Teaser 1

Romance Series 1052

I'll have a blue Christmas without you
I'll be so blue just thinking about you
Decorations of red on a green Christmas tree
Won't be the same dear, if you're not here with me

Kepala yang tadi tunduk memandang lantai diangkat perlahan. Dengusan lemah dilepaskan pada masa yang sama matanya terpejam rapat. Lagu yang berkumandang dari dalam rumah seperti faham akan perasaannya ketika itu. Saat orang lain sibuk menyiapkan diri dalam kegembiraan untuk perayaan yang bakal kunjung tiba, dia pula masih begitu.

Sama seperti lirik lagu yang menyampaikan rasa sedihnya tak dapat bersama dengan orang tersayang. Sama seperti dedaun yang lemah gemalai ditiup angin. Sama seperti rama-rama yang terbang sendirian tanpa teman.

"Entah kenapa pula playlist lagu ni semua sedih-sedih. Dari mana agaknya TV ni dapat aura sedih,"

Pantas Ashlan mengatur cara duduknya. Nafas ditarik perlahan, wajahnya dilap guna kedua tapak tangan. Bebelan yang kedengaran tadi kini berada di belakangnya. Dia tak mahu sedihnya itu terlalu jelas di mata pemilik suara tadi.

"Baby boy, nak minum kopi atau teh?" Puan Arliely yang dipanggil Amma oleh cucunya memandang tepat pada wajah Ashlan. Dengar sahaja kopi disebut, Ashlan terus mengangkat kening kanannya.

"Kopi ya? Nanti Amma bawakan ya," sahut Amma mengundur kembali masuk ke dalam rumah.

Ashlan diam tanpa jawapan. Begitulah dia selalunya. Jika tiada yang penting, biarlah dia nampak seperti tunggul kayu. Jika tiada niatnya, dibiarnya sahaja berlalu sebegitu.

Sebentar sahaja dia duduk seorang diri, datang lagi Amma kali ini dengan pinggan yang berisi sesuatu dan secawan kopi di tangan kanannya. Keduanya diletakkan dengan perlahan atas meja. Pisang goreng ranggup kegemarannya dipandang lama sebelum dia mengambil satu keping dengan perlahan disuap ke dalam mulutnya.

"Baby boy ke yang tengah bersedih ni hingga TV pun ikut bersedih?" Amma bertanya. Ashlan memandang pada Amma. Sinis soalan itu bagi Ashlan. Lihat pandangan dan senyuman dari Amma sahaja dia yakin, Amma tahu apa yang sedang dia sembunyikan.

"Kalau Amma, memanglah Amma yakin yang Baby Boy yang sedang bersedih sekarang ni. Kalau orang lain pula, mahu ambil tujuh tahun untuk mereka faham. Sama juga macam Amma dan Mama dulu, ingatkan kenapalah Baby Boy tak ada suara. Ada pun bunyi tangisan." Ujar Amma. Amma yang mengurut-urut kakinya mengangkat kepalanya memandang seketika pada Ashlan.

Ashlan menelan air liur. Senang hati bila Amma menjawab soalan yang dia sendiri tanya. Tak perlu dia membuka mulut untuk itu.

"Baby boy janganlah sentiasa berharap orang faham apa yang sedang bermain dalam fikiran Baby Boy tu. Sedangkan Lala yang dah 28 tahun hidup dengan Baby Boy pun masih marah kalau Baby Boy tak memberi jawapan, apalagi orang lain." Sambung Amma.

Ashlan mengangkat kedua bahu untuk menjawab kata-kata itu.

"Atau Baby Boy nak Amma dan Mama tolong sampaikan pada, siapa tadi? Baby Girl?" Amma berdecit ketawa. "Carmela Laura kan namanya?" Soalnya setelah tak mendapat respon dari Ashlan.

Ashlan mengangguk.

"Tapikan, sayanglah kalau dia bercinta dengan Baby Boy. Tak padan. Baby Boy pendiam. Mesti dia bosan dengan Baby Boy, dia kan kipas?"

"Kipas?"

Amma tersenyum lebar. Satu kejayaan besar bila berjaya membuatkan Ashlan mengeluarkan suara.

"Will panggil dia kipas rosak." Sahut Amma.

"Kipas kalau rosak kan bunyi dia kuat tak berhenti-henti? Macam Baby Girl awak tu lah, kalau diajak berbual, macam kipas rosak, kalau ditutup suisnya baru tiada bunyi."

Ashlan sekadar mengangguk. Kipas pun kipaslah. Mungkin bising bagi orang lain tapi bukan bagi dia. Suara yang tak pandai berhenti bercakap itulah yang menambah indah harinya. Memang patut juga gelaran itu diberi padanya, suasana yang panas pun dingin yang Ashlan rasakan bila Carmela ada bersamanya.

"Jadi macam mana? Nak Amma tolong sampaikan?"

Ashlan memandang nenek kesayangannya itu dengan dua lapisan pada dahinya.

"Okay kalau macam tu, pandai-pandailah Baby Boy cari caranya ya. Jangan lupa, malam krismas ni Amma teringin sangat nak Carmela ada dengan kita."

Sekadar dibalas dengan kerdipan mata, Puan Arliely bangun meninggalkan cucunya itu.

Test.. test... saya datang lagi...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience