Rate

Cerpen - Pengorbanan Seorang Mak

Short Story Completed 19848

Cerpen

“Abang nak mak tinggal dengan kita? Siapa nak menjaga dia? Saya dengan abang pun sibuk memanjang. Anak-anak semua mengejar masa depan.” Rungut mama. Aku hanya duduk disebalik dinding dapur sambil mendengar perbualan mama dengan papa. Kasihan nenek. Sejak atok meninggal dunia, nenek keseorangan di kampung ditambah pula kedua-dua belah kaki nenek tidak berfungsi. Nenek lumpuh. Sekarang ini, mak cik yang menjaga nenek buat sementara waktu dia cuti semester.

“Habis takkan mak nak tinggal seorang lepas Yana balik universiti semula. Abang boleh upah orang yang boleh jaga mak.” Mama hanya mendiamkan diri. Dalam rumah ni tak pernah sesiapa yang membantah cakap papa. Harus diikuti. Aku berdiri semula lalu masuk ke dalam bilik, merebahkan diri di atas tilam empuk bagaikan jeli. Aku sangat gembira nenek akan tinggal bersama kami. Aku adalah cucu yang paling rapat dengan nenek kerana nenek pernah menjaga aku daripada aku berusia 10 bulan sehingga enam tahun. Aku sekolah di tadika berdekatan dengan kampung nenek. Tetapi, kenapa mama seperti tak suka nenek akan tinggal disini?

Kesihatan nenek sekarang semakin merosot. Nenek hanya perlukan kerusi roda untuk menampungnya. Nak keluar suara pun nenek terketar-ketar. Nenek semakin uzur. Usianya tahun ini mencecah 73 tahun. Kena pakaikan lampin dan menyuap nenek makan. Aku sanggup lakukan semua itu kerana nenek pernah menjaga aku dengan tulus ikhlas hatinya. Aku sayangkan nenek. Memandangkan aku membuat keputusan untuk sambung belajar pada tahun depan. Aku akan menjaga nenek dan sambil itu aku akan jadi surirumah menolong mama. Kami tak pernah ada bibik kerana mama tak percaya dengan mana-mana orang. Katanya nanti barang hilanglah. Rumah tak terjaga. Mama harapkan aku dengan kakakku yang kerjanya sekarang sebagai pereka fesyen terkenal di Malaysia dan Indonesia. Memang taklah kakak aku nak buat kerja rumah. Akulah yang jadi mangsa tapi aku memang ikhlas buat. Nak buat seorang memang tak larat, rumah bagaikan istana kayangan. Kadangkala sahaja papa akan upah seseorang untuk membersihkan rumah setiap hari Ahad.

Malam itu, mama dan papa pulang awal ke rumah bersama nenek. Aku sangat gembira dan terus memeluk nenek. Nenek hanya tersenyum segaris. Tangan kanannnya terketar-ketar mengusap bahuku. Aku menolak kerusi roda nenek sehingga ke ruang meja makan. Hari ini aku hanya masak mihun goreng dan sambal ayam. Nenek begitu selera makan masakanku ditambah lagi aku yang menyuapnya. Ahli keluargaku yang lain hanya sunyi sambil menikmati makanan masing-masing. Tiada seorang pun yang bertanya ataupun bercakap dengan nenek. Nak dikatakan macam aku sorang dengan nenek je kat meja makan tu.

“Ayra, nanti bawa nenek masuk ke dalam bilik.” Suruh papa. Aku hanya mengangguk. Aku memandang nenek. Aku lihat nenek daripada tadi hanya merenung wajah papa. Mungkin nenek rindu akan anak lelakinya. Yelah, papa jarang balik ke kampung. Kalau balik pun sehari dua je. Memanglah tak puas. Kasihan nenek.

Aku lihat papa sekarang memang sangat sibuk dengan jadual padat kerjanya sebagai seorang koporat yang berjaya dan terkenal di Asia Tenggara. Sudah dua tahun papa memegang gelaran Datuk Paduka. Tetapi tidak bermakna papa ada pangkat tersebut aku akan jadi bongkak dengan kekayaan. Tidak. Aku hanya hidup seperti biasa sebab aku dah biasa daripada kecil, nenek ajar kita harus merendah diri dan sentiasa tolong orang walaupun betapanya susah kita. Allah SWT akan berikan yang lebih baik kepada kita.

Selesai makan, aku membawa nenek ke bilik tidurku. Aku tak nak nenek tidur seorang di dalam bilik tetamu yang bagaikan ruang tamu itu. Boleh nenek teman aku tidur. Aku bawa nenek ke bilik air kemudian menukarkan lampinnya yang sudah memberat. Aku biarkan nenek baring di atas katil sementara aku membuang lampin nenek tadi. Aku seperti perasan nenek sedang menangis.

“Nenek...” Nenek terus mengesat air matanya perlahan. “Kenapa nenek menangis? Ayra ada cakap apa-apa yang menyinggung hati nenek ke?” lantas nenek menggelengkan kepalanya.

“Nenek cuma rindu anak-anak nenek...” kata nenek perlahan. Aku mengesatkan air mata nenek yang masih mengalir. Aku faham kenapa nenek sangat merindui anak-anaknya. Nenek melahirkan tujuh orang anak, papa anak yang sulung dan papa juga seorang sahaja anak lelaki nenek. Mak cik aku yang lain semuanya sudah berumah tangga dan bekerja dengan pangkat-pangkat yang besar semuanya. Kiranya semua berjaya.

“Ayra tahu, nek.” Aku merebahkan diri disebelah nenek kemudian nenek mengusap wajahku perlahan.

“Wajah kamu memang persis ayah kamu, cu.” Aku tersenyum.

*******

“Mak! Apa ni?! Habis pecah gelas mahal sayalah mak.” Aku terkocoh-kocoh datang apabila terdengar jeritan nyaring mama memarahi nenek kerana nenek memecahkan gelas kesayangannya itu. Aku berasa sebak kerana nenek menangis dimarahi mama.

“Mama jangan marah nenek..” gumam aku. Aku menyapu kaca gelas yang sudah pecah bertaburan di atas lantai. Nenek memegang bajuku kuat mungkin terkejut dengan kemarahan mama.

“Inilah padahnya bawa orang tua masuk rumah. Rumah ni daripada elok ada bersih dan tersusun cantik semuanya punah.” Rungut mama. Tiba-tiba papa datang ke dapur sambil bercekak pinggang, merenung mama lama.

“Apa awak bising ni? Mak buat apa, mak? Saya nak buat kerja pun tergendala. Terjerit-jerit macam tarzan. Tak boleh nak cakap elok-elok ke?” marah papa kepada mama.

“Mak awak nilah. Minum air pun boleh terlepas gelas. Habis pecah berderai. Hari ini pecahkan gelas, lepas ni pecahkan apa pula ntah.” Mama berpeluk tubuh sambil menjeling nenek. Aku menolong membersihkan nenek yang dalam keadaan basah lencun bajunya. Aku tak boleh masuk campur urusan mereka. Aku hanya seorang anak yang perlu taat kepada ibu bapa.

“Nek, kita mandi ya. Lepas itu Ayra bawa nenek jenjalan kat shopping mall. Kita pergi makan-makan.” Nenek tersenyum lemah. Aku menolak kerusi roda nenek sehingga masuk ke dalam bilikku. Mujur bilikku berada di tingkat bawah, senang untuk aku uruskan nenek yang duduk di atas kerusi roda. Aku masih lagi dengar mama dan papa bertengkar mengenai nenek. Nenek aku lihat sedih riak wajahnya. Siapa yang tak sedih anak menantu bergaduh disebabkan dia?

Aku membersihkan tubuh nenek dan menyarungkan pakaian cantik pada tubuh nenek. Aku pula mengenakan jubah muslimah serta shawl arab yang kulilit kemas pada kepalaku. Aku menghidupkan enjin keretaku. Ya. Aku sudah ada lesen kereta sewaktu aku berusia 17 tahun dan papa menghadiahkan kereta Suprima berwarna biru. Jadi senanglah aku nak kemana dan tak perlu menyusahkan orang yang semuanya memang sentiasa sibuk.

Aku bawa nenek ke restoran makanan tradisional yang memang cukup terkenal di shopping mall itu. Pelayan restoran itu mengambil pesananku kemudian aku berbual-bual dengan nenek. Mata nenek meliar tengok suasana restoran ini. Aku memegang tangan nenek sambil tersenyum comel.
“Cucu nenek, terima kasih jaga nenek, cu. Semoga Allah SWT tempatkan kamu ke dalam Jannah.” Terus air mataku bercucuran apabila nenek berdoa untukku. Aku mengaminkan lalu tersenyum.

“Nenek tak perlu berterima kasih sebab nenek dulu yang jaga Ayra daripada baby sampai enam tahun. Sampai sekarang Ayra masih ingat. Nenek yang paling rapat sekali dalam hidup Ayra.” Pelayan tadi menghantar makanan yang kupesan. Terhidang makanan yang kelihatan sungguh menyelerakan itu. Aku menyuap nenek nasi berlaukkan ikan bakar dan sayur ulam.

“Cu, tahu tak? Dulu ayah kamu tu sangat manja dengan nenek. Kalau ada orang kacau dia balik sahaja mesti dia mengadu. Nenek bila teringatkan balik nenek rasa rindu sangat dengan perangainya dulu. Nenek rasa nak putarkan sahaja masa dulu.” Aku tersenyum tetapi disebalik senyuman itu aku berasa sedih mendengar luahan hati nenek itu.

“Cu, jadilah anak yang solehah ya.” aku mengangguk sambil memandang wajah nenek lama.

*******

“Ammar, kenapa kamu menangis nak?” tanya Mak Nur, ibu kandung Ammar. Ammar masih lagi dengan tangisannya sambil mengelap air matanya. Mak Nur memeluk bahu anak lelakinya itu.
“Budak-budak tu ejek Ammar lagilah, mak. Apalah yang mereka tak puas hati dengan Ammar..” tersedu-sedan Ammar menangis sambil memeluk pinggang Mak Nur. Mak Nur mengusap ubun-ubun Ammar.

“Jangan menangis sayang. Biarlah orang nak cakap pasal kita asalkan anak mak ni jadi anak yang soleh. Dah jangan menangis, lelaki mesti kuat!” Mak Nur mencium pipi Ammar. Dia tahu kehidupan mereka yang susah ini akan membuatkan manusia berkata buruk kepada mereka. Dia sudah lali dengan semua itu sejak azali lagi. Sekarang dia berasa sedih kerana anak-anaknya juga terkena tempiasnya.

Malam itu, Ammar membuat kerja sekolah diterangi dengan lampu pelita bersama-sama adik-beradiknya yang lain. Ammar mempunyai enam orang adik. Semuanya perempuan. Hanya dia seorang sahaja lelaki dan sebagai abang dia mahu menunjuk contoh yang baik buat adik-adiknya. Adiknya yang paling bongsu berusia dua tahun duduk diam diantara mereka sambil mewarna di atas sekeping kertas. Ammar melihat emaknya sedang menyusun daun pisang untuk dibungkus nasi lemak nanti. Ayah Ammar bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat tetapi gajinya tidak mencukupi untuk menanggung Ammar serta adik-beradiknya.

Emaknya membuat kerja sampingan dengan menjual nasi lemak serta kuih-muih. Kadang-kala dia yang menolong emaknya menjual nasi lemak. Meronda satu kampung sehingga jualannya habis. Ammar bakal menduduki peperiksaan UPSR untuk tahun itu. Dia bersemangat untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang buat emak dan ayahnya nanti. Itulah janji Ammar.
“Ammar budak miskin! Bodoh!” ejek kawan-kawan sekelasnya. Ammar hanya mengabaikan mereka. Dia lebih gemar membaca buku daripada mencari gaduh dengan mereka. Ammar masih ingat pesanan emaknya untuk tidak bergaduh dengan sesiapa. Ia akan mendatangkan lagi keburukan dan bukan kebaikan.

“Konon nak jadi pandai! Dah besar nanti jadi pengawal macam bapak dia!” Ammar semakin membara apabila mereka sudah mengejek sehingga bapanya terlibat sekali namun Ammar masih lagi bersabar. Pulang sahaja daripada sekolah Ammar akan mengadu pada emaknya. Mak Nur hanya tersenyum dan menyuruh Ammar bersabar.

“Itulah dugaan Ammar. Kalau Ammar nak berjaya, Ammar kenalah bersabar.” Ammar mengangguk. Dia memeluk tubuhnya emaknya erat.

*******

“Nenek.. Ayra bawakan nenek bubur daging spesial untuk nenek. Just for you.”: Dengan riangnya aku membawa semangkuk bubur untuk nenek. Aku perasan nenek sedikit terkejut apabila aku masuk ke dalam bilik. Aku lihat, nenek menangis lagi.

“Nenek, kenapa menangis lagi? Nenek terkejut ya?” nenek menggelengkan kepalanya lalu dia menarik lengan aku perlahan. Aku duduk di atas tilam katil. Mangkuk bubur itu aku letakkan di atas meja lampu.
“Nenek termenung tadi. Tu tak dengar kamu masuk.” Aku mengangguk.

“Nenek nak rasa tak bubur Ayra masakkan?” nenek terus mengangakan mulutnya kemudian aku menyuapkan bubur itu ke dalam mulutnya.

“Ayah kamu tak balik lagi?”

“Biasalah nek, papa tu kerja je dia ingat. Kerja tu dah macam nyawa dia.” Kata aku. Nenek mencubit kecil lenganku. Aku mengaduh sakit sambil mengusap lenganku yang terkena cubitan nenek.

“Jangan cakap macam tu. Dia bekerja keras untuk tampung kamu adik-beradik.” Kata nenek perlahan. Aku menundukkan wajahku.

“Maafkan Ayra, nek. Ayra cuma rindukan papa. Dia asyik kerja je, sabtu dan ahad pun kerja.” nenek hanya mendiamkan diri. Aku terus menyuap bubur ke dalam mulut nenek. Aku cuba membuatkan hati nenek terhibur, aku tak nak dia asyik ditenggelami dengan kesedihan. Sepatutnya nenek bergembira bersama anak, menantu dan cucu-cucunya. Namun semuanya sibuk dengan pekara duniawi. Azan Maghrib berkumandang, nenek terus mengajak aku untuk solat berjemaah.

Seusai solat berjemaah, aku menuju ke ruang tamu bersama nenek. Aku berhentikan kerusi roda nenek dia tepi sofa. Kelihatan mama, abang kembarku dan kakak sedang menonton televisyen. Papa masih belum nampak kelibatnya. Abang kembarku berbual-bual dengan nenek. Mama begitu tekun menonton drama yang terpampang di kaca televisyen itu manakala kakakku sibuk dengan telefon IPHONE kesayangannya itu. Al maklumlah orang dah terkenal bagaikan seluruh negara mengenalnya. Itulah sibuk tak terhingga sampaikan nenek pun tak dilayannya. Duduk pun tak sopan langsung. Aduhai kakak...

Aku melabuhkan punggung disebelah mama sambil melentukkan kepalaku di atas bahunya. Mama mengusap pipiku lembut lalu dikucupnya pipiku. Aku sangat gembira dengan kucupan yang mama berikan. Rindu. Aku memandang nenek, nenek memandang aku tersenyum. Mungkin dia nampak tadi mama cium pipiku.

“Ayra, kau bila nak sambung belajar?” tanya abang sulungku, Aariz.

“InshaAllah, tahun depan. Ayra nak masuk MSU. Nak ambil Tourism.” Abang Aariz mengangguk.

“Kau tangguhkan pengajian kau sebab nenek ke?” aku tersentak apabila kakak aku berkata begitu. Aku perasan air muka nenek berubah. Mama hanya tidak mengendahkan perbualan kami. Matanya masih tertancap pada skrin televisyen itu.

“Tak adalah, pandai-pandai je akak ni. Ayra memang dah plan nak sambung belajar tahun depan. Ayra nak rehatkan minda.” Kakak mencebik apabila aku cakap macamtu. Aku memang dari kecil tak ngam dengan kakak. Ada je benda nak gaduh. Abang kembarku juga tak ngam dengannya. Kuat bergaduh.

Pintu utama terbuka, terpacul wajah papa disebalik pintu masuk. Aku segera bangun lalu menyambutnya pulang. Muka papa nampak begitu penat. Seharian bekerja tak henti-henti. Entah makan ke tidak. Nenek juga menyambut papa di depan pintu. Nenek sanggup menolak kerusi rodanya sendiri tanpa pertolonganku.

“Ammar, balik pun kamu nak. Dah makan?” tanya nenek lembut sambil memegang tangan papa. Papa mengeluh berat.

“Em, dah mak.” Jawab papa acuh tak acuh.

“Mak rindu kamu nak. Dah lama kita tak berbual-bual. Kamu pergilah mandi nanti berbuallah dengan mak.” Kata nenek. Aku sedih, nenek berharap sangat akan papa meluangkan sedikit masa untuk nenek.

“Mar penatlah mak. Lain kalilah kita berbual. Mar sibuk jadi mak kenalah faham. Kerja kat syarikat tu menimbun.” Kata papa dengan suaranya sedikit dingin. Nenek terdiam. Aku terus mendapatkan nenek sambil memegang tangannya.

“Ayra, kamu layan nenek kamu tu.” Aku mengangguk. Papa beredar naik ke atas menuju ke biliknya. Mama menutup televisyen lalu masuk ke dalam biliknya mungkin nak melayan papa. Abang kembar dan kakakku turut meninggalkan kami masuk ke dalam bilik. Air mata jernih nenek mengalir lagi. Kali ini deras. Nenek mengusap dadanya perlahan.

“Nenek, nenek sakit dada ke?” aku membongkokkan sedikit badanku lalu memegang tangan nenek yang sedang mengusap dadanya.

“Tak, cu. Nenek rindu... rindu nenek membuak-buak pada anak-anak nenek.” Aku memeluk tubuh nenek.

“Menangis lah nek. Menangislah sekiranya ia mengurangkan bebanan yang ada dalam hati nenek itu. Ayra, cucu nenek akan sentiasa bersama nenek.” Pelukan nenek diperketatkan lagi. Hatiku sangat sebak. Nenek, andaikan Ayra boleh bantu kurangkan bebanan nenek itu... Ayra akan cuba nek. Ayra akan cuba kembalikan anak lelaki nenek pada nenek. Ya Allah bantulah aku.

“Nenek, kita masuk bilik ya.” Nenek mengangguk. Hari-hari nenek hanya diselebungi dengan perasaan sedih. Sekiranya dia bergembira, aku tahu dia hanya bergembira kerana tak nak buat aku berasa sedih. Aku tahu betapa sedihnya perasaan nenek tika ini. Ya Allah, tolonglah lembutkan hati papa.

*******

“Ya Allah Mar, panasnya badan kamu nak. Kamu demam panas ni.” Mak Nur menyentuh lembut dahi anaknya apabila dia melihat Ammar menggigil disebalik selimutnya.

“Kenapa Nur?” tanya ayah Ammar, Pak Aman.

“Ammar demam panas, bang. Menggigil badannya.” Pak Aman mendekati anak lelakinya itu. Sungguh panas suhu badan Ammar.

“Hari ini Ammar tak perlu ke sekolah. Teruk demamnya itu. Abang tak dapat nak hantarkan Ammar ke klinik. Nur boleh bawa ke? Ni duit abang berikan. Anak-anak yang lain minta tolong kak Jie sebelah rumah kita tu jagakan sekejap sementara awak ke klinik.” Mak Nur akur dengan kata-kata suaminya. Mak Nur mengucup tangan suaminya kemudian Pak Aman berangkat ke tempat kerja dengan menunggang motorsikal.

Mak Nur terus bersiap-siap untuk membawa Ammar ke klinik. Anak-anaknya yang lain dihantar ke rumah jirannya. Tubuh Ammar digendong oleh Mak Nur memandangkan Ammar tidak larat untuk berjalan. Mak Nur menguatkan kudratnya dengan mendukung Ammar sambil berjalan kaki untuk ke klinik. Mujur klinik kampung itu dekat dengan rumahnya. Ambil masa 20 minit untuk sampai ke sana. Mak Nur berasa lega selepas Ammar diperiksa oleh doktor dan diberi ubat. Doktor memberitahu bahawa Ammar demam panas akibat cuaca sekarang yang semakin panas. Sesudah membayar bil perubatan Ammar, Mak Nur memapah Ammar yang sudah boleh berjalan untuk pulang ke rumah.

“Mak, Ammar hauslah mak.” Kata Ammar lemah apabila dia ternampak air kotak yang tersusun cantik di dalam peti sejuk kedai runcit itu. Mak Nur mengira-gira bilangan duit yang dia ada sekarang. Dia hanya ada 90 sen sahaja.

“Ni berapa ya?” tanya Mak Nur kepada pengurus kedai runcit itu.

“RM 1.20, kak.” Mak Nur mengangguk lemah. Dia memeriksa kedua-dua belah poket seluarnya kalau-kalau ada duit syiling terselit dan akhirnya Mak Nur menjumpai 30 sen di dalam poket belakang seluarnya. Dia mengucapkan syukur kerana dia sungguh tak mahu melihat Ammar kecewa kerana dia tidak dapat membelikan air kotak. Akhirnya Allah SWT membantu Mak Nur untuk membelikan Ammar sekotak air.

“Sedapnya mak air ni.” Mak Nur mengangguk. Mak Nur terasa sedih kerana tidak dapat membelikan air kotak untuk anak-anaknya yang lain.

‘Maafkan mak, nak.’ Kata hati Mak Nur sedih.

Demam Ammar semakin kebah dan dia kembali ke sekolah setelah mendapat cuti dua hari daripada arahan doktor. Ammar semakin rajin mengulangkaji pelajaran memandangkan peperiksaan UPSR akan tiba tak lama sahaja lagi. Kira-kira sebulan lagi sahaja tinggal. Mak Nur menyokong anak-anaknya supaya berjaya mendapat keputusan cemerlang. Anak keduanya, Aminah berjaya memperolehi 5A dalam keputusan peperiksaan akhir tahun darjah lima. Mak Nur dan Pak Aman memanjatkan kesyukuran kerana anak-anaknya berjaya. Mak Nur tak pernah putus berdoa untuk kejayaan dan kesejahteraan anak-anaknya.

*******

“Nak, apa salah mak nak? Adakah mak salah didik kamu sehinggakan kamu tak nak meluangkan sedikit masa untuk mak? Mak rindukan kamu nak. Kamu lupa pada mak kah? Mak rindu semua anak-anak mak tetapi kenapa semuanya meminggirkan emak? Semua tak mahu jaga mak.” Aku yang berdiri disebalik pintu bilikku menangis teresak-esak mendengar luahan hati nenek.

“Mak tak beri kamu semua kasih sayang yang secukupnyakah? Mak tak minta wang ataupun harta kamu, nak. Mak nak korang, mak nak ketujuh-tujuh anak mak. Mak nak harta dunia akhirat mak. Ya Allah kembalikan anak-anakku kepadaku Ya Allah. Sedarkanlah mereka. Ampunkanlah semua dosa mereka. Aku sayang mereka, Ya Allah.” Aku mengesat air mataku perlahan. Aku ternampak papa yang tak bekerja hari ini sedang menaip sesuatu pada laptopnya. Mungkin buat projeknya. Aku mendekati papa.

“Pa..” kataku sambil duduk disebelahnya.

“Ya sayang?” tangan papa mengusap rambutku tetapi matanya tetap memandang skrin laptop.

“Papa tak nak berbual dengan nenek ke? Kasihan nenek. Nak sangat berbual dengan papa.” Aku dengar papa mengeluh perlahan.

“Papa sibuk ni. Deadline projek ni minggu depan. Kamukan ada, layanlah nenek tu. Dia perlukan perhatianlah tu. Dah semakin tua macamtulah. Macam-macam ragam. Kamu kena perhatikan nenek tu jangan sampai mama tu naik angin menjerit bagaikan tarzan je. Bising.” Aku terdiam. Papa menyuruh aku pergi meninggalkannya apabila telefon bimbitnya berdering. Aku segera bangun lalu berdiri di berandar rumah. Aku masih teringatkan luahan hati nenek tadi. Betapa sedihnya aku dengar ungkapan itu. Aku termenung jauh.

“Mak!!!” aku terkejut daripada lamunanku apabila sekali lagi terdengar mama menjerit di ruang tamu. Nenek keluar daripada bilikkah? Aduh salah aku juga tinggalkan nenek kat dalam bilik. Bersalahnya aku. Aku berlari mendapatkan nenek yang sudah terduduk di atas lantai. Apa salah nenek sehingga mama melayan nenek macam ni? Sayu hatiku melihatnya.

“Kenapa mama?” tanya aku sambil membantu nenek duduk semula di atas kerusi roda. Mama mendengus kuat. Kakakku yang baru je keluar daripada biliknya dengan keadaan rambut yang kusut-masai, konfirm baru bangun tidur.

“Sakit tau tak mak! Mak tak nampak ke kaki saya?” herdik mama kepada nenek. Aku terkebil-kebil.

“Mak minta maaf. Mak tak perasan kaki kamu dekat situ.” Terketar-ketar nenek meminta maaf. Aku mengusap kaki mama yang sedikit memerah. Mungkin roda kerusi nenek terlanggar kaki mama. Tu sebab mama mengamuk. Papa sudah berdiri sambil mukanya memerah.

“Apa ni mak? Hari itu pecahkan gelas, hari ini langgar kaki Riana. Mak ni memberontak ke apa sebab saya tak layan mak? Hah?!” marah papa. Nenek menundukkan wajahnya.

“Papa, mama nenek tak sengajakan. Janganlah marah nenek.”

“Kamu diam Ayra Delisha!” aku tergamam apabila ditengking oleh papa.

“Tapi papa dah melampaulah papa, kesian nenek. Setiap hari nenek tunggu papa balik. Tapi papa layan nenek acuh tak acuh je. Ayra tahu papa sibuk bekerja, tolonglah pa. Luangkanlah seminit pun jadi untuk nenek. Ayra tak nak tengok nenek sedih lagi.” Kata aku sambil menangis teresak-esak. Papa mendekati aku dan...

Panggg!

“Biadap kamu, Ayra! Pandai kamu nak nasihati papa, ya? Kamu tu anak papa. Pada siapa yang patutnya kamu hormat, hah?! Anak yang tak hargai hasil titik peluh orang tuanya. Papa tak sangka Ayra macam ni sejak nenek tinggal sini.”

“Bukan salah neneklah, papa...” gumam aku perlahan sambil memegang pipiku yang sakit. Mama mendekati aku lalu diusapnya pipiku.

“Awak ni pun nak mengamuk jangan sampai nak naik tangan kat anak saya ni. Dia tak salah.” Kata mama membela aku. Air mata nenek kulihat mengalir deras.

“Ammar...” panggil nenek dengan suara yang penuh kesedihan.

“Mana anak mak yang lama bernama Ammar Asyrad? Anak lelaki yang mak lahirkan bukan seorang yang panas baran.” Kata nenek lagi.

“Mak tak minta duit ataupun harta kamu, nak. Mak cuma nak berbual dengan kamu. Mak nak luangkan masa bersama kamu, kita ingat zaman-zaman dulu waktu kamu kecil. Mak rindu semua tu.” Suara nenek semakin serak akibat menangis. Aku mendekati nenek lalu duduk disebelahnya.

“Nak buat apa ingat zaman dulu mak. Kita orang susah dulu. Buat apa nak dikenang zaman susah kita tu. Saya bekerja keras ni sebab tak nak bagi anak-anak saya hidup susah macam saya dulu. Saya nak bagi apa sahaja yang mereka mahukan. Tak seperti saya dulu, apa-apa yang saya nak semuanya kena berkira dulu. Bukannya boleh terus dapat.”

“Ya Allah nak, sampainya hati kamu...” tersedu-sedan nenek menangis.

“Mak kira bersyukurlah sebab saya nak juga bawa mak ke rumah saya ni. Kalau tak mak duduklah rumah kita dulu yang nak roboh tu.”

“Papa... cukuplah papa. Jangan seksa hati nenek lagi. Papa tak kasihankah?”

“Ayra Delisha! Jangan masuk campur urusan papa dengan nenek kamu!” aku bangun lalu menolak kerusi roda nenek masuk ke dalam bilikku. Aku tak mahu nenek dengar lagi percakapan yang akan keluar daripada mulut papa. Aku mengunci pintu bilikku lalu duduk memeluk betis di hadapan nenek. Aku menangis. Aku tak dapat tahan lagi tangisanku yang kutahan tadi.

“Ayra..” panggil nenek. Aku mengangkat wajahku memandang nenek yang sudah tidak lagi menangis.

“Nek.. Ayra bersalah nek. Ayra tak tahu apa yang perlu Ayra buat? Ayra takut jadi anak derhaka tapi niat Ayra nak papa sedar. Papa dah berfikiran negatif. Ayra sayangkan papa...” aku memeluk nenek sambil menangis tersedu-sedan. Nenek mendakap aku erat.
“Cu, jadi anak yang solehah. Tu sahaja nenek pesan. Jangan pernah tinggalkan dan sakitkan hati ayah dan ibu kamu. Syurga anak adalah dibawah telapak kaki ibu dan ayah sayang. Kalau kamu derhaka pada mereka maka nerakalah tempat kamu, cu. Ayra, kamu cucu yang paling nenek sayang. Kamu anak yang solehah, cu. Jangan kamu pesongkan iman kamu kepada ke arah yang buruk.”

“Baik nenek. Ayra akan cuba. Ayra janji.”

*******
“Mak mak! Ammar dapat 5A mak!” jerit Ammar sehingga bergema rumah dijeritnya. Mak Nur yang sedang memasak di dapur terkejut dengan jeritan Ammar. Ammar memeluk Mak Nur erat sambil memberi slip keputusan UPSR kepada emaknya.

“Ya Allah syukur. Pandai anak mak. Belajar rajin-rajin lagi ya nak. Jangan lupa Allah SWT. Ini semua rezeki daripada Allah SWT. Nanti ayah balik kamu tunjuk kat dia, ya.” Ammar mengangguk bersungguh-sungguh.

“Mak, ni cikgu bagi RM200 sebab Ammar dapat 5A. Selain itu, Ammar dapat bantuan biasiswa pelajar nanti bila Ammar masuk sekolah menengah.” Ammar menghulurkan sampul yang berisi RM200 itu kepada Mak Nur.

“Tak apalah, nak. Itu kamu punya. Kamu nak beli barang sekolah nanti guna duit tu nanti. Simpan.”

“Betul ni mak?”

“Ya sayang betul.”

“Kalau macamtu bolehkah Ammar gunakan sebanyak RM30 untuk belikan adik-adik makanan sedap?”

“Kalau itu kamu nak,belilah. Nanti bawalah mereka ke kedai.” Ammar mengangguk. Mak Nur tersenyum dengan sikap Ammar yang tak pernah lupa dengan adik-adiknya. Sayang Ammar pada adik-adik perempuannya sangat kuat.

“Adik-adik abang semua, abang nak belanja adik ni. Kejap lagi kita pergi kedai dengan mak.” Kata Ammar.

“Yeayyy!!!” adik-adik Ammar melonjak gembira. Mak Nur yang terdengar anak-anaknya bersorak gembira, tersenyum dan dia bersyukur kerana Ammar memperolehi rezeki yang melimpah dengan usahanya sendiri.

*******

“Ya Allah, andaikan kau ambil nyawaku sekarang. Aku ampunkan kesemua dosa anak-anakku Ya Allah. Berikanlah mereka petunjuk Ya Allah. Bahawa pekara duniawi ini hanya sementara sedangkan akhirat yang akan kekal. Tolong Ya Allah.” Aku dengar nenek berdoa selepas solat Isyak berjemaah denganku. Aku hanya mendiamkan diri. Aku cuba untuk menahan tangisanku.

Seusai berdoa dan berzikir, aku dan nenek keluar menuju ke ruang meja makan. Kelihatan hari ini papa pulang awal daripada tempat kerja namun mama pula yang tidak nampak kelibatnya. Mungkin belum balik daripada perjumpaan persatuan Datin Paduka. Sejak papa memegang gelaran Datuk Paduka, mama selalu keluar dan pulang lewat malam. Kalau di rumah pun setiap masa tangannya bermain-main dengan telefon bimbit. Papa tak pernah sedikit pun menegur cara mama itu. Aku menolak kerusi roda nenek disebelah kerusiku. Aku tak masak hari ini, papa yang membawa balik makanan yang dibungkus di restoran terdekat.

Nasi goreng ayam. Aku lihat papa tak belikan bubur untuk nenek ataupun makanan yang lembik supaya senang nenek nak kunyah dan makan. Aku tak menyoal papa sebaliknya aku ke dapur untuk memasak bubur buat nenek. Nenek aku tinggalkan sementara dia meja makan. Aku lihat nenek cuba untuk bercakap dengan papa.

“Ammar, kamu sihat nak?” nenek mengajukan soalan kepada papa. Jarak antara dapur dengan meja makan agak dekat dan senang aku nak dengar apa yang nenek bualkan dengan papa.

“Sihat.” Papa menjawab sepatah. Abang kembarku ralit makan nasi goreng ayam. Mereka tidak menghiraukan papa dan nenek. Kakak aku pula semestinya sibuk bekerja. Sekarang dia berada di London untuk menguruskan pekerjaannya sebagai pereka fesyen.

“Banyak kerja kamu yang belum siap?” tanya nenek lagi.

“Bolehlah.” Papa seperti malas untuk melayan nenek yang mengajukan banyak soalan. Nenek mengangguk perlahan. Beberapa minit kemudian, bubur sudah siap dimasak. Aku letakkan di dalam mangkuk dan bawa ke meja makan. Aku terus suap ke dalam mulut nenek.

“Ayra, esok papa nak kamu ikut papa ke office. Papa nak minta tolong kamu.” Kata papa tegas.

“Kenapa? Siapa nak jaga nenek dekat rumah?” soal aku. Papa mendengus.

“Kamu ni. Ada sahaja soalan. Papa dah upah orang nak jaga nenek. Jangan kamu risau sangat. Esok hanya ada nenek dan orang yang jaga nenek itu sahaja. Mama dan papa akan ke UK minggu hadapan. Papa nak kamu gantikan papa sementara papa kat sana. Hamzah akan bantu kamu.” Aku sedikit terkejut. Aku manalah tahu apa-apa mengenai syarikat papa tu dan papa pula nak aku handle syarikat dia. Ya Allah...

“Ba-baiklah pa.” Aku malas nak membangkitkan kemarahan papa lagi. Cukuplah sekali aku ditampar olehnya. Nenek mengusap lembut tanganku.

“Papa nak Ayra terapkan ilmu perniagaan ni dan papa berharap kamu dapat menggantikan papa. Lagipun kamu nak ambil Tourism nantikan, elok sangatlah tu. Kamu dengan senangnya boleh ambil alih syarikat papa.” Aku mengangguk.

Sebenarnya papa adalah usahawan yang terkenal kerana papa berjaya membina syarikat perlancongan dan perhotelan di serata Malaysia. Kemungkinan tahun akan datang, papa akan bina beberapa buah hotel dan syarikat pelancongan di negara Indonesia, Jepun, Korea dan Australia. Aku mungkin bersedia untuk mengambil alih syarikat papa sebab aku berminat dengan jurusan pelancongan. Tu sebab papa minta aku gantikannya, siapa lagi nak gantikan kalau bukan aku? Abang Aariz, Abang Aakif dan Kak Ayna sudah mencapai cita-cita sendiri. Abang Aariz sekarang bekerja sebagai juruterbang manakala abang Aakif berjaya membuka restoran makan sendiri di bandaraya Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Kakak pula asyik merantau ke luar negara dengan kerjaya pereka fesyennya. Hanya tinggal aku sahaja yang belum bekerja.

Keesokannya, aku sungguh berat hati untuk meninggalkan nenek dengan seorang kakak yang bernama Fira berusia 27 tahun itu. Aku lihat cara Kak Fira mungkin dia akan dapat jaga nenek dengan baik namun hati aku berasa tidak sedap hati. Aku memeluk nenek erat kemudian mengucup tangan dan pipi nenek.

“Ayra, akan balik pukul 2 petang tau nek. Nenek tunggu Ayra, ya.”

“Baik cu.” Aku terus masuk ke dalam perut kereta yang dipandu oleh pemandu peribadi papa, Pak Muaz. Kereta papa meluncur laju menuju ke office papa. Aku berasa seram sejuk untuk berhadapan dengan semua pekerja papa. Aku harap mereka semua dapat membantu aku. Aku budak baru belajar.

“Selamat Pagi Datuk Paduka.” Salah seorang pekerja papa menyambut kedatangan aku dan papa. Papa aku lihat mukanya sangat serius manakala aku mengukirkan senyuman kepada semua pekerja mereka dan mereka teragak-agak nak membalas senyuman aku.

“Hamzah!” panggil papa. Aku terkejut. Terkocoh-kocoh pemuda yang bernama Hamzah datang.

“Ayra kamu duduk situ dulu. Papa nak cakap dengan dia.” Aku mengangguk. Sengaja aku mahu beramah mesra dengan pekerja papa di sana.

“Assalamualaikum, saya Ayra Delisha.” Aku memberikan senyuman semanis yang mungkin.

“Waalaikumussalam Cik Ayra.” Aku tersenyum lagi.

“Tak payah nak ber-cik. Panggil Ayra je. Boleh tak nak berborak?”

“Boleh. Nama akak, Mastura.” Aku melabuhkan punggung disebelah kak Mastura. Kemudian kami berborak-borak. Ramai yang memuji aku seorang yang peramah dan pemurah senyuman. Aku sudah biasa sekiranya mahu mencari kawan. Malu tu adalah juga tapi nanti apa-apa aku tak tahu pasal syarikat ni mesti aku nak kena refer mereka semua.

“Ayra! Apa kamu buat kat situ?” aku tergamam lalu mendapatkan papa yang sudah berdiri dengan muka yang sedang membara. Papa ni sejak bilalah jadi panas baran. Asyik nak marah aje. Aku mengeluh kecil dan perlahan supaya tidak didengari oleh papa.

“Papa suruh kamu tunggu dalam bilik papa tu. Kamu merayau ke situ buat apa?”

“Sahaja nak berkenalan dengan pekerjalah, pa.” Kata aku biasa. Papa mendengus.

“Ni Hamzah akan tolong kamu. Papa harap dia bolehlah tolong kamu dan kamu pula jangan nak menggatal dekat pejabat papa. Jangan buat pekara yang memalukan dan boleh menjatuhkan maruah papa dan syarikat papa ni.” Aku mengangguk perlahan.

“Ya papa. Ayra janji.” Papa mengusap kepalaku perlahan.

“Papa nak keluar pergi meeting kat Johor Bahru ni. Papa balik esok.” Aku mengangguk.

“Take care papa.” Aku melambaikan tangan ke arah papa.

*******

“Nak, mak cik haus. Boleh mak cik nak segelas air?” minta Mak Nur kepada Fira iaitu, penjaganya sementara Ayra di pejabat. Fira memusingkan bebola matanya 360 darjah. Dia mendengus kemudian dia menyumbat earphone pada telinganya. Dia tidak melayani Mak Nur sebaliknya mendengar lagu sambil bermain game di dalam telefon. Mak Nur menundukkan wajahnya. Dia menolak kerusi rodanya sendiri menuju ke dapur. Tangannya dia terketar-ketar mengambil gelas yang berada di dalam kabinet dapur kemudian menuangkan air ke dalam gelas tersebut. Memandangkan jag air itu agak berat, Mak Nur terlepas daripada pegangannya. Habis air tertumpah di atas lantai.

Fira yang terkejut mendengar bunyi jatuh dari dapur segera bangun. “Apa ni?!” Fira memukul lengan Mak Nur kemudian menolak Mak Nur daripada kerusi roda. Fira menyepak jag tersebut.

“Menyusahkan aje orang tua ni. Menyesal aku setuju nak jaga kaulah. Kalau tak Datuk Paduka tu bagi aku duit banyak, aku tak nak jaga orang tua menyusahkan ni. Ambil air pun tak larat. Nampak sangat nak mati tak lama lagi...”

Pangg!

Fira terjatuh terjelepok apabila ditampar oleh aku. Aku yang baru sahaja sampai ke rumah terdengar bunyi orang memaki hamun nenek terus aku berlari ke dapur.

“Cik Alfira Nadra! Sila keluar sekarang! Awak melampau! Terima kasih!” aku mendapatkan nenek yang sudah terduduk di atas lantai basah. Habis pakaian nenek basah lencun. Kak Fira menjeling lalu keluar begitu sahaja daripada rumah.

“Nenek, nenek okey?” aku menitiskan air mata apabila kak Fira sanggup buat nenek macam ni.

“Nenek okey je, cu.” Aku membantu nenek pergi ke bilik air. Nenek mengaduh sakit apabila aku memegang pinggangnya. Kata nenek dia terasa pinggangnya seperti terseliuh. Aku mengurut perlahan belakang badan nenek dengan minyak angin, tiba-tiba telefonku berdering. Abang Hamzah yang menelefon aku.

“Assalamualaikum Cik Ayra. Cik tak datang semula ke pejabat?”

“Waalaikumussalam, abang Hamzah kan Ayra cakap panggil Ayra je. Abang Hamzah boleh tak Ayra bawa nenek ke sana? Tak ada sesiapa nak jaga nenek sekarang ni.”

“Bo-boleh. Tapi Ayra jangan beritahu Datuk Paduka. Takut dia...”

“Ya Ayra tahu. Lagi 10 minit Ayra sampai.”

“Baiklah. Hati-hati.” Aku mematikan talian. Aku menolak kerusi roda nenek kemudian aku menolong nenek masuk ke dalam perut kereta aku. Nasib baiklah aku tergerak hati nak balik masa lunch tadi. Pak Muaz ikut papa pergi JB. Terpaksa aku naik teksi pulang ke rumah. Kalau tak apa jadi pada nenek kalau aku tak balik tadi.

Sampai sahaja di syarikat papa, aku menolak kerusi roda nenek masuk ke dalam bilik papa. “Nek, ni bilik papa. Nek duduk sini jap, ya. Ayra nak panggil kawan Ayra jap.” Nenek menganggukkan kepalanya. Aku berlari keluar mencari kelibat abang Hamzah.

Mata Mak Nur meliar melihat bilik pejabat anak lelakinya, Ammar. “Mak bangga kamu berjaya dengan cemerlangnya, Mar. Mak tumpang gembira... mak tak sangka kamu kecapi dengan jayanya apa yang kamu mahukan sejak kamu dari kecil. Mak sentiasa doakan anak mak semuanya berjaya.”

“Abang Hamzah, ni nenek Ayra.” Aku memperkenalkan nenek kepada abang Hamzah. Abang Hamzah mengucup tangan nenek kemudian tersenyum.

“Assalamualaikum Puan.”

“Waalaikumussalam. Tak usah ber-puan, cu. Panggil nenek je.” Abang Hamzah mengangguk. Nenek dilayan oleh Kak Mastura sementara abang Hamzah mengajar aku cara-cara mengendalikan syarikat ni. Aku lihat Kak Mastura layan nenek dengan baik. Bergurau-senda. Aku tersenyum apabila melihat nenek bergembira dengan kak Mastura.

*******

“Mak, kenapa mak bagi orang tu duit, sedangkan kita pun perlukan duit?” tanya Ammar kepada Mak Nur dengan nada tak puas hati. Mak Nur tersenyum.

“Kita kena tolong orang yang lebih susah daripada kita. Nanti Allah SWT akan beri lagi berganda rezeki kepada kita.” Ammar terdiam.

“Tapi mak, kita lagi perlukan duit. Apa yang Ammar nak mak berkira sahaja duit. Kenapa dengan orang tu mak tak berkira pula bila bagi? Bila Ammar dan adik-adik nak apa-apa mak mesti mak berkira.” Mak Nur terasa dengan kata-kata Ammar. Ammar kini sudah berusia tujuh belas tahun, sikapnya semakin berubah.

“Hari itu pergi pasar, Ammar nak jam tangan dengan harga RM7 je, tapi mak tak mampu nak belikan sedangkan tadi mak bagi orang duit tu RM 10. Padahal hasil jualan nasi lemak kita hanya kaut untung RM25 sahaja. Mak berkira dengan anak-anak mak sendiri.” Ammar mendengus.

“Mak bukan berkira, nak...” Belum sempat Mak Nur menghabiskan percakapannya, Ammar masuk ke dalam biliknya dan menghempas pintu. Air mata Mak Nur mengalir apabila melihat sikap baran Ammar itu. Semakin lama semakin menjadi-jadi barannya. Dia seperti memberontak kerana hidup susah. Sejak dari kecil Mak Nur dan Pak Aman mendidik dan menjaga anaknya walaupun sesusah manapun sehinggakan mereka sendiri tak makan demi anak-anaknya. Ammar dan Aminah sekarang pandai memberontak sejak masuk ke alam remaja ini. Adik-adiknya yang lain mula mengikut jejak mereka. Mak Nur sedih. Mak Nur sudah memberitahu mereka bahawa kesusahan ini hanya di dunia. Ini semua dugaan Allah SWT untuk menguji hambanya.

Dan sebenarnya, bukan Mak Nur berkira. Dia menabung duit itu untuk keperluan yang lebih penting untuk anak-anaknya seperti makanan dan barang sekolah. Sebab dia memberi duit kepada pak cik tua tadi untuk mendapatkan keberkatan dan kerahmatan yang lebih daripada Allah SWT. Mak Nur tak menyangka Ammar yang sudah besar panjang masih belum faham dengan hidup erti ‘sabar’.

Malam itu, Ammar tak makan bersama orang tuanya. Dia mogok. Dia lebih gemar membaca buku sambil mengulang kaji untuk peperiksaan SPM nya yang akan menjelang tak lama lagi. Ammar inginkan hidup senang seperti kawan-kawannya disekolah. Mahu jam tangan yang mahal, beg mahal dan kehidupan yang mewah. Balik naik kereta yang dihantar oleh pemandu. Namun, impian Ammar punah. Dia tahu yang dia tidak akan dapat semua itu kecuali dia sendiri yang berusaha. Sejak hari itu, dia belajar bersungguh-sungguh untuk dapat masuk ke universiti.

Keesokannya, balik dari sekolah, Ammar membuka tudung saji. Tiada apa-apa di atas meja. Ammar pelik. Mak dia tak masakkah? Sudahlah dia lapar. Ammar mendapatkan maknya yang sedang terbaring di atas katil bersama adik bongsunya.

“Mak.. Ammar laparlah.” Ammar mengejutkan maknya.

“Ammar, dah balik nak. Maaflah nak. Mak tertidur, mak pening. Beras dan telur dah habis. Kita kena tunggu ayah balik bawa beras dan telur. Duit pada mak dah habis. Kamu makanlah biskut dan minum air teh tu dulu, alas perut.”

“Alah mak ni... Ammar lapar nak makan nasi. Ammar nak belajar kena bertenaga. Menyampahlah macam ni.” Ammar keluar dari bilik maknya. Mak Nur terkejut dengan kata-kata Ammar. Dia mula rasa bersalah kerana tak dapat nak sediakan anaknya makan. Mak Nur lihat, Ammar keluar dengan kawannya menunggang motorsikal. Hati Mak Nur sayu.

Hari demi hari berlalu, Ammar memperolehi 11 A+ dalam peperiksaan SPM. Pak Aman dan Mak Nur sangat gembira dengan kejayaan yang dikecapi oleh Ammar. Ammar duduk di rumah sambil menunggu tawaran masuk ke universiti. Kadang-kala dia tolong emaknya menjual nasi lemak dan kuih-muih. Satu hari, posmen hantar surat dan masukkan ke dalam peti surat rumah mereka. Berdesup Ammar mengambil surat kemudian dia mencari-cari namanya dan akhirnya dia menemui satu surat yang tertulis nama dia.

“Yes! Aku dapat masuk U!” Ammar memberitahu Mak Nur dan Pak Aman tentang surat tawaran itu.

“Tahniah, nak. Tapi ayah tak dapat nak tampung pembelajaran kamu. Gaji ayah hanya cukup untuk kita makan sahaja, nak.” Riak wajah Ammar berubah. Cepat-cepat Mak Nur menyampuk.

“Abang tak apalah. Kita boleh tanggung dia. Saya akan buat lebih nasi lemak dan kuih-muih supaya kita dapat tanggung pembelajaran Ammar.” Pak Aman hanya diam.

“Awak tu dah semakin tua, Nur. Awak larat ke nak buat semua tu?”

“Demi anak-anak saya abang. Ammar kamu pergi daftar. Jangan risau. Ayah dan mak akan tanggung kamu.” Ammar tersenyum lega.

“Baiklah mak. Esok Ammar pergi daftar dengan kawan Ammar. Mak janganlah risau sangat, mak bagi sedikit je duit untuk Ammar kat sana sebab universiti dah beri duit elaun dan pinjaman.” Mak Nur mengangguk.

Akhirnya, Ammar dapat menyambung pengajian di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dengan jurusan pelancongan. Dia bersemangat untuk belajar dan mengubah nasibnya. Dia juga nanti mahu menolong mak dan ayahnya menampung yuran sekolah adik-adiknya yang lain. Dia nekad. Sehingga dia habis belajar dengan peringkat Degree, Ammar dapat membuka sebuah syarikat pelancongan dengan kawannya, Muiz. Syarikatnya berkembang maju sehingga dia dapat membuka cawangan di Johor Bahru.

Mak Nur gembira melihat anak-anaknya sekarang sudah senang. Tiada lagi istilah susah dalam hidup mereka. Ammar sudah berkahwin dan berkeluarga begitu juga dengan anak-anaknya yang lain. Suatu hari, Ammar meminta tolong emaknya untuk menjaga Ayra yang baru berusia 10 bulan kerana kesihatan Riana yang tidak mengizinkan. Riana mengalami kanser rahim dan dia memerlukan pembedahan. Mak Nur setuju untuk menjaga cucunya itu sehingga Ayra berusia enam tahun. Mak Nur berat hati untuk berpisah dengan Ayra. Ayra akan balik setiap kali cuti sekolah sahaja. Sebab itulah betapa rapatnya Ayra dengan neneknya. Ayra dijaga oleh neneknya bagai menatang minyak yang penuh. Ayra juga sudah biasa dengan kehidupan sederhana di kampung.

*******
“Nenek, nenek nak shopping apa, nek?” tanya aku sambil menolak kerusi roda nenek masuk ke dalam shopping mall. Selepas pulang dari kerja tadi, nenek mengajak aku untuk ke shopping mall katanya nak belikan sesuatu.

“Nenek dah lama nak beli sesuatu yang berharga untuk anak-anak nenek. Sepanjang nenek hidup, nenek tak pernah beri anak-anak nenek apa-apa hadiah. Mereka selalu meminta tetapi nenek hampakan permintaan mereka.” Aku mengangguk.

“Kejap ya, nek. Biar Ayra keluarkan duit dalam bank dulu. Kat Ayra ada RM80 sahaja.” Nenek menggelengkan kepalanya.

“Tak payah keluarkan duit. Nenek ada bawa duit nenek sendiri. Duit ni dah lama nenek kumpul. Biarlah nenek beli dengan menggunakan hasil titik peluh nenek sendiri walaupun hadiah yang akan nenek beli ini tidak seberapa.” Kata nenek sambil tersenyum. Aku hanya beralah dan ikut kehendak nenek. Aku membawa nenek masuk ke dalam kedai assesori, kemudian ke kedai jam tangan dan akhir sekali ke kedai pakaian.

“Cu, boleh kita masuk ke sini sekejap.” Aku mengangguk, lalu aku menolak kerusi roda nenek memasuki ruangan kedai emas. Rambang mata aku apabila melihat rantai yang berkilauan dari dalam rak kaca. Cantik.

“Cu, Cu suka tak dengan rantai ni?” nenek menunjukkan aku seutas rantai berloketkan mahkota. Aku mengangguk laju. Cantik! Pandai nenek pilih.

“Cantiklah nek! Ayra suka sangat. Nenek nak belikan untuk siapa tu?” nenek tak menjawab persoalanku sebaliknya nenek memilih sebentuk cincin pula. Kemudian pergi ke kaunter pembayaran. Aku lihat wajah nenek berseri-seri apabila dia dapat membelikan hadiah untuk anak-anaknya. Aku mengajak nenek makan di restoran Masakan Melayu Kampung di tingkat atas. Nenek hanya mengikut sahaja.

“Cu, ni untuk kamu sayang. Nenek belikan khas untuk kamu.” Nenek beri aku seutas rantai mahkota tadi. Aku terkejut.

“Tapi nek, tadi nenek cakap nak belikan untuk anak-anak nenek sahaja.” Kataku. Nenek tersenyum.

“Nenek sebenarnya belikan untuk semua anak menantu dan cucu nenek, sayang.” Aku terkejut. Patutlah bukan main banyak nenek ambil tshirt dan juga assesori tadi. Rupanya dia belikan untuk semua. Aku tersenyum.

“Betul ke ni untuk Ayra, nek?” nenek mengangguk.

“Nenek bagi sebab nenek sayangkan kamu.” Aku terus memeluk nenek kerana hatiku tiba-tiba terasa sebak. Aku mencium kedua-dua belah pipi nenek.

“Ayra sayang nenek sangat-sangat. Ayra bertuah sebab dapat nenek yang baik!” Nenek ketawa kecil kemudian sama-sama kami menjamu selera petang itu.

*******

Malam itu, aku berlegar-legar di bilikku. Aku menunggu kepulangan papa dan mama dari UK. Patutnya dorang dah sampai rumah. Kata flight sampai pukul 7 malam. Ini dah pukul 11:30 malam. Mana papa dan mama pergi? Dah lewat malam macam ni. Telefon pun diangkatnya. Whatsapp pun tak sampai lagi. Hanya ada tanda satu right sahaja. Mesej tak dibalas. Aduhai, resahnya hati ni.

“Cu, kenapa ni?” tanya nenek yang baru tersedar dari tidurnya. Kasihan nenek berpeluh-peluh kerana demam. Demam urat. Nenek muntah teruk pada pagi tadi dan aku terus membawanya ke klinik. Doktor memberitahu aku nenek terlalu penat dan terseliuh urat. Dia perlukan rehat secukupnya memandangkan usianya sudah lanjut.

“Nek, papa dan mama tak balik lagi. Mana mereka pergi? Sekarang nak jam 12 malam. Ayra call mereka langsung tak angkat. Ayra tak senang hati, nek.” Nenek hanya mengangguk, mukanya pun sudah menunjukkan kerisauan.
“Dik...” terpacul wajah Abang Aakif di pintu bilikku.

“Mama dengan papa... dik...” aku membesarkan mataku.

“Kenapa abang? Kenapa dengan papa dan mama? Bagitahu Ayra cepat.” Aku memegang lengan abang Aakif supaya dia memberitahu aku dengan segera.

“Mereka kemalangan. Kereta terbabas dan langgar tiang elektrik. Mama dan papa terlantar di ICU. Pak Muaz pula patah kaki.” Aku terduduk lemah tetapi abang Aakif sempat memaut tanganku.

Segera aku menyarung tudung dan menolong nenek duduk di atas kerusi roda. Abang Aariz menolong nenek masuk ke dalam perut kereta. Aku pula menelefon kak Ayna yang sekarang berada di bumi Eropah. Tapi telefonnya tak diangkat-angkat. Abang Aariz memecut kereta sehingga ke Hospital Besar Kuala Lumpur.

“Assalamualaikum doktor, macam mana dengan keadaan mama dan papa saya?” tanya aku kepada doktor persendirian papa, Doktor Amerul.

“Waalaikumussalam, Ayra. Papa dan mama kamu sudah dipindahkan ke wad biasa. Keadaan mereka mula stabil cuma...” Doktor Amerul menundukkan kepalanya.
“Papa kamu kehilangan fungsi penglihatannya manakala mama kamu kehilangan banyak darah. Kedua-duanya memerlukan penderma.” Aku terkejut. Papa buta? Ya Allah kuatnya dugaanMu. Tolonglah hambaMu ini, Ya Allah. Nenek menangis apabila mendengar percakapan doktor tadi.

“Nek.. papa dan mama nek..” aku memeluk nenek sambil menangis-nangis. Abang Aariz dan Abang Aakif juga menangis. Aku meminta izin doktor untuk masuk ke dalam wad papa dan mama. Kata doktor papa sudah sedar manakala mama belum kerana keadaannya lemah.

“Doktor, biar saya jadi penderma darah mama saya boleh?” tanya aku. Doktor Amerul mengangguk lalu aku mengikuti dia untuk membuat pemeriksaan. Nenek aku tinggalkan di wad papa dan mama. Abang Aariz dan abang Aakif akan menjaga nenek sementara aku membuat pemeriksaan.

“Ammar.. sabar ya nak. Ini semua ujian Allah SWT. Kamu kena kuat. Jangan jadi lemah, ya nak.” Kata Mak Nur sayu apabila melihat mata anak lelakinya dibalut. Ammar mula menggapai-gapai tangannya agar emaknya memegang tangannya.

“Mak kat sini sayang.” Mak Nur mengusap rambut Ammar perlahan. Sudah lama dia tidak berbuat seperti itu. Dia sangat merindui Ammar.

“Ma-mak maaf-kan Mar.” Kata Ammar perlahan.
“Mak dah lama maafkan kamu. Kamu satu-satunya anak lelaki mak yang sanggup jaga mak dan bawa mak tinggal bersama keluarga kamu walaupun mak tahu mak menyusahkan semua anak-anak mak kerana mak sudah tidak larat dan kedua-dua belah kaki mak tak berfungsi. Kudrat mak pun tak kuat dah, nak.” Kata Mak Nur manakala Ammar hanya mendiamkan diri.

“Ma-mak mana Ay-Ayra?” tanya Ammar.

“Anak kamu pergi jumpa doktor sekejap.” Ammar mengangguk perlahan.

*******

Sudah seminggu, papa dan mama terlantar di hospital. Aku bersyukur kerana mama dah sedar setelah aku menderma darah kepadanya. Mujur darah aku sama dengan darahnya. Darah jenis O. Kata doktor, susah nak cari orang yang jenis berdarah O. Alhamdullilah, Allah permudahkan urusanku. Terima kasih Ya Allah.

“Ma, meh cini Ayra suap mama makan. Sedap bubur ni. Nyum nyum.” Aku memujuk mama untuk makan supaya dia cepat sembuh dan bertenaga. Aku suap bubur ke dalam mulut mama perlahan. Mama masih kelihatan lemah.

“Cu, nenek buang air besarlah, cu. Sakit perut pula.” Bisik nenek pada telingaku. Aku memandang wajah nenek yang berasa serba salah.

“Jap ya nek.” Kataku lembut. Aku menyuruh kak Ayna menyuapkan mama bubur namun dia tak mahu katanya malas. Aku bersabar sahaja dengan sikap kakak yang tidak membantu itu. Untuk apa dia datang ke wad mama dan papa inipun aku tak tahu. 24 jam menghadap tab dan handphone sahaja.

“Dik, biar abang suapkan mama. Adik pergi tolong nenek.” Aku mengangguk. Aku membawa nenek ke bilik air untuk menukar lampin nenek. Selesai menukar lampin dan membersihkannya, aku bawa nenek kembali ke wad mama dan papa. Aku lihat abang Hamzah datang melawat bersama Kak Mastura.

“Assalamualaikum Ayra.” Abang Hamzah dan Kak Mastura memberi salam kepada aku. Aku tersenyum.

“Waalaikumussalam abang Hamzah dan kak Mas.” Kemudian abang Hamzah dan Kak Mas berbual dengan papa. Aku lihat papa berasa kekok apabila abang Hamzah bercakap dengannya. Aku tahu kenapa. Sudah ramai pekerja papa berkata kepadaku bahawa papa di pejabat seorang yang sangat garang dan tegas. Sekiranya sesiapa pekerjanya membuat kesilapan samada besar atau kecil, mereka akan dimarahi dan kemudian dihina oleh papa. Aku yang mendengarnya berasa sedih kerana papa bersikap begitu.

*******
Malam itu, aku dan nenek baring bersama-sama di atas tilam katilku. Nenek kata ada satu pekara yang mahu dia bincang bersama aku. Nenek mahu aku ikuti kehendaknya. Aku terkejut dengan nenek kerana nenek mahu mendermakan matanya kepada papa.

“Nenek betul ke, nek? Nanti nenek tak dapat...” ayatku dipotong oleh nenek.

“Nenek dah tua, sayang. Usia papa kamu baru sahaja 53 tahun, dia masih muda dan kuat orangnya. Nenek kenal anak lelaki nenek. Dialah orang kuat nenek dan arwah atok kamu dulu. Biarlah nenek berkorban untuk dia apa sahaja sebab dari kecil nenek tak pernah belikan apa yang dia mahukan begitu juga dengan adik-adiknya. Nenek bersalah, cu. Cu tolong nenek, ya. Nenek dah 73 tahun hidup. Tak pernah sekali nenek bahagiakan anak-anak nenek kerana dulu hidup kami susah. Tapi nenek tak menyalahkan sesiapa. Ayra tolong nenek, ya. Ingat kata-kata nenek tadi.” Aku hanya mengangguk lalu memeluk nenek. Pengorbanan nenek sungguh tak ternilai. Malam itu aku tidur sambil memeluk nenek.

Keesokannya, aku terus berjumpa dengan Doktor Amerul untuk membuat pembedahan mata papa. Doktor Amerul seperti tidak bersetuju kerana pendermanya adalah nenek.

“Tapi Ayra, bukan saya membantah. Nenek kamu sudah berusia. Dia perlukan banyak tenaga untuk digunakan sewaktu pembedahan nanti. Sekiranya tidak, ia akan mendatang risiko lain.” Aku terdiam tidak berkutik. Aku faham maksud doktor.

“Tak apa doktor. Tolonglah saya, doktor.” Kata nenek perlahan. Aku memegang tangan nenek.

“Nenek...” aku menggelengkan kepalaku sambil menangis.

“Ayra dah janjikan nak tolong nenek? Sepatutnya Ayra pujuk doktor ni.” aku memandang doktor Amerul lama dan akhirnya doktor Amerul mengalah. Nenek menandatangan pada satu borang kemudian dibawa ke bilik pembedahan.

Aku duduk di tempat menunggu bersama abang Hamzah dan kak Mas. Abang kembarku dan Kak Ayna kembali ke tempat kerja setelah seminggu bercuti. Mama tidur di dalam wad. Aku berasa resah apabila sudah lima jam pembedahan ini dilakukan. Doktor masih belum keluar. Tepat jam 5 petang, Doktor Amerul keluar bersama seorang jururawat lelaki.

“Ayra.” Aku terus mendapatkan Doktor Amerul.

“Kami berjaya memindahkan mata Puan Nur Kamilia kepada Datuk Paduka Ammar Asyrad. Tapi, saya harap Ayra banyak bersabar dan redha. Nenek Ayra tak dapat diselamatkan setelah pembedahan itu berjaya. Jantung nenek kamu sangat lemah ketika pembedahan sedang dijalankan.” Aku hanya mampu mengalirkan air mata. Nenek pergi meninggalkan aku. Nenek yang satu-satunya aku rapat. Nenek yang selalu mendengar cerita gembira dan duka aku. Tiada lagi nenek yang aku sayangi, dia pergi meninggalkan aku. Ya Allah kuatkanlah hati hambaMu ini. Ayra redha, Ya Allah. Tempatkanlah nenek di dalam SyurgaMu, Ya Allah. Ayra sayangkan nenek, Ya Allah.

Kata Doktor Amerul, papa masih belum sedarkan diri. Dia mengambil masa untuk memproses menerima mata baru. Papa tak dapat hadirkan diri untuk pengebumian jenazah nenek. Aku kucup dahi dan pipi nenek buat kali terakhir sebelum dikafankan. Aku menahan air mataku daripada jatuh wajah suci nenek. Aku memegang rantai yang dihadiahkan arwah nenek. Rantai akan aku jaga sehingga akhir hayatku. Ini sahajalah satu-satunya rantai pemberian arwah nenek.

Malam selepas pengebumian jenazah nenek, papa tersedar. Aku terus mendapatkan papa dan memegang tangannya. Papa mengelip-gelipkan matanya perlahan. Pada mulanya belum jelas dan akhirnya papa nampak wajahku lalu diusapnya. Aku memanggil doktor.

“Alhamdullilah. Datuk Paduka dah sedar.” Doktor Amerul tersenyum. Papa turut tersenyum.

“Ayra, maafkan papa sayang.” Papa memeluk aku erat. Aku membalas pelukkan papa dan mata papa meliar mencari seseorang.

“Mana nenek kamu, Ayra? Nenek tak ikut sekalikah?” aku tersentak apabila papa bertanyakan tentang nenek. Terkial-kial aku membuka mulut untuk memberitahu papa tentang berita sedih itu.

“Pa.. Ayra nak sangat papa bertenang. Papa jangan sedih, ya. Papa baru sahaja sedarkan diri.” Papa mengerutkan dahinya.

“Nenek dah tak ada, pa. Nenek dah meninggal dunia pagi tadi di hari Jumaat ini. Papa sabar, ya.” Papa memegang kepalanya. Aku membaringkan papa di atas katil. Aku tahu dia sangat terkejut.

“Mak..” panggil papa perlahan. “Ayra, nenek kamu sakit apa? Kenapa tiba-tiba?” tanya papa bertubi-tubi.

“Nenek tak sakit, pa. Nenek meninggal semasa menjalani pembedahan mata untuk papa. Jantung nenek sangat lemah sewaktu pembedahan dijalankan. Dan akhirnya nenek tak dapat nak diselamatkan. Nenek meninggal selepas pembedahan itu berjaya.” Kata aku. Papa terus menangis teresak-esak. Aku memeluk papa erat.

*******
Papa sudah dibenarkan pulang ke rumah. Aku membawa papa dan mama ke tanah perkuburan di mana nenek dikebumikan. Aku memapah mama dan papa ke kubur arwah nenek. Abang Hamzah turut membantuku.
“Mak... maafkan Mar, mak. Mar anak yang tak kenal budi orang tua. Mar anak derhaka, mak. Mak ampunkan Mar, mak. Mar banyak hampakan permintaan mak. Kenapa mak pergi sebelum Ammar sempat untuk menggembirakan hati, mak. Ammar bodoh, mak. Ammar pentingkan kerjaya daripada mak dan keluarga Mar. Mar hanya pentingkan pekara dunia. Mar banyak sakitkan hati, mak. Mak.. tanpa mak, Ammar rasa Ammar tak akan dapat membuka syarikat Ammar sendiri, mak. Semuanya hasil kerja kuat mak untuk menampung pembelajaran Ammar.” Papa menangis semahu-mahunya. Akhirnya doa nenek termakbul supaya papa sedar dan insaf sebelum ajalnya tiba. Nenek tak nak papa hanya sibukkan diri dengan pekara dunia dan meninggalkan ibadat untuk bekalan akhirat.

“Mak, maafkan Riana juga. Mak banyak tolong Riana. Riana selalu sakitkan hati, mak. Ampunkan Riana mak..” Mama turut menangis. Aku hanya memandang abang Hamzah yang duduk disebelahku. Dia turut mempamerkan wajah sedih. Yelah. Abang Hamzah seorang anak yatim piatu. Dia pernah merasai kesedihan apabila orang tersayang pergi meninggalkan kita. Aku juga merasainya sejak atok meninggal dunia.

Pulang sahaja di rumah, aku menjemput abang Hamzah masuk ke rumah. Aku menyediakan air milo panas untuknya. Abang Hamzah sudah banyak membantuku. Aku suka dengan sifat abang Hamzah yang suka menolong orang dalam kesusahan. Dia juga melayan nenek dengan baik. Katanya dia tidak pernah ada nenek. Dia hidup sebatang kara selepas ayahnya meninggal dunia. Dia juga tiada saudara-mara kerana ibu dan ayahnya seorang anak tunggal.

“Papa, mama... janganlah sedih lagi ya. Ayra sayangkan mama dan papa. Ayra nak mama dan papa ceria macam dulu. Nenek pesan pada Ayra supaya membuat mama dan papa gembira semula. Sekejap ya, Ayra ambil sesuatu.” Aku berlari mendapatkan beg kertas yang terisi hadiah untuk mama dan papa.

“Ini untuk papa dan ini untuk mama. Hadiah daripada arwah nenek.” Aku memberi beg kertas tersebut kepada papa dan mama. Aku lihat papa mengeluarkan hadiah tersebut dari dalam beg kertas. Rupanya nenek belikan seutas jam tangan berwarna silver kepada papa. Cantik jam tangan tu. Mama pula nenek hadiahkan sehelai baju blaus berwarna merah hati. Warna kesukaan mama. Sekali lagi papa menangis, dia terus menarik aku masuk ke dalam dakapannya.

“Papa, please... jangan menangis macam ni. Redhalah dengan pemergian nenek. Nenek sayangkan papa dan semua adik-adik papa. Papa, Ayra nak minta tolong papa buatkan majlis tahlil untuk arwah nenek. Lepastu boleh Ayra berikan hadiah kepada mak cik-mak cik Ayra tu. Nenek dah pesan dan Ayra dah berjanji. Ayra nak tunaikan janji nenek.” Papa mengangguk perlahan. Aku mengesat air mata papa.

*******

“Mak.. Ammar sayang mak!” kata Ammar sambil memeluk emaknya begitu erat. Mak Nur membalas pelukkan anaknya itu.

“Kami juga sayangkan mak dan ayah juga.” Adik-beradik Ammar turut memeluk Mak Nur. [Ketika ini, Ammar berusia 12 tahun.]

“Mak, Ammar janji akan jaga mak setelah Ammar berjaya nanti. Ammar nak bahagiakan mak. Ammar tak nak buat mak sedih lagi. Nanti Ammar akan bawa mak dan ayah keluar daripada kehidupan susah ini. Ammar janji!” kata Ammar bersungguh-sungguh. Mak Nur hanya mengukirkan senyuman sambil mengusap rambut ketujuh-tujuh anaknya.

*******

“Papa.. marilah kita ke ruang tamu. Ayra nak beri hadiah mereka.” Papa kelihatan terkejut apabila aku memanggilnya. Aku memegang lengan papa kemudian menuju ke ruang tamu. Aku terus memberi beg kertas kepada mereka. Semuanya mengalirkan mata tatkala aku memberikan mereka beg kertas tersebut. Ada sepucuk surat aku keluarkan dan kemudian aku bacakan di hadapan semua. Demi nenek, Ayra Delisha sanggup buat apa sahaja asalkan nenek gembira.

‘Assalamualaikum w.b.t buat anak-anak mak,

Mak menyuruh Ayra Delisha tuliskan surat ini kerana mak tidak tahu menulis. Hanya Ayra sahaja yang emak harapkan. Sebelum itu, mak nak minta maaf kepada anak-anak mak, Ammar Asyrad, Aminah Raisya, Adina Farisya, Anada Raina, Akila Basyirah, Aisya Rahma dan anak mak yang bongsu sekali, Alyana Safia kerana mak banyak menyusahkan anak-anak mak. Mak tahu, dalam keadaan mak yang semakin uzur ni akan menyusahkan kamu semua. Mak minta maaf. Mak tahu kehidupan kita dulu susah dan mak selalu menghampakan permintaan kamu semua. Tak pernah pun sekali mak memberikan kamu hadiah tiap kali hari jadi kamu. Mak juga tak pernah raikan kejayaan anak-anak mak, mak tika itu hanya mampu untuk mendoakan untuk anak-anak mak. Mak tak mampu untuk membelikan kamu semua hadiah. Mak dan ayah tak dapat nak berikan kemewahan kepada kamu semua. Maafkan kami, anak-anak. Mak minta kamu semua redha dengan pemergian mak sekiranya ajal mak tiba suatu hari nanti. Mak akan tunggu anak-anak mak di pintu Syurga Allah. Mak tunggu doa daripada anak-anak mak yang soleh dan solehah. Tolong mak, ya nak. Tolong selamatkan mak daripada azab seksa kubur dan azab neraka. Mak perlukan doa anak-anak mak. Ketujuh-tujuh anak mak.

Sebelum mak akhiri surat ini, mak ada sedikit hadiah yang nak diberikan kepada kamu semua. Tak perlu kamu tanya dari mana emak dapat duit tika membeli hadiah ni. Terima ya, nak. Mak harap anak-anak mak bahagia disamping keluarga. Sayangi mereka. Mak sayang keluarga mak. Anak-anak mak. Menantu-menantu mak dan semua cucu-cucu mak. Terima kasih kepada satu-satunya anak lelaki mak kerana sudi membawa mak tinggal bersama kamu dan terima kasih kepada Ayra Delisha, cucu nenek kerana menjaga nenek tanpa sebarang rungutan.

Itu sahaja kata-kata mak.

Wassalam.’

Suaraku semakin lama semakin serak akibat menahan sebak. Walaupun aku sendiri yang tulis surat tu tapi kalau dibaca berkali-kali aku pasti akan menangis. Sedih. Terlalu sedih. Aku terus berlari memeluk mama dan papa. Aku menangis semahu-mahunya. Aku rindukan nenek. Walaupun sudah beberapa hari pemergian nenek, aku sentiasa merindui nenek. Aku rindu nak pandang wajah nenek. Aku rindu akan senyuman nenek. Aku nak jadikan nenek idolaku. Aku nak jadi macam nenek seorang yang penyabar dan sentiasa memaafkan orang.

Sejak dari hari itu, papa dan mama berubah. Papa mula berbaik-baik dengan semua pekerjanya dan mama sering pergi ke rumah orang tua-tua. Kadang-kala aku mengikut mama sekiranya tidak bekerja. Doa nenek termakbul walaupun nenek sudah pergi sebelum melihatnya. Aku pasti sekarang nenek berasa bahagia melihat papa dan mak cik-mak cikku semua sudah berubah.

Alhamdullilah.

Nek, Ayra rindu nenek. Ayra sayangkan nenek sangat-sangat.

~Sayangilah ibu dan ayah kita yang banyak berkorban walaupun kita sendiri tidak nampak. Kecil atau besar pengorbanan itu kita tetap kena hargai. Janganlah sakiti hati mereka. Jangan titiskan air mata mereka kerana sikap kita. Kita sebagai anak kena fahami perasaan ibu dan ayah. Jangan cakap yang ibu dan ayah tak pernah faham perasan kita sedangkan mereka bertungkus-lumus bekerja untuk memberikan kesenangan kepada kita. Pada mereka, biar mereka yang susah bukan anak-anaknya. Tiada ibu bapa yang nak tengok anak dia susah. Tak ada ibu bapa yang tak sayangkan anak-anaknya. Sekiranya ibu dan ayah marah kita, mungkin kita ada buat silap secara tidak sedar. Berbaktilah kepada ibu bapa kita. InsyaAllah, Allah SWT akan tempatkan kita di SyurgaNya. Hargai dan sayangi mereka selagi mereka masih hidup, kepada yang sudah meninggal dunia, kita sayangi mereka dengan menghantarkan doa-doa untuk mereka. Semoga kita sebagai anak dapat menjadi penjamin Syurga untuk ibu dan bapa. InsyaAllah. Aamiin.~

~Seburuk-buruk ibu bapa kita, kita tak berhak untuk menghukum mereka. Itu adalah kerja Allah SWT. Itu mereka dengan Allah SWT. Kita sebagai anak harus taat pada ibu bapa selagi ke arah kebaikan. Jadilah anak yang soleh dan solehah. Sekiranya kita sayang ibu dan ayah, buatlah cara kita menyayangi mereka. Fikir secara logik, fikir sebagai kita seorang umat Islam. Apa yang Islam arahkan untuk menyayangi dan menghargai ibu dan ayah? InsyaAllah, sekiranya kita buat PASTI Allah akan berikan ganjaran walaupun cepat atau lambat, di dunia mahupun di akhirat. Alhamdullilah. InsyaAllah.~

*******

T.A.M.A.T
Terima kasih kepada pembaca NurShaza yang sudi membaca cerpen kedua Shaza. Shaza hargai sangat. Shaza harap cerpen ini tak menghampakan pembaca semua. Harap semuanya suka dengan cerpen kedua yang bertajuk Pengorbanan Seorang Mak. Maaf sekiranya ada kekurangan dalam cerpen ini. Assalamualaikum.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience