Rate

Prolog

Fanfiction Series 1695

Bulan separa penuh menyinari langit gelap yang dihiasi bintang berkelipan. Kedua-duanya nampak indah - cahaya bulan meskipun adakalanya tenggelam dek kepulan awan namun apabila dikelilingi ratusan bintang, kecantikannya sangat memukau pandangan.

Seorang lelaki sedang merenung suasana itu dengan rasa cemburu dan terancam. Jubah emas bercampur putih berterbangan ditiup angin sepoi-sepoi bahasa, menambah kedinginan di malam hari tambahan dia sudah berada di beranda biliknya setengah jam lamanya.

Tiba-tiba daun pintu diketuk perlahan. Kedengaran seseorang sedang membuka dan menutupnya, kemudian derapan kaki semakin menghampiri.

"Bulan nampak secocok dengan bintang. Awak pun rasa begitu, kan?" Tanpa menoleh ke belakang, dia bertanya dengan renungan yang masih melekat pada pemandangan itu seolah dia tahu siapa yang berada di biliknya ketika ini. Tiada siapa yang berani masuk tanpa kebenarannya kecuali beberapa orang saja. Tetapi sekarang ini, hanya seoranh saja yang mampu berbuat demikian.

"Tuanku." Suara itu agak serius. Seperti suatu amaran.

Lelaki itu tersenyum seraya menggelengkan kepala. Sesiapa yang melihat pasti akan bersetuju. Kalau tidak takkan wujud perumpamaan 'Cantik seperti bulan dan bintang'? Tidak pula dia pernah mendengar pepatah 'Bersinar seperti bulan dan matahari'.

"Awak rasa perlukah saya menyerah?"

"Baekhyun."

Apabila namanya disebut, tahulah Baekhyun lelaki di belakangnya kini sedang menahan marah. Tiada apa yang dia mampu lakukan kini selain melepaskan keluhan panjang. Perlahan-lahan dia memusingkan badan, bertemu mata dengan lelaki tampan yang sentiasa berada di sisinya selama 21 tahun ini. Senyuman kelat terukir di bibir merah itu.

"Itu apa yang awak fikirkan," kata lelaki itu dengan nada tertekan. "Tapi apa yang ramalan saya tunjukkan berbeza."

Dua kening Baekhyun terjungkit penuh minat. Sudah agak lama lelaki itu tidak menyampaikan ramalannya. Kalau ada pun sesuatu yang membuatkan moodnya berubah menjadi buruk.

"Saya harap ia sesuatu yang baik kali ini," rungut Baekhyun beserta tawa kecil.

"Saya selalu memberi ramalan yang baik!" Bidas lelaki itu seperti berkecil hati. Bibirnya dimuncungkan menampakkan lagi kecomelannya.

Mengetahui lelaki itu terasa hati dengannya, Baekhyun segera mendapatkannya lantas memberi tepukan lembut di bahu. Dia tersengih seperti kerang busuk, sedaya upaya untuk menceriakan semula hati rakannya.

"Oh, Luhan! Awak tahu kan saya suka bergurau? Awaklah yang terbaik, takkan awak tak tahu tu?"

Mata coklat cair itu merenung tajam tingkah Baekhyun. "Saya tak rasa perkara ini sesuai untuk diguraukan," bidas Luhan tajam menyebabkan Baekhyun mengukir senyuman kelat.

"Ya, ya. Saya faham. Maaf sangat-sangat. Oh, awak beli baju baru?" Penampilan Luhan malam itu sangat berbeza. Selalunya lelaki itu hanya mengenakan pakaian santai tetapi kali ini lengkap dengan jubah seolah baru lepas mengadakan sesuatu upacara.

"Bukankah saya dah cakap saya baru terima ramalan baru? Apa yang awak fikirkan sekarang ni?" Luhan merungut sambil memicit kepalanya yang berdenyut dengan keletah Baekhyun. Adakala lelaki itu bersikap serius namun kebanyakan masanya suka bergurau.

"Saya ingatkan awak baru lepas pulang dari temu janji," jawab Baekhyun selamba.

"Baekhyun!" Luhan mengetap bibir. Rasa mahu ditumbuk wajah kacak itu namun sekarang bukan masa yang sesuai.

"Baiklah, saya berhenti bergurau." Senyuman mati di wajah Baekhyun lalu bertukar serius. Tidak lagi wajah rakan yang selalu bermain dengannya tapi riak seorang ketua.

Seorang raja.

Luhan menarik nafas panjang. Ramalan yang bakal diumumkannya ini akan mengubah segalanya. Dia tahu itu dan dapat rasakan. Sesuatu yang besar akan berlaku di tiga kerajaan ini. Baik atau buruk, dia tidak tahu. Tapi harapnya perkara yang baik itu akan dapat menenggelamkan segala unsur negatif.

"Saya dah jumpa 'dia'."

Baekhyun terpaku, tubuhnya mengeras dek kerana terlalu terkejut. Lambat-lambat baru dia menyoal kembali rakannya. Seperti apa yang didengarinya tadi adalah sebuah mimpi, bukannya kenyataan. Bibir yang kering dijilat kasar.

"A-awak yakin tentang itu? Kenapa selepas 21 tahun-"

"Rantai itu telah menemui tuannya," potong Luhan, sekaligus menjawab persoalan yang bermain di minda Baekhyun. "Saya dapat rasakan."

"Ah, saya hampir terlupa pasal rantai itu," gumam Baekhyun. "Jadi ini adalah berita baikkan?"

Namun Luhan tidak terus menjawab sebaliknya merenung Baekhyun penuh kerisauan.

"Ada apa yang saya perlu tahu? Oh-" Tiba-tiba sesuatu terlintas di mindanya. Mata Baekhyun mengecil penuh amaran. "Mereka mencarinya juga?"

Luhan mengangguk lesu. "Walaupun agak lemah, tapi saya dapat lihat benang perak dalam ramalan saya tadi. Ia milik Siwan."

Mendengatrkan sebaris nama itu, kemarahan Baekhyun terus meluap naik. Sesungguhnya dia benci mendengar nama itu. Tidak pernah sesaat hatinya tenang selepas mengetahui lelaki itu sudah menaiki takhta dan memerintah kerajaannya. Ia lebih awal dari dijangka. Hanya satu saja maksudnya bila lelaki itu sudah mengetahui.

Bahaya.

Baekhyun mundar-mandir di kamar biliknya, jarinya mengusap dagu tanda berfikir. Luhan yang berdiri terpaku di sisinya tidak diendahkan. Ia sepatutnya berita yang menggembirakan. Patut diraikan dan dikongsikan bersama rakyat jelata.

Namun disebabkan satu nama itu, semuanya musnah. Sudah tentu tidurnya tidak akan lena lagi selepas ini selagi 'dia' tidak ditemui.

"Baekhyun, apa kata awak arah saja mereka berdua pergi mencari?" cadang Luhan yang bingung melihat tingkah lelaki itu. Sekejap duduk, sekejap berdiri kemudiannya berjalan mengelilinginya. Naik pening dibuatnya!

Baekhyun tahu siapa yang Luhan maksudkan dan baginya, mereka adalah pilihan yang terakhir. Mereka ada tugas yang lebih penting daripada mencari orang yang sudah hilang 21 tahun lamanya.

"Pasti ada jalan lain lagi," Baekhyun menggumam untuk dirinya sendiri tapi didengar oleh Luhan.

Lelaki itu mendengus. Cara apa lagi yang mereka ada? "Sekarang ini musuh kita adalah Siwan dan awak pasti arif tentang dia. Kalau dia hantar sepasukan tenteranya untuk mencari, pasti bukan calang-calang orang. Jadi sebab itu kita perlu hantar mereka berdua-"

"Saya tahu itu!" bidas Baekhyun masih berdegil. "Tapi mereka ada tugas penting. Macam yang awak cakap tadi, sekarang ini adalah waktu yang genting. Kehilangan mereka berdua akan menganggu sistem pelindung kita!"

"Saya tahu apa yang awak risaukan, sebab itu saya dah buat persiapan," ujar Luhan lembut.

Mata Baekhyun membulat. "A-awak dah buat persiapan?"

Luhan mengangguk. "Saya dah siap semuanya. Awak jangan risau tentang itu. Apa yang awak perlu buat kini hanyalah keluarkan perintah."

Wajah suram Baekhyun bertukar ceria. Lega hatinya apabila mengetahui rakannya itu sudah memikirkan pelan sandaran. Dia menepuk belakang penuh bangga.

"Awak patut cakap tadi!" Baekhyun tersenyum kegembiraan. Halangan terbesar untuk rancangan itu sudah pun diselesaikan. Dia yakin mereka akan menemui si 'dia' lebih pantas daripada lelaki itu kerana orang yang bakap diperintahkannya ini bukan calang-calang orang.

"Ini adalah berita baik untuk kerajaan kita!" Tanpa menunggu lebih lama, Baekhyun sendiri berlari keluar ke kamar untuk mencari orang suruhannyta.

Luhan hanya mampu menggelengkan kepala melihat keletah kebudak-budakan Baekhyun. Bagaimana lelaki berusia 22 tahun itu boleh menjadi pemerintah kepada kerajaan terbesar di Planet Exo, Luhan tertanya-tanya. Tapi kerana sikap itu jugalah dia menjadi salah seorang rakyatnya meskipun terpaksa mengkhianati kerajaan sendiri.

Bulan yang terang dipandang Luhan dengan perasaan berbelah bagi. Kesedihan jelas terpamer di mata bundarnya. Sejujurnya, ada lagi ramalan yang sudah dilihatnya tadi namun tidak dikhabarkan kepada Baekhyun. Baginya itu bukan satu perkara yang baik.

Darah dan air mata.

Kesedihan, amarah, dendam dan benci.

Luhan dapat rasakan semuanya. Dari pandangan jauhnya, dia dapat melihat hanya sepintas lalu apa yang berlaku dalam masa terdekat ini dan dia sebenarnya takut.

Takut kejadian itu akan menjadi kenyataan.

Ada banyak benda yang terpaksa Luhan korbankan demi misi kali ini dan itu bukanlah perkara yang kecil. Sepanjang perjalanan ke kamar Baekhyun, banyak perkara yang dia pertimbangkan dan ambil kira. Namun semuanya masih menunjuk ke arah benda yang sama. Meskipun berat hati, dia terpaksa.

Bagi Luhan, kerajaan ini jauh lebih penting daripada segalanya.

"Harap masa depan ni nanti akan berubah."

A/N: Ada EXO-L kat sini? Cerita ni khas untuk korang! Hope korang suka fanfic pertama saya ni. Kalau nak view gambar, bolehlah ke dengan tajuk yang sama :) Maybe akan slow update tapi saya tetap akan tulis. Enjoy!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience