Rate

Untitled

Science Fiction Completed 276

Angkatan Tentera Permukaan Berperisai atau ATBP ditubuhkan setelah 50 tahun planet bumi menerima kehadiran makhuk asing penceroboh yang menjelma di sebalik kemunculan lelohong hitam di setiap bandar utama di seluruh dunia. Setelah kejatuhan pasukan pertahanan utama dalam negara, cadangan daripada Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu menjadikan program ATBP sebagai inisiatif baru manusia untuk memberikan tentangan kepada musuh umat manusia yang digelarkan sebagai Kriptid. Apatah lagi, setelah kejatuhan setiap negara akibat serangan Kriptid umat manusia terpaksa membina penempatan bawah tanah sebagai ikhtiar meneruskan kelangsungan hidup. Kononnya kehadiran Kriptid ke bumi adalah dengan tujuan mengambil alih Bumi menggantikan planet mereka yang merupakan sebuah bintang terletak jauh di angkasa serta semakin mati dan tertarik dengan sisa buangan radiasi yang dihasilkan oleh tenaga nuklear. Namun tiada siapa yang dapat mengesahkan kebenaran fakta tersebut kerana lebih memberikan tumpuan kepada kelangsungan hidup mereka yang semakin sukar.

*****

Mereka yang terpilih untuk menganggotai ATBP bertanggungjawab untuk mengawal mana-mana Kota Permukaan iaitu KP yang bukan sahaja menjadi pintu masuk kepada penempatan bawah tanah tetapi turut menjadi benteng awal mengatasi pencerobohan Kriptid daripada memusnahkan kehidupan manusia. Tugas berat melindungi KP ini digalas oleh Komander Azhar yang turut mengetuai pasukan ATBP di KP-Juang. Matanya tidak lekang memerhatikan suasana di luar KP menggunakan binokular dan kadang-kala memeriksa radar kawalan yang akan menunjukkan isyarat kedatangan Kriptid.

"Komander Azhar." Dia memandang sekilas di sebelahnya sebelum menyambung memerhatikan kawasan sekeliling KP-Juang. "Laporan Kapten Sidek." Ujar Azhar pendek.

"Laporan daripada Profesor Abu di Makmal Pangkalan tentang Projek Militer-14. Prototaip itu telah berjaya disiapkan sepenuhnya, Komander." Lapor Kapten Sidek. Azhar segera memandang tepat wajah Kapten Sidek tanpa berkelip. Kapten Sidek yang terkejut dengan kelakukan Azhar hanya terdiam menanti arahan daripadanya.

"Adakah itu yang dilaporkan oleh Profesor Abu kepada kamu? Setahu saya projek itu masih ada beberapa bulan sahaja lagi untuk disiapkan." Beritahu Azhar kepada kaptennya.

Ini kerana sumber yang sesuai menjadi tenaga utama bagi menggerakkan prototaip tersebut sukar untuk dijumpai seterusnya memerlukan sedikit masa bagi projek itu berjaya. Tetapi pihak makmal tidak melaporkan apakah jenis sumber bahan bakar yang mereka gunakan.

"Betul, Komander. Itu yang Prof Abu beritahu saya." Katanya sambil memberikan kertas laporan kepada Azhar untuk diteliti. Selepas membaca laporan tersebut, dia segera memanggil orang kanannya.

"Latif, kau ambil alih tempat aku. Aku nak ke makmal jumpa Prof Abu kejap." Leftenan Latif yang baru sahaja melangkah masuk Bilik Utama hanya mengangguk sebelum segera mengambil tempat duduk di kerusi milik Komander Azhar.

*****

Setelah memakai Sut Tempur Berperisai atau STB dengan bantuan Kapten Sidek, Komander Azhar segera bergerak menuju ke makmal dengan beberapa anggota. Namun perjalanan mereka tergendala apabila dikejutkan dengan siren amaran sebelum berlaku beberapa letupan berdekatan sehingga menyebabkan mereka tercampak beberapa meter. Sedang dia berusaha untuk bangkit, Penderia STB memberi amaran serangan haba menghampiri kedudukannya dan mengelak dengan segera. Sebaik sahaja dia mengelak, dia dapat melihat bagaimana kedudukannya sebelum itu telah disambar api yang sangat marak. Haba panasnya dapat dirasai walaupun dia berada sekitar beberapa meter daripada tempat tersebut.

Dia cuba menghubungi Leftenan Latif berkaitan situasi yang mereka hadapi sementara memeriksa keadaan di sekeliling dan berlindung disebalik bangunan. Dapat dilihat puluhan Kriptid mula menguasai ruang udara sambil melancarkan serangan berbentuk cecair panas yang merah membara.

"Komander Azhar kepada Markas...Komander Azhar kepada Markas, Balas."

Dia cuba menghubungi markas beberapa kali tetapi hanya mendapat isyarat statik. Jeritan orang awam yang keliru dan ketakutan dapat didengari diiringi dengan bunyi letupan akibat serangan Kriptid yang tidak putus-putus. Kelihatan beberapa anggota yang mengiringinya sebentar tadi terdampar tidak bernyawa dengan anggota badan mereka yang terbakar. Hanya beberapa orang sahaja yang terselamat dan berlindung bersama dengannya. Sesekali mereka menembak Kriptid yang menerawang di udara sementara Azhar masih berusaha untuk menghubungi anggotanya di markas.

"Azhar...Kom...Har...Kas...Las..." Terdengar sayup suara Leftenan Latif di telinganya. Dia segera membetulkan frekuensi untuk mendengar dengan lebih jelas. Bunyi nyaring kedengaran menandakan isyarat mula diterima.

"Markas, ini Komander Azhar. Berikan laporan situasi. Balas." Sambil memeriksa senjata yang dibawanya masih berfungsi dengan baik atau tidak sebelum diacukan kepada kawanan Kriptid yang bertebaran di udara.

"Komander, Markas telah mengaktifkan sistem pertahanan KP-Juang dan unit AI Tempur "Rafik" untuk memberikan ruang kepada orang awam bersembunyi di Bunker bawah tanah serta membantu anggota ATBP mempertahankan KP-Juang. Balas" Lapor Leftenan Latif kepada Azhar. Beberapa pegawai dan staf di Bilik Utama bertungkus-lumus memberikan arahan kepada anggota tentera serta mengawasi orang awam daripada ancaman Kriptid.

"Bagaimana dengan situasi Kriptid?"

"Jumlah mereka semakin meningkat, Komander. Mereka datang daripada ruang lelohong yang muncul 700 meter tepat di atas KP-Juang. 300 buah unit AI-Tempur Rafik telah dihantar untuk memintas pergerakan musuh di ruangan udara. Balas"

"Bagus. Maklumkan kepada saya sekiranya ada apa-apa yang berlaku. Hantarkan beberapa unit Rafik untuk iringi saya ke makmal. Arahkan juga Kapten Sidek untuk mengawal pintu masuk makmal untuk saya. Balas."

"Baik, Komander. Markas tamat."

*****

Ketibaan mereka disambut oleh beberapa infantri sebelum diiringi memasuki makmal sementara pasukan Kapten Sidek yang lain sibuk mengawasi dan saling berbalas serangan dengan Kriptid yang berlegar di udara. Azhar dapat melihat sekitar lima belas ekor bangkai Kriptid di sekitar makmal terutama di kawasan pintu masuk sehingga menimbulkan perasaan kurang senang.

"Di mana Kapten Sidek? Apa yang berlaku di sini?" Tanya Azhar kepada askar di sebelahnya setelah melihat keadaan koridor makmal yang agak huru-hara serta beberapa mayat dipercayai staf makmal dan juga pengawal yang telah ditutupi dengan kot makmal. Mayat mereka yang terbunuh telah dikumpulkan di satu ruangan di satu bilik. Begitu juga beberapa bangkai Kriptid yang telah dikumpulkan di bilik yang berasingan serta kesan tembakan di sekitar dinding koridor.

"Kriptid telah berjaya menceroboh makmal dan membunuh staf yang bertugas pada waktu itu sewaktu kami tiba di makmal. Pertempuran yang sengit terus berlaku. Kapten arahkan kami untuk segera selesaikan semua Kriptid yang mengawal di luar bila terdengar bunyi tembakan daripada dalam makmal.

Setelah musuh berjaya ditumpaskan, kami segera berpecah untuk memburu kriptid dan mencari staf yang masih hidup dalam makmal sebelum kumpulan yang dipimpin Kapten Sidek terserempak dengan beberapa ekor Kriptid di Makmal Lima Unggas yang cuba untuk mengambil beberapa teras nuklear." Jelas askar tersebut dengan panjang lebar sementara Azhar memberikan sepenuh perhatian.

"Teras nuklear? Kamu betul-betul pasti itu adalah teras nuklear?" Desak Azhar lagi meminta kepastian. Penerangan itu memberikan kejutan sehingga menghentikan langkahnya sebelum Azhar memakukan matanya kepada askar di sebelahnya. Mereka yang lain agak terkejut melihat reaksi komander mereka sehingga menyebabkan askar yang memberi laporan berpeluh dingin.

"Benar, Komander. Kapten Sidek dan beberapa anggota terpaksa bergelut sebelum berjaya membunuh musuh secara berhadapan. Malah, kapten juga memberikan amaran agar kami tidak melepaskan sebarang tembakan sewaktu mereka bergelut walaupun dia sendiri tercedera. Kapten Sidek sedang menerima rawatan di makmal pada waktu ini." Seorang anggota lagi menjawab. "Kami juga sempat selamatkan beberapa staf termasuk ketua Makmal Pangkalan, Profesor Abu." Tambahnya lagi.

Azhar segera menggelangkan kepala sebelum meneruskan perjalanan. Anggota yang lain merasa hairan sebelum mengikuti komander mereka. Salah seorang di antara mereka sempat melontarkan soalan kepada Azhar sewaktu mereka semakin menghampiri makmal. "Maaf, Komander. Kenapa komander nampak kurang senang dengan laporan kami?" Azhar hanya melepaskan keluhan sebelum bersuara.

"Saya cuma kurang senang dengan teras nuklear yang kamu sebutkan."

"Kenapa, Komander? Teras nuklear tu apa sebenarnya?" Soal seorang lagi.

"Untuk makluman kamu semua, nuklear adalah antara sumber tenaga yang kita gunakan dahulu sebelum kedatangan Kriptid di bumi setengah abad yang lalu. Walaupun tenaga yang dihasilkan oleh nuklear adalah lebih bersih berbanding sumber bahan bakar pada waktu itu tetapi hasil daripada sisa buangan nuklear sukar untuk diurus dan memakan kos yang agak mahal serta masa yang agak lama untuk terurai. Malah, kesan radiasinya juga agak kuat sehingga boleh menyebabkan sel genetik manusia menjadi mutasi serta mencacatkan fizikal kalau terdedah untuk tempoh yang lama sebelum penggunaan nuklear ini dihadkan kepada beberapa kawasan tertentu." Terang Azhar secara ringkas. Mereka yang mendengar hanya memandang antara satu sama yang lain.

"Adakah nuklear juga boleh menjadi senjata bagi manusia, Komander?" Soal askar yang bertanya sebentar tadi. Azhar tidak terus menjawab untuk beberapa ketika dan membiarkan suasana senyap mengiringi perjalanan mereka ke makmal.

Sebelum menapak masuk ke dalam makmal untuk melihat keadaan Kapten Sidek, Komander Azhar segera menjawab persoalan soldadu tersebut "Nuklear boleh menjadi senjata untuk manusia menentang Kriptid seterusnya menyelamatkan umat manusia. Tetapi, sekiranya digunakan oleh tangan yang salah dan menginginkan kekuasaaan ia juga boleh menjadi asbab kesengsaraan yang lebih teruk untuk umat manusia lebih daripada Kriptid sendiri." Mereka hanya berdiam diri sebelum mendekati Kapten Sidek untuk bertanya lebih lanjut berkaitan hal tersebut.

Kapten Sidek hanya tersenyum kecil sebelum menjawab, "Benar apa yang dikatakan oleh Komander. Generasi kamu mungkin tidak mengetahui mengenai hal ini kerana pengetahuan mengenai kewujudan nuklear adalah satu perkara yang terlarang untuk beberapa tahun sebelum Kriptid tiba di bumi. Hanya generasi kami sahaja yang mengetahuinya. Dan teras nuklear itu tak sepatutnya berada di pangkalan kita." Mereka yang mendengar penjelasan lanjut daripada Kapten Sidek hanya mampu terdiam kaku sebelum mengalihkan pandangan mata mereka ke arah di mana komander mereka sedang berada.

*****

Prof Abu hanya duduk berteleku berdekatan dinding mengenang nyawanya yang hampir melayang sewaktu makmal diceroboh oleh Kriptid sebelum kehadiran Azhar menghentikan lamunannya. Sebaik sahaja dia mengangkat kepala, wajah tidak berpuas hati Komander Azhar terhidang dimatanya.

"Beritahu saya perkara yang sebenar Profesor. Saya tahu projek ini adalah projek persenjataan prototaip rahsia dan saya bertanggungjawab untuk memastikan segala kelengkapan serta keselamatan para petugas makmal termasuk prof untuk projek ini berjaya." Ucapan Azhar memecahkan kesunyian yang panjang diantara mereka berdua setelah beberapa ketika. Nada suaranya yang ditekan menyebabkan Prof Abu tertelan air liurnya sendiri.

"Tapi saya tak dimaklumkan oleh pihak makmal serta pihak atasan mengenai kehadiran teras nuklear di pangkalan saya. Ini dah melanggar perjanjian antarabangsa tentang tindakan pihak tentera memiliki teras nuklear untuk digunakan sebagai persenjataan. Malah, kehadiran orang awam di sini juga akan menjadi satu liabiliti sekiranya terjadi sebarang kemungkinan buruk yang dicetuskan oleh nuklear di sini." Azhar hanya berpeluk tubuh sambil menantikan jawapan daripada Prof Abu.

"Pihak atasan tetap berkeras untuk menggunakan teras nuklear tu, Komander Azhar." Tegas Prof Abu. Mereka saling menatap mata buat detik yang lama sebelum Prof Abu melepaskan keluhan dan bersuara, "Mereka tetap berkeras walaupun kehadiran teras nuklear seakan menjemput kehadiran Kriptid itu sendiri ke KP-Juang. Kedatangan Kriptid ke makmal juga adalah jelas untuk mengambil teras nuklear tersebut."

Suasana dalam makmal kembali hening sebelum Azhar tiba-tiba menerpa ke arah Prof Abu dan mengangkat tubuhnya agar kembali berdiri. "Dalam laporan Prof, protaip tu dah boleh diaktifkan serta berupaya untuk terbang bukan?" Tanya Azhar meminta kepastian.

"Ya, benar. Kami dah pastikannya semalam." Jawab Prof Abu. Azhar hanya tersenyum mendengar jawapan tersebut.

"Dan Kriptid tertarik dengan radiasi teras nuklear itu, kan?" Prof hanya menganggukkan kepalanya. Senyuman Ahzar mula melebar sebelum melihat ke arah prototaip tersebut. "Apa yang kamu..." Prof Abu tersentak seperti menyedari sesuatu sebelum memandang ke arah yang sama.

"Saya ada perancangan untuk tutup lohong dan bawa Kriptid tu jauh daripada sini, Prof" Jelas Azhar sambil melepaskan professor dengan segera. Prof Abu membetulkan kotnya yang kusut dan berdiri bersebelahan Komander Azhar. "Kalau macam tu, kita kena cepat sebelum Kriptid membanjiri KP-Juang tak lama lagi."

*****

Situasi di sekitar KP Juang agak kelam kabut. Jeritan tentera meraung kesakitan silih berganti dengan ngauman Kriptid kedengaran di sana sini. Pertahanan anti udara sibuk melepaskan peluru berpandu serta memuntahkan ribuan peluru tidak bermata ke langit. Puluhan Kriptid jatuh berguguran ke bumi sementara yang lain ligat mengelak sambil melancarkan cecair berapi ke permukaan.

Kelihatan seorang askar yang cedera parah sedang merangkak mencari tempat untuk berlindung. Dibelakangnya terdapat Kriptid yang baru mendarat berhampiran dengan kuku yang panjang terhunus dan mampu merobek STB dengan mudah sambil membuka rahang di wajahnya dengan luas sehingga mengalirkan air liur ke bumi.

Kriptid itu baru sahaja ingin membenamkan kukunya ke tubuh askar tersebut sebelum terhenti apabila sesungutnya bergerak-gerak seperti mengesan sesuatu. Sesuatu yang mereka cari di KP-Juang saat ini.

Beberapa ekor Kriptid berhampiran yang baru sahaja selesai menyelongkar sebuah rumah turut mengesan sesuatu sebelum makhluk tersebut dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat. Sebuah objek yang tidak dikenali meluncur laju ke udara daripada sebuah bangunan yang dikawal oleh sekumpulan tentera dan unit Rafik. Sesungut di kepala mereka bergetar dengan hebat untuk beberapa detik mengesan kesan radiasi yang hasil daripada pembakaran tenaga daripada teras nuklear di dalam Prototaip-XXX yang terbang semakin tinggi.

Malah, kawanan kriptid yang terbang bebas diudara turut berhenti bergerak sementara sesungut mereka turut bergetar hebat. Melihatkan kepada peluang yang ada, semua infantri dan unit Rafik melepaskan tembakan secara rambang begitu juga dengan sistem pertahanan KP-Juang.

Walaupun ada di antara mereka yang gugur ke tanah, Kriptid-Kriptid tersebut hanya kaku sebelum segera mengikut jejak Prototaip-XXX sementara diikuti oleh ratusan makhluk Kriptid yang berada di permukaan. Mereka seakan terpukau melihat kesan radiasi yang dihasilkan oleh Prototaip-XXX tanpa menyedari prototaip tersebut sedang menuju ke arah lohong hitam.

Kumpulan infantri dan unit Rafik yang masih terselamat dalam serangan tersebut hanya mampu melihat suasana langit yang memayungi KP Juang menjadi gelap kerana dipenuhi oleh kawanan Kriptid mula beransur menunjukkan wajah langit petang yang sebenar kerana makhluk Kriptid tersebut mula berundur memasuki lohong hitam yang menjadi pintu masuk mereka dengan sangat pantas.

Sebaik sahaja kriptid yang terakhir memasuki pintu masuk tersebut, seluruh manusia dan unit Rafik yang berada di KP Juang dapat mendengar sebuah letupan yang sangat kuat datang daripada lohong hitam yang tertutup perlahan-lahan disamping merasai gegaran yang sangat kuat berasal daripada sebalik lohong hitam tersebut.

Di dalam makmal, Profesor Abu dan Komander Azhar menyaksikan segala yang terjadi bermula dengan pelancaran Prototaip-XXX ke udara sebelum diikuti oleh kawanan Kriptid sebelum berakhir dengan penutupan lohong hitam tersebut. Setelah beberapa ketika lohong tertutup dan suasana dipenuhi dengan kegembiraan namun kehilangan Prototaip-XXX sedikit menggusarkan Prof Abu.

Melihatkan keadaan Profesor Abu, Azhar segera bersuara, "Jangan risau, Prof. Saya sendiri yang akan berikan penjelasan kepada pihak atasan. Lagipun, saya ada perkara yang nak disampaikan kepada mereka semua nanti. Saya akan pastikan perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi." Tegas Komander Azhar sebelum berlalu pergi meninggalkan Prof Abu.

***TAMAT***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience