2 - SEDETIK WAKTU BERLALU

Fantasy Series 780

KERUSI- kerusi berlengan di ruang galley saling berhadapan, dipisahkan meja bulat. Bahagian itu turut dimeriahkan dengan penggunaan sistem audio. Para krew Bintang Terbit sedang menikmati juadah sambil mendengar lagu instrumental.
Roni Hassan duduk antara Sofia Roslin dan Ying Ying. Di kedua sisi mereka duduk Pepino Khoo dan Qieyla Azhar. Di sebelah kiri Qieyla duduk Almaswa Che' Ross. Diikuti oleh K. Kurumaya, Ezan Aziz, Sheila Jayamalar dan Zalillah Haron.
"Saya suka betul." Roni Hassan kelihatan gembira.
Sofia memandang Roni. "Lagu ini?"
"Ya, enak didengar sambil makan," sahut Roni dan menoleh sambil mengunyah. Matanya tajam kepada Sofia.
"Hidup tidak bermakna tanpa muzik," ujar Qieyla lembut. "Muzik menenangkan tekanan."
Roni mengangguk tanda setuju.
Sofia menguis-nguis makanan dalam piringnya dengan sudu.
"Apa benda ini?" tanyanya, ingin tahu.
Pepino mengangkat mukanya, mengunyah dan berkata, "Ia kelihatan enak. Rasanya seperti pai keledek."
"Pai keledek?" Sofia mengulangi, kurang menyenangkan. Ragu apa yang dikatakan Pepino. Bulat matanya merenung Pepino makan. Suapannya rakus.
"Rasanya begitulah," sahut Pepino. Menyuapkan pai itu ke dalam mulutnya. Mengunyahnya.
"Makanlah. Rasanya sedap," Qieyla menoleh kepada Sofia.
Sofia berpaling pula ke Ying Ying.
Ying Ying menganggukkan kepalanya, berhenti mengunyah dan berkata, "Pai keledek ini sangat berkhasiat. Bagus untuk alas perut. Makanlah untuk mendapatkan kekuatan. Ia memenuhi semua keperluan badan."
"Saya tengah mencuba lah ni," Sofia menyudu dan mengunyah perlahan.
"Sedapkan?" soal Qieyla. Dia menghirup kopinya.
"Okey rasanya," suara Sofia campur kecap kunyahnya.
Suasana diam seketika. Mereka tidak berkata-kata lagi. Kelaparan menghalang mereka daripada bercakap banyak. Mereka perlu makan untuk mendatangkan tenaga. Masing-masing melayari fikiran sendiri. Sesekali mereka menghirup kopi. Aliran kopi panas yang menuruni alur kerongkong berjaya menghalau rasa sejuk yang mencengkam di dalam diri masing-masing.
Perlahan-lahan Roni menolak piring setelah suapan akhir dihabiskannya. Kemudian mencapai kopinya dan meminumnya hingga habis. Dia bersandar pada kerusi. Kenyang.
Ezan merenung wajah Roni yang duduk berseberangan dengannya. Seluruh muka pengetua itu direnungnya tepat. Ada sesuatu yang hendak diceritakan.
"Ada satu perkara saya nak cakap kepada Puan," Ezan mula membuka bualan. Berbicara dengan suara yang tenang dan tanpa emosi.
Roni meluruskan dirinya di kerusi dan mulai tertarik. Dia menyisihkan cangkir kopinya. "Perkara apa tu, Ezan? Jika ada sesuatu yang perlu saya tahu, inilah kesempatannya."
"Begini. Sebelum kita mendarat, saya rasa ada lebih baik kalau kita bincang situasi bonus. Soal ini sudah lama saya fikirkan," Ezan meluahkan perasaannya. Melepaskan apa yang terbuku di hatinya. Dia rasa tanggungjawabnya untuk mengeluarkan topik tersebut.
Roni segera menangkap tujuan kata-kata Ezan. Dia cukup mengerti sekarang. "Ini yang ganggu minda kamu?"
Ezan mengangguk.
"Saya juga mempunyai pertanyaan yang serupa itu," Sheila yang duduk di sebelah Ezan tiba-tiba mencelah.
Roni berpaling ke arah Sheila yang nampak tengah asyik memandanginya dengan tatapan mata langsung.
Sheila mengutarakan pendapatnya. "Ezan dan saya fikir situasi bonus adalah berat sebelah."
"Sheila dan saya fikir, kami berdua mesti mendapat sama rata," ujar Ezan pula. Dia meneguk kopinya.
"Ya, memang betul," tambah Sheila, lalu memandang Ezan sebentar. "Betul kata kamu, Ezan." Matanya berpindah dari wajah Ezan ke wajah Roni. "Hal ini benar-benar keterlaluan."
"Saya faham perasaan kamu berdua tapi hal ini di luar bidang saya," kata Roni. Nadanya hampir mengandung penyesalan. "Saya tak ada kuasa dalam perkara ini sebab kontrak tidak boleh ditolak dan ditambah. Tak lebih, tak kurang. Kamu berdua sepatutnya faham "
"Janganlah begitu, Puan. Tolonglah mengerti sedikit. Sesetengah perkara berubah dan setiap masa yang berlalu adalah satu peluang untuk mengubahnya. Tentu tidak salah kalau Puan sendiri yang mengubahnya," rayu Ezan seolah tergesa, memohon simpati. Dia menggaru kepalanya bagai mengingat sesuatu. "CEO Majlis adalah bapa saudara Puan. Hal ini boleh dirundingkan."
Mengenang itu, Sheila menguatkan semangatnya dan mengangguk mengiyakan. "Benar kata-kata Ezan itu, Puan."
Roni bersandar kembali ke kerusinya sambil berfikir-fikir. Dia duduk tenang sekali, tak bergerak-gerak. Setelah seminit lamanya duduk seperti itu, alisnya mulai bergerak.
"Jadi, apa keputusan Puan?" tanya Ezan tak sabar. Hasrat ingin tahu makin menebal. Dia menggaru kepalanya yang tak gatal.
Roni mengusap-usap mukanya.
Ezan dan Sheila menunggu dengan penuh pengertian sementara Roni sedang berbual dengan pemikirannya.
Roni menarik nafas.
"Saya tak dapat beri keputusan sebab yang berhak Majlis," katanya pada akhirnya. "Peraturan dalam kontrak, Majlis yang bikin. Tanyalah pada Majlis. Majlis akan pertimbangkannya. Kalau Majlis setuju, setujulah. Saya tak ada kuasa untuk benarkan."
Roni memandang kedua jurutera sistem mekanikal itu secara bergantian.
"Tak usah dipanjangkan lagi perkara ini," ujarnya lagi. "Keputusan saya adalah muktamad."
Ezan dan Sheila mengangguk. Tapi nun jauh ke dalam, nurani mereka membantah.
Siren komputer penyelenggaraan operasi Bintang Terbit berbunyi beberapa kali. Kemudian terdengar suara wanita di corong komunikasi. Lembut sekali suara komputer itu. "Sila beri perhatian. Pengetua Roni Hassan, lapor diri ke pod MAMA. Saya perlu bercakap dengan Puan."
"Saya akan ke sana sekejap lagi," jawab Roni yang memang arif.
Seiring itu dia bangun dari tempat duduknya. Tapi dia tidak jadi melangkah.
"Kita semua ada tugas. Masa untuk menjalankan tugas. Ikut rutin masing-masing," ujarnya memerintah.
Setelah berkata begitu, Roni terus beredar dan menghilang.
Sofia, Qieyla, Pepino, Almaswa, Ying Ying dan Zalillah mengikuti Roni dari belakang.
Setelah semua orang sudah pergi, Sheila tinggal bertiga dengan Ezan dan Kurumaya. Dia mengerling Ezan.
"Aku dah tahu memang Puan Roni akan kata begitu," rintih Sheila. Dia tampak jengkel. Ini dia betul-betul terkilan. Segalanya sia-sia belaka. "Dia agak berlagak dan pendiriannya tegas, bukan?"
Ezan menoleh kepadanya dan berkata, "Roni sukakan kuasa dan kawalan. Ibu bapanya aktivis politik. Tapi bagus juga bertanya, kan?"
Sheila menjawab, "Sekurang-kurangnya kamu berjaya yakinkan aku. Apa harus kita perbuat sekarang?"
Mata Ezan yang coklat terpusat pada muka Sheila. "Sabar. Kita mesti ada harapan. Golongan atasan mudah ubah pendirian. Kita tunggu waktu yang elok."
"Harap kamu betul," keluh Sheila.
"Baguslah kalau kamu berdua ada ingatan begitu," Kurumaya menyampuk. "Kalau ada perkataannya yang tak menyenangkan kamu, janganlah kamu melawan atau bermasam muka."
Ezan memajukan tubuhnya ke muka. "Kamu tak banyak bercakap."
"Saya ni jenis pendiam dan tak banyak cakap," ujar Kurumaya mengakui. "Begitu juga tindakan saya, saya dah biasa kerja sendiri. Jadi saya rasa sukar untuk melatih kemahiran bersosial saya. Jauh di dalam, saya seorang saintis."
Sheila memutar kerusinya untuk menghadapi Kurumaya. "Saya sudah kenal kebanyakan daripada krew Bintang Terbit tapi kita tak sempat berkenalan betul-betul."
Pergantian pokok pembicaraan yang tiba-tiba itu menyebabkan Kurumaya mengangkat alis matanya. Dia membalas pandangan Sheila sambil berkata dengan suara mantap, "Izinkan saya memperkenalkan diri kepada yang belum mengenal saya. Saya K. Kurumaya, ahli astrobiologi."
Ezan terdiam. Sheila membisu. Masing-masing saling berpandangan.
"Penyelidikan saintifik kewujudan kehidupan di angkasa," ujar Kurumaya kemudian. "Ia langkah ke arah menjawab soalan yang sering diajukan zaman berzaman. Adakah kita berseorangan di alam semesta ini? Wujudkah kehidupan lain selain manusia di alam semesta ini? Saya rasa di alam semesta ini mesti ada sesuatu yang lebih baik daripada manusia."
Sheila mengerdipkan mata ke arahnya. "Saya harap kita bertiga dapat tahu jawapannya nanti."
Kurumaya beranjak berdiri, lalu dia berpaling ke arah Ezan dan bertanya, "Jumpa lagi di lain masa?"
"Dah pasti," sahut Ezan dengan sinar mata yang memperingatkan.
Kurumaya membongkokkan badan meminta diri, lalu melangkah meninggalkan ruang galley dengan sikap tenang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience