BAB 7

Horror & Thriller Completed 2059

Benda ini terjadi kepada aku dari zaman aku bujang lagi. Dan hari ini ianya terjadi lagi, setelah aku 5 tahun bergelar isteri dan ibu kepada 2 anak, dan satu lagi di dalam rahimku yang bakal keluar tahun 2018 nanti.

Macam mana aku nak cerita, ya? Ianya bukan kerap, tapi berulang-ulang terjadi. Aku asyik mimpikan orang yang sama sejak beberapa tahun ni. Entahlah, kalian. Kadang-kadang aku terfikir adakah ini mainan syaitan untuk merosakkan rumahtangga aku? Tetapi ianya terjadi sejak aku bujang lagi. Dari sebelum aku mengenali suamiku lagi.

Dalam mimpi aku, akan hadir seorang jejaka. Manis senyuman dia, redup mata dia lagi-lagi bila dia merenung aku. Pandangan dia pada aku bukan pandangan nafsu, tapi pandangan kasih. Dia akan menghulur tangan dia pada aku, dan terkadang tanpa aku sedar dia sudah di sebelah dan menggenggam erat tangan aku, mengajak aku bersiar. Dan kebiasaannya, (ini yang selalu akan terjadi berulangkali sepanjang aku mimpikan dia) bila si dia akan mempelawa aku untuk bersiar, aku akan meminta diri untuk bersiap, dan dengan senyuman manisnya tanpa suara dia akan hanya mengangguk tanda setuju. Dan aku akan bersiap lama, sedangkan di hati aku membuak-buak rasa tidak sabar untuk aku menghabiskan masa dengan dia. Masa itulah akan adanya watak lain yang tiba-tiba membantu aku bersiap dan sebagainya. Memang lama. Aku jadi resah sepanjang bersiap. Selepas bersiap aku akan berlari ke luar rumah mencari dia, dan dia tiada. Dan diberitahu dia terpaksa berangkat pulang bersama keluarganya. Dan aku akan terdiam, termenung merasa sesal. Selepas begitu aku akan terjaga dari lenaku, disertai dengan azan/bacaan ayat2 alquran dari masjid.

Ya, plot ceritanya, dan kesudahannya selepas aku terjaga akan sama selama beberapa tahun ni. Alunan ayat alquran dari tv atau radio selepas terjaga, semua itu, sama. Aku mimpikan si dia tidak kerap. Boleh dikatakan setahun sekali atau dua kali. Yang pasti, si dia akan hadir bila aku 100% lupa pada si dia. Terkadang aku cuba paksa tidur untuk mimpikan si dia, tapi takkan pernah berjaya. Dan aku akan kecewa, kemudian akan berjaya melupakan. Setelah bertahun dia akan muncul. Dan begitulah seterusnya.

Senyuman dia wahai kalian… Redup mata dia tatkala merenung aku, jujur aku cakap aku jadi sayu dalam mimpi itu. Aku tak tahu kenapa. Seumpama perasaan seorang kekasih yang terpaksa melepaskan rasa secara terpaksa disebabkan telah dipunyai. Di dalam setiap mimpi yang berubahnya hanya status aku. Kalau semasa aku bujang, akan menampakkan aku bujang. Dan mimpi yang terkini, 5 Oktober 2017, sebelum Asar, turut ada dalam mimpi itu ialah anak2 aku. Tapi tidak suamiku. Tetapi si dia tetap sama dari awal aku mimpikan dia. Dia akan datang ke rumah keluarga aku bersama keluarga dia. Keluarga dia akan beramah mesra bersama keluargaku dan si dia akan mencari aku, di dapur, di halaman. Selalunya aku takkan menyedari, dan hanya tersedar bila tiba2 ternampak ada sesusuk tubuh sedang berada dihadapanku sambil tersenyum kasih. Dan aku tatkala itu akan terbuntang mata, seperti terkejut, seperti seronok dan sebagainya bagai kekasih yang sudah lama tidak berjumpa, kekasih yang dicintai yang tiba-tiba berada di depan mata. Sungguh, perasaan itu aku terasa seperti nyata hingga kini semasa aku menaipnya. Perasaan itu aku tahu bukan atas nafsu. Tapi rasa sayang yang teramat. Tapi itulah, hanya sekejapan cuma. Dan terjaganya aku, aku akan termenung sedikit sayu dan sedih. Sehinggalah berdikit2 aku akan lupakan dia dan tak akan aku ketahui bila si dia akan muncul kembali.

Oh ya, kalian nak tahu macam mana rupa si dia? Sebenarnya aku baru terperasan baru-baru ni, semasa baru aktif instagram. Ternampak ada satu wajah naik di wall aku. Aku berdebar-debar. Sungguh aku memang tidak tahu itu siapa. Selepas aku belek oh, ini profil milik seorang pelakon, sementelah dia bukan pelakon yang terkenal dan aku sendiri bukan jenis tengok tv. Rupanya serupa seperti aktor bernama Redza Minhat. Kalian kenal? Harap-harap jika isteri Redza terbaca dia tidak salah faham. Kerana aku cuma bercerita secara jujur apa yang aku alami. Ya, itulah rupa dan wajahnya. Senyuman dia, sama. Cuma dalam mimpi dia tiada beristeri. Aku yakin tentang itu.

Kalian, beri pendapat pada aku. Apa patut aku buat. Aku isteri yang bagiku bahagia dengan suami dan anak-anakku. Tetapi kenapa aku mimpi sebegitu? Mimpi yang berulang, yang sama bertahun-tahun. Perasaan, debar, akan terasa walaupun sudah bangkit dari lena itu. Aku solat, minta petunjuk. Tapi setakat ini tiada sebarang petunjuk. Entahlah.. aku taknak rasa ini menganggu aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience