BAB 8

Romance Completed 14037

“Ambik pavlova itulah..”

“Oh.. esok! Nampak tak bukan main lagi dia nak bagi aku jemu tengok muka dia, baru hari ni ajak jumpa esok dah kena hadap muka dia lagi. Perh.. kawan lama siapalah ni..” aku kenyit mata pada Dayah sambil tersengih mengusik.

Dayah hadiahkan jelingan tajam pada aku sebab asyik kena perli sedang aku terus ke dapur untuk memulakan misi membuat pavlova.

Mula-mula aku asingkan empat biji telur putih dari telur kuningnya. Nak mengasingkan telur putih dengan telur kuning pun dah cukup rumit sebab kalau ada termasuk kuning telur hatta setitik pun boleh mempengaruhi tekstur maringue itu nanti, maka kat situ je aku dah habiskan masa selama lima minit.

Kemudiannya aku pukul empat biji putih telur tadi dengan mesin pemukul sampai dia kembang tahap berbuih-buih macam sabun sebelum aku masukkan pula gula castor dalam setengah cawan sedikit demi sedikit guna tangan kiri sambil aku pukul adunan tu guna mesin pengisar dengan tangan kanan sampailah dia jadi berkilat.

Phew.. kalaulah aku mampu beli stand mixer, tak payahlah aku perlu berpenat lelah memukul telur begini setiap kali nak buat kek. Oh, berhenti merungut! Langkah seterusnya, masukkan satu sudu tepung jagung, satu sudu esen vanilla, dan satu sudu cuka kemudian aku kacau sebati. Siap! Lepas ni boleh letak atas kertas pelapik dan bakar!

Bahagian paling best buat pavlova adalah ianya sangatlah mudah! Semudah aku mengenali Mikhael..

Oh Zuhayra Nasrin, kenapakah nama dia mesti terlintas di fikiran kau saat ini. Lupakan dia, lupakan!

30 minit kemudian..

“Arrghhhh…” aku terjerit di dapur di hadapan oven sambil memandang meringue aku tadi yang dah jadi perang kehitaman kerana terlebih bakar. Rasa macam nak menangis tengok hasil masakan aku jadi macam ni, kalau ini kali pertama, mungkin aku tak kecewa sangat tapi ini dah percubaan kali kedua dengan percubaan kali pertama pavlova aku menjadi dengan sangat sedap dan.. cantik! Bukan hangit macam ni.

“Kenapa? Kenapa?” Ina dan Dayah laju menerpa aku di dapur dengan muka panik sebelum Ina dapat mengenalpasti punca aku menjerit lalu bertanya, “Eay, apasal kek kau jadi macam ni?”

“Wuwuwu.. aku pun baru nak tanya kau, kenapa dia jadi macam ni?” soalku dalam tangisan yang dibuat-buat.

“Eh, kau yang buat kau nak tanya kitorang pulak? Boleh eh macam tu..” perli Dayah.

“Hukhuk.. aku rasa aku dah ikut sebiji-sebiji macam yang aku buat sebelum ni tapi kenapa yang ini tak menjadi pulak…”

“Sabar, sabar, tak jadi sekali boleh cuba lagi berkali-kali.” Ina mengurut belakang badanku, memujuk.

“Memanglah boleh buat lagi, tapi membazir tau, siapa yang nak makan dah hangit-hangit ni?”

“Siapa lagi, kaulah!” serentak Ina dan Dayah menjawab lalu cepat-cepat berlari semula ke rang hadapan meninggalkan aku dengan pavlova hangusku.

Aku bawa tray berisi pavlova hangit itu ke meja dan aku duduk menongkat dagu memandangnya. Serta merta ingatanku terfikirkan Mikhael lagi. Pavlova dan Mikhael memang tak dapat nak dipisahkan, nampak mudah tapi rumit untuk difahami.

Aku tarik nafas panjang sebelum aku bangun, dan memulakan semuanya sekali lagi. Mula-mula asingkan putih telur dan kuning telur…

*****

Dari jauh aku dah nampak Mikhael tersengih-sengih melihat aku yang sedang berjalan menuju ke arahnya sambil menatang kotak kek saiz sederhana. Pastilah dia senang hati bila permintaannya telah aku penuhi.

Kali ini kami berjanji untuk berjumpa di taman rekreasi seperti yang aku katakan sebelum ini aku dah tak mahu jumpa dengan dia di mana-mana kedai yang menjual makanan sebab nanti dia akan gunakan makan sebagai alasan untuk tak bagi aku balik awal.

“Uh uh uh.. tengok tu apa Ayra bawakkan untuk saya, wah.. baiknya dia.” Puji Mikhael sambil mengedipkan matanya berkali-kali macam budak perempuan gedik. Haish, mamat ni memang suka buat aku keliru samada nak bagi dia penampar atau nak senyum je.

“Tak payah nak mengada-ngada sangatlah, penat tau saya buat ni, sampai pukul dua pagi baru saya tidur.” Kataku, bukan nak minta belas kasihan, cuma nak dia faham lain kali aku tak mahu buatkan untuk dia dah.

“Dua pagi? Alolo.. kesiannya dia. Tak apa, nanti saya bagi upah sebab awak dah tolong buatkan.” Balasnya sambil tersenyum.

Kotak kek itu dia buka, dengan mata bersinar-sinar dia keluarkan pavlova dari dalam kotak itu dan dia letakkan di atas kotak kek. Senyuman masih tak lekang dari bibirnya. Ini bukan senyuman yang biasa aku lihat, senyuman dia kali ni nampak lain sikit.

Macam senyuman orang puas hati, macam teruja pun ada. Ini macam senyuman yang datang dari hati sampai buat dia langsung tak sedar dia telah tersenyum sejak dia mula-mula nampak aku tadi sehinggalah sekarang dia belum berhenti senyum sesaat pun!

Haih.. aku pula yang rasa sejuk hati tengok dia senyum macam ni, tengok cara dia pandang kek tu, tengok dia potong dan suap dalam mulut dia, tengok dia kesat krim yang tercalit kat tepi bibir dan jilat jari dia, tengok dia potong lagi sekeping dan terus sumbat masuk mulut dan makan, makan, makan sampai terlupa kat aku depan dia ni. Hem.. sedap sangat ke aku buat tu?

“Errmm.. dap nya. Pandai Ayra masak.” Puji dia sambil memasukkan buah kiwi dalam mulut dan jilat jarinya yang tercalit krim.

Tanpa dapat ditahan bibir aku tetap nak tersenyum. Suka!

“Ara nak e? amik ah..” katanya dengan mulut yang penuh sambil menunjuk ke arah kek itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience