20 tahun yang lalu...
Tiada apa yang lebih tenang selain dari mendengar deruan ombak di tepi pantai. Di tambah pula langit petang ini dihiasi dengan kemerahan teja petang. Kalau berdua dengan orang tersayang, pasti kita anggap inilah suasana romantik, membangkitkan nostalgia, terutamanya mereka yang bergelar pasangan kekasih.
Namun, dalam keindahan suasana ini, hanya hiba menyapa hati. Tiupan angin pantai memukul perlahan tubuh ini yang sedang duduk dibawah pohon. Saya menunduk sedih, air mata sudah lama berjujuran. Ingin sahaja mengesak sedu tetapi sedaya upaya saya cuba menahan. Tidak mahu si dia melihat saya begini.
Nasib ada bunyi kelompok burung, dapatlah saya menyembunyikan keseduan daripada jejaka yang duduk disebelah saya ini.
"Inas." Suara perlahan seorang lelaki memanggil saya. Ternyata dia perasan bahawa saya sedang menangis.
Saya menggeleng sungguh.
"Awak dah banyak kali kecewakan saya, Rafie. Saya dah tak tahu nak cakap macam mana lagi." Ujar saya sedih. Benar, dialah jejaka yang berada di sebelah saya. Jejaka yang sudah dikenali sejak dari darjah satu.
Saya yakin, mesti wajah bersalah yang terukir pada mukanya. Bersalah kerana sudah banyak kali dia memungkiri janjinya.
Tiba-tiba Rafie bangkit dari duduknya. Dia mara dua tapak ke hadapan sambil mengamati matahari terbenam yang menghiasi langit.
"Inas." Panggilannya itu membuatkan saya mendongak. Air mata yang mengalir diusap sedikit sebelum melihat tubuhnya yang membelakangi saya.
Tidak lama itu, dia menoleh dan menatap wajah ini. "Aku janji Inas. Aku berjanji akan kembali untukmu."
Itulah janji yang diucap oleh Rafie pada hari itu. Janji yang membuatkan saya teringat sehingga hari ini.
*****************************
Share this novel