BAB 1

Mystery Series 766

Kini, Kerajaan Makmur 1625

"W
AHAI Harun Yusuf, janganlah bersedih.
Segala sesuatu yang hilang darimu pasti akan kembali dalam bentuk yang lebih baik. Sekarang, pergilah sejauh mungkin dari sini, jangan toleh ke belakang. Tenang, aku akan baik-baik sahaja."

Air matanya mengalir perlahan membasahi pipinya tanpa disedari sambil mengusap kepala Harun yang masih keanak-anakan. Lelaki berusia 50-an itu pantas bergerak ke hadapan sambil memegang erat pedangnya sedia menebas musuh bila-bila masa. Kelibatnya makin pudar sehingga tidak kelihatan oleh mata Harun.

"Gu…guru…."

Suasana kampung pada malam itu sudah menjadi medan pertempuran yang bermandikan darah. Semua penduduk dibunuh dengan rakus dan kejam oleh para musuh. Kampung mula dibakar sehingga tiada apa yang tersisa.

Harun tidak berdaya bahkan suaranya tidak kedengaran masa itu. Harun terus melarikan diri tanpa menoleh ke belakang, takut akan musuh yang mungkin akan menyerangnya.

Dengan tidak semena-mena, satu anak panah berjaya menembusi leher Harun sehingga membuatkannya tersungkur jatuh menyembah bumi. "Allah…Allah…." Tidak terdaya Harun untuk mengucapkan sepatah perkataan. Usia yang masih kanak-kanak dihabisi dengan pertumpahan darah yang tragis bakal menghilangkan nyawanya. Penglihatannya mulai kabur, makin samar apa yang dilihatnya. Mungkin inilah rasa mati yang bakal dilalui semua makhluk yang bernyawa….

Terbeliak mata Harun setelah terjaga dari mimpinya. Mimpi yang dialaminya membuatkan dia gusar hati sehingga berpeluh wajahnya. "Alhamdulillah…hanya mimpi sahaja. Suasana itu masih menghantui aku." Nafas lega dihembus Harun sebaik sahaja melafazkan kesyukuran dek terkejutnya mimpi yang dialaminya. Matanya terus memandang luar jendela yang berada tepat di sebelah pembaringannya.

Suasana luar jendela masih malam bertemankan ribuan bintang menghiasi atap langit dan menerangi malam kota Makmur. Sesetengah bangunan kelihatan bercahaya, mungkin pemiliknya sedang terjaga seperti Harun saat ini. Harun terus bangun dari pembaringannya dan menuju ke anjung kamarnya untuk menghirup udara segar.

"Aku sudah agak yang engkau dah bangun waktu ini, Harun."
Pandangan Harun tertumpu kepada Klahan yang berada dibawah anjung kamarnya. Pemuda berambut sedikit kerinting itu sedang berkawal di perkarangan istana. Usianya sebaya dengan Harun dan kini menjadi pengawal di istana. Walaupun usia remaja, tubuh badannya lebih ulung dari orang dewasa dan mahir menggunakan istinggar dan pedang.

"Waktu-waktu begini Asla sudah bertenaga mencari makanan." Klahan mendongak kepala melihat helang hitam peliharaannya, Asla terbang bebas meluncuri langit pagi.

"Jangan lupa Harun, pagi ini ada perkara mustahak bakal berlaku di istana. Katanya ada utusan luar ke mari untuk melakukan rundingan dengan kita," kata Klahan sambil matanya melilau kawasan persekitaran. "Lagi dua jam lagi akan masuk waktu subuh, pasti engkau sudah bersiap menuju ke masjid bukan?" Pandangannya terus melihat ke arah anjung tetapi tiada kelibat Harun disana. Sudah bergerak Harun ini, fikir Klahan.

"Aku di hadapan engkau sekarang ini." Ujar Harun sambil menepuk bahu Klahan yang masih asyik melihat anjung bilik Harun lengkap berpakaian bersih. Harun sudah bersiap lengkap dengan pakaiannya yang sederhana untuk bergerak ke rumah suci.

"Aku akan ke masjid selepas ini, jaga diri baik-baik," sambung Harun lalu bergerak menuju ke masjid. Kelibat Harun sudah tidak kelihatan lagi oleh pandangan Klahan dan Klahan terus melaksanakan tanggungjawabnya selaku pengawal yang menjaga istana, sebelum masuknya waktu subuh.

Pagi subuh yang cukup hening, angin bayu lembut menyegarkan tubuh badan sesiapa yang tengah aktif semasa itu. Azan subuh mulai berkumandang untuk semua insan bernyawa menunaikan kewajiban yang menjadi tuntutan agama. Seruan azan yang penuh bersemangat memecahkan suasana subuh yang awalnya sepi tanpa sebarang bunyi. Masjid Besar Makmur yang bersebelahan dengan istana kerajaan mula dipenuhi oleh anak-anak Adam. Alhamdulillah, masjid seperti biasa dipenuhi dengan orang-orang untuk beribadah dan sujud kepada yang satu.

Seusai habisnya solat subuh, saujana mata memandang, kelihatan segerombolan manusia berjubah serba perang beserta puluhan ekor kuda membawa emas-emas menuju ke perkarangan istana. Banyaknya emas yang dibawa, menghasilkan kilauan yang benderang sehingga mampu terlihat dari jauh.

"Kami adalah utusan dari kerajaan Marzi telah mendapat undangan ke Makmur untuk melakukan rundingan dengan kalian, kerajaan Makmur. Izinkan kami bersemuka dengan pemimpin kalian," ujar salah seorang dari mereka yang terdiri dari 10 orang. Kedatangan utusan kerajaan Marzi mendapat sambutan yang baik bahkan disambut dengan meriah. Tuan Yazid, pemimpin utama kerajaan Makmur menampakkan dirinya di hadapan para utusan kerajaan Marzi.

"Akhirnya, sudah sekian lama, ini yang saya nantikan. Saya pemimpin kerajaan Makmur, Tuan Yazid Abdullah. Sila masuk ke dalam istana. Lupa pula, selamat datang ke kerajaan Makmur." Tuan Yazid memperkenalkan dirinya di hadapan para utusan dengan menyambut para utusan dengan senyuman sepenuh hati beserta mempelawa mereka memasuki istana untuk pembincangan yang bakal diadakan.

Suasana istana Makmur penuh dengan orang-orang istana yang menyambut ketibaan para utusan. Para pengawal berbaris dengan sejajar memberi penghormatan kepada mereka. Sudah lama orang luar tidak masuk ke istana. Pintu gerbang utama mula dibuka memaparkan suasana perkarangan istana yang memanjakan mata para utusan Marzi. Lantai diperbuat daripada marmar putih mutiara menghiasi permukaan istana sehingga mewujudkan pantulan, turus-turus batu bersalutkan zamrud mengukuhkan struktur istana ulung.

Corak-corak pada dinding berunsurkan kaligrafi bahasa Arab bertuliskan 99 nama Allah menunjukkan agama Islam sebagai tunjang utama. Para utusan tidak berkelip mata dek takjub dengan keindahan binaan istana Makmur. Kubah kuning besar dijadikan atap istana dan membuatkan mereka menganggap mereka memasuki kawasan masjid.

"Terlalu indah sehingga tidak mampu diungkapkan," teruja salah seorang dari para utusan yang bertubuh pendek dari yang lain yang masih asyik memanjakan matanya memerhatikan seni bina istana.

"Sebelum masuk ke istana, dari jauh sudah kelihatan dua bangunan sama besar dan sama gah berdiri bersebelahan. Ingatkan kedua-dua adalah istana, rupa-rupanya istana dan sebelahnya masjid. Bila lihat kawasan sekeliling, bangunan-bangunan lain dan rumah penduduk sejajar dan teratur. Hebat sungguh perancangan kota ini," sambung dia lagi yang matanya masih melilau ke kawasan luar.

"Terima kasih atas pujian tersebut. Ini semua hasil pemimpin-pemimpin terdahulu yang telah berjaya membangunkan kerajaan dengan baik. Saya masih menjadi penerus sahaja, masih tidak banyak perubahan berlaku buat masa ini," ujar Tuan Yazid dengan rendah diri, tidak mahu menerima pujian kerana itu semua adalah hasil orang-orang terdahulu.

Para utusan dan beberapa orang istana serta yang berjawatan tinggi masing-masing berkumpul dan duduk semeja di ruang makan istana. Kelihatan Harun turut serta bersama dengan orang-orang berjawatan tinggi. Harun duduk bersebelahan dengan Tuan Yazid yang bertentang mata dengan para utusan. Pelbagai hidangan berupa daging ayam dan kambing mula terhidang di atas meja, sedia untuk disantap.

"Ayuh, makan dahulu. Sebelum makan, saya akan memperkenalkan orang-orang saya. Di sebelah kanan saya ialah putera tunggal saya, Harun Yusuf. Saya masih tidak berkenan untuk berkeluarga buat masa ini, tetapi dia adalah anak angkat saya, yang saya sudah anggap sebagai putera kandung," jelas Tuan Yazid mengenai statusnya dengan Harun setelah memperkenalkan dirinya. Harun dengan wajah kosongnya cuba mengukir senyuman kepada para utusan agar kelihatan ramah pada mereka.

"Jadi, tuanlah orang selalu sebut sebagai pahlawan ulung Makmur! Tidak sangka tuan begitu muda," para utusan kelihatan riuh dan takjub apabila dapat mengenali sosok pahlawan ulung. Harun hanya mengangguk perlahan dan cuba memasang wajah yang ceria.

Salah seorang daripada para utusan yang bermisai nipis mula bersuara untuk memperkenalkan diri. "Salam sejahtera tuan, izinkan saya memperkenalkan diri. Saya Kampar Muda selaku ketua rombongan dan pada masa yang sama, saya ialah penasihat raja Marzi." Lalu berjabat tangan dengan Tuan Yazid dan yang lain.

"Di dalam rombongan ini juga, putera raja Marzi turut ikut serta. Namanya tuan putera Zain Shah. Kelihatan putera Tuan Yazid tampak lebih muda dari tuan putera Zain Shah." Zain Shah mula menyapa dan bersalaman dengan mereka dengan mesra.

Jelingan tajam Zain Shah memerhati sehabis baik tubuh gerangan Harun seperti mempunyai muslihat yang ingin dibuat terhadapnya. Apa yang difikirkannya hanya tuhan sahaja yang mengetahui.

"Sudah pasti. Harun baru berusia 21 tahun dan masih mentah lagi," tawa kecil Tuan Yazid sambil menepuk-nepuk bahu Harun layaknya jenaka seorang ayah dengan anaknya. Pandangan Harun mula bertentang mata dengan pangeran Zain Shah. Kedua-dua pemuda itu saling bertatap muka dan memasang senyuman layaknya seorang tetamu dengan tuan rumah.

Selang beberapa detik kemudian, suasana agak sunyi, tiada sesiapa yang masih menyentuh juadah yang terhidang. Kerlingan anak mata Tuan Yazid menatap setiap wajah para utusan seperti ingin menunggu salah seorang dari mereka bersuara dan matanya terus tertumpu ke arah Kampar Muda agar terus masuk ke perbincangan sebenar.

Wajah Kampar Muda dengan penuh keyakinan dan keberanian mula berucap mengenai matlamat sebenar. "Terima kasih kepada Tuan Yazid atas undangan kalian kepada kami. Kita akan memulakan perbincangan mengenai matlamat yang diusulkan oleh Tuan Yazid sendiri."

"Perkara ini juga akan memberi manfaat kepada kedua-dua kerajaan dalam tempoh masa panjang iaitu, kita akan melakukan rundingan untuk mewujudkan hubungan persahabatan antara kerajaan Marzi dan kerajaan Makmur."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience