Series
153
Sisi kaki Yeonjun disepak sekali. Laju nafas ditarik, mata dipejam sesaat menahan sabar sebelum kedua iris coklat gelap itu melirik ke arah gadis di hadapannya. “Apa?” Yeonjun menjawab malas. Kepala yang asalnya dibaringkan di atas lengan kini ditongkat dagu. Beberapa helai rambut blonde miliknya jatuh menutup dahi.
Y/N tersengih, menayangkan barisan gigi putihnya sebelum menggeleng kecil. Yeonjun menghela nafas pasrah sebelum kembali merehatkan kepalanya di atas lengan yang dijadikan bantal.
Baru sahaja mahu melelapkan mata, sisi kakinya ditendang lagi. Laju kepala diangkat lalu jelingan tajam dihadiahkan kepada gadis di hadapannya.
“Y/N, cukup.”
Y/N mencebik menyampah. Soobin yang duduk di sebelahnya hanya tertawa kecil. “Dahlah, Y/N. Habiskan makanan tu cepat, nanti nak bersedia untuk kelas Fizik pula,” pesannya tenang.
Selepas mengerling sekali ke arah rakannya, Soobin menggeleng kecil, sudah masak dengan perangai Yeonjun yang malas hendak ikut tuan empunya mereka ke sekolah. Hendak marah pun tiada guna. Hakikat bahawa lelaki itu merupakan shoulder devil memang tidak dapat diubah. Mujurlah Y/N lebih gemar menurut kata Soobin, shoulder angel. Sekurang-kurangnya nampaklah sinar cahaya untuk masa hadapan gadis yang dipertanggungjawabkan untuk mereka itu.
Memang setiap pagi Yeonjun akan cuba mempengaruhi Y/N supaya enggan pergi ke sekolah. Pernah juga dia cuba untuk mewujudkan sekelumit rasa benci mahupun malas dalam hati kecil itu, namun sering kali gagal apabila motifnya diketahui Soobin. Sudahlah gagal, terpaksa ikut sekali pula itu. Semakin muaklah Yeonjun dibuatnya, tambahan lagi apabila kerap kali Soobin sahaja yang menjadi pemenang bagi persaingan mereka.
Rimas? Sudah tak dinafikan lagi. Cuma, kadang kala rasa malasnya lebih menggunung.
“Yeonjun,” pamit Y/N selepas mengambil sesuap kecil sup cendawan daripada sudu besi yang setia berada di dalam genggamannya.
Yeonjun menghela nafas sekali lagi, pasrahnya sudah pecah termometer. Dengan penuh terpaksa, dia kembali memandang wajah gadis itu. Tidak tunggu lama, terus Y/N membuka mulut, “Kalau dah tak rela sangat, balik ajelah. Lagipun tinggal dua jam aje lagi sebelum sesi persekolahan habis.”
“Lepas tu tinggal kau dekat sini? Dengan dia ni?” Yeonjun membalas, matanya dijegil ke arah Soobin yang elok duduk di sebelah Y/N dengan kedua tangan dilipat di atas meja. Sempat Soobin menjungkit keningnya sebelah apabila dirinya tiba-tiba dilibatkan sama. “Heh, silap haribulan nanti kau kena buli, dia suruh serah diri aje,” sambung Yeonjun, separa mengherdik pesaingnya itu.
“Eh eh, engkau, sedapnya mulut. Serah diri lain dengan memaafkan, tahu? Lagipun siapa aje nak buli Y/N ni?” Soobin membidas demi mempertahankan dirinya. Memanglah sudah biasa dengan sikap Yeonjun yang suka cari gaduh, tetapi siapa sahaja yang boleh tahan apabila diherdik tanpa sebab?
“Oh yeah? Kali terakhir aku tinggal dia dengan kau, budak yang tumpahkan air Milo panas dalam beg dia terlepas macam tu aje.”
“Budak tu tak sengaja, Yeonjun. Sabarlah.”
“Soobin, budak tu minta maaf pun tak. Y/N kena denda berdiri tengah-tengah dewan terbuka sebab buku teks dia rosak! Itupun kira nasib baik aje pihak sekolah masih lagi bagi dia buku baru, kalau kena beli sendiri?”
“Itu sebab cikgu yang bermasalah, tak nak dengar penjelasan Y/N dulu.”
Yeonjun mendengus sekali, hujung bibirnya terjungkit sedikit membentuk senyuman mengejek. “Malaikat, memang selalu berbaik sangka. Sampaikan akibat yang mendatang pun tak mampu nampak.”
“Sekurang-kurangnya aku tak berfikiran negatif.”
Mendengar gumaman kecil itu, lantas mata helang Yeonjun menikam iris Soobin. Tanpa disedari, nafasnya semakin laju. Rancak dadanya turun naik tanpa henti. Rahang diketap kuat, menzahirkan beberapa urat di sepanjang lehernya.
Y/N yang menjadi penonton hanya mampu berdiam diri dengan mata yang sedikit terbeliak, tangan setia memegang sudu besi yang masih berada di dalam mulutnya. Ke kanan kiri anak matanya bergerak memerhati kedua-dua makhluk halus yang menjadi penemannya sepanjang masa itu. Bukannya dia tidak mahu masuk campur, namun otaknya menolak untuk memutuskan jalan penyelesaian.
Hendak meleraikan pergaduhankah?
Tetapi Yeonjun dan Soobin dua puluh empat jam bergaduh, jadi dikira normallah kan?
Wajah dipalingkan ke lain buat seketika, cuba menenangkan diri daripada terus menyerang malaikat yang satu itu. Setajam manapun dia menjeling, memang Soobin tidak akan membalas jelingan itu. Sudah menjadi personaliti Soobin untuk tidak berlaku kasar, termasuklah menjeling. Jeling menzahirkan dendam ataupun ketidakpuasan hati, dan memang mustahil buat malaikat seperti dirinya untuk menyimpan dendam.
“Argh, dasar makhluk suci!” omel Yeonjun perlahan, cukup untuk dia seorang sahaja yang dengar. Meluat dia melihat wajah tenang Soobin itu, bagaikan perisai kalis api!
“Aku dengar,” nyata Soobin bersahaja. Pandangannya kini tertumpu kepada Y/N yang sedaya upaya cuba menghiraukan karenah mereka dengan cara menghanyutkan diri dalam keenakan sup cendawan yang masih berwap itu.
Yeonjun mengguling bebola mata, mulut mengajuk percakapan Soobin tadi. Malas hendak mengganggu keamanan Y/N lagi, dia kembali merehatkan kepala di atas kedua lengannya. Sunyi menguasai mereka bertiga. Suasana riuh-rendah kantin sekolah itu diabaikan. Soobin menghela nafas lega apabila mendapati pertikaman lidah mereka yang entah keberapa akhirnya berakhir. Sekurang-kurangnya untuk seketika ini.
“Y/N, jom ponteng.”
Kelopak mata dipejam mendengar ajakan tidak bernada itu. Apabila kembali dibuka, automatik iris coklat milik Soobin melekat pada figura Yeonjun yang masih tidak berganjak. Y/N yang agak terkejut mendengar pelawaan itu menjungkit kening sebelah, tangan yang hendak menyuap suapan terakhir sup cendawan miliknya terhenti di udara.
“Apa?” soalnya tidak percaya. Bukannya dia tidak tahu bahawa Yeonjun sudah serabut berada di sekolah, namun tidak pernah pula dia menjangka kata-kata sebegitu akan keluar dari mulutnya.
“Ponteng jom.”
“Choi Yeonjun.”
Soobin membuat muka pasrah. Nama penuh pesaingnya itu ditekan satu persatu. Tanpa menghiraukan Soobin, Yeonjun menyambung percakapannya.
“Alah, lagipun lepas ni kan Fizik. Kau mana suka subjek tu. Daripada buat sakit otak, lebih baik buat benda yang menenangkan jiwa.”
“Dengan cara ponteng kelas?”
Laju sahaja Soobin memotong. Meskipun begitu, nada percakapannya kekal tenang. Selepas menghabiskan suapan terakhir, Y/N akhirnya kembali berbicara.
“Rasanya... ada betulnya jugak tu—”
“Aip! Choi Y/N, kata nak tingkatkan markah untuk peperiksaan akhir tahun kan?”
“Oh, tak betul tak betul.”
Yeonjun mula duduk tegak, bersedia untuk menghasut gadis itu lagi memandangkan umpannya sudah hampir dimakan tadi. Senyuman sinis mula menghiasi wajahnya yang berkulit pucat. “Tak, Y/N. Cerita sekarang ni, Fizik memang bukan bidang kau. Kau berjaga sepanjang malam pun memang tak akan masuk subjek tu dalam kepala kau. Buang masa aje.” Semangat dia berhujah. Soobin yang masih lagi dengan muka kau-seriuslah? kekal diabaikan.
Y/N mengelip mata sekali. Kepalanya ditunduk, mempertimbangkan kesahihan kata-kata Yeonjun. Seketika, dia perlahan-lahan berpaling ke arah Soobin yang kali ini tidak membangkang pernyataan Yeonjun.
“Err... Soobin?”
“Hm?”
“Boleh kan?”
Pak!
Soobin menampar dahi. Beberapa helai rambut ungunya terjungkit sedetik sebelum kembali jatuh menutupi dahi. Matanya dipejam tanda pasrah. Mulut yang sedikit terbuka menghela nafas perlahan.
“Tak boleh, Y/N. Ponteng kelas ni boleh kena tindakan disiplin, tahu? Habislah rekod bersih awak nanti,” pesannya lembut, mata memerhati tepat ke dalam mata bulat gadis itu.
Mendengar perkataan ‘rekod bersih’ yang keluar dari mulut Soobin, Y/N terdiam. Sejak kecil lagi, memang dia tidak pernah melanggar peraturan sekolah. Jika dibandingkan dengan pelajar lain yang menganggap peraturan sekolah ialah sebuah beban, dia memandang perkara tersebut sebagai sebuah tanggungjawab. Malahan, cepat saja dia menyesuaikan diri dengan peraturan-peraturan tersebut walaupun sesetengah daripadanya secara tidak langsung menghadkan kebebasannya di kawasan sekolah.
Anak matanya dikerling ke arah Yeonjun, kemudian kembali kepada Soobin, seterusnya kepada Yeonjun semula. Ligat otaknya berfikir keputusan yang sepatutnya dibuat. Disebabkan masa yang diambil gadis itu, Yeonjun mula menongkat dagu dek kebosanan yang melampau. Jauh di sudut hatinya, dia sudah dapat menjangka akan keputusan yang bakal dibuat Y/N nanti. Suasana hingar-bingar kantin itu juga terasa sunyi apabila fokusnya hanya tertumpu kepada gadis itu. Sunyi sehinggakan hembusan nafas sendiri dapat ditangkap gegendang telinga.
Baru saja Y/N hendak membuka mulut, dua orang pelajar lelaki lalu di sebelahnya. Masing-masing sedang leka bergurau senda sambil menolak bahu satu sama lain. Tanpa disedari, daya yang dikenakan oleh salah seorang daripada mereka terlalu kuat, membuatkan bekas yogurt terbuka di atas dulang yang ditatang tergelincir jatuh tepat ke atas kepala Y/N.
Terus kejung gadis itu dibuatnya. Mata Soobin terbeliak terkejut. Yeonjun yang asalnya kekal dengan riak sepuluh sen automatik mengerut dahi sebelum mengalihkan pandangannya ke arah dua pelajar lelaki tadi. Matanya kembali menatap Y/N yang masih membatu. Semakin berkerut dahinya tanda amarah.
“Y/N, kau baru dandan rambut kau semalam.”
Hanya dengan sebaris ayat yang dilontar Yeonjun, terus api di lubuk hati gadis itu marak membakar. Belum sempat Soobin mencelah, Y/N sudah bangun dari duduknya, mata tajam menikam kedua pelajar lelaki di sisinya.
“HEI TAK GUNA!”
>tbc
belum official lagi, nak test je dulu
Share this novel