ABD 42: REBAH

Romance Completed 1572856

Mereka sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Nassau ketika jam menunjukkan pukul 4 petang waktu Malaysia. Waktu di Nassau pula ialah pukul 4 pagi. Sebuah MPV mewah sudah menunggu untuk membawa mereka ke hotel.

Sepanjang jalan, Miya membuang pandang ke luar. Kali ini bukan kerana dia tidak sudi melihat wajah Adrian, tetapi menikmati pemandangan awal pagi di negara yang terkenal terkenal dengan laut biru kristal ini. Pertama kali Miya menjejakkan kaki di negara ini dan jujurnya Bahamas pernah ada dalam destinasi impiannya untuk dikunjungi.

Mengambil masa 30 minit sebelum mereka sampai di hotel. Selesai urusan daftar masuk, Miya menarik tangan Adrian agak jauh dari Adam dan mentuanya.

“Kita duduk sebilik ke?” tanya Miya dengan nada separuh berbisik.

“Yalah. Takkan nak duduk asing-asing. Nanti apa kata mama.”

“Kita bukan suami isteri lagi tau. Awak jangan lupa tu.”

“Oh ye ke?” Adrian tertawa. “Semalam kita dah tidur sebilik. Sekatil lagi.”

Bulat mata Miya mendengar penuturan Adrian. Pagi tadi saat tersedar dari tidur, hanya dia yang berada di bilik itu. Tidak ada Adrian, yang seketika membuat dia mendesah lega. Malah sempat dia memuji lelaki itu yang tidak mengambil kesempatan dalam kesempitan.

“Awak tidur mati. Tak sedar apa-apa. Masa mandi tadi tak cek tengok kot-kot saya ada tinggal tanda ke semalam.”

Miya memicingkan mata. Kerut wajahnya yang menggambarkan kemarahan entah mengapa tidak langsung membuat Adrian takut.

“Sampai bilik nanti boleh check,” ujar Adrian sebelum melingkarkan tangannya ke bahu Miya.

Miya cuba menepis, namun Adrian lebih cepat bertindak. “Mama!”

PS Bethanie yang sedang beriringan dengan TS Alexander menuju ke lif, menoleh. Terhenti perbuatan Miya yang sedang cuba menyisihkan tangan Adrian dari bahunya.

“What?”

“Wait for us,” ujar Adrian sambil tersenyum. Dikejapkan pelukannya pada bahu Miya sebelum melajukan langkah mendekati mama dan papanya.

Lagi-lagi tindakan Adrian itu membuat Miya mendengus geram. Namun ditahan hatinya demi menjaga air mukanya di depan TS Alexander dan PS Bethanie. Sudahnya, sepanjang berada di dalam lif, terpaksa dia membiarkan saja Adrian memeluk bahunya.

“Awak tidur dalam bilik. Saya boleh tidur kat sofa,” ujar Adrian sebaik sahaja dia dan Miya melangkah masuk ke bilik. Tidak ada bilik sebenarnya, cuma ada penghadang antara ruang menonton TV dan tempat tidur.

Tiada jawapan daripada Miya. Meletakkan bagasinya di tepi katil, dia segera masuk ke bilik mandi. Segera dia menanggalkan blaus sebelum melihat setiap inci tubuhnya jika ada sebarang tanda yang ditinggalkan Adrian. Dipusingkan sedikit belakangnya, melihat melalui cermin jika ada tanda di sana. Namun tidak ada. Tidak berpuas hati, dia menanggalkan bra sebelum memeriksa setiap bahagian yang dapat dicapai penglihatannya, namun dia tidak mengesan apa-apa tanda yang mencurigakan.

“Kurang asam. Dia kenakan aku ke apa,” gerutu Miya sambil mencapai bra yang ditanggalkan tadi untuk dipakai semula.

Tepat di saat itu juga, pintu bilik mandi dibuka dari luar membuat Miya terlonjak kaget lantas meloloskan jeritan nyaring. Adrian yang berdiri di muka pintu juga terkejut dengan wajah terpinga-pinga.

Spontan tangan Miya mencampak bra di tangannya ke muka Adrian saking panik. Namun menyedari tindakan konyolnya itu, membuat rona merah menular ke seluruh wajah. Laju tangannya mencapai botol syampu dari singki lalu dilempar ke arah Adrian.

Prang!

Saat botol jatuh dan berderai di lantai, baru Miya sedar yang dibalingnya itu adalah botol kaca. Juga melihat darah yang menitis di lantai membuat bola mata Miya bergerak ke arah wajah Adrian.

Panik dia melihat darah mengalir dari pelipis kanan Adrian sehingga ke bawah dagu.

“Ya Allah!” Cepat-cepat dia melangkah mendekati Adrian yang sedang mengelap darah di dahinya.

“Miya, stop!”

Langkah Miya terhenti. Rasa bersalah terasa menyesak-nyesak melihat Adrian meringis sakit. Apatah lagi Adrian seperti tidak mahu dia mendekatinya

“Pakai baju dulu,” ujar Adrian dengan nada seperti menahan sakit dan menahan ketawa secara bersamaan.

Kata-kata Adrian itu membuat Miya sedar yang bahagian atas tubuhnya masih terdedah. Tuhan! Terasa seperti mahu meminjam lampu suluh Doraemon supaya dia boleh menjadi sekecil semut dan menyelinap masuk lalu bersembunyi di dalam lubang singki.

Segera disambar blaus di atas singki sebelum disarungkan ke tubuhnya. Ditepuk-tepuk pipinya bagi menipiskan rasa malu yang sempat menebal beberapa minit lalu sebelum keluar mencari Adrian di ruang menonton.

Kelihatan lelaki itu sedang mengelap darah dengan sehelai sapu tangan. Tanpa berkata apa-apa, Miya menghubungi meja penyambut tetamu meminta mereka menghantar kotak pertolongan cemas. Kemudian dia mengambil sebotol air mineral lalu melabuhkan duduk di sebelah Adrian.

“Let me do it,” ujar Miya.

Tidak membantah, Adrian menyerahkan sapu tangan yang sedang digunakannya kepada Miya.

Miya menuang air pada sapu tangan itu lalu menekapnya perlahan pada dahi Adrian bagi membersihkan darah.

“Lain kali ketuklah pintu dulu sebelum masuk. Ini main serbu je,” gerutunya.

“Awak pun kenapa tak kunci pintu? Memang sengaja ke?” Bagai belum serik, Adrian masih mahu memancing kemarahan Miya.

Tiada jawapan daripada Miya. Dengan teliti dia mengelap kesan luka pada dahi Adrian.

Berada sedekat ini dengan Miya membuat Adrian dapat menatap wajah itu sepuas-puasnya. Tidak sangka Miya akan membantu mengelap lukanya. Fikirnya Miya hanya akan membiarkan dia membersihkan lukanya sendiri.

“Saya minta maaf. Kalau awak ketuk pintu tadi, tak adalah saya terkejut sampai terbaling botol tu,” ujar Miya. Benar-benar rasa bersalah melihat luka yang agak dalam dan dahi Adrian yang sudah lebam dan benjol di sekeliling luka itu.

“It’s okay and it’s worth it.”

Faham benar Miya dengan maksud kata-kata Adrian itu. Sudah dapat sakit, masih mahu membuat gurauan yang boleh mengundang marah.

Geram, Miya menekan kuat kain itu pada luka Adrian membuat lelaki itu mengaduh.

“Isn’t it worth it?”

“Yeah…I…” Kata-kata Adrian terhenti apabila bunyi loceng pintu membuat Miya berganjak.
Beberapa detik kemudian Miya kembali dengan sebuah peti pertolongan cemas.

Masih tidak berkata apa-apa, Miya mengeluarkan satu tiub krim khas untuk luka. Dipicit sedikit krim itu pada telunjuknya lalu dengan berhati-hati mengolesnya pada luka Adrian.

Setelah selesai, dia mengemas semula kotak pertolongan cemas itu sebelum berlalu begitu sahaja tanpa sepatah perkataan pun keluar dari mulutnya.

Namun sikap Miya itu tidak sedikit pun membuat Adrian tersinggung. Setidaknya, Miya masih sudi merawat lukanya. Walaupun wajahnya tiada segarit senyum, bicaranya juga masih terkesan dingin, namun perhatian kecil Miya itu tetap memberinya secercah harapan.

“Meeting saya pukul 10 nanti. Kalau awak nak pergi mana-mana, pergi dengan mama,” ujar Adrian sambil memerhatikan Miya yang sedang mengeluarkan pakaiannya daripada bagasi.

Tiada jawapan, seolah-olah dia bercakap dengan dinding. Sedikit mengeluh, Adrian merebahkan tubuhnya di sofa. Cuba melelapkan mata walaupun tidak mengantuk kerana sekarang adalah pukul lima petang waktu Malaysia. Cuma di sini, hari masih awal pagi. Apa lagi yang boleh dia lakukan selain tidur. Apatah lagi kepalanya sedikit pening selepas dibaling botol kaca oleh Miya tadi.

ADRIAN membuka mata apabila terasa tepukan lembut pada bahunya. Sudah lama dia tidak merasai sentuhan lembut itu membuat dia ingin pejam semula.

“Bangunlah. Kata meeting pukul 10.”

Suara lembut yang dulu sering menjadi halwa telinganya saat bangun pagi kini kembali terdengar. Mengerjap perlahan, Adrian menegakkan tubuhnya. Entah sudah berapa lama dia tertidur, namun kepalanya terasa sedikit pusing kerana tidur bukan pada waktunya.

“Dah pukul berapa?” tanya Adrian dengan suara seraknya.

“Lima belas lagi pukul sembilan,” ujar Miya sebelum berlalu.

“Miya!”

Miya menoleh.

“Thanks kejut saya.”

Miya hanya menjawab dengan gumaman sebelum kembali ke beranda tempat dia bersantai tadi. Menikmati kopi sambil menghayati panorama indah pantai pada waktu pagi yang terletak beberapa meter sahaja dari hotel.

Berteman sebuah novel China Rich Girlfriend karya Kevin Kwan yang merupakan kesinambungan daripada novel sebelumnya yang sudah diadaptasi ke layar perak, Miya terus betah di situ tanpa berniat mahu ke mana-mana.

Ketika dia hampir masuk ke dalam novel menghayati satu babak di mana Eleanor cuba mendedahkan siapa bapa kandung Rachel, Miya terjongket kaget apabila satu tangan muncul dari arah belakangnya, meletakkan sekeping kad di atas meja di depannya.

Perlahan dia mendongak, memandang Adrian yang sudah nampak rapi dengan kemeja putih dan slack kelabu.

“In case mama ajak keluar, guna kad tu kalau nak beli apa-apa.”

“Saya tak ada apa-apa nak beli,” jawab Miya sebelum kembali fokus ke novel. Terganggu konsentrasinya dengan kemunculan Adrian. Terpaksa dia mengulang baca ayat pertama di muka surat itu supaya dia dapat menghayatinya semula.

Namun sesaat kemudian dia teringat luka pada dahi Adrian, membuat dia menoleh. Namun sudah tidak ada kelibat Adrian di belakangnya. Meletakkan novel di tangannya setelah menanda muka surat yang dibaca, Miya melangkah masuk ke dalam bilik.

“How;s your wound?” tanya Miya apabila melihat Adrian sedang membetulkan tali lehernya di depan cermin.

“Getting better,” jawab Adrian sambil menoleh sekilas ke arah Miya.

“Tak nampak ke?” Miya masih khuatir jika luka itu mencacatkan penampilan Adrian di dalam mesyuarat pentingnya.

Adrian toleh. Miya meneliti wajah bekas suaminya itu, melihat jika kesan luka tadi nampak agak ketara. Namun, tidak ada kerana Adrian menutupi luka itu dengan rambutnya.

“Am I looking good?”

“Biasa je,” jawab Miya sebelum kembali ke balkoni.

Adrian tertawa perlahan, namun dia tidak berkata apa-apa. Biarlah Miya terus dengan kedinginannya.

Kembali mengadap cermin, Adrian menyarungkan kot kelabu, senada dengan warna seluar. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, dia melangkah ke arah almari lalu mengambil sesuatu dari bagasinya. Hadiah yang dia berikan sempena hari lahir Miya. Miya meninggalkan hadiah itu di dalam keretanya. Entah Miya sengaja atau tidak, dia tidak tahu. Namun, jauh di sudut hati dia agak terkilan kerana Miya seperti tidak menghargai pemberiannya.

Dipandang kotak itu lama. Pernah dia terniat mahu membuangnya, namun memikirkan hadiah itu mungkin akan menjadi sesuatu yang bermakna buat dia dan Miya, dia membuang jauh fikirannya itu. Cuba memujuk hatinya dengan menganggap Miya tidak sengaja walaupun beberapa hari menunggu, Miya tidak langsung bertanya tentang hadiah itu.

Tarik nafas panjang, Adrian menghelanya perlahan sebelum melangkah ke balkoni. Miya masih di sana. Berteman novel dan secawan kopi. Perlahan Adrian meletakkan hadiah itu di depan Miya membuat fokus Miya beralih. Tidak memandang Adrian, sebaliknya hanya menatap kotak yang masih berbalut cantik itu.

“Saya tahu awak marah dan benci saya. Tapi hadiah tu ikhlas dari saya,” ujar Adrian sambil merenung Miya sejenak sebelum berlalu.

Lama Miya merenung kotak persegi sama itu tanpa menyentuhnya. Sengaja dia meninggalkan hadiah itu di dalam kereta Adrian kerana dia tidak mahu menerima apa-apa daripada lelaki itu. Namun melihat hadiah itu kembali hari ini dan suara Adrian yang terkesan sedih, membuat pendiriannya sedikit goyah.

Terhulur tangannya mengambil hadiah itu dan perlahan dia menarik ribennya. Kertas pembalut hadiah dikoyak dengan berhati-hati sebelum penutup kotak dia buka. Sebuah buku berkulit tebal dengan tajuk WHY I LOVE YOU: A JOURNAL OF US (WHAT I LOVE ABOUT YOU). Sebuah buku yang memerlukan seseorang mengisi tempat kosong berdasarkan ayat yang diberi sesuai tajuk di muka depannya.

Ketika dia baru hendak mengeluarkan buku itu dari kotak, bunyi telefon membantutkannya. Diletakkan kotak itu ke tepi sebelum dia mencapai telefon di atas meja. Laju jemarinya menggeser skrin apabila melihat nama mama terpapar pada skrin.

“Hallo ma…”

“Hai Miya. Tidur ke?”

“Tak. Tengah relax kat balkoni sambil tengok pantai.”

“Jom pergi pantai. Adam pun ada boleh jadi photographer kita. Don’t forget to bring snorkeling gear.”

“Ermmm…Boleh. Sekarang ke?” Walaupun tidak begitu selesa kerana Adam ada bersama, Miya terpaksa juga bersetuju kerana tidak mahu mengecewakan PS Bethanie.

“Yup. Mama tunggu kat lobi ya.”

“Okey.”

Selepas memutuskan panggilan dengan PS Bethanie, Miya bersiap seadanya. Terus memakai pakaian snorkeling sebelum menyapu krim pelindung matahari pada wajah dan lengannya.

Dari lobi, mereka hanya berjalan kaki ke pantai. Tidak ramai orang kerana ia merupakan pantai peribadi milik hotel. Jika tadi Miya hanya melihat panorama pantai dari balkoni biliknya, sekarang menjejakkan kaki di atas pasir yang seputih salju membuat dia berdecit kagum. Bersih dan mendamaikan. Tidak ubah seperti pantai di dalam salah satu filem Pirates of The Caribbean.

“Jom, bot kita kat sana.” Adam menunjuk ke satu arah, di mana sebuah bot dan jurumudi sudah menunggu untuk membawa mereka ke lokasi snorkeling.

Adam melompat naik terlebih dahulu ke dalam bot sebelum menghulurkan tangan membantu mamanya naik. Saat dia menghulurkan tangan ke arah Miya, hulurannya tidak bersambut. Miya memanjat sendiri tangga bot tanpa pertolongan Adam.

“Nak tolong je,” gerutu Adam.

“Thanks but no thanks,” balas Miya dengan nada menggerutu juga.

Bot bergerak laju menuju ke lokasi snorkeling. Berhenti di tengah-tengah laut yang membiru, jurumudi itu memberitahu kawasan itu adalah kawasan ikan lumba-lumba. Terdapat tiga buah bot lain yang juga menurunkan pengunjung untuk snorkeling.

“Kalau bertuah, boleh nampak dolphin hari ni. Tapi kadang-kadang dia tak keluar jugak kalau ramai orang,” ujar Adam sambil menyarungkan fin ke kakinya.

“Macam dah biasa datang je,” ujar PS Bethanie.

“Pernahlah dua tiga kali. Ex girlfriend I dulu suka laut. Selalu jugak pergi snorkeling dengan dia. Pernah plan nak datang snorkeling kat sini, tapi tak kesampaian…” Sambil bercerita, Adam melirik Miya yang nampak tidak begitu menanggapi perbualan dia dan mamanya.

“Oh kesian. Cari girlfriend lainlah,” kata PS Bethanie lalu tertawa.

“Tak ada yang sama macam dia.”

“Memanglah. Mana ada orang yang sama dalam dunia ni. You dengan Adrian pun tak sama walaupun dua-dua anak mama dengan papa.”

Adam hanya tersengih. Dilirik Miya sekali lagi yang sudah selesai memakai fin dan snorkeling mask.

“Ready?” tanya Adam.

“Yup.” PS Bethanie menjawab penuh semangat.

“Kejap,” ujar Miya yang sedang memasukkan telefonnya ke dalam underwater phone case yang disangkut di lehernya. Rugi jika datang sejauh ini, tidak mengambil gambar atau video bawah air.

“Okay done.”

“Alright. Let’s go find dolphins.” Adam terjun terlebih dahulu, diikuti oleh PS Bethanie dan akhir sekali Miya.

Nasib mereka agak baik hari itu apabila beberapa ekor ikan lumba-lumba berenang-renang tidak jauh dari bot. Namun jurumudi tidak membenarkan mereka berenang terlalu dekat dengan haiwan itu. Katanya bimbang membuat ikan-ikan itu rasa terancam dan tidak akan muncul lagi di kawasan itu.

Hampir setengah jam mereka menghabiskan waktu di situ sebelum jurumudi bot membawa mereka ke check point kedua iaitu shark point.

“I pernah baca ada pelancong kena baham dengan jerung dekat laut Bahamas tapi tak pasti pulau mana,” ujar Miya.

“Bukan pulau ni. Shark kat sini kecik-kecik je. Tak makan orang,” balas Adam.

“Betul ke?” PS Bethanie kelihatan ragu.

“Betullah. Takkan I nak tipu. I bawak mama dengan kakak ipar kot. If anything happens to both of you, I die,” ujar Adam membuat mamanya tertawa.

“Tu dah nampak sharks!” Miya menunjuk bayang dua ekor ikan jerung sepanjang tangan orang dewasa di dalam air.

“Betullah kecik je. Tapi yang besarnya kat mana?”

Pertanyaan PS Bethanie itu membuat Miya yang tadinya nekad mahu terjun, kembali berbelah bagi.

“Yang besar tak datang sini. Tu, kat tengah laut sana. Sini yang baya-baya Lora je ni.”

“Betul-betullah Adam!” PS Bethanie sudah mula meninggi suara dengan anaknya itu.

“Betullah. Tak percaya tengok I turun.” Seiring dengan kata-katanya, Adam terjun ke dalam air dan mendekati dua ekor anak jerung tadi yang masih berenang di sekitar bot.

Melihat tidak ada apa-apa berlaku kepada Adam serta ada juga beberapa pelancong lain turut melakukan aktiviti snorkeling di situ, Miya dan PS Bethanie akhirnya turut terjun.

Berenang bersama jerung kecil sambil merakam panorama bawah air yang jarang dilihat, membuat Miya seketika lupa tentang semua masalah yang sedang membelenggu hidupnya.

Menjelang tengah hari, mereka kembali ke hotel. Tidak terdaya lagi mahu melakukan aktiviti lain kerana sudah penat dan lapar. Mengantuk juga kerana di Malaysia sekarang adalah pukul dua pagi.

Ketika sampai di pantai, mata Miya menancap pada susuk seorang lelaki yang seperti tidak asing pada penglihatannya. Lelaki itu kelihatan baru turun dari bot tidak jauh dari bot yang dinaikinya dengan pakaian snorkeling juga. Puas Miya cuba mengingat di mana dia pernah melihat lelaki itu, tetapi dia benar-benar lupa. Mungkin hanya pelanduk dua serupa dengan client atau sesiapa yang penah ditemuinya. Lagipun ini di Bahamas, bukannya di Malaysia.

MALAMNYA, Miya menemani Adrian makan malam bersama pasukan peguamnya memandangkan kesemua mereka membawa pasangan. Jika dia tidak ikut, apa pula kata TS
Alexander dan PS Bethanie. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia bersama di dalam acara makan malam yang membincangkan perkara yang tidak ada sangkut paut dengannya. Hanya sesekali dia menjawab pertanyaan daripada isteri salah seorang peguam Adrian.

“Nice bracelet. I love o…what?” Claudia, isteri ketua peguam Acassia Villa Bahamas bertanya tentang gelang pemberian Lora pada pergelangan tangan Miya.

“I love omma. Omma stand for mom. It’s a gift from my daughter on my birthday,” jawab Miya.

Terangkat kedua-dua sudut bibir Adrian saat Miya menyebut Lora sebagai my daughter.

“How cute. How old is she?” Astrid, juga isteri salah seorang peguam pula bertanya.

“Six years old. This is her handwriting.”

“Now you make me want a daughter,” ujar Claudia membuat semua yang berada di meja itu tertawa.

“Yeah…Daughters often love moms more than sons, right?”

“Yes, sons often forget their mothers after they marry. But I’m lucky my son married a good woman,” ujar PS Bethanie sambil tersenyum memandang Miya.

Adrian memandang mamanya. Jantung terasa seperti diramas-ramas mendengar penuturan ibunya itu. Apa selama mengahwini Dahlia dulu, mama terasa seperti dilupakan? Dan selepas berkahwin dengan Miya, baru mama terasa seperti mendapat semula anak lelakinya? Apakah itu yang menyebabkan mamanya lebih menyenangi Miya berbanding Dahlia?

Ah…Terasa seperti terjawab segala persoalan yang bermain dalam benaknya selama ini. Walaupun tidak mendapat jawapannya langsung, namun kata-kata mamanya tadi sudah cukup untuk menjelaskannya.

Suasana makan malam itu berlangsung santai apabila perkara bisnes tidak lagi menjadi pokok perbincangan mereka. Hanya cerita berkisar kehidupan masing-masing serta anak-anak mereka membuat suasana tidak sekaku tadi.

“Saya nak pergi toilet sekejap,” bisik Miya dan dibalas dengan anggukan oleh Adrian.

SELESAI melunaskan seruan alam dek kerana minum terlalu banyak air serta suhu di dalam restoran yang agak sejuk, Miya mencuci tangan di singki sebelum mengoles sedikit bedak pada wajahnya. Bibir yang kering kerana suhu yang terlalu sejuk, disapu dengan pelembap.

Setelah berpuas hati dengan penampilannya, barulah dia melangkah keluar. Namun mengingat suhu di dalam restoran yang sejuk, membuat Miya mengambil keputusan untuk mengambil angin dulu di luar. Bersiar-siar di tepi pantai sebelum kembali ke dalam restoran.

Berdiri menatap langit malam yang ditaburi ribuan bintang, bunyi deburan ombak yang tidak pernah jemu menjengah pantai, memberi ketenanangan tersendiri pada Miya. Dia memang sukakan pantai dan laut. Tenang, damai, dan aman.

Deretan bot-bot mewah tidak jauh dari tempatnya berdiri, menarik perhatian Miya. Bagaimana ada manusia yang begitu kaya sehingga mampu memiliki jet peribadi, bot mewah, dan memiliki wang yang banyak sedangkan pada masa yang sama ada manusia lain yang bekerja keras tetapi tetap berada di takuk yang sama?

Ah, dunia yang ditadbir manusia tidak akan pernah adil. Yang kaya berkuasa, yang miskin ditindas.

Melihat pesawat yang dimiliki keluarga Adrian membuat Miya tidak mampu membayangkan seberapa kaya keluarga bekas suaminya itu.

Bekas suami.
Klausa itu membuat Miya tersenyum getir. Tidak lama lagi dia akan tamat iddah. Selepas itu, terputuslah sudah hubungannya dengan Adrian. Tidak ada apa-apa yang akan mengikat mereka seperti yang dimahukan lelaki itu. Meskipun Miya nampak Adrian seperti berusaha mahu dia kembali, tetapi jujurnya dia masih ragu. Mungkin Adrian mahu dia kembali demi Lora. Ya, apa pun yang dilakukan Adrian, Lora akan menjadi keutamaannya. Bukan Miya
cemburu dengan anak kecil itu, bukan juga membenci, tetapi Miya tidak mahu berada dalam hubungan seperti yang pernah dilalui setahun lalu. Awalnya tidak ada apa-apa. Namun hari demi hari, dia yang menjeruk rasa. Sedang Adrian bahagia dengan masa silamnya bersama Dahlia. Jadi untuk apa dia bertahan bersama lelaki yang masih dibayangi masa silam? Lebih baik dia bersendiri kerana dia lebih bahagia begitu. Mungkin.

Puas menikmati udara luar, Miya beranjak untuk masuk semula ke dalam restoran, namun langkahnya terbantut apabila bahunya tiba-tiba ditepuk dari belakang. Toleh, kepalanya mula pening, kaki terasa tidak jejak di bumi, mata mula berpinar-pinar membuat tubuhnya oleng sebelum akhirnya dia rebah.

Share this novel

KPOP WORLD AND SHIP
2022-11-03 04:40:46 

Bila next pulak sis

aiyna28
2022-11-02 04:42:32 

sis calyta bila nk sambung

DgR
2022-10-29 19:11:19 

marathon lg baca episod 41 dan 42 buat kali ketiga


NovelPlus Premium

The best ads free experience