ABD 37: DEMI LORA

Romance Completed 1572856

MIYA melangkah masuk ke dalam kondo yang telah sebulan dia tinggalkan. Tidak sangka dia akan kembali semula ke rumah ini. Mata melilau, melihat rumah yang pernah didiami selama hampir setahun. Tidak ada yang berubah. Semua masih sama. Bunga lili yang selalu menjadi penghias mata saat melangkah masuk juga kelihatan masih segar. Mungkin baru diganti. Dulu, dia akan mengganti jambangan lili itu tiga hari sekali. Terasa tenang dan sejuk mata saat mata dijamu dengan bunga berwarna putih itu sebaik sahaja pintu dikuak.

Menutup pintu, Miya menarik bagasinya menuju ke bilik. Lama dia menggenggam kenop pintu tanpa membukanya. Banyak kenangan dia dan Adrian di dalam bilik itu. Meskipun pernikahan mereka hanya berlandaskan kepentingan peribadi semata-mata, tetapi kehidupan yang mereka jalani tidaklah terlalu pahit. Sekali-sekala ada juga manisnya. Dia ingat. Dia ingat semuanya. Pahit dan manis. Namun, kemanisan yang pernah dikecap bagai duri yang menusuk setiap liang tubuhnya mengenang perbuatan Adrian yang membunuh janinnya yang tidak berdosa. Membuat rasa benci semakin tidak terbendung.

Sejenak merapatkan kelopak matanya, nafas ditarik sebelum dihembus perlahan. Membuka semula mata, kenop ditarik lalu daun pintu dikuak. Dibawa langkah memasuki bilik yang menyimpan banyak kenangan itu. Kembali terbayang di ruang mata ketika kali menjejak kaki ke bilik ini setahun yang lalu. Bagaimana dia takjub dengan bilik yang keluasannya hampir sama dengan apartment yang disewanya. Benar-benar mewah dan mengagumkan. Malah masih dia ingat malam perkahwinannya dengan Adrian yang kekok, tetapi dilalui dengan manis. Ya, dengan perkenalan singkat, berkahwin setelah dua kali bertemu, dia boleh simpulkan malam perkahwinannya berlalu dengan manis. Adrian seorang suami yang lembut dan penuh pengertian. Memperlakukannya dengan sangat lembut dan berhati-hati. Tidak hanya menomborkan satukan nafsunya semata-mata, tetap bertimbang rasa dengannya yang kali pertama melaluinya ketika itu.

Ah, dia bencikan Adrian, tetapi kenapa fikirannya terus memutarkan kenangan manis dengan lelaki itu? Apa ini sindrom pasca perceraian?

Membuang nafas, Miya bersandar pada pintu. Perkahwinan tanpa cinta yang hanya dijalani setahun pun sudah terasa begitu sesak, bagaimana dengan perkahwinan berpuluh tahun yang bersulam cinta dan bahagia? Tentu sedihnya menikam sehingga ke dasar hati.

Tidak mahu terus berlarut-larut dengan kenangan itu, Miya melangkah ke walk-in closet, untuk menyusun pakaiannya. Kata Adrian, petang ini dia akan menghantar Lora.

Saat satu kaki melangkah masuk ke dalam ruang pakaian itu, sekali lagi semuanya bagaikan déjà vu saat dia melihat masih banyak kemeja-kemeja Adrian di dalam sana. Sama seperti yang dirasakannya saat kali pertama menjejakkan kaki ke bilik ini. Berdebar-debar dan tertanya-tanya, namun situasi sudah berbeza.

Apa Adrian berhasrat mahu tinggal di sini juga?

Ah, tidak mungkin. Adrian sudah berjanji tidak akan menunjukkan muka di depannya, dan dia yakin Adrian adalah seorang lelaki yang dia boleh pegang janjinya. Di mana Adrian mahu tinggal, dan apa alasan yang dia berikan kepada Lora, Miya malas mengambil peduli. Lagi pula, dia dan Adrian bukan lagi suami isteri. Tidak pantas untuk mereka tinggal di dalam rumah yang sama.

Miya membuka bagasi lalu mengeluarkan semua pakaiannya dan disusun kemas di dalam ruang yang sama seperti dahulu.

LOCENG pintu berbunyi bertepatan dengan Miya yang baru selesai mengemas pakaiannya. Mengatur langkah ke pintu, dia menarik nafas dalam dan menghembusnya perlahan. Berusaha mengatur ekspresi wajahnya untuk berdepan dengan Lora, barulah dia membuka pintu.

Tercegat Lora sendirian dengan satu beg sandang dan sebuah bagasi kecil.

“Omma!” Lora segera menerpa lalu memeluk dan meneggelamkan wajahnya pada perut Miya.

Miya bertinggung, mensejajarkan ketinggiannya dengan Lora sambil matanya melilau mencari kelibat Adrian. Namun dia tidak melihat lelaki itu di mana-mana. Mungkin dia beredar setelah menghantar Lora. Benar-benar lelaki itu mengotakan janji untuk tidak menunjukkan muka di depannya.

“Omma…I miss you so much.”

Suara Lora itu segera mengalihkan fokus Miya yang masih melilau. Dipandang Lora sebelum perlahan senyum terbit di wajahnya.

“Omma pun rindu Lora jugak,” ujar Miya lalu menarik Lora ke dalam pelukannya.

Hangat terasa mengalir ke seluruh relung hati saat merasakan tangan kecil Lora membalas pelukannya erat. Benar-benar dia terasa seperti disayangi dan dirindui oleh seorang anak.

“Omma jangan macam ni lagi. I love atok mama, I love nenna, but I love you more. I want to stay with you,” ujar Lora tanpa melepaskan pelukannya.

Miya diam tidak membalas, namun tangannya mengusap belakang kepala Lora. Dia tidak mahu berjanji apa-apa, kerana dia hanya akan tinggal di kondo ini sehingga habis iddah sahaja. Selepas itu dia akan pergi. Pergi dari rumah ini, dan pergi dari hidup Adrian dan Lora. Dia tidak nampak peluang untuk kembali kepada Adrian kerana hatinya sudah terlanjur benci.

Adrian nampak menyesal, namun kekesalan tentu tidak lebih hanya kerana Lora. Adrian mahu dia bertahan demi Lora dan dia juga melakukannya demi Lora. Kasihan memang. Tindakan mementingkan diri oleh dia dan Adrian menjadikan Lora mangsa keadaan tanpa mereka sedar. Lora terlalu polos untuk mengerti apa yang berlaku antara dia dan Adrian. Dia yang menabur kasih kepada anak itu dengan harapan tempoh setahun akan berlalu dengan tenang. Tetapi berkesudahan dia dan Lora seperti terikat antara satu sama lain.

Adrian menikahinya demi Lora dan sekarang Lora menjadi sebab untuk dia kembali ke rumah ini.

Dia sendiri bingung bagaimana mahu meninggalkan Lora setelah habis iddah. Bagaimana dia mahu membuat Lora faham akan situasi yang berlaku antara dia dan Adrian? Bagaimana nanti jika Lora bertanya kenapa daddynya tidak tinggal bersama mereka?

Entahlah. Dia belum punya jawapan dan penyelesaian untuk semua persoalan itu.

NAMUN sepertinya ketakutan Miya itu tidak berlaku apabila Lora sedikit pun tidak bertanya tentang daddynya. Ketika makan malam, ketika menemani Lora tidur, anak itu sedikit pun tidak menyinggung tentang daddynya yang tidak ada bersama mereka membuat Miya lega. Jujurnya andai Lora bertanya, dia masih tidak punya jawapan untuk diberi. Mungkin dia hanya akan memberi alasan klise seperti ‘daddy sibuk’, ‘daddy out station’, atau ‘daddy ada business trip’, walaupun dia tahu alasan itu tidak selamanya akan diterima oleh Lora.

Saat bersarapan keesokan paginya, Miya tertunggu-tunggu juga jika Lora akan bertanya tentang Adrian, namun tidak ada. Anak itu tetap bersarapan seperti biasa; bercerita tentang kawan-kawannya, guru-gurunya, aktiviti sekolahnya, seolah-olah ketiadaan Adrian bersama mereka tidak langsung mengganggunya. Miya lega tentunya, walaupun tidak dinafi dia tertanya-tanya.

“Omma, I’m finish.”

Suara Lora itu mematikan lamunan Miya. Dipandang pinggan Lora yang sudah kosong dan susunya yang sudah licin.

“Good girl.” Miya bangun, berniat mahu mengemas dan meletakkan bekas makan Lora ke dalam sinki, namun anak itu terlebih dahulu berdiri.

“Let me do it,” ujar Lora lalu mengambil pinggan dan cawannya.

Tersenyum Miya dengan tingkah Lora itu. “Thank you, Lora.”

“Daddy kata omma tak boleh buat kerja banyak-banyak. Lora kena tolong omma, tak boleh buat omma penat.”

Terkedu sejenak Miya saat Lora menyebut tentang daddynya. Terkebil-kebil dia memandang anak itu meletakkan pinggan dan cawannya yang telah digunakan ke dalam sinki.

“Tapi Lora tak pandai cuci.”

“Tak apa. Biar omma cuci. Check your school bag. Make sure buku, stationery semua cukup,” ujar Miya sambil melangkah ke sinki. Bekas makan Lora tadi dicuci sebelum diletakkan di rak pengering.

“I’ve checked it. Semua cukup.”

“Good.” Miya mengelap tangannya sebelum melangkah ke ruang tamu, mengambil beg tangannya sebelum memimpin tangan Lora. Sama-sama melangkah keluar menuju ke lif, Lora tidak berhenti bercerita tentang apa yang dilakukannya selama sebulan berulang-alik antara rumah PS Bethanie dan Datin Fauziah. Miya hanya mendengar sambil sesekali merespon.

Sampai di tempat letak kereta, Akram sudah menunggu di depan pintu lif. Mengangguk sedikit menyapa Miya, dia menghulurkan tangan ke arah Lora yang lantas disambut oleh anak itu.

“Bye omma. See you tonight.” Mengikuti langkah Akram, Lora toleh lalu melambai ke arah Miya.

“Bye.” Miya membalas lambaian itu. Tersenyum, langkah Lora menuju ke kereta diekori dengan anak matanya. Setelah Lora selamat masuk ke kereta, barulah dia menuju ke keretanya.

DARI dalam kereta, Adrian memerhatikan langkah Miya. Senyuman Miya saat melambai pada Lora, tanpa sedar turut membuat dia tersenyum.

“Hai daddy?” sapa Lora sebaik sahaja masuk ke tempat duduk belakang.

“Hai. How’s your night with omma?”

“Great.”

Adrian tersenyum mendengar jawapan Lora. “Take care of omma on behalf of me, okay?”

Lora mengangguk senang.

“Thank you.”

MIYA baru pulang dari memantau penggambaran iklan untuk pelancaran koleksi kerongsang dan ring tudung, kolaborasi antara DayMond Jewels dengan sebuah syarikat pengeluar tudung, ketika dia berpapasan dengan Adrian dan Eryna yang baru keluar dari kereta di depan lobi pejabat.

Tanpa melirik, apatah lagi menegur, dia membawa langkahnya menuju ke lif. Hafiz yang menemaninya, mengangguk sedikit ke arah Adrian dan Eryna, sebelum bersaing dengan Miya di depan lif.

Membuang nafas, Adrian melangkah perlahan menuju ke lif eksekutif diikuti oleh Eryna.

“Hai Miya,” sapa Eryna. sambil tersenyum ramah.

Tiada jawapan. Memandang saja tidak. Hafiz yang berdiri di sebelah Miya pula jadi tidak enak. Toleh sedikit, dia menghadiahkan senyum nipis pada Eryna sebelum dia menjeling Miya yang keras sahaja wajahnya tanpa sebarang ekspresi.

Adrian hanya memandang. Miya ternyata tidak berselindung jika dia membenci seseorang. Malah Eryna juga turut terpalit dengan kebencian itu.

Pintu lif terbuka, Miya melangkah masuk tanpa menoleh atau melirik ke arah Adrian. Lurus tatapannya ke depan dengan wajah datar.

“Once I removed a person from my life, jangan kata nak tengok dia, dengar nama dia pun saya tak nak, let alone say his name.”

“I’m a vengeful and I won’t forgive easily. So don’t make me hate you.”

Sepanjang malam Adrian memutar kata-kata Miya suatu ketika dulu membuat dia tidak dapat melelapkan mata walau sepicing pun. Mengingat nasib Adam dan Iqmal, dia benar-benar takut jika tidak ada ruang kemaafan lagi buatnya.

“You’ll be an ex husband. Of course your rank is higher than the ex boyfriends.”

Mengingat kata-kata Miya yang satu itu, tidak dinafi seperti memberi sedikit harapan kepadanya.

Ya, jika bekas teman lelaki tidak diberi peluang kemaafan, bekas suami tentu boleh bukan? Kerana rankingnya lebih tinggi berbanding bekas teman lelaki.

“SO, how’s Lora after you divorced Miya? Is she okay?” tanya Eryna sambil memerhatikan Adrian yang sedang fokus pada skrin Macbooknya.

“Okay.” Adrian menjawab singkat.

Eryna tersenyum. “Sekejap je setahun kan? Tapi Miya looks unhappy. Is she sad about the divorce?”

“Nope.”

“Really? But her expressions didn’t show that.”

Tiada jawapan. Adrian nampak begitu fokus dan tidak mempedulikannya.

“I perempuan, Adrian. I faham perasaan dia. Setahun, dia ada seseorang yang ambil berat tentang dia, yang sediakan rumah, kereta, duit, untuk dia. Bila terpaksa berpisah, mesti dia sedih. You shouldn’t divorce her la. Just keep going with this marriage and be happy. Lora, family you, family Dahlia pun suka Miya kan?”

Kali ini Adrian mengalihkan fokusnya dari Macbook ke wajah Eryna. “You don’t know what’s going on in her life, so don’t speculate. Dia sedih bukan sebab sekarang dia dah tak ada suami yang boleh bagi dia rumah, kereta atau duit. She sad because she lost the baby.”

“Oh…” Eryna tertawa perlahan. “…I’m sorry. I ingat dia sedih sebab bercerai.”

“She isn’t just sad. She hates me and she hates you.” Reaksi Miya saat disapa Eryna tadi tidak menipu. Miya bencikan Eryna. Dia pernah melihat bagaimana layanan Miya pada orang dibencinya, jadi dia tahu benar reaksi itu.

“What? Why? Dia yang setuju tandatangan perjanjian tu, dia yang setuju cerai selepas setahun, kenapa sekarang dia nak benci kita?”

Adrian bersandar pada tempat duduknya lalu menyilangkan tangan ke dada. “Itu yang I hairan.”

“Right? She should move on with her life.”

“Miya takkan membenci tanpa sebab.”

“Sebab dia tak puas hati you ceraikan dia? She wants to be your wife forever and replaced Dahlia. Kalau tak, kenapa dia marah sangat? Kenapa dia tak nak rumah dan duit tu? And kenapa dia mengandung?”

“Exactly. And she supposed to only hate me. Tapi kenapa dia benci you? Apa yang you dah buat pada dia?”

Eryna angkat bahu. “Mana I tahu. Mungkin dia benci sebab I PA you. Dia benci semua orang yang berkait dengan you.”

“But she didn’t hate Lora.”

Eryna tertawa. “Come on, Adrian. Lora alat untuk dia kembali pada you. Takkan you tak nampak?”

Adrian diam. Tidak membalas. Menegakkan tubuh, dia kembali meneliti agenda dan perkara berbangkit untuk mesyuarat sebentar lagi.

“Rujuklah dengan dia, Adrian. I tak sukalah nak bermusuh atau bermasam muka dengan sesiapa. Tak salah kan bagi peluang pada dia dan pada diri you sendiri. Build a happy family with Lora and your future kids. I dengar ramai je yang boleh mengandung even ada slipped disc.”

Kata-kata Eryna itu sejenak membuat fokus Adrian terganggu. Lama dia menatap skrin Macbook tanpa mengangkat muka atau berkata apa-apa.

ADRIAN melangkah ke bilik mesyuarat bersama Eryna lima minit sebelum mesyuarat bermula. Mesyuarat bulanan yang diadakan pada Isnin pertama setiap bulan untuk mendengar laporan setiap jabatan.

Sebaik melabuhkan duduk di hujung meja, matanya terus melingas ke arah tempat duduk Miya. Ada Miya di sana, sedang berbincang dengan Adam sambil menaip sesuatu pada Macbooknya. Tidak ada riak bermakna pada wajah Miya saat berbicara dengan Adam. Tidak ada senyum, apatah lagi gurau senda. Bahasa tubuhnya juga biasa sahaja. Namun entah mengapa dia tetap dibakar cemburu.

“Shall we start now?” tanya Eryna apabila melihat Adrian tidak lepas dari memandang Miya.

“Oh…yeah…” Adrian mengangguk cepat lantas mengalihkan tatapannya dari Miya.

Jabatan kewangan memulakan laporan mereka, diikuti oleh Jabatan Sumber Manusia, Jabatan Rekaan, sebelum Jabatan Pemasaran.

“Good afternoon everyone. Untuk bahagian pemasaran, kami telah melakukan analisis trend pasaran semasa and we found out that inflasi yang sedang berlaku dalam negara telah menggalakkan orang ramai untuk menyimpan emas. So, we have discussed this with department of production to produce our own gold bars and gold wafers. Thus, we not only encourage customers to buy gold as mere jewelry, we also encourage them to make an investment.”

“What’s the different between gold bar and gold wafer?” tanya Adrian.

“Paling ketara dari segi bentuk. Gold bar bentuk segi empat tepat, gold wafer bentuk bulat. Macam syiling. Dan kami bercadang untuk release gold wafer pertama DayMond Jewels sempena hari merdeka nanti. Kita boleh cetak gambar monument atau bangunan-bangunan bersejarah dan jual dalam kuantiti dan waktu terhad sahaja, bermula 16 Ogos hingga 16 September. Dengan cara ni kita boleh wujudkan keinginan membeli yang tinggi dalam kalangan pelanggan berikutan mereka hanya ada masa yang terhad to get the National Day collection.”

Adrian memanggut-manggut. Perancangan yang baik. Dia sendiri pun tidak pernah terfikir tentang gold bar dan gold wafer sebelum ini kerana fikirnya DayMond Jewels hanya fokus kepada aksesori sahaja.

“Next is…Kolaborasi DayMond Jewels dengan syarikat pengeluar tudung Eshawl. Pagi tadi saya baru observe penggambaran iklan untuk launching kerongsang dan ring tudung keluaran DayMond Jewels serentak dengan koleksi terbaru Eshawl bulan depan.”

Tiada senyuman, wajah serius, intonasinya juga terdengar agak keras, namun tetap tidak menghilangkan keayuannya. Cuma wajahnya yang masam berkerut itu membuat tidak hanya pengurus lain, malah Adrian juga kecut perut. Seperti tidak ikhlas saja bercakap dan membuat pembentangan.

“Last, before I finish my report, let me show you the latest Daymond’s newsletter. Baru selesai proses editing dan akan mula diedarkan kepada pelanggan yang subscribed hujung minggu ni.”

Miya kembali duduk, sementara Adam menayangkan newsletter terbaru DayMond Jewels. Adrian mengekori pergerakan Miya dengan ekor matanya, tidak mahu terlalu ketara menampakkan perhatiannya terhadap Miya sehingga disedari oleh staf lain. Ya, walaupun semua sudah tahu pernikahannya dengan Miya, namun tiada sesiapa tahu mereka sudah sah bercerai.

“Okay, any questions?” tanya Miya sebaik sahaja Adam selesai menayangkan newsletter terbaru mereka.

“Tak berani nak tanya,” ujar Zahid; mencetuskan beberapa tawa halus daripada beberapa pengurus yang lain.

Adrian melirik Miya. Tidak menunjukkan sebarang reaksi dengan seloroh Zahid. Serius wajahnya menggeser skrin Macbook tanpa mempedulikan sesiapa. Adam yang kelihatan bertanya atau berkata sesuatu kepadanya juga hanya dilayan seadanya. Kalau tidak mengangguk, menggeleng.

“Okay, next is Sales Department,” ujar Adrian, tidak mahu melengahkan masa.

Zahid bangun membentangkan laporannya diikuti oleh tiga jabatan lain sebelum mesyuarat itu selesai sejam kemudian.

Menunggu semua pengurus dan penolong masing-masing keluar dari bilik mesyuarat, Adrian terus memerhatikan Miya sehingga bayang bekas isterinya itu hilang dari pandangan.

“Pergilah kejar dia, Adrian,” ujar Eryna. “Do something to get her back. Takkan you nak terus biarkan dia dengan rasa benci tu.”

Tidak menjawab, Adrian bangun lalu keluar dari bilik mesyuarat membuat Eryna mendengus sebal.

.
. .

PULANG dari pejabat, Miya bergegas pulang ke rumah. Sejak kembali ke kondo seminggu lalu, Akram akan menunggunya di tempat letak kereta untuk menghantar Lora.

Laju dia membawa langkahnya saat melihat Akram membukakan pintu kereta untuk Lora sebelum anak itu berlari ke arahnya.

“Omma!”

Miya mendepangkan tangan sebelum Lora menerpa ke dalam pelukannya.

“Dah lama tunggu?” tanya Miya.

Lora menggeleng.

“Come. Malam ni nak makan apa?”

“Burito with crispy chicken and green salad.”

“Okay.”

Berpimpin tangan, mereka melangkah menuju ke lif sebelum suara Akram menahan langkah Miya. Toleh, dia melihat Akram berlari-lari anak ke arahnya sambil menjinjit beberapa beg plastik.

“Ada barang dapur yang Encik Adrian mintak saya beli,” ujar Akram sambil mengangkat sedikit beg plastik di tangannya.

“Oh…Thanks,” ujar Miya sambil menghulurkan tangan untuk mengambil plastik itu.

“Tak apa. Saya hantar sampai atas. Berat ni.”

Miya akur. Lagipun sikap Akram yang pendiam dan serius itu membuat Miya juga malas bercakap banyak.

Sampai ke kondo, tanpa melangkah masuk, Akran hanya meletakkan plastik-plastik itu di tepi pintu sebelum berlalu tanpa berkata apa-apa.

“Lora tolong omma,” ujar Lora lalu menarik sebuah plastik menuju ke dapur.

Miya tertawa. “Lora, jangan tarik macam tu nanti rosak barang kat dalam.

“Tapi berat.”

“Biar omma bawak.”

“Tak nak. I want to help you.”

“Kalau macam tu, keluarkan barang tu satu-satu dari plastik, then bawak ke dapur.”

“Okay.” Lora bertinggung. Mengeluarkan dua kotak whipping cream sebelum berlari ke dapur. Tidak lama kemudian, dia kembali lagi. Mengambil dua tin sos spageti dan sos karbonara lalu berlari ke dapur. Berulang-alik sehingga habis seplastik barang itu dipunggah ke dapur.

Miya tersenyum sambil menggeleng. Bersungguh-sungguh Lora membantunya.

“Daddy kata omma tak boleh buat kerja banyak-banyak. Lora kena tolong omma, tak boleh buat omma penat.”

Tidak semena-mena kata-kata Lora seminggu lalu kembali terngiang membuat keluhan panjang lolos dari bibirnya.

AKRAM kembali ke kereta usai menghantar barang ke kondo majikannya. Tidak segera memandu keluar, matanya melirik Adrian di tempat duduk belakang melalui cermin pandang belakang.

“Saya kahwin dengan Miya kerana Lora.” Adrian tiba-tiba bersuara dengan tatapan dilempar jauh ke luar. “Dan sekarang awak tengok…Tuhan tunaikan hajat saya. Lora boleh hidup tanpa saya, tapi tak boleh berpisah dengan Miya. Padahal dia anak saya.” Bukan Adrian cemburu dengan kedekatan Miya dan Lora. Apatah lagi terkilan. Cuma dia berasa seolah-olah ditertawakan oleh takdir hidupnya sendiri. Niatnya mahu mempertahankan Lora dengan menikahi Miya. Alih-alih sekarang, Lora berjaya dia lepaskan daripada keluarga Dahlia, tetapi terikat pula dengan Miya yang cuma ibu tiri.

“Saya fikir, setahun ni akan berlalu dengan mudah. Kahwin dengan Miya, yakinkan keluarga Dahlia, dapat jaga Lora tanpa perebutan daripada keluarga Dahlia, dan lepas tu bercerai. Saya tak sangka, menceraikan Miya akan buat hidup saya berantakan lebih dari apa yang saya lalui selepas Dahlia meninggal.”

“Pokok pangkalnya ikhlas tuan. Puan Miya ikhlas sayangkan Lora sebab tu Lora pun sayangkan dia. Dia pun mungkin ikhlas menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri, sebab tu tuan macam…” Akram terdiam. Tidak tahu istilah apa yang sesuai untuk menggambarkan keadaan Adrian. Mahu dikata gila talak, terasa terlalu kejam pula. Angau? Boleh jadi. Tetapi tidak mungkinlah dia melontarkan kata-kata seperti itu kepada majikannya.

“Macam apa Akram?”

“Macam…entahlah. Kalau saya boleh kata…” Otak Akram masih ligat berfikir sehingga satu perkataan terlintas di otaknya. “…frust.”

Adrian mengeluh. “Memang saya frust, Akram.” Kecewa luar biasa yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Malah, kata benci yang keluar dari mulut Miya benar-benar membuat dirinya terasa kerdil sehingga dia takut untuk bersemuka atau merayu Miya untuk kembali kepadanya. Dia rasa dirinya tidak layak.

"Tuan kena ikhlaskan kepergian arwah Dahlia. Bukan bermakna tak ada lagi cinta ataupun sayang, tapi kita reda. Bila kita reda, Allah akan mendatangkan sesuatu yang lebih baik untuk menggantikan kekecewaan kita itu."

Adrian diam. Menyandarkan kepada pada tempat duduk, dia masih memandang tempat Miya berdiri menunggu Lora beberapa minit lalu. Sudah tiada Miya di situ, tetapi dia bagai ternampak-nampak bayangnya.

"Jangan sampai cinta kita pada manusia mengatasi rasa cinta kita pada Allah. Kita merancang. Allah juga merancang, tapi perancangan Allah itu lebih baik. Allah sudah menetapkan jodoh tuan dengan arwah Dahlia hanya setakat itu sahaja."

Adrian masih membisu, tetapi telinganya mendengar setiap bait kata yang diucapkan oleh Akram.

"Tuan sayang arwah Dahlia, tapi tuan tak sedar ada orang lain yang lebih sayangkan tuan. Puan Sri, Tan Sri, Lora, keluarga tuan. Terlalu meratapi orang yang dah tak ada, sampai tuan lupa menghargai sesuatu atau seseorang yang masih ada dengan tuan."

Setitis air mata Adrian jatuh. Fikirannya menerawang kepada Miya. Wanita baik yang sering kali dia sakiti dengan kata-kata dan perbuatannya.

Benar, dia mengahwini Miya tanpa rasa cinta, tetapi tidak seharusnya dia terus-terusan menyakiti Miya, sedangkan Miya tidak pernah menyakitinya dan Lora; Sentiasa berusaha menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Benar kata Akram, Miya ikhlas menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu. Mungkin disebabkan itu, dia dan Lora tidak mampu meneruskan hidup tanpa Miya.

“Gunakan tempoh iddah ni tuan untuk berbaik,” ujar Akram.

Tiada jawapan. Hanya keluhan yang dia dengar dari mulut Adrian.

“Mengeluh takkan selesaikan apa-apa tuan. Rujuk di tangan suami. Buatlah sesuatu,” ujarnya lagi walaupun kata-katanya tadi tidak mendapat tanggapan daripada Adrian. Dia tidak pernah mencampuri urusan majikannya sebelum ini, tetapi terlanjur Adrian meluah, dan setiap hari pula melihat Adrian seperti orang putus asa memandang Miya dari jauh, tidak salah rasanya jika dia menyuarakan pendapat.

“Betul. Rujuk di tangan suami. Tapi saya nak buat dengan kerelaan dia. Saya tak nak paksa dia, Akram. Saya menang, saya dapat dia semula, tapi dia macam mana? Cukuplah setahun dia terluka dengan semua perbuatan saya.”

“Semua orang layak dapat peluang kedua tuan. Puan Miya pun orang yang baik. Kalau tuan bersungguh-sungguh pujuk dia, lambat laun lembutlah hati dia.”

“Thanks Akram. Saya akan usaha tapi dua minggu ni saya nak bagi dia masa. Dia masih sedih, kecewa, benci, marah dengan saya lagi. Biar dia bertenang dulu.”

Tiada balasan lagi daripada Akram. Menarik gear, dia mula memandu keluar dari tempat letak kereta kondo itu.

.
. .

MIYA memandang kad jemputan untuk majlis makan malam tahunan DayMond Jewels yang baru diterimanya beberapa minit tadi. Makan malam tahunan itu merupakan acara tahunan dan dia tidak pernah terlepas menghadirinya. Namun bezanya kali ini dia dijemput sebagai isteri Adrian. Bermakna, dia perlu hadir bersama Adrian.

Disimpan kad itu di dalam laci sebelum dia bersandar pada tempat duduknya. Sepuluh hari berlalu semenjak talak jatuh ke atasnya dan dia menjalani hidupnya seperti biasa. Bersama Lora, tentunya.

Aneh, kan? Dia bukan ibu kandung Lora, tetapi anak itu lebih betah bersamanya berbanding bapa kandungnya. Miya tidak mempermasalahkan itu, kerana jujurnya dia juga sayangkan Lora. Yang membuatnya bingung adalah, bagaimana dia mahu memberitahu Lora situasi antara dia dan Adrian. Bagaimana dia mahu meninggalkan Lora setelah habis iddah kelak tanpa anak itu bersedih atau bermurung.

Melihat gembiranya Lora saat bersamanya membuat Miya tidak sanggup membayangkan akan bagaimana rekasi Lora jika sampai saat mereka harus berpisah kelak.

Bunyi telefon disertai gegaran dari dalam beg tangannya, membuat lamunan Miya sirna. Menegakkan tubuh, dia menggagau telefonnya dari beg tangan sebelum menariknya keluar. Sekilas melihat nama yang berkelip pada skrin membuat dadanya berdetak hebat.

Adrian!

Sejak bercerai, ini kali pertama Adrian menghubunginya. Ragu Miya mahu menjawab panggilan itu atau tidak. Dia yakin Adrian menghubunginya bersangkut dengan jemputan itu.

Panggilan itu terhenti membuat Miya mendesah lega. Namun beberapa saat kemudian, ia berbunyi lagi. Adrian nampaknya tidak berptuus asa menunggu dia menjawab panggilan.

Berdeham sekali, Miya menggeser skrin menjawab panggilan itu.

“Hallo.”

“Miya…”

“Ermm…”

“Awak…ada dapat invitation dari DayMond Jewels?” Suara Adrian terdengar ragu.

“Ada.”

Hening. Dengan masing-masing telefon melekap pada telinga, mereka terdiam seribu kata. Miya malas berkata apa-apa. Adrian yang menghubunginya, jadi Adrianlah yang perlu bersuara.

“Can you…accompany me to the dinner?”

Miya tidak segera menjawab atau tepatnya dia tidak tahu harus memberi jawapan apa. Setuju atau tidak? Dia dan Adrian bukan lagi suami isteri. Jika dia menolak, tentu tidak salah kan? Tetapi ini makan malam DayMond. TS Alexander dan PS Bethanie pasti ada bersama. Malah rakan-rakannya juga dan semua staf DayMond. Apa kata mereka jika dia tidak hadir atau jika dia hadir berasingan dengan Adrian, kerana mereka semua belum tentang perceraian itu.

Ah, Miya benar-benar bingung.

“Mama dengan papa pun ada sekali. So…”

Nah, benar kan? Jika dia menolak, tentu banyak soal jawabnya nanti sedangkan sebolehnya dalam waktu terdekat ini dia tidak mahu sesiapa tahu tentang perceraiannya. Entah sebab apa, tetapi mental dan emosinya belum bersedia.

Adrian pun seperti sengaja menggunakan nama mama dan papanya membuat Miya sekarang mula berbolak-balik.

“Please…”

.
. .

MIYA akhirnya menerima pelawaan Adrian untuk menemaninya ke majlis makan malam DayMond Jewels. Mengenakan draped maxi dress berwarna putih, dengan tatahan berlian pada tali bahu, dia melangkah anggun menuju kereta Adrian yang sudah menunggunya di depan lobi.

Akram keluar dari tempat duduk pemandu lalu membukakan pintu kereta untuk Miya. Adrian beberapa kali meneutralkan nafasnya yang terasa sesak. Entah sejak bila dia diserang semput. Jangan dia pengsan di dalam majlis kerana kegagalan pernafasan sudahlah.

Haruman Versace Bright Crystal dengan bauan bunga segar singgah di indera penciumannya saat Miya meloloskan dirinya ke dalam kereta.

“For you,” ujar Adrian sambil menghulurkan jambangan lili putih kepada Miya.

Lambat-lambat Miya menyambut jambangan bunga itu sebelum diletakkan di pangkuannya.

“Thank you,” ujar Miya tanpa memandang Adrian.

“No, I’m the one who should thank you.”

Tiada jawapan membuat suasana mula menjadi hening. Tiada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut mereka. Hanya deruan nafas yang samar-samar kedengaran. Akram yang sedang memandu pun canggung jadinya.

Adrian melirik Miya yang hanya membuang pandang ke luar tingkap. Sedikit pun Miya tidak menoleh ke arahnya. Benar-benar dia rasa terdera. Ayat yang sudah dihafal dan terakam kemas di dalam kepala hilang berterabur entah ke mana melihat kedinginan Miya. Sekarang dia faham bagaimana Miya boleh membuang terus Adam dan Iqmal dari hidupnya setelah dikecewakan. Ternyata Miya memiliki sekeping hati yang keras dan degil walaupun luarannya kelihatan lembut dan rapuh.

SESAMPAI di hotel, mereka disambut oleh staf DayMond. Miya hanya tersenyum seadanya apabila mereka menyapanya sebagai Mrs Adrian. Gelaran itu sudah tidak memberi makna apa-apa kerana dia bukan lagi isteri Adrian.

Melangkah menuju ke meja yang dikhaskan untuk mereka, Adrian tiba-tiba menggenggam tangan Miya. Miya cuba menarik tangannya, tetapi Adrian mengejapkan genggaman sambil mengangguk dan tersenyum kepada beberapa orang yang menyapanya.

“Lepaskan tangan saya,” bisik Miya.

“Nope. I don’t want to,” balas Adrian sambil terus memimpin tangan Miya menuju tempat duduk mereka.

“I’m not your wife anymore.”

“Tapi kita masih boleh rujuk, Miya. Saya boleh buat kalau saya nak, tapi saya tak nak paksa awak.”

Miya terdiam. Akhirnya dia membiarkan sahaja tangannya di dalam genggaman Adrian sambil beriringan ke tempat duduk mereka. Sudah ada PS Bethanie di meja itu, CEO DayMond, serta beberapa pengarah. Adam pula duduk di meja lain bersama staf jabatan pemasaran kerana dia benar-benar tidak mahu sesiapa tahu dia adalah anak TS Alexander.

“So, Adrian bila nak buat wedding ceremony? Dah setahun kahwin.” Datin Adibah, isteri CEO DayMond bertanya sambil tersenyum memandang Adrian dan Miya silih berganti.

“Oh…Itu…” Adrian melirik Miya di sebelahnya yang nampak tidak berniat untuk berkata apa-apa.

“…just wait for the invitation.” Yakin Adrian berkata. Ya, bukankah kata-kata itu satu doa? Walaupun tidak tahu bagaimana ke depannya nanti, tetapi tidak salah juga mengharap bukan?

“I dengar you keguguran, Miya. I’m sorry for your loss,” ujar Datin Adibah lagi.

Tubuh Miya menegang saat Datin Adibah menyinggung tentang kegugurannya. Dia masih tidak boleh melupakan tragedi itu kerana ia akan mengingatkannya tentang perlakuan Adrian. Malah turut mengingatkannya tentang kebodohannya. Dengan cepat dia mempercayai Eryna apabila wanita menyebut nama Adrian. Bodoh. Bodoh kerana dia percaya Adrian benar-benar mengambil berat tentang kandungannya ketika itu. Kalaulah dia bijak sedikit ketika itu, berfikir panjang, tentu dia tidak akan menelan makanan atau minuman, apatah lagi pil yang dibawa Eryna. Bodoh mengenangkan dirinya yang berharap Adrian menginginkan aak yang dikandungnya.

Tangan Miya terkepal menahan gigil akibat serangan panik kerana mengingat janinnya yang gugur itu

Adrian yang menyedari itu menghulurkan tangannya lantas menggenggam tangan Miya.

“God will replace with something better.” Adrian menjawab bagi pihak Miya.

“True.” PS Bethanie menimpal.

“Saya...Nak pergi toilet sekejap,” ujar Miya sambil menyisihkan tangan Adrian.

Berdiri, dia berlalu meninggalkan meja itu.

Memusingkan sedikit tubuhnya, Adrian memandang langkah Miya yang semakin menjauh.

TIGA puluh minit berlalu, Miya masih tidak muncul membuat Adrian gelisah. Sehingga dia selesai memberi ucapan dan menyampaikan anugerah pekerja cemerlang, Miya masih tidak kembali ke meja mereka.

Bimbang berlaku perkara yang tidak diingini, Adrian menyusul Miya ke tandas. Berdiri di depan tandas wanita, dia mendail nombor Miya sambil memasang telinga jika ada bunyi deringan dari dalam tandas. Namun tidak ada. Panggilan tersambung, namun tidak ada bunyi dari dalam sana membuat Adrian mendesah kecewa.

Mahu berlalu, namun dibatalkan niatnya apabila melihat seorang wanita keluar dari tandas itu.

“Madam…”

“Wanita itu menoleh. “Yes?”

“I’m sorry if I have to ask you this. Tapi ada orang lain ke kat dalam tandas tu?”

“Tak ada.”

“Oh…Thanks.” Berlari ke lobi, Adrian mendail nombor Miya sekali lagi. Melingas matanya mencari kelibat Miya dengan telefon melekap di telinga.

Dibawa langkahnya keluar dari pintu utama hotel. Berjalan ke sana ke sini dengan mata meliar. Pasang telinga juga jika mendengar dering telefon Miya di mana-mana sambil berharap Miya menjawab panggilannya.

Tidak melihat kelibat Miya di luar, Adrian kembali ke tandas tadi. Melilau ke segenap ruang yang berdekatan dengan tandas itu berharap melihat Miya di sana.

Usahanya itu berhasil apabila samar-samar dia mendengar dering telefon dari arah ruang legar tidak jauh dari tandas. Ruang yang agak sunyi dan tidak ada apa-apa di sana kecuali sebuah chandelier bersaiz gergasi, serta jambangan bunga besar di dalam pasu kristal yang diletakkan di atas sebuah meja bulat.

Mematikan panggilan, dia mendail sekali lagi untuk memastikan itu benar-benar Miya.

Benar, saat panggilan itu tersambung, dering itu berbunyi lagi. Segera Adrian membawa langkahnya ke arah itu sebelum tiba-tiba langkahnya terhenti. Tubuhnya membeku.

Lemah tubuhnya melihat sesusuk tubuh yang sedang bertinggung di sebalik tiang itu besar di tengah-tengah ruang itu. Menangis. Miya menangis. Tangisan yang terdengar benar-benar menyedihkan.

“Miya…”

Share this novel

Rimatanti Rasyid
2022-10-08 11:08:41 

kesian pd Adrian jg, mcm orang gile talak pun ada tu tapi dia kuat utk tk tunjukkan.. geram dgn Eryna tu acah² simpati pulak n sibuk suruh Adrian rujuk balik, apa motif dia sebenarnya. rasanya dia nk bunuh miya mcm dia bunuh Dahlia pastu dia nk kahwin dgn Adrian pulak..

awer
2022-10-08 00:41:04 

lanja la 2 bab cikgu...x puas laaa

EeraIqmal
2022-10-07 23:46:39 

geram jer la dgn eryna nie.. acah2 x brslh.. tp apa motif die sbnrnya.. nmpk mcm die nk kt adrian, tp dia leh pujuk plak adrian spya rujuk dgn mia..


NovelPlus Premium

The best ads free experience