SIAPA MENGGANGGU RISA

Horror & Thriller Series 805

Assalamualaikum...

*******

Kisah kali ini menceritakan tentang gangguan yang pernah dihadapi oleh sepupu aku, Risa (bukan nama sebenar). Risa sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak perempuan yang comel.

Sejak dari kecil lagi Risa sudah boleh melihat dan merasa kewujudan makhluk halus. Ada yang kata ia adalah satu "kelebihan". Tapi bagi Risa, ianya sesuatu yang sangat memenatkan dan menyesakkan jiwa.

Bermacam gangguan yang dia pernah alami. Tetapi gangguan yang paling teruk adalah setelah dia mendirikan rumah tangga dan berpindah ke Selangor.

Kata Risa, dia dan suami sepakat untuk menyewa rumah di kawasan Bukit Cheras. Yang duduk dekat kawasan tu mesti tahu kawasan Bukit Cheras ni 'keras'. Ada bermacam jenis kisah seram yang boleh didengar.

Rumah yang mereka sewa ni adalah apartment tiga bilik. Cukup selesa untuk mereka berdua.

Semasa baru berpindah ke situ, Risa sudah dapat rasakan aura yang tidak enak. Dia boleh rasa macam ada yang memerhati dari segenap sudut. Tapi bila dia tengok sekililing, tiada apa-apa pun.

Selang beberapa hari, dia mula bermimpi ngeri. Dalam mimpi tu, dia sedang menyusukan seorang bayi kecil dan tidak semena-mena Risa akan menangis di dalam tidur. Pelik. Dia sendiri tidak faham apa maksud mimpi tu. Tapi yang pasti, itu adalah tanda-tanda awal gangguan yang bakal dia alami.

Sejak dari mimpi itu, dia akan selalu terdengar bisikan-bisikan halus yang memanggil namanya.

"Risa.." pendek je. Tapi aku yang dengar dia bercerita pun dah meremang.

Adakalanya pula, 'benda' tu akan mendengus di telinga Risa seperti sedang menahan amarah.

Bukan itu saja, bunyi perempuan mengilai pun dia pernah dengar. Masa tu dah tengah malam. Dia dan suami sedang menonton televisyen. Tengah seronok melayan cerita, dia dengar ada bunyi perempuan mengilai. Jauh je bunyi tu.

Orang dulu-dulu kata, kalau bunyi tu jauh, maknanya 'benda' tu dekat sangat. Tapi nasib baiklah ada suami dia kat sebelah.

Si Risa ni pun tanya lah kat suami dia, "Abang dengar tak tadi ada perempuan mengilai?" Suami dia pun buat bodoh je. Sebab dia tahu bini dia boleh rasa 'benda' tu.

Semua gangguan yang Risa alami dekat rumah tu bagi dia biasa je. Kerana selagi 'benda' tu tak menampakkan dirinya, dia masih boleh bersabar. Yang penting, sentiasa ingat pada Allah.

Sampailah pada satu hari, waktu tu dah senja. Mungkin sekitar jam 6.40 petang, Risa sedang tidur di dalam bilik. Tapi bukan di atas katil. Dia sekadar tidur-tidur ayam di depan pintu bilik untuk hilangkan penat. Dekat pintu bilik tu, ada langsir yang terpasang.

Dalam beberapa minit lepas tu, dia rasa macam ada sesuatu dekat muka dia. Macam rambut. Dia pun cuba alihkan benda tu dari muka dia, tapi tak berjaya. Bila dia buka saja mata, dia terus berteriak semahunya.

"Arghhhhhhh!!!" bergema rumah itu dengan suara Risa.

"Siapa kau?! Jangan kacau aku! Pergi!!!"

Risa dah macam orang histeria. Meracau-racau sampai langsir kat pintu tu tercabut dek tarikan Risa. Suami dia yang ada dekat rumah masa tu pun cuba nak tenangkan dia.

Dah nampak Risa bertenang sedikit, suami dia pun menghubungi seorang ustaz untuk datang merawat.

Masa sesi berubat, ustaz tu tanya, "Apa yang awak nampak?"

"Saya nampak, ada 'cik pon' sedang berdiri disebelah saya. Betul-betul di tepi badan saya. Dia sedang menunduk memandang ke arah saya. Rambutnya panjang mengurai sampai menjalar ke wajah saya. Sebab tu saya teriak. Saya betul-betul terkejut, ustaz."

Aku ada juga tanya macam mana rupa cik pon tu. Tapi Risa kata dia pun tak boleh bayangkan macam mana buruk wajah cik pon tu. Lagipun, wajah makhluk itu sedikit terhalang dek rambutnya yang panjang mengurai.

Selepas daripada kejadian itu, Risa mula sering mengalami gangguan. Adakala dia akan terdengar bunyi cakaran, bunyi benda jatuh dan sebagainya. Lama juga gangguan tu berlaku. Sehinggalah dia melahirkan anak sulungnya, Nini (bukan nama sebenar).

Semasa Nini dalam lingkungan usia empat atau lima tahun, dia sering dilihat bercakap atau melambai-lambai pada seseorang. Tapi tiada sesiapun di situ melainkan Risa dan anaknya.

Risa sendiri boleh rasakan kehadiran makhluk-makhluk tu, tapi dia tak nampak. Kadang-kala Risa sengaja bergurau dan bertanya kepada anaknya, di mana 'benda' tu berada. Nini pun akan jawab dengan selamba..

"Tu kat atas almari.."

"Tu kat belakang pintu..."

"Kakak tu berdiri dekat tingkap.."

Bila dengar je mulut polos itu menjawab, Risa sendiri yang merasa seram. Tapi selagi benda tu tak kacau anak dia, dia masih boleh berkompromi.

Pada suatu malam tu, Risa sekali lagi mengalami histeria. Dia meracau-racau seperti orang gila. Ustaz yang datang untuk mengubati pun buntu. Hampir lima orang terpaksa memegang tangan Risa.

Kuat benar tenaganya. Macam tengah pegang sepuluh orang dewasa. Ustaz yang mengubati Risa cakap, dalam badan dia ada lima 'benda' yang menumpang. Semua taknak keluar. Katanya, mereka sayang pada Risa. Sampai macam tu sekali.

Bila ditanya dari mana asal usulnya, ada yang kata datang dari tempat asal Risa. 'Benda' tu ikut sampai ke rumah baru dia. Jenuh juga ustaz tu nak keluarkan satu persatu sebab semua degil. Alhamdulillah, walaupun lama berubat, 'benda-benda' tu berjaya dikeluarkan.

Tapi ada satu kejadian yang Risa cerita padaku yang membuatkan aku meremang seluruh badan.

Katanya, masa tu dia dan suaminya menghantar makcik kepada suaminya ke lapangan terbang. Setibanya di sana, mereka pun pergi ke ruangan menunggu sementara menanti waktu penerbangan.

Sedang Risa berborak dengan makcik itu, dia tiba-tiba merasa seram sejuk. Spontan dia menoleh ke kiri dan dia terkejut melihat ada seorang anak kecil sedang berdiri disebelahnya sambil menggenggam tangannya.

Berderau darah dia masa tu. Tapi mungkin kerana naluri seorang ibu menginjak masuk, automatik Risa memandang sekeliling risau kalau-kalau ada ibu bapa yang kehilangan anak.

Tapi apabila dia pandang semula, anak kecil tadi sudahpun hilang begitu saja. Risa pun tanya pada suaminya sama ada dia turut ternampak anak kecil itu. Tapi suaminya langsung tidak nampak.

Risa pun pelik. Siapa budak tu? Dah lah mukanya pucat. Budak tu hanya pandang ke hadapan dengan pandangan yang kosong. Usianya mungkin sekitar tujuh tahun dan pakaiannya pula berwarna hitam.

Risa yakin dia sedang diganggu. Tapi dia bersyukur bahawa gangguan itu hanya setakat itu sahaja. Maunya budak tu ikut sampai ke rumah, boleh histeria lagi sekali.

Kini, keadaan sepupuku semakin beransur pulih. Masih ada gangguan-gangguan kecil. Tapi tidaklah seteruk dahulu. Mungkin kerana hijabnya sudahpun ditutup. Begitu juga anak perempuannya Nini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience