" Alamak, aku sudah terlambat!" kata Cikgu Jun sambil bingkas bangun dari katil bujangnya. Dia terus meluru ke bilik air dan mandi ala-ala kerbau sahaja. Tidak sempat hendak bersabun kerana masa sudah menunjuk ke angka 7.00 pagi. Dalam kelam kabut itu pun sempat juga Cikgu Jun menunaikan solat Subuh.
Cikgu Jun mencapai baju kurung yang sudah siap sedia digantung di belakang pintu biliknya. Minyak wangi jenama Vampire-X pemberian adiknya yang baru pulang dari London disemburkan ke serata tubuh.
" Achummm!" Cikgu Jun terbersin apabila terhidu minyak wangi yang baru kali pertama digunakannya. Kalaulah bukan kerana dia tidak sempat bersabun,sudah tentulah dia tidak menggunakan minyak wangi dari luar negara itu.
" Kenapalah kawan-kawan serumah tidak kejutkan aku..." bebel Cikgu Jun lalu terus meluru ke muka pintu. Dia terus membuka pintu kereta dan menghidupkan enjin kereta kancil versi sembilan puluhan yang dibeli oleh ayahnya sebaik sampai di negeri Pahang untuk memudahkan Cikgu Jun pergi ke sekolah.
Sudah berapa kali kunci keretanya dipulas tetapi enjin keretanya masih juga tidak hidup-hidup. Membebel-bebel Cikgu Jun.
" Sakit betul hati aku, ketika aku hendak cepat inilah kereta antik ini buat hal. Itulah, salah aku juga sebab berkenan sangat dengan kereta ini. Kereta ini bukan secondhand lagi entah-entah sudah thirdhand ataupun forthhand!" kata Cikgu Jun sambil menumbul stereng keretanya dengan kedua-dua belah tangan. Pelik juga. Selepas ditumbuk, barulah enjin keretanya hidup dan tanpa melengahkan masa Cikgu Jun terus memandu Kerr destinasi.
Semasa memandu, hati Cikgu Jun tertanya-tanya sendirian. Banyak perkara yang muncul di benaknya. Dia risau dengan sambutan Puan Pengetua sekolah nanti. Dia juga risau untuk berhadapan buat kali pertama dengan murid-murid sekolah dan yang ketiga dia risau untuk berhadapan dengan guru-guru sekolah itu yang semestinya lebih senior daripadanya.
Sampai di pintu pagar sekolah, Cikgu Jun terus membelok keretanya memasuki pintu pagar sekolah. Tiba-tiba seorang pengawal keselamatan mengangkat taman sebagai isyarat tidak membenarkan Cikgu Jun masuk. Cepat-cepat Cikgu Jun menurunkan cermin keretanya. Dijengukkan kepala ke arah Pak Guard yang sedang berjalan ke menghampirinya. Tubuh Pak Guard yang kurus melengkung itu menghampirinya.
" Puan dari mana?" tanya Pak Guard yang di dadanya tersemat nama ' Leman '.
" Saya cikgu baru di sini encik..."
" Panggil saya Pak Man Guard, " kata Pak Guard itu tanpa segaris senyum pun terlukis di bibirnya.
" Mana surat?" tanya Pak Mn Guard dengan suara yang keras.
" Amboi, sombongya Pak Guard ni! Tengking-tengking aku pula,dia ingat aku ni mak cik kantin agaknya, " bebel Cikgu Jun di dalam hati.
" Surat apa Pak Man?" tanya Cikgu Jun.
" Aku sudah lambat ni, kena interview pula dengan Pak Guard ni, " hati Cikgu Jun merungut geram.
" Surat posting cikgulah. Kalau cikgu tidak tunjukkan surat itu,saya tidak boleh benarkan cikgu masuk, " kata Pak Man Guard dengan muka serius. Amboi, muka pun garang semacam. Tidak boleh kompromi langsung.
" Alamak, surat itu tertinggal di rumahlah Pak Man, esok sahajalah saya tunjukkan kapada Pak Man, " kata Cikgu Jun sambil menggaru-garu kepalanya.
" Tidak boleh, saya mahu tengok surat itu dahulu baru saya boleh benarkan cikgu masuk, " masih degil lagi nampaknya Pak Guard ini. Cikgu Jun mengetap bibirnya. Sudahlah terlambat bangun, sekarang kena bersoal jawab pula dengan Pak Man Guard yang cerewet.
" Okeylah...okeylah, saya balik ambil surat. Tetapi kalau Puan Pengetua marah sebab saya terlewat, saya kata Pak Man Guard yang tidak beri saya masuk, " amboi baru hari pertama sekolah sudah pandai ugut orang.
" Hah, pergi cepat! Nanti kalau sudah sampai, serah surat itu pada saya," kata Pak Man Guard tanpa mempedulikan ugutan Cikgu Jun. Terpaksalah Cikgu Jun memandu kereta kancilnya dan kembali semula ke rumah.
Dia masuk ke rumah dan terus menuju ke dalam bilik. Dua orang rakan serumahnya baru sahaja selesai mandi. Melihat Cikgu Jun keluar dari biliknya, barulah Maznah, salah seorang rakan serumahnya bertanya.
" Kenapa Jun, apa yang tertinggal?" tanya Maznah.
" Surat posting tertinggal. Bertuah betul Pak Guard di sekolah Dada Kering itu. Saya hendak masuk ke sekolah pun Dia tidak benarkan. Muka saya ini ada iras-iras perompakkah?" kata Cikgu Jun sambil berlari ke muka pintu. Seketika kemudian, Cikgu Jun menoleh rakan-rakan serumahnya yang mengekori langkahnya ke muka pintu.
" Eh, Maznah, Alia! Kamu berdua tidak kerjakah hari ini?" tanya Cikgu Jun.
" Kami berdua mengajar sebelah petang, " jawab Maznah dan Alia serentak.
" Oh, patutlah kamu berdua tidak kejutkan saya!" kata Cikgu Jun sambil menepuk dahinya. Cikgu Jun terus meluru ke arah keretanya, mujurlah kereta itu tidak meragam pada kali ini. Sikap kelam kabutnya membuatkan Cikgu Alia dan Cikgu Maznah tersenyum memandang.
Cikgu Jun memandu laju ke sekolah. Sampai di muka pintu pagar, dilihatnya Pak Man Guard tiada di kawasan itu. Apa lagi, dia pun terus memecut keretanya dan memarkir di bawah pokok sederet dengan kereta-kereta guru yang lain. Dia turun dari kereta sambil memandang ke kiri dan ke kanan. Setelah pasti yang Pak Man Guard tiada di situ, cepat-cepat Cikgu Jun mengatur langkah menuju ke Tapak Perhimpunan tempat murid-murid SMK Dada Kering berhimpun saban hari pada waktu pagi.
Sampai sahaja di tapak perhimpunan, Cikgu Jun kaget kerana semua mata memandang ke arahnya. Ketika itu Puan Pengetua sedang memberikan ucapan di hadapan murid-murid.
" Aduh, malunya! Kalau aku tahu, lebih baik aku terus masuk pejabat
tadi, " rungut Cikgu Jun lalu dengan selama mengatur langkah menaiki tenaga untuk ke pentas. Niat di hatinya untuk duduk bersama-sama dengan cikgu-cikgu lain di pentas.
" Bagus, dipersilakan cikgu baharu kita iaitu Cikgu Jun Atilia Jasmi untuk naik ke pentas dan memperkenalkan diri , " tiba-tiba Puan Pengetua menyebut namanya ketika itu. Wajah Cikgu Jun pucat tidak berdarah. Sudahlah terlambat, kena buat ucapan pula. Aduh... selepas ini apa lagilah yang akan dihadapinya. Jantung Cikgu Jun berdegup kencang ketika menghampiri rostrum dan ketika dia berdiri di samping Puan Pengetua. Hatinya tiba-tiba berbisik, " Seksanya jadi cikgu!"
Share this novel