Rate

Prolog

Fantasy Series 348

Dunia Magis : ARELA

DIA berdiri di depan pintu bilik itu. Dirinya sedikit gementar. Jiwanya bergelora. Rela atau tidak, dia harus cekal untuk terima apa saja yang bakal dihadap.

Tombol pintu dipegang dan akhirnya perlahan dibuka. Sekilas dia memandang sekeliling lalu matanya tertacap pada sebuah katil besar bersalut emas.

Apa yang diduga memang telah terjadi. Dia meruntun hiba dalam diam.

"Ghazi, mari. Beta mahu kamu lakukan sesuatu"

Suara garau itu menegur.

"Ampun tuanku"

Dia menunduk hormat.

Ghazi, seorang lelaki tua berjubah biru dan berjanggut putih mendekati putera raja itu, pewaris kedua kerajaan Arela.

Ghazi dikenali sebagai penasihat diraja. Rakyat di Arela memanggilnya dengan gelaran Tuan.

Pengalamannya sebagai penasihat diraja semenjak pemerintahan Raja Qhair menjadikan dia tergolong dalam orang-orang penting di Arela.

Jawatan itu diwarisi dari ayahnya. Sewaktu dia masih muda, seringkali Ghazi mengikut tuan Dhadi untuk berurusan dengan pihak istana.

"Serahkan Iris kepada seorang dayang. Lantiknya sebagai pengasuh. Kamu pilihlah siapa yang terbaik. Berikan dia ganjaran"

Puteri kecil itu diambil dari kendongan Hatin. Wajah polos yang tidak mengerti apa-apa itu direnung seketika. Jiwanya bertambah sayu. Dia terpaksa menurut perintah.

"Jangan berlengah-lengah" Hatin menegur

"Ampunkan patik, tuanku"

Hatin memerhatikan Ghazi sehingga hilang dari pandangan. Kemudian dia berkalih pada seorang wanita yang tidak berenggang dari sisi. Wanita bermata cantik itu tersenyum sambil menyentuh lengannya.

"Tuanku memang berhak ke atas segalanya. Kini tiada siapa yang dapat menghalang kita. Patik bangga dengan tuanku"

"Jangan tinggalkan beta, Adura. Beta akan lemah jika kamu tiada"

Genggaman wanita itu diraih lalu dikucup.

Renungannya tajam menikam. Bagaikan ada sendu pada suaranya ketika mengalunkan butir bicara.

Hatinya tekad untuk menjadikan Adura sebagai permaisuri. Gelaran raja Arela juga tidak sabar hendak disandang. Impian yang diidam selama ini bakal menjadi nyata.

Adura menyentuh pipi sang putera. Wajah berjambang tanpa kumis ditatap. Dia memeluk tubuh gagah itu erat-erat. Kedua matanya dipejamkan.

"Tidak tuanku. Patik berjanji tak akan pergi dari hidup tuanku walaupun kehilangan nyawa. Jasad dan roh patik hanya untuk tuanku seorang"

Dia berbisik janji dan setia.

Adura perlahan membuka mata. Langsung terhala pada dua jasad yang terbaring kaku di atas katil. Bibirnya terukir senyuman sinis.

********************************************************

GHAZI tiba di sebuah bilik. Pantas dia mengetuk pintu.

Pintu kayu berukiran corak bunga matahari dibuka dari dalam.

Muncul seorang wanita muda berselendang ungu. Wajahnya resah. Dia memandang Ghazi sesaat dua dan berkalih pula kepada Iris yang sedang dikendong. Air matanya berlinang.

"Apa yang perlu kita lakukan, tuan?"

"Aku harap mulai saat ini kamu asuhlah tuan puteri dengan sebaiknya. Tragedi yang berlaku bukan penghalang untuk kita menyerah kalah. Jangan kamu khuatir kerana aku juga akan bertanggungjawab menjadikannya seorang yang terbilang bila dia dewasa nanti"

"Mengapa orang yang baik selalu menjadi korban? Tak adilkah Tuhan itu? Kasihan puteri kita sudah bergelar yatim piatu di saat usianya masih kecil"

Wanita itu menggeleng kesal. Hatinya sakit mengenangkan kejahatan mereka.

"Usah menyalahkan Tuhan. Mungkin ada hikmahnya takdir ini berlaku. Yusira, kita harus kuat demi tuan puteri"

Yusira mengangguk perlahan. Dia mengusap lembut rambut Iris. Dia berjanji tidak akan sesekali dibiarkan puteri kecil itu berterusan menerima nasib yang malang.

********************************************************

DI pinggir hutan Rakin dia duduk berseorangan. Pedang besi yang tersisip di pinggang dikeluarkan dari sarung. Direnung bilah tajam itu yang banyak berjasa.

Bilah besi berhulukan kayu berukir kepala harimau itu sentiasa menemaninya ketika memerangi kejahatan. Walaupun dia telah bergelar sebagai salah seorang ketua pahlawan, pedangnya tetap menjadi senjata utama.

"Qalit"

Terdengar suara lunak memanggil.

Ketua srikandi bernama Talia tergesa-gesa menghampirinya. Nampak dia sedang memeluk sesuatu. Seorang pemuda mengekorinya di belakang.

"Maafkan kami kerana buat kau menunggu lama, Qalit. Kami terpaksa berhati-hati kerana takut pertemuan kita dapat dihidu musuh"

"Tak mengapa Talia. Jadi, apa keputusan tuan Ghazi? Di mana harus kita tempatkan anak ini?"

Wajah suci dalam pelukkan Talia dipandang sekilas.

"Keputusan itu diserahkan kepada kita. Yang penting anak ini harus dikhabarkan hilang"

Qalit diam. Dua wajah muncul di fikiran. Semakin sayu dia dalam diam.

"Hantarkan anak ini ke dunia lagi satu. Pastikan tempatnya selamat dari bahaya"

Akhirnya Qalit mengeluarkan kata putus.

"Bagaimana dengan masa depan anak ini?"

"Kita bincangkan setelah yakin anak ini selamat di dunia sana. Selagi kita masih bernyawa aku yakin anak ini tidak akan apa-apa"

Talia mengangguk lalu memandang pemuda yang setia mendengar bicara mereka.

Dengan lembut dia berkata, "Bhunti, mari kita ke dunia sana sekarang. Di sana waktunya sudah menjelang lewat malam. Ayuh Bhunti, kita laksanakan segera"

Talia menyerahkan anak itu kepada Bhunti. Dia menjadi perisai mereka dengan pedangnya bersiap siaga. Akan ditebas kepala sesiapa yang menghalang.

Sebaik mereka hilang dari pandangan, Qalit segera berlalu pergi. Ada beberapa hal tertangguh yang harus diselesaikan. Dua wajah yang terbayang-bayang tadi masih belum lagi lenyap dalam fikiran.

'Ziyad, Zara damailah kalian di sana'

Hatinya berbisik pilu.

********************************************************

KUALA LUMPUR ( RUMAH ANAK-ANAK YATIM SRI MULUK)

TANGISAN kuat seorang bayi memecahkan keheningan malam. Semua penghuni yang sedang lena terkejut lalu mereka bangkit. Lampu di ruang tamu lantas diterangkan.

Seorang penyelia wanita berbadan gempal membuka pintu dengan berhati-hati. Di belakangnya berdiri beberapa orang penghuni yang lain.

Beribu pertanyaan dan bermacam andaian bermain dalam fikiran mereka. Penyelia wanita berbadan gempal itu tidak mahu terburu-terburu kerana dia bimbang ada bahaya yang menunggu.

"Allahu akhbar! Tengok ni, ada baby!" dia terpempan

"Ya Allah! Anak siapa ni kak?"

Seorang penyelia berbadan kurus bertanya.

"Manalah akak tahu. Kita bawak masuk baby ni dulu. Kamu tutup pintu tu cepat"

Salah seorang pembantu disuruhnya segera membancuh susu. Mungkin bayi itu kelaparan.

Memang disediakan segala kelengkapan untuk anak-anak yatim yang mereka jaga. Belanja sebulan kadang-kadang mencecah belasan ribu. Namun begitu mereka tidak kisah berkorban.

"Orang lain punya susah nak dapat zuriat tapi mak bapak baby ni boleh buang macam tu. Tergamak betul!"

Penyelia kurus itu merasa geram.

"Sabarlah. Mungkin mereka ada masalah. Itu yang terpaksa buang anak sendiri" kata penyelia berbadan gempal itu.

"Baby tu lelaki ke perempuan kak? Cuba check. Manalah tahu dia cedera"

Kain kapas kelabu yang membalut tubuh bayi itu diselak. Lalu kemudian penyelia gempal itu segera membalutnya kembali.

"Baby perempuan. Alhamdulillah. Baby ni tak ada luka apa-apa. Mungkin dia menangis sebab sejuk dan lapar"

Matanya tiba-tiba tertacap pada sesuatu di hujung kain itu. Dia membelek-belek.

"Baby ni namanya mungkin Sara. Tengok ni" dia tersenyum.

Sulaman benang berwarna biru laut yang membentuk sebaris perkataan ditunjuk.

"Kak, elok kita pergi ke balai polis untuk maklumkan tentang baby ni. Biar pihak polis siasat siapa punya angkara"

"Ok. Esok kita akan pergi. Tak apalah biar kita yang jaga. Insya Allah dah besar nanti, baby Sara akan jadi gadis yang baik-baik"

Ubun -ubun bayi itu diusap lembut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience