Rate

RUMAH SAYANG

Short Story Completed 303

“NAIK bas.” Puan Farhana membisikkan sesuatu ke telinga Alanis. Matanya tiba-tiba terbuka luas. Alanis teringat sesuatu lantas dia melompat turun daripada katil.

“Naik bas.” Alanis mengulang semula bisikan Puan Farhana dalam hati.

Pagi itu Alanis membawa dua beg untuk pergi ke sekolah. Sebuah beg kecil berisi alat tulis dan sebuah buku latihan bersama sebuah lagi beg besar berisi makan minumnya. Puan Farhana ingin memastikan yang Alanis tidak lapar sepanjang perjalanan semasa menaiki bas nanti. Kesemuanya empat bekas makanan telah disediakan.

“Satu bekas nasi goreng, dua bekas roti sardin dan satu bekas kuih talam berlauk udang. Empat botol air kosong dan dua air kotak. Em, sedap-sedap. Cukup semuanya.” Alanis berpuas hati.

TEPAT jam 7.45 pagi dua buah bas telah pun sampai. Semua kanak-kanak yang akan mengikuti rombongan prasekolah berbaris di satu kawasan yang ditetapkan mengikut kelas masing-masing. Alanis dan rakan-rakan sekelasnya menaiki bas yang kedua. Di sepanjang perjalanan Alanis bergurau-senda dengan kawan-kawannya. Ada di antara mereka yang menyanyi kegembiraan. Ada juga yang nyenyak tidur.

Kedua-dua bas sampai ke Rumah Nur Kasih lebih kurang jam 9.00 pagi. Mereka terus dibawa untuk menikmati juadah perkenalan yang telah disediakan oleh pihak Rumah Nur Kasih di dewan makan. Mereka dihidangkan dengan nasi lemak telur goreng dan air sirap.

“Pedasnya.” Alanis merungut.

Dahinya mula berpeluh-peluh. Cepat-cepat Alanis menghabiskan minumannya yang hanya tinggal separuh gelas. Kemudian dia memandang sekeliling memerhatikan rakan-rakan lain yang sedang asyik menikmati juadah masing-masing. Alanis berkira-kira untuk meninggalkan tempat itu sebentar.

Perlahan-lahan Alanis beredar daripada tempat duduknya menuju ke bilik sebelah yang menempatkan beg-beg yang dibawa mereka. Seketika kemudian Alanis masuk semula bersama sebuah beg yang berisi makanan ke dalam dewan makan. Alanis kemudiannya mengatur keempat-empat bekal makanan yang dibawanya di atas meja.

“Jemputlah makan bekalan Alanis sama-sama.” Alanis menjemput rakan-rakannya sambil tersenyum. Matanya bersinar girang.

“Eh, Alanis buka bekallah…” Ammar berbisik kepada rakan-rakan lain yang berdekatan dengannya.

Sekumpulan kanak-kanak prasekolah mula membuka bekalan yang dibawa mereka. Suasana yang senyap tadi bertukar menjadi riuh-rendah dengan aktiviti kanak-kanak prasekolah yang mula bertukar-tukar makanan antara sesama mereka.

Sementara itu, anak-anak Rumah Nur Kasih hanya tunduk sambil menghabiskan juadah masing-masing. Ada beberapa orang dalam kalangan mereka mula menangis tersedu-sedu. Melihat keadaan itu guru-guru dari prasekolah mula memberi isyarat dengan mengetuk-ngetuk sudu dan agar anak murid mereka senyap. Kemudian kesemua bekal makanan yang dibawa kanak-kanak prasekolah diambil oleh guru mereka, Cikgu Tia.

“Kenapa cikgu nak simpan makanan Alanis ?” Alanis mula menyoal dengan nada yang tidak puas hati.

“Betul tu…cikgu tak boleh simpan makanan kami.” sokong Ammar dan Su Yin menyokong kata-kata Alanis. Mereka hanya sekadar ingin menghabiskan bekalan yang disediakan emak masing-masing. Salah ke?

Jamuan makan terhenti dengan serta-merta. Suasana menjadi tegang dengan tangisan anak-anak Rumah Nur Kasih dan rasa tidak puas hati kanak-kanak prasekolah. Namun mereka tidak membantah apabila disuruh berkumpul dalam dewan perhimpunan.

“SEBELUM kita menyambung kembali jamuan dan aktiviti lain, cikgu mahu kita benar-benar berkenalan dengan menjawab soalan-soalan cikgu secara jujur. Faham tak” Cikgu Tia memandang ke arah kumpulan kanak-kanak dari prasekolah dengan wajah yang agak serius. Suara keibuan cikgu berubah tegas.

“Faham!” Cikgu Tia mengulangi.

“Faham cikgu….” Kanak-kanak prasekolah menjawab dengan perlahan.

“Apa yang membuat kamu kecoh-kecoh tadi?” Cikgu Fahmi dari rumah Nur Kasih menyoal dengan tegas.

Alanis memandang kawan-kawan disekelilingnya. Mereka hanya menunduk sedih seperti menunggu hukaman daripada Cikgu Tia. Alanis segera mengangkat tangannya. Cikgu Fahmi memberi isyarat membenarkan Alanis untuk bangun dan bercakap.

“Alanis nak makan bekalan emak. Emak masak sedap tapi Cikgu Tia ambil makanan Alanis.” Cikgu Fahmi menggangguk-angguk mendengar kata-kata daripada seorang pelajar perempuan yang agak montel itu.

“Mama Ammar pun masak sedap.” Ammar pula menyampuk.

“Ibtisam, tadi cikgu nampak kamu menangis tersedu-sedu. Mesti kamu ada apa-apa yang hendak dicakapkan kepada kawan-kawan yang baru.” Cikgu Fahmi menunjukkan jarinya kepada salah seorang murid daripada Rumah Nur Kasih.

Ibtisam yang masih tersedu-sedu cuba menyorokkan mukanya dengan terus tunduk memandang ke lantai. Selepas beberapa kali dipanggil Ibtisam tetap tidak memberi tindak-balas. Ibtisam sebak untuk memberi kebenaran yang amat menyakitkan hati kecilnya.

“Kami semua di sini tidak mempunyai emak atau bapa. Kami tidak ada makanan istimewa atau makanan yang macam-macam untuk dikongsi. Kami sedih.” Ujar Sofea yang berusia sembilan tahun bercakap dengan petah dan jelas.

“Ibtisam nak ibu. Nak makan sedap-sedap.” Ibtisam yang tadinya diam membisu mula berkata-kata. Suaranya tersekat-sekat.

“Ali pun nak ibu. Tapi ibu buang Ali dalam beg plastik. Orang jumpa Ali dan hantar Ali ke sini.” Serak dan dalam suara Ali semasa menuturkan perkataan “ibu”.

Dari hadapan dewan terdengar ada di antara anak-anak Rumah Nur Kasih yang mula teresak-esak menangis. Semua murid-murid prasekolah terdiam dan mula mengerti. Hati mereka tersentuh.

“Kami minta maaf.” Kedengaran permohonan maaf secara serentak daripada seluruh kanak-kanak prasekolah.

Ada diantara mereka yang mula menitiskan air mata dan teresak-esak sambil mengelap air mata dengan lengan baju. Dengan langkah yang perlahan Alanis dan sekumpulan pelajar prasekolah berjalan menuju ke arah kumpulan anak-anak Rumah Nur Kasih lalu menghulurkan tangan mereka memohon maaf.

“Nanti Alanis datang bawa makanan banyak-banyak.” Suaranya kedengaran sayu.

Anak-anak Rumah Nur Kasih menggangguk-anggukkan kepala mereka.

“ALANIS kasihan tengok anak-anak yang tinggal di Rumah Nur Kasih. Entah bagaimana sebenarnya perasaan mereka. Kecil-kecil dah hidup tanpa emak dan bapak” Alanis menutup ceritanya kepada Puan Farhana dan Encik Khir sewaktu pulang dari sekolah. Wajah Alanis kelihatan kusut dan muram sepanjang hari itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience