LEMANG JALI

Mystery & Detective Completed 177

LEMANG JALI
Karya : Penna Nera

Lemang Jali. kalau sekali rasa, berkali-kali menambah. Pak Jali memang terkenal dengan kelazatan lemangnya yang tak terkata. dah rasa baru tau. cukup dengan lemaknya, rasanya, serba serbi cukup sedap dimakan pula dengan rendang Mak Melah, terangkat baq hang! Cukup terkenal lemang pak Jali sampaikan nak membeli pun kena beratur panjang. Tapi satu kebaikan pak Jali ni, dia tak akan buat lemang lebih dari 30 batang sehari sebab katanya biar peniaga lemang lain ada rezeki juga. Gerai pak Jali terletak ditepi jalan besar, jadi senang lah pelanggan nampak dan membeli. Kawasan sekitar pak Jali ada juga peniaga lemang tapi masih tidak setanding lemang Pak Jali. Dia sudah meniaga hampir 10 tahun disitu setelah pencen dari polis.
Lupakan pasal pak Jali, sekarang kisah aku pula nak balik beraya. Aku ni berkerja sendiri. Aku punya kedai jahit sendiri. Walaupun aku seorang lelaki yang memegang segulung ijazah perakaunan, namun minat aku pada fesyen. Mujur umi dan babah sentiasa menyokong minat aku. Habis matrix, aku sambung degree dalam perakaunan dan kemudian aku ambik kelas fesyen dan jahitan selama 6 bulan disatu kolej swasta. Dengan bermodalkan pinjaman dari bank PA dan MA, aku berjaya punyai butik sendiri walaupun tak besar mana yang penting hutang dah selesai bayar. selesai mukadimah pasal aku sekarang cerita nak balik raya. Sepatutnya aku balik seminggu awal, tapi disebabkan tempahan yang banyak maka lewatlah balik beraya. Setelah berpuas hati dengan baju raya keluarga aku yang aku jahit sendiri berserta langsir hitam bunga merah permintaan umi maka aku bertekad untuk pulang esok pagi selepas subuh. Usai solat subuh, aku pun telefon umi untuk beri tahu yang aku nak bertolak balik. Setelah selesai sebakul pesanan maka bertolaklah aku balik kekampung. Perjalanan aku agak lancar dari Teluk Intan nak ke Tanjung Dawai. Mungkin dah ramai yang sampai kampung awal, jadi bergembiralah aku bak jalan aku yang punya. Memang aku la anak harapan. "Tiap taun aku dok sana sini, nak harapkan along dengan adik, lambeeet lagi. 2 ketui tu malam raya baru sampai. Malas la tu,"aku pun ketawa.
Setiba jalan nak masuk ke kampung, dah terlihat deretan lemang Pak Jali yang asyik dibakar api yang sederhana. Aku agak hairan kerana aku lihat gerai tak berpelanggan sedangkan gerai lemang Pak Jali ni kalau lambat tak dapat. "orang dok sibuk nak raya la ni, tak mau keluaq. Ka petang sat gi penuh,"hati aku berkata-kata. Aku memakirkan kereta ditepi lalu keluar menuju ke gerai Pak Jali. "Assalammualaikum Pak Jali. Apa habaq? ada baik ka?," soal ku. "Waalaikumsalam.Baik aih... macam ni la aku dok menjuai macam selalu," Pak Jali menjawab. "Umi dok pesan, suruh cari lemang bawak balik. Hairan jugak kami, selalu babah dok mai sini beli. La suruh kami cari. Anak mithali punya pasai, kami ikut ja la,"aku berseloroh. "Pak hang sibuk merendang la tu. sapa tak kenai rendang itik Hj.Salam. Tiap tahun ramai dok raya rumah hang aih, nak pekena rendang itik. Baguih na pak hang, bela itik sendiri, sedang elok masak sendiri. segaq dari ladang."tambah Pak Jali. "Babah memang lagu tu pak Jali, macam pak Jali tak kenai. Dok sibuk bela itik dengan kambing dia tu. Sok raya korban, sibuk tang kambing pulak,"kataku. "Pak Jali pun, tak kurang mana la. Tengok lemang Pak Jali, beratoq orang cari. Kami pun tak mau lain,"aku menambah perisa. "Hang kena jugak cari lemang lain. sok aku mati, takkan hang nak seru kuboq aku mai cari lemang,"gelak pak Jali. "Mak Melah mana? Tak nampak pun?" soal ku. "Dia dok kat rumah dia dah,"kata pak Jali. Aku hairan dengan kata pak Jali "Dia dok kat rumah dia dah?".Setelah bergelak sakan, aku pun meminta izin untuk balik. Aku hulurkan duit untuk bayar harga lemang tapi pak Jali tak nak ambil. "Tok sah, aku belanja hang,"kata Pak Jali. Aku menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Pak Jali, salam ku disambut dengan keadaan tangan pak Jali yang teramat sejuk. Bila aku bangun, aku lihat wajah pak Jali pucat bagai tak berdarah. Aku pun terus ke kereta. Setelah letak lemang dibahagian belakang, tatkala aku menoleh kedepan, aku nampak Mak Melah disebelah Pak Jali dan melambai aku perlahan. Dia jugak turut tampak pucat lesi. Lantas meremang bulu-bulu yang ada.
Masa azan zohor, aku sampai kampung. "Hang pi mana. Matahari dok tegak kat kepala baru hang sampai,"bebel umi. Aku pun pelik, sepatutnya aku sampai awal sebab lepas subuh dah gerak. Aku hanya singgah digerai Pak Jali saja seingat aku. Lupakan segala kepelikan, sebelum aku kena ligan baik aku selesaikan solat zohor dulu. Lepas solat, aku mula keluarkan barang-barang dari kereta. Lemang aku letak atas rak ditepi tangga dapur supaya senang nak ambil nanti. Aku pun terus mengemas apa yang tak patut dah dikemas sebab rumah kampung hanya tinggal umi dan babah jadi tak berselerak. Ubah sana sini sikit biar ada kawasan lapang untuk sanak saudara datang bertandang raya nanti. Aku pun pasang 2 set meja lipat berserta kerusi yang aku beli dari shopee dan dihantar terus ke kampung. Lepas raya boleh simpan semula. Jimat ruang. Memang sedia maklum, rumah kami memang akan penuh dengan sanak saudara, jiran-jiran kampung yang akan bertandang jadi semua kena extra! Selesai pasai meja, aku pun beralih ke langsir raya hitam bunga merah permintaan umi. Nak sedondon dengan sofa barunya la tu. Dah la baju raya pun hitam. Memang kena perli la tahun ni, semua sedondon. "Mana la mai angin umi nak semua hitam ni, selalu mau hijau ja. Ni habis dok tukaq semua. Langsir hitam bunga merahnya makngah, sofa hitam bantal merah, alas meja pun sama langsir sebab aku yang jahit, hat baju raya pun mau hitam. Ni mesti retis mana dia dok tengok ni. Pening aih,"bebel aku. Masa aku pasang langsir, aku ternampak kelibat Pak Jali lalu. "Pak Jali buat COD ka la ni. Sapa dok jaga gerai?,"aku berkata sendiri. "Hang sembang apa ngah?,"umi bertanya. "Dak... ni dok tengok Pak Jali kalut dok usung lemang, dia buat delivery kot mi"kata ku. "Hang tok sah mengarut ngah! Pi siap cepat semua, sat gi nak gantung ketupat. Pak hang tak sampai. Nasib la hang ikut pak menakan hang kalau ikut pak hang kenet ja la macam along dengan adik,"umi ketawa kuat. Nasib la si orang tinggi. Semasa aku nak kemaskan ikatan langsir, aku nampak Pak Jali berdiri berdepan tingkat dan memandang aku sedih. Aku pulak rasa seram dengan pandangannya.
Masa aku turun ke dapur, aku nampak Mak Melah pula berdiri ditepi pintu dapur. Aku rasa hairan dan pada masa yang sama, rasa takut dan seram menular dalam diri. Pandangannya kosong dan sedih. Aku cepat-cepat tutup pintu. "Hangat la nak oii. Awat katup pintu?,"soal umi. "Angin kuat umi,"aku berbohong "kita pasang ekon ja la umi,"pujuk aku. Aku rasa pelik sangat. Tak pernah jadi lagi sebelum ni. Leka siapkan juadah raya, hingga tak perasan maghrib dah menjengah. "2 ketui ni mana, tak sampai lagi ni, dok penang ja pun,"marah aku. Aku nak menutup tingkap rumah atas, tiba-tiba satu tamparan angin kuat menerpa aku. Pada masa yang sama aku nampak lagi kelibat Pak Jali lalu sambil tersenyum dan melambai aku. Aku melambai kembali sambil menjerit, "Isok mai raya rumah na pak Jali bawak Mak Melah sekali,"kata ku. Aku pun terus solat maghrib. Selepas isyak, rumah ku didatangi jemaah surau kampung untuk bertakbir raya. Sudah menjadi tradisi kampung, bertakbir dari rumah ke rumah. Aku hairan, tiada kelibat Pak Jali dikalangan mereka. Selepas selesai, jemaah pun pulang setelah menjamah sedikit hidangan. Aku menghantar mereka ke pintu. Tiba-tiba aku disapa oleh orang yang sangat aku kenal. "Isok raya dah, Pak Jali nak pi dah ni bawak Mak Melah sama. Hang tak jumpa kami raya ni. Kalau hang rindu lemang aku, datang lawat kami na. Hang anak baik, selalu tanya aku dengan mak Melah hang. Kami tak dak anak, hang la anak kami. Kami tumpang kasih kat hang adik beradik. Hang selalu huloq kami belanja tiap bulan tak tinggai. Moga Allah bayaq balik semua kebaikan hang. Jadi anak yang soleh na ngah. Jaga mak pak hang elok-elok. Doa kat kami sama na ngah. Kami sayang hang."agak lain dan sedih kata-kata Pak Jali malam ni. "Kami minta maaf na Pak Jali, salah silap kami selama pak Jali kenai kami dari kecik. Halal makan minum kami naa.. kami sayang Pak Jali, kami sayang Mak Melah,"kata ku. Pak Jali memeluk aku dan berlalu pergi bersama Mak Melah. Aku tak terfikir nak bertanya apa-apa pada Pak Jali sebab kemana dia nak pergi raya ni.
"Umi, Pak Jali dengan Mak Melah nak pi mana malam raya ni. Depa raya rumah sedara ka mi."aku menyoal. "Awat hang ni ngah, hang lupa dah ka Pak jali, Mak Melah hang dah tak dak. Depa kan kena langgaq dengan kereta yang terbabas masuk gerai depa awal posa hari tu,"umi membalas. Astagfirullah, aku memang betul-betul lupa dengan kesedihan ni. Ketika itu aku berada disabah kerana undangan sahabat ku. Hanya doa yang dapat aku utuskan untuk kedua mereka ketika itu. Setelah balik dari sabah, aku menerima tempahan yang banyak sampai aku jadi terlupa berita duka itu. Aku teringat akan lemang yang Pak Jali bagi pagi tadi, aku terus kedapur dan terkejutnya aku, bila melihat hanya buluh-buluh lemang yang sudah terbakar rentung tersandar disitu. Aku duduk dan tersedu bila teringat kata-kata pak Jali pagi tadi. Aku faham sekarang akan katanya. "Dalam peti beku ada lemang Pak Jali hang bagi pagi sebelum dia kena langgaq. Banyak dia bagi. 10 batang umi kira. Umi pelik dia bagi banyak. Dia kata ngah suka lemang aku, aku bagi awai la takut tak sempat dia nak rasa. Umi rasa pelik dia kata lagu tu kat umi, tup tup petang Pak hang balik kata Pak Jali dengan Mak Melah hang kena langgaq. Pak Jali hang termasuk dalam api lemang. Separuh badan dia lecoq habih. Mak Melah hang meninggal masa nak ke hospital. Umi rasa masa tu macam mimpi sebab umi baru jumpa dia, mai datang hantaq lemang. Sayang betui dia dengan hang ya ngah. Sempat dia hantaq lemang kat hang,"kata umi. "Ngah jumpa dia pagi tadi mi. Kat tempat dia meniaga selalu tu. Ngah lupa yang dia dah tak dak. Patut la masa ngah salam tangan dia sejuk macam ayaq ais. Dia memang nak jumpa ngah ya umi. Kali terakhir. Ni yang dia bagi tadi. Buluh terbakaq kosong ni,"kata ku. "Isok pegi kuboq dia, pi jumpa dia na ngah,"kata umi. Tengah malam sampai la adik beradik aku yang berdua tu. Habis diorang kena marah dengan babah dan umi sebab bagi alasan yang tak masuk akal. Ingatkan raya lusa katanya. Padan la muka kena marah. "Hambik". kata ku.
Selesai solat sunat raya, aku dan keluarga pergi menziarah kubur ahli keluarga ku yang telah tiada serta kubur Pak Jali dan Mak Melah. Setelah doa ku panjatkan pada kedua mereka, kami pun pulang. Semasa aku menoleh memandang ke kubur mereka semula, aku nampak keduanya memandang aku sambil tersenyum. Aku juga turut tersenyum melihat mereka. Aku mohon agar Allah tempatkan mereka bersama yang dikasihinya kerana mereka orang-orang yang sangat aku hormati selepas kedua ibu bapaku. Sebelum pulang ke rumah, aku singgah kegerai Pak Jali. Benar, hanya tinggal gerai yang sudah roboh akibat rempuhan tersebut dah kesan-kesan terbakar berserta ada beberapa lemang yang tertinggal rentung disitu. Banyak kenangan aku disitu, kenangan yang akan aku ingat. Kenangan betapa enaknya LEMANG JALI.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience