BAB 2

Romance Completed 9427

Hami melirik jam tangannya. Sudah hendak masuk waktu Asar. Dianugerahkan suara yang luar biasa merdunya, dia telah pun dijemput oleh MyIslam FM untuk membaca Al-Quran di salah satu rancangan khas yang diterbitkan oleh radio tersebut. Rancangan itu akan bermula pada hari ini dan akan dilanjutkan sehingga penghujung bulan Ramadhan.

“Dah, lantak awaklah. Buatlah apa saja yang awak suka. Saya pergi dulu, tak elok pula kalau orang tengok kita lama-lama kat sini. Assalamu’alaikum,” ujar gadis itu lalu segera meninggalkan Rizal di muka pintu.

“Wa’alaikumussalam,” jawab Rizal perlahan. Tadi aku bagi salam, tak pula dia jawab. Entah apa kena dengan perempuan ni, desis hatinya kemudian melangkah masuk ke dalam rumahnya yang unggul dan menarik itu.

“Terima kasih Hami. Mantap sungguh bacaan awak tadi. Esok lagi kita jumpa ya In Shaa Allah,” kata pengacara rancangan itu sambil tersenyum kepada Hami. Gadis itu hanya membalas kembali senyumannya lalu meminta diri untuk pulang.

Hami memandu Viosnya menuju ke jalan raya besar, dan selang beberapa minit kemudian, dia telah pun tiba di banglonya. Mindanya ligat memikirkan apa yang patut dimasaknya untuk berbuka puasa hari ini, oleh kerana kedua ibu bapanya sekarang sedang berada di luar negara untuk menguruskan perniagaan butik yang telah ditubuhkan sejak Hami masih kecil lagi manakala abang-abangnya semua sudah pun berkahwin dan telah membawa diri masing-masing, membina keluarga mereka tersendiri. Disebabkan Hami hanya satu-satunya anak perempuan di dalam keluarga tersebut, dia kurang mahir memasak kerana dia sering meluangkan masa bersama abang-abangnya memancing di sungai.

Sungguhpun begitu, Hami adalah seorang yang sangat cerdik dan selalu mendapat tempat teratas sewaktu menuntut di universiti dahulu. Kini dia yang menjalankan bisnes butik cawangan di sini memandangkan hanya dia seorang yang tinggal berdekatan dengan kedainya itu.

Azan pun berkumandang, menandakan waktu berbuka sudah tiba. Hami terkejut kerana dia masih belum menyediakan apa-apa. Akhirnya dia berputus untuk bersungkai hanya dengan beberapa biji kurma dan air suam. Selepas selesai solat Maghrib, sekali lagi dia menaiki Viosnya menuju ke masjid yang berhampiran.

Setelah sampai di masjid tersebut, dengan segera Hami melangkah masuk ke bilik perempuan untuk menunaikan sembahyang jemaah bersama-sama yang lain. Selepas siap menunaikan solat Isya, kini giliran untuk solat Terawih pula.

Rak’aat pertama Terawih dimulakan. Surah Al-Fatihah dibacakan, kali ini oleh imam yang berbeza dari imam solat Isya tadi. Hami tersentak saat dia mendengar suara imam itu yang begitu membuai jiwa, sungguh merdu serta halus selembut angin yang bertiup pada malam itu. Satu perasaan pelik kini timbul dalam diri Hami, perasaan yang tidak pernah dirasakan seumur hidupnya. Hami serta-merta membeliakkan matanya, tersedar bahawa dia tidak khusyuk dalam solat. Lalu dia memulakan lagi sekali sembahyangnya itu dan memberikan perhatian sepenuhnya terhadap Terawih tersebut.

Begitulah rutin yang dilakukannya setiap hari sepanjang bulan Ramadhan ini.

Sekarang sudah masuk hari ke-lapan Ramadhan. Setelah selama seminggu berturut-turut mendengar suara imam Terawih yang memukau itu, Hami tahu dia tidak boleh berdiam lama. Dia tidak dapat kerap memikirkan tentang lelaki misteri tersebut, nanti takut-takut boleh membawa kepada zina hati. Mungkin ini masanya untuk dia memulakan hidup bersama seseorang, tambahan pula dirinya sudah memasuki usia alam perkahwinan.

Hami menampar kecil pipinya sendiri. Apa pula kahwin-kahwin ni? Astaghfirullah. Aku cuma nak tahu saja siapa imam tu, jiwanya berbisik. Dia sudah bertekad untuk berusaha mendapatkan maklumat tentang imam tersebut, paling-paling nama pun sudah cukup.

Apabila melangkah keluar dari bilik sembahyang perempuan, kebetulan Hami ternampak seorang budak lelaki berkening tebal lalu menghampirinya.

“Assalamu’alaikum dik,” sapa Hami, cuba menahan ketawa tatkala melihat reaksi budak itu yang tampak terperanjat dengan kehadirannya. “Ni nak tanya ya, adik tahu tak siapa yang selalu mengimamkan solat Terawih kat sini?”

Budak lelaki itu meneliti wajah Hami seolah-seolah berasa sangsi dengan soalan yang diajukan oleh gadis tersebut, namun dijawabnya juga. “Wa’alaikumussalam. Tahu. Nama dia Shah.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience