelamaan rakan-rakan memanggilnya Mizan dan dia sendiri tidak menghalang.

"Dah sampai lepas solat Jumaat tadi dah. Saja berborak dengan mama. Lagipun abang Mizan memang takde kelas petang ni, tu yang lama berborak dengan mama. Nak-nak abang Mizan dah lama tak jenguk mama. Tak sangka pulak Shaza balik rumah hari ni. Kalau tak boleh tumpang abang Mizan je tadi. Motor abang Mizan baru hantar bengkel lepas solat tadi. Abang Mizan datang jalan kaki je."

"What! Nak tumpangkan naik motor? Terima kasih daun keladi, lain kali jangan offer lagi. Orang tak mainlah membonceng dengan bukan mahram ni. Oh, datang jalan kaki ek. Ye la duduk satu taman je, selang dua batang jalan je tapi jarang datang jenguk mama."

"Haha. Sebab abang Mizan tahu Shaza takkan tumpang la abang Mizan berani offer. Ala, abang Mizan bukan sengaja tak nak selalu datang jenguk mama, lately abang Mizan sibuk dengan Final Year Project, assignments, quizzes, tests. Mama, sorry tau Mizan dah lama tak jenguk mama."

Mizan menerangkan perkara sebenar dan berpaling memandang Puan Aya Sofea.

"Takpe Mizan, mama faham. Kamu sekarang dah final year lagilah sibuk. Kamu datang ni pun mama dah gembira sangat dah. Terubat jugak rindu mama pada arwah Khaliq."

"Mama, abang Mizan, orang naik bilik dulu ye. Penat. Assalamualaikum."

Puan Aya Sofea dan Mizan menjawab salam Adwa Shaza di dalam hati. Mereka tahu Adwa Shaza pasti akan mengelak apabila nama arwah abangnya, Abdul Khaliq disebut. Adwa Shaza memang rapat dengan arwah abangnya kerana mereka hanya berdua beradik. Abdul Khaliq pula begitu sayangkan adik perempuannya sehingga Adwa Shaza sendiri menyifatkannya sebagai sesuatu yang over. Kawan-kawan lelaki di sekolah mereka tidak berani untuk megusik Adwa Shaza kerana abangnya pasti akan mencari mereka sampai dapat dan memberi amaran. Kadang-kala Adwa Shaza menjadi malu sendiri dengan tindakan abangnya itu. Tapi kini, setelah ketiadaan abangnya, perkara itulah yang paling dirinduinya selain senda gurau dan sifat mengambil berat abangnya. Sejak abangnya meninggal dunia jugalah dua orang kawan baik abangnya memanggil Puan Aya Sofea dengan panggilan mama dan Encik Abdul Qayyum dengan panggilan ayah, atas permintaan Puan Aya Sofea dan Encik Abdul Qayyum sendiri malah mereka juga sering berkunjung ke rumah dan bertanya khabar.

*******

Malam itu setelah sudah menjamu hidangan makan malam, Adwa Shaza terus kembali ke biliknya. Dia tidak terus mengulangkaji pelajaran seperti yang selalu dilakukannya tetapi duduk di balkoni biliknya sambil memandang ke langit melihat keindahan bintang. Aktiviti wajib dia dan Abdul Khaliq suatu ketika dahulu. Malahan bilik yang didudukinya kini adalah bilik arwah Khaliq. Suatu ketika dahulu mereka pernah bergaduh sakan inginkan bilik tersebut kerana selain bilik ibu bapa mereka, bilik ini juga mempunyai balkoni. Mereka mencapai kata sepakat untuk sama-sama melihat bintang dari balkoni bilik tersebut tetapi bilik itu menjadi hak milik Abdul Khaliq dan hanya akan menjadi bilik Adwa Shaza setelah Abdul Khaliq pergi ke luar negara menyambung pengajiannya di sana. Adwa Shaza bersetuju dengan syarat Abdul Khaliq menandatangani perjanjian yang telah ditulis oleh Adwa Shaza. Abdul Khaliq hanya menurut permintaan adik kesayangannya yang dirasakan comel itu. Namun, apakan daya, manusia hanya merancang tetapi Allah yang menentukan segala-galanya. Abdul Khaliq tetap pergi, tetapi pergi tidak kembali. Pada mulanya memang berat untuk Adwa Shaza berpindah ke bilik tersebut, tetapi ibu bapanya menyarankan agar dia mengikut apa yang pernah mereka janjikan.

Along, kalau orang tahu semua ni akan terjadi, orang takkan bergaduh dengan along berebut bilik ni, orang takkan buat perjanjian budak-budak tak matang tu. Kalau orang tahu along tak lama di dunia ni, orang akan mengalah dengan along, orang akan diam walaupun along terlebih melindungi orang. Kalau orang tahu along akan teman orang sekejap je dekat dunia ni, orang akan jadi adik yang paling baik buat along.

Sedang Adwa Shaza melayan perasan, tiba-tiba dia tersedar.

Astaghfirullahal'adzim. Ya Allah Adwa Shaza! Tak baik kau cakap macam tu. Perkataan kalau tu macam kau tak terima takdir qadak dan qadar ketentuan Allah. Astaghfirullahal'adzim. Astaghfirullahal'adzim. Astaghfirullahal'adzim.

Pintu bilik yang dikuak dari luar membuatkan Adwa Shaza terkejut dan berpaling. Segera dia mengesat air mata yang turun tanpa disedari. Puan Aya Sofea datang menghampiri Adwa Shaza. Dia sudah berbincang dengan suaminya selepas solat Isyak tadi. Suaminya memberi kepercayaan kepada dirinya untuk menyampaikan perkara tersebut kepada Adwa Shaza. Dia sendiri berharap agar Adwa Shaza dapat menerima dengan baik berita yang bakal dikhabarkan ini.

"Assalamualaikum. Hai, anak mama ni tak sudah-sudah dengan termenung pandang langit tu. Shaza tunggu jodoh turun dari langit ke? Ada tak? Meh mama tolong sambut. Ha baru betul jadi istilah sambut menantu. Tapi sambut menantu tu istilah belah lelaki."

Puan Aya Sofea tersenyum dan mengambil tempat duduk sebelah anak perempuan kesayangannya.

"Wa'alaikumussalam. Mama ni, ada-ada je. Entah-entah mama pun tak larat nak sambut. Minta tolong ayah sambut sekali pun belum tentu larat. Orang saja je buang masa kira bintang. Eh, bukan buang masa, menikmati, memuji dan mensyukuri alam ciptaan Tuhan la mama. Bila kita lihat alam ni, kita puji penciptanya, dapat pahala kan mama."

Adwa Shaza senyum kembali kepada ibunya. Dia melentokkan kepalanya di bahu Puan Aya Sofea. Sudah lama rasanya dia tidak bermanja begini.

"Shaza, mama ni kan tak pandailah nak buat ayat berlapis-lapis, bertapis-tapis, mama tanya Shaza terus takde belok-belok boleh?"

"Boleh, tanya je ma. Kalau mama beria berlapis-lapis, bertapis-tapis, nanti orang pulak yang salah tapis, dah lari maksud yang mana nak sampaikan. Apa dia mama?"

"Shaza dah ada boyfriend ke? Haa direct kan soalan mama. Terkejut tak? Terkejut tak? Teruja pula mama!"

Ish mama ni, tanya soalan serius tapi gaya macam main-main. Terkejut tak? Terkejut tak?

"Kenapa mama tiba-tiba tanya ni? Orang ni mama, kalau boleh tak nak la ada boyfriend ni. Orang tengok kawan-kawan yang ada tu macam lagi menyusahkan hidup diorang aje."

"So, maknanya takde la kan. Alhamdulillah. Kalau macam tu boleh la mama terus ke point kedua mama."

Excited semacam je mama ni. Muka pun berseri-seri. Siap ade point-point pulak. Dah karang ayat sebelum datang ke? Hish, ni yang aku nervous ni!

"Insya Allah, takde la ma. Malas nak pening kepala. Lagipun takut terbuat dosa pulak kalau berboyfriend ni. Banyak benda nak jaga, nanti tak terjaga. So, lebih baik tak payah. Apa point kedua mama ni? Buat orang nervous je."

"Okeylah, mama pun malas nak berselindung di sebalik langsir lagi, mama terus terang ye. Petang tadi Shaza tahu kan kawan arwah Khaliq datang. Dia ada hajat nak masuk meminang Shaza. Kalau Shaza setuju dia akan hantar wakil meminang secara rasmi hujung bulan ni, seminggu lepas tu bertunang. Shaza rasa?"

Adwa Shaza tidak sempat untuk menafsirkan apa yang dia rasa. Apa yang dia tahu, jantungnya berdegup kencang mengepam darah seperti bekerja lebih masa. Perkara yang tidak dijangkakan olehnya ditanya oleh Puan Aya Sofea. Kawan arwah along yang datang petang tadi, Mizan? Tetapi dia sudah menganggap Mizan seperti abang kandungnya sendiri, bezanya dia masih menutup aurat dan menjaga batas-batas pergaulan dengan Mizan, sama seperti lelaki ajnabi yang lain. Walaupun dia sudah menganggap Mizan seperti abang kandungnya, hukum Allah tetap tidak boleh dipandang enteng. Adwa Shaza terdiam tidak tahu untuk berkata apa-apa. Puan Aya Sofea kembali bersuara.

"Takpe, mama tahu Shaza terkejut. Take your time my dear. Nanti Shaza dah boleh solat, Shaza buat solat Istikharah. Mama will always support you. Cuma mama nak cakap, mama suka sangat kalau dia yang jadi menantu mama. Mama pun dah kenal hati budi dia. Dia ada cakap yang dia pernah janji pada arwah Khaliq akan jaga Shaza. Ayah pun tak membantah. Ayah akan ikut je apa keputusan Shaza."

Lama Adwa Shaza terdiam setelah mendengar butir kata dari ibunya. Kemudian dia memberanikan diri untuk berkata.

"Tapi mama, orang kan tengah belajar. Dia pun tengah belajar juga. Lagipun orang dah anggap dia macam abang kandung orang sendiri. Orang rasa orang tak boleh la mama."

"Memanglah dia pun tengah belajar, tapi dah tengah final semester dah ni. Shaza pun lagi dua semester habis juga pengajiannya. Bukan mama nak suruh nikah sekarang. Dia pun minta bertunang dulu, Shaza dah habis belajar nanti baru nikah. It's okay dear, bawa bertenang. Mama minta Shaza buat dulu solat Istikharah. Mana tahu mungkin dia jodoh Shaza. Janji dengan mama, jangan terus tolak. Buat solat istikharah dulu. Janji?"

"Insya Allah, ma."

*******

"Shaza, kau apsal aku tengok muram, suram semacam? Seram!!"

Nur Farha Sakinah, teman sebilik Adwa Shaza di kolej kediaman bersuara memecahkan kesunyian bilik mereka. Adwa Shaza hanya memandang kosong wajah teman sebiliknya merangkap teman rapatnya sejak zaman pengajian Diploma. Secara kebetulan, semasa pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda ini mereka masih dapat meneruskannya bersama dan mendapat kampus yang sama. Adwa Shaza menimbang-nimbang di dalam hati kewajaran untuk dia berterus-terang dengan teman rapatnya itu. Dia menarik nafas yang panjang dan dalam serta menghembuskannya perlahan-lahan.

"Hai, macam ada masalah negara je aku tengok. Berat mata aku memandang ni. Bahu kau pun aku tengok macam dah senget sebelah je memikul. Cuba kau pass sikit bagi aku tolong pikul. Mana tahu aku boleh tolong."

Nur Farha Sakinah cuba membuat ayat santai agar kawannya itu terbuka untuk bercerita. Adwa Shaza akhirnya membuka mulut memulakan bicara.

"Farha, kalau aku cakap ni kau jangan beritahu orang lain tahu! Semalam mama aku cakap ada orang nak masuk meminang aku..."

"What? Really? Wow! What a lovely surprise! Dah tu yang kau bermuram durja ni kenapa? Orang sepatutnya happy tahu tak. Laku juga kawan aku ni. Ingatkan tak laku dah. Yela, semua kawan lelaki dari junior, senior yang nak dekat semua kau buat-buat tak faham. Bagus tindakan dia terus jumpa mak kau. So, siapakah gerangan pemuda bertuah itu?"

"Kau ni, aku tengah serius ni tau. Kau macam main-main pulak."

"Babe, aku serius la ni. Ok. Siapa yang nak masuk meminang ni?"

"Best friend arwah along aku."

"Maher Zain? Wahh!"

"Mizan ok. Bukan Maher Zain. Kalau si Maher Zain tu yang nak masuk meminang, kecil tapak tangan, Stadium Bukit Jalil aku tadahkan."

"Oh, si Mizan ke. Aku ingatkan si Maher. Tapi Mizan tu baik je kan, berdasarkan cerita-cerita kau sebelum ni la. Rupa pun ada. Dah tu, Maher Zain nak campak mana?"

"Campak mana apanya. Dia pun tak tahu aku suka dia. Gaya mama aku macam dah berkenan sangat dah dekat abang Mizan. Masalahnya aku dah anggap abang Mizan tu macam abang kandung aku weyh. Macam mana nak anggap dia sebagai suami pulak nanti."

"Salah kau juga tak pernah confess kat Maher yang kau suka dia. Padahal dia selalu juga datang rumah kau jenguk mama kau kan. Dia pun best friend arwah along kau juga."

"Dia takdelah selalu sangat datang. Kalau abang Mizan datang, dia ada la sekali. Tapi hari tu abang Mizan datang sorang je. Mesti sebab dia nak cakap pasal pinang-meminang ni, so dia tak ajak abang Maherku."

"Hmph, Maherku la sangat. Kau pass kat aku aje laa Maher tu. Mahermu jadi Maherku jua. Hahaha."

"Kau kejam kan. Aku dah gundah gulana setengah mati ni kau buat lawak yang kurang lawak pula."

"Hahaha. Ok. Chill lah weyh. Ni sebab kau tak boleh solat ni. Tu yang kau terlebih emo. Nanti kau dah boleh solat, kau buatlah solat Istikharah hari-hari. Tapi dulu kau penah beritahu aku, kau akan terima calon pilihan mama kau. Direstui dan diredhai."

"Memanglah aku pernah cakap. Tapi aku tak jangka la pula akan jadi macam ni."

"Alalala, kesian kawan aku sorang ni. Kau buat solat istikharah, minta pertunjuk dari Allah. Insya Allah kalau memang itu jodoh kau, akan dipermudahkan. Percayalah weyh."

"Insya Allah. Mungkin esok aku dah boleh solat. Aku start esok. Kau pun tolong doakan yang terbaik untuk aku Farha. Mana tahu doa kau lagi mustajab."

"Insya Allah. Aku sentiasa doakan yang terbaik untuk kawan-kawan aku."

*******

"Shaza, Shaza, tu Maher Zain kau! Pergilah ajak dia kahwin."

Nur Farha Sakinah mencuit lengan Adwa Shaza yang berjalan keluar dari Dewan Kuliah bersamanya.

"Ish kau ni, merepeklah. Tiba-tiba nak ajak kahwin, tak ke dia cakap aku gila. Aku ni walaupun hidung tak mancung, tapi pipi aku tak tersorong-sorong ye Cik Farha. Kau tu senyap sikit boleh tak. Nanti orang tahulah."

Adwa Shaza sudah berkerut-kerut dahinya dengan tindakan Nur Farha Sakinah. Sebenarnya, antara mereka berdua, Maher Zain kawan baik arwah Abdul Khaliq adalah gelaran yang diberi kepada Ahmad Muqri Muizzuddin bin Ahmad Najmuddin, pelajar semester akhir di fakulti mereka. Mereka berdua menggelarnya Maher Zain kerana dia sering memakai topi ala Maher Zain, bezanya dia ada rambut dan tidak secerah Maher Zain.

"Maher!"

Beberapa orang pelajar menoleh ke arah Nur Farha Sakinah yang tiba-tiba sedikit meninggikan suara seperti memanggil seseorang. Ahmad Muqri Muizzuddin menoleh tepat ke arah datangnya suara itu. Sebenarnya jarak mereka tidak begitu jauh, jadi panggilan dari Nur Farha Sakinah dapat didengari oleh Ahmad Muqri Muizzuddin. Menyedari Ahmad Muqri Muizzuddin menoleh ke belakang, Nur Farha Sakinah memandang Adwa Shaza di sebelah kirinya.

"Ish, aku tak mahir la apa yang lecturer ajar tadi. Malam ni nak kena buat revision ni, next week ada quiz. Kau tolong ajar aku ek."

Fuhh! Adwa Shaza secara spontannya membuat ayat cover line. Ahmad Muqri Muizzuddin hanya tersenyum dan meneruskan perjalanannya yang terhenti sebentar tadi.

Ya Allah, handsomenya makhluk depan aku yang Kau cipta ni! Astaghfirullahal'adzim. Adwa Shaza, behave! Mengushar anak teruna orang pula.

Adwa Shaza sempat lagi bermonolog memuji Ahmad Muqri Muizzuddin. Dia dan Nur Farha Sakinah kelihatan lega. Namun kelegaan mereka hanya bersifat sementara apabila ada satu suara dari arah belakang mereka berbunyi.

"Shaza, what is it that you don't understand? Come to my office, I can help you with it. You too Farha, come and join us. The more, the merrier!"

Puan Safirah yang berada di belakang mereka sudah bersuara. Antara paksa dan rela, mereka turutkan juga Puan Safirah ke pejabatnya. Sewaktu berjalan di belakang Puan Safirah, Adwa Shaza tidak henti-henti mencubit geram Nur Farha Sakinah kerana menyebabkan perkara ini terjadi. Mereka bercakap dengan hanya menggunakan gerak mulut tanpa mengeluarkan suara.

'Ini semua kau punya pasal. Geram aku. Tak pasal-pasal dapat extra class.'

'Sorry la Shaza. Mana nak tahu jadi macam ni. Sorry. Sorry. Sorry.'

*******

Masa yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Puan Aya Sofea adalah orang yang paling gembira sekali apabila Adwa Shaza menyatakan bahawa dia akan menurut keputusan ibunya. Puan Aya Sofea bangga mempunyai anak seperti Adwa Shaza yang selalu mengutamakan orang tua dalam membuat keputusan dan menghormati pandangan mereka yang lebih tua. Walaupun Adwa Shaza bersetuju untuk menerima peminangan tersebut, dia turut meletakkan syarat bahawa majlis pertunangan hanya dilakukan antara keluarga kedua belah pihak dan tidak perlu menjemput orang lain. Hasilnya, majlis pertunangan mereka sederhana sahaja tetapi semua pihak berpuas hati dan mencapai kata sepakat bahawa pernikahan akan dilangsungkan tiga bulan selepas Adwa Shaza tamat pengajian.

Adwa Shaza lega kerana sekurang-kurangnya dia tidak perlu berkahwin dalam masa terdekat ini walaupun tiga bulan selepas dia tamat pengajian, dia masih belum merasa Istiadat Konvokesyen. Bak kata Puan Aya Sofea, tunangannya itu mahu hadir ke Istiadat Konvokesyennya nanti sebagai suaminya yang sah. Majlis pernikahan akan berlangsung lebih kurang setahun lagi. Sekurang-kurangnya Adwa Shaza mempunyai masa untuk membuang Ahmad Muqri Muizzuddin dari kotak fikirannya dan cuba untuk menerima Mizan yang kini sudah bergelar tunangannya. Dia tahu proses ini akan memakan masa yang lama kerana dia sendiri seperti tidak percaya sudah bergelar tunangan orang. Namun, perihal pertunangannya ini hanya diketahui oleh Nur Farha Sakinah. Dia tidak bersedia untuk memberitahu rakan-rakannya yang lain. Biarlah mereka tahu setelah dijemput untuk majlis pernikahannya nanti.

*******

"Adwa!"

Adwa Shaza dan Nur Farha Sakinah dalam perjalanan ke kafeteria fakulti mereka yang terletak di aras bawah. Sebenarnya Adwa Shaza agak ragu-ragu untuk menoleh kerana rakan-rakan serta para pensyarah memanggilnya dengan nama Shaza tetapi memikirkan dia sendiri belum pernah berjumpa orang lain bernama Adwa, jadi dia rasa panggilan itu ditujukan kepadanya. Setelah Adwa Shaza menoleh ke belakang diikuti dengan Nur Farha Sakinah, mereka tergamam kerana melihat Ahmad Muqri Muizzuddin sedang menghampiri mereka. Ahmad Muqri Muizzuddin tersenyum dan menghulurkan sebuah kotak yang berbalut kemas kepada Adwa Shaza.

"Eh, abang Muqri. Ingatkan siapa tadi takde angin, takde ribut tiba-tiba panggil orang Adwa. Untuk orang ke? Terima kasih."

"Ha'ah, untuk Adwa. Ok, tu je, abang gerak dulu."

Nur Farha Sakinah sudah tersengih-sengih di sebelah Adwa Shaza. Dia menarik tangan Adwa Shaza yang masih berdiri tegak seperti sedang menyanyikan lagu Negaraku agar mereka ke tepi sedikit dan tidak menghalang laluan pelajar lain.

"Amboi mak minah sayang, mentang-mentang Maher bagi hadiah, terus terkaku kau ek. Nasib tak mati keras je. Bak sini tengok sikit kad pada hadiah tu."

Nur Farha Sakinah cuba mengambil hadiah tersebut dari Adwa Shaza tetapi Adwa Shaza sempat mengelak. Adwa Shaza membuka kad tersebut dengan senyuman yang lebar dan hati yang sarat dengan rasa gembira.

Adwa,

Happy Birthday!

Barakallah :D

Sincerely,

Your fiancé, M

Senyuman lebar Adwa Shaza mati setelah selesai membaca kad ucapan tersebut. Nur Farha Sakinah yang pelik dengan perubahan riak wajah Adwa Shaza mengambil kad ucapan tersebut dari tangannya dan membaca. Usai membaca kad ucapan tersebut Nur Farha Sakinah tersenyum. Dia sudah tahu punca yang menyebabkan senyuman lebar Adwa Shaza sebentar tadi mati, rupa-rupanya hadiah hari lahir yang disangkakan dari Maher adalah dari tunangnya iaitu Mizan. Mizan juga sebenarnya sama universiti dengan mereka tetapi Mizan berada di fakulti yang berbeza. Adakah ini suratan atau kebetulan? Nur Farha Sakinah yang masih tersenyum kembali bersuara.

"Relax la Shaza. Bagus apa tunang kau ingat birthday kau. Siap minta tolong Maher pass kan lagi. Kau juga yang cakap kat aku kau akan try terima Mizan dalam hidup kau. Kalau betul tadi Maher yang bagi hadiah ni, mesti kau akan over excited kan. Mahu tak tidur 3 hari 3 malam. Lepas tu kau lupa yang kau akan try lupakan dia. Aku bukan nak downkan kau. Tapi kau kena berpijak di bumi nyata, kau sekarang tunang Mizan dan tahun depan akan nikah dengan dia. Tengok, dia pun berusaha nak jadi yang terbaik untuk kau. Dah bertunang terus panggil Adwa, bukan Shaza macam dulu. Maknanya dia dah tak anggap kau macam adik, dia anggap kau sebagai bakal isteri dia."

Nur Farha Sakinah bersuara perlahan. Dia tidak mahu pelajar lain yang lalu mendengar perbualan mereka. Dia tahu pasti Adwa Shaza sedikit bersedih dengan apa yang terjadi dan dia berharap agar apa yang baru dicakapkannya sebentar tadi tidak mengecilkan hati Adwa Shaza. Sesungguhnya Adwa Shaza adalah sahabatnya yang baik sekali dan dia juga mahukan yang terbaik dalam hidup Adwa Shaza.

Adwa Shaza tersenyum kelat. Memang betul apa yang sahabat baiknya itu katakan. Dia harus berpijak di bumi yang nyata. Mungkin usia pertunangannya yang baru menginjak sebulan membuatkan dia tidak begitu merasakan yang dia kini tunangan Mizan. Mungkin juga kerana sepanjang bergelar tunangan Mizan, mereka belum pernah berhubung antara satu sama lain walaupun masing-masing ada nombor telefon sejak dulu lagi. Ya, dia harus melupakan Ahmad Muqri Muizzuddin.

Selamat jalan abang Muqri. Maybe you don't know, but you once in my heart for a very long time. Abang Mizan, selamat datang dalam hidup orang. It's gonna be hard but I'll try my best to accept you for who you are and please accept me for who I am.

*******

Dua minggu selepas Adwa Shaza tamat pengajian...

Adwa Shaza keluar dari rumahnya bersama Nur Farha Sakinah. Nur Farha Sakinah sudah berada di rumahnya sejak dua hari yang lepas. Sengaja Adwa Shaza mengajak Nur Farha Sakinah menemaninya, bukan kerana dia tidak biasa bersendirian tetapi kerana hari ini dia akan keluar membeli barang-barang hantaran dan cincin bersama Mizan. Dia tidak selesa untuk keluar berdua bersama Mizan lebih-lebih lagi mereka memang tidak pernah keluar bersama. Mujurlah rumah Nur Farha Sakinah tidak begitu jauh dari rumahnya, cepat sahaja Nur Farha Sakinah bersetuju dengan permintaan rakan karibnya itu sementelah dia sudah melantik dirinya sendiri menjadi pengapit Adwa Shaza nanti. Adwa Shaza tiada sebarang bantahan malah bersyukur kerana rakannya itu sanggup menjadi pengapitnya. Tidaklah dia begitu canggung nanti.

Sebuah kereta yang baru tiba di hadapan rumah Adwa Shaza berhenti betul-betul di hadapan mereka berdua. Tepat ketibaan pemuda tersebut seperti masa yang telah dijanjikan. Setelah pemandunya keluar dari kereta, mereka berdua terkejut kerana melihat susuk tubuh di hadapan mereka itu. Ahmad Muqri Muizzuddin! Adwa Shaza mula panik dengan situasi kini. Dia mengambil masa yang lama untuk menguatkan diri apabila minggu lepas Puan Aya Sofea memberitahu bahawa dia akan keluar membeli barang-barang hantaran bersama tunangnya, sekarang dia perlu menguatkan diri kerana yang berada di hadapannya kini adalah Ahmad Muqri Muizzuddin. Satu wajah dan nama yang sungguh-sungguh dia mahu lupakan.

Ya Allah, Kau permudahkahlah segala urusanku. Kau berilah kekuatan kepada hamba-Mu ini. Janganlah Kau bebankan aku dengan sesuatu yang tidak mampu aku tanggung. Janganlah Kau uji aku sebagaimana Kau uji kaum terdahulu. Aamiin.

Adwa Shaza sempat berdoa di dalam hati. Dia menarik nafas panjang mengumpul sedikit kekuatan, kemudian dia bersuara.

"Assalaamu'alaikum abang Muqri. Sihat? Dah lama tak jumpa. Where is abang Mizan?"

Ahmad Muqri Muizzuddin mengerutkan dahi.

"Wa'alaikumussalam. Abang sihat je. Mizan busy. He sends his regards to you. Now, get in the car. Abang nak jumpa ayah dengan mama jap minta izin."

"Ayah dengan mama dah pergi kenduri cukur jambul cucu kawan ayah. Mereka dah izinkan," Adwa Shaza bersuara perlahan.

"Oh, alright then. Jom gerak." Ahmad Muqri Muizzuddin bersuara tegas.

Ish, abang Muqri ni. Kalau tak ikhlas nak tolong tu tak payah la tolong. Biar je tunggu sampai abang Mizan tak busy baru pergi beli barang-barang dengan cincin tu. Ini dah datang buat muka macam tu pula. Tapi dia tetap smart walau dah tak pakai topi Maher Zain! Astaghfirullahal'adzim. Adwa Shaza, behave, behave! Kau tu tunang orang, tahu! Tunang kawan baik dia pula tu.

Dalam pada Adwa Shaza mengutuk Ahmad Muqri Muizzuddin, sempat juga dia memujinya.

*******

Adwa Shaza mengalirkan air mata terharu dan gembira. Suaminya baru sahaja menyanyikan lagu 'For the Rest of My Life' nyanyian Maher Zain dan didedikasikan kepadanya. Dia memang pernah mengimpikan untuk didedikasikan lagu itu oleh orang yang tersayang. Tidak disangka impiannya yang dirasakan tidak mungkin terjadi kini menjadi realiti. Alhamdulillah. Dia mengucapkan syukur di dalam hati. Pengapitnya pada hari ini siapa lagi kalau bukan Nur Farha Sakinah sudah berkali-kali menghulurkan tisu kepadanya. Telinga Adwa Shaza sudah lali apabila berkali-kali Nur Farha Sakinah mengingatkannya agar menjaga make-up supaya tidak rosak. Namun Adwa Shaza sudah tidak pedulikan itu semua lagi.

"Here is another song that I would like to dedicate to my one and only lovely wife, Adwa."

Suami Adwa Shaza sekali lagi menyanyikan lagu yang didekikasi kepadanya. Kali ini lagu 'Blue Night' nyanyian Micheal Learns To Rock. Adwa Shaza kembali menitiskan air mata terharu bercampur gembira yang tadinya sudah reda. Sungguh dia tidak menyangka akan menerima kejutan sebegini. Dia sangat gembira. Tidak putus-putus rasa syukur dipanjatkan kepada Ilahi dengan takdir yang terindah ini.

"Sayang, my heart is sealed for you. Thank you for accepting me. I love you more than you knew."

Suami Adwa Shaza melafazkan kata selepas menyanyikan lagu tersebut. Adwa Shaza meraih tangan suaminya dan mencium tangan tersebut tanda hormat dan semestinya kasih sayangnya sudah tumpah kepada suaminya itu. Suaminya tidak melepaskan tangan Adwa Shaza dan menariknya ke dalam pelukan. Para jemputan yang hadir memberi tepukan yang gemuruh terutama sekali Nur Farha Sakinah yang berada tidak jauh darinya. Segan untuk lama dalam keadaan begitu, Adwa Shaza menolak lembut bagi melepaskan pelukan suaminya.

Syukur Ya Allah.

*******

Adwa Shaza berdiri di balkoni biliknya. Aktiviti yang sering dilakukan apabila waktu malam ketika berada di rumah, melihat bintang-bintang di langit. Dia tersenyum lebar memikirkan apa yang berlaku pada hari pernikahannya itu. Hatinya masih mengucapkan syukur yang tidak terhingga kepada Ilahi. Banyak kejutan yang dialaminya sedari upacara akad nikah pada pagi tadi sehingga suaminya mendedikasikan lagu kepadanya. Adwa Shaza yang masih lagi dalam dunianya tidak sedar yang pintu biliknya dikuak dari luar dan ditutup kembali. Bunyi pintu itu langsung tidak mengembalikan Adwa Shaza ke alam nyata.

Suami Adwa Shaza yang melihat gelagat isterinya tersenyum seraya bergerak ke balkoni menghampiri isterinya. Dia memberi salam sambil memeluk isterinya dari belakang.

"Assalaamu'alaikum my lovely sweetheart, Adwa Shaza. Buat apa la sorang-sorang dekat balkoni ni tinggalkan abang dekat bawah. Tercari-cari sayang tahu. Lepas dinner, solat Isyak berjemaah terus hilang. Penat nak buat ayat cover line. Nasib la semua yang ada dekat bawah tu sporting habis."

Adwa Shaza tergelak kecil mendengar bicara suaminya itu.

"Wa'alaikumussalam my sweet husband, Ahmad Muqri Muizzuddin. Sorry, tak terniat pun nak tinggalkan abang Muqri kat bawah. Orang memang dah terbiasa duduk dekat balkoni ni tengok bintang-bintang. Lagipun banyak kejutan hari ni. Orang masih dalam proses penghadaman kejutan tersebut. Hehe."

"Wait! No more abang Muqri okay. Just abang. Don't you noticed that long ago since we're engaged? I already call myself 'abang' when I'm talking to you and not 'abang Muqri' anymore."

"Haha. Okay, fine. Abang. But the thing is that, I don't even know that you are my fiancé. Lawak tak? At that time, I thought that abang Mizan is my fiancé."

"Hmm ni yang abang musykil ni. Oh, patutlah waktu abang datang nak bawak sayang beli barang-barang hantaran, sayang tanya mana Mizan. Tapi takkanlah sayang tak tahu sayang bertunang dengan siapa?"

"Mana nak tahu bang, mama tak pernah cakap pun yang abang masuk meminang orang. Mama just cakap kawan arwah along datang nak masuk meminang. Waktu orang sampai rumah pula orang nampak abang Mizan je, orang tak nampak pun abang. Takkanlah abang main sorok-sorok pula."

"Oh, waktu tu sayang ada balik rumah ke. Abang memang datang dengan Mizan, tapi lepas tu abang balik awal sikit sebab pukul 5.30 petang ada consultation dengan supervisor FYP abang. Hmm no wonder lah sampai ke sudah sayang tak tahu. Waktu bertunang pulak memang abang tak dapat datang. Habis tu birthday present yang abang bagi tu sayang ingat Mizan yang bagi la?"

"Haah. Mula-mula orang dah happy dah ingatkan abang yang bagi tapi bila baca kad, ada tulis your fiancé, M. Orang memang terus ingat yang abang Mizan bagi. Hehe."

"Sayang, dah tentulah kalau Mizan yang bagi initials dia MZN, kalau tak takde laa dia dapat nama Mizan tu. Oh, kiranya sayang memang dah suka abang la kan sebelum ni."

Adwa Shaza terdiam. Mukanya membahang kerana malu sukakan Ahmad Muqri Muizzuddin sebelum ini. Nasib baiklah Ahmad Muqri Muizzuddin memeluknya dari belakang, jadi dia tidak nampak muka Adwa Shaza yang sudah memerah malu.

"Ala cakap kat orang. Abang tu pula macam mana? Mama cakap kawan arwah along yang nak masuk meminang tu dah janji dengan arwah along nak jaga orang. Maknanya abang tak ikhlas la kahwin dengan orang ni. Abang nikah dengan orang semata-mata sebab janji abang pada arwah along. Betul tak?"

Ahmad Muqri Muizzuddin menarik nafas panjang. Dia meleraikan pelukannya dan memusingkan badan Adwa Shaza agar menghadapnya lalu memegang kedua-dua belah bahu isterinya itu.

"Sayang, don't get me wrong. Memang betul abang pernah janji dengan arwah Khaliq akan jaga sayang macam adik sendiri. Tapi sayang tahu kan yang abang mana ada adik. Abang tak tahu setakat mana sayang abang pada sayang hanya sebagai sayang adik-beradik. Abang buat solat istikharah berkali-kali dan sayang adalah jawapannya. Sebab tu abang beranikan diri berterus terang dengan mama yang abang nak masuk meminang. That's why I said before, I love you more than you knew."

Ahmad Muqri Muizzuddin membawa isterinya yang hanya menunduk itu ke dalam pelukan. Damai yang dia rasakan apabila telah meluahkan semua yang terpendam selama ini. Isterinya turut membalas pelukannya.

"I'm sorry abang. I love you too. May Allah bless our marriage till jannah. Thanks for dedicating the songs for me. I don't know that you're such a great singer. Boleh menangis Maher Zain dan MLTR dengar abang menyanyi. Mana abang tahu orang memang impikan suami orang dedicate lagu tu masa wedding?"

"Farha beritahu. Masa hari kita beli barang-barang hantaran tu kan sayang ada pergi washroom sekejap sebelum lunch, masa tunggu tu la abang tanya apa yang sayang impikan untuk wedding sayang. Entah-entah waktu tu Farha ingat abang saja-saja je tanya. Dah best friend dia ni ingat dia tunang orang lain, dia mesti la fikir benda yang sama."

Adwa Shaza tergelak kecil. Betul juga apa yang suaminya itu katakan. Ketika itu dia sendiri berfikir bahawa Mizan adalah tunangnya dan semestinya Nur Farha Sakinah juga berfikiran yang sama dengannya. Adwa Shaza tersenyum sendiri. Mereka berdua masih berpelukan.

"Sayang, selalu ke mengumpat abang?"

Adwa Shaza yang terkejut dengan pertanyaan itu melepaskan pelukan dan memandang anak mata suaminya. Dia bersuara untuk bertanya lanjut dengan dahi yang sudah berkerut.

"Mengumpat? Maksud abang?"

"Ingat abang tak tahu ke sayang gelarkan abang Maher? Boleh pulak buat ayat cover line."

Adwa Shaza yang sudah faham maksud suaminya teringat peristiwa Nur Farha Sakinah yang tiba-tiba memanggil nama Maher. Dia tersenyum. Mana tidaknya selepas itu mereka terpaksa menghadapi extra class dengan Puan Safirah. Ayat cover line yang menjerat diri.

"Sorry, orang janji hari ni tak buat lagi. Hari esok mungkin? Hehe."

"Sayang ni nakal tau."

Ahmad Muqri Muizzuddin mencuit manja hidung isterinya. Dia kembali menarik isterinya ke dalam pelukan. Dia mengucapkan syukur di dalam hati kerana isterinya boleh menerima dirinya. Adwa Shaza juga tidak terkecuali bersyukur kerana dikurniakan suami sebaik Ahmad Muqri Muizzuddin. Dia juga bersyukur kerana tidak mengetahui Ahmad Muqri Muizzuddin adalah tunangannya sebelum ini. Jadi dia tidaklah membuang masa berangan tak sudah.

"Sayang, abang nak tanya ni sayang jawab dengan jujur ye. Masa bila sayang mula-mula jatuh suka dekat abang?"

"Masa abang selalu jadi imam dekat surau fakulti kita. Orang rasa abang mampu jadi imam yang bagus, insya Allah abang mesti mampu jadi ayah dan suami yang bagus. I know your voice and I know it's you."

Ahmad Muqri Muizzuddin mencium ubun-ubun isterinya dan mengemaskan pelukan mereka. Kedua-duanya bersyukur dengan takdir terindah mereka ini. Segala-galanya telah direncanakan oleh Allah dan pasti mempunyai hikmah yang tersembunyi.

- TAMAT -

Maaf andai anda rasa cerita ni cliche... Terima kasih sudi baca dan sudi²lah luangkanlah sedikit masa anda untuk komen supaya saya boleh menambah balik mutu penulisan saya...
- Suha Fasihah

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience