Rate

Seri Muka Mak Hasmah

Short Story Completed 2494

“Hari ini Mak Hasmah bawa apa? seri muka lagi?” soal pemuda yang bertopi kebun itu kepada Mak Hasmah di suatu pagi. Mereka berteduh di sebuah pondok – berdekatan dengan taman sekolah. Kerana waktu begini adalah waktu rehat mereka. Dua-dua adalah pekerja di salah sebuah sekolah. Sekolah menengah. Tempat kerja yang tidak jauh dari tempat tinggal mereka.
“Hah, ah. Macam biasalah Jalani. Kuih kegemaran arwah pakcik kamu. Nah, makanlah!” pelawa Mak Hasmah kepada Jalani sambil menghulurkan bekas yang berisi kuih seri muka itu. Sejenis kuih talam tradisi di negara ini. Biasanya kuih ini dibuat di dalam talam yang besar yang berbentuk bulat ataupun segiempat sama atau segiempat tepat. Masak sahaja kuih ini barulah ianya dipotong dalam bentuk yang dikehendaki – biasanya dipotong petak.
Kuih seri muka biasanya dihasilkan dalam dua lapisan. Secara tradisi, warna hijau pada lapisan atas dan warna putih pada lapisan bawah. Ini kerana pada masa dahulu daun pandan digunakan sebagai pewarna dan ianya mudah didapati. Pada masa kini, kuih ini
bermacam warna. Ini untuk menarik minat pembeli juga. Lapisan bawah kuih ini diperbuat daripada pulut, manakala lapisan atas pula menggunakan telur dan santan kelapa serta pewarna pandan.
Jalani dengan lajunya mencapai sepotong kuih seri muka itu yang berada di dalam bekas Mak Hasmah – mulutnya sedikit ternganga. Dia sudah biasa dengan pelawaan Mak Hasmah yang mesra itu.

Mak Hasmah, seorang wanita berusia 62 tahun. Bekerja sebagai tukang cuci tandas sekolah. Dia juga menyapu sampah, membersih longkang dan segala kerja yang memerlukan pembersihan setelah selesai melakukan kerja utamanya – mencuci tandas. Sedangkan pekerjaan itu sudah ada pekerjanya. Pekerja itu teman-teman Mak Hasmah juga. Mak Ani dan Mak Leha. Mereka gemar tolong menolong sesama mereka. Jalani pula adalah tukang kebun di sekolah itu. Seorang lelaki yang kurus, tinggi dan mempunyai kaki yang sedikit capik itu berusia dalam lingkungan 31 tahun. Masih bujang. Jika ada masa yang sesuai, Jalani akan membantu Mak Hasmah mencuci tandas. Kerana dia tidak sanggup melihat orang tua itu mencuci sendirian. Lagipun, Jalani sudah menganggap Mak Hasmah itu seperti ibu kandungnya sendiri.

“Sedap! Tak pernah tak sedap seri muka Mak Hasmah ni.” Kuih itu masih di dalam mulut Jalani, belum ditelan habis, dia terus memuji keenakkan seri muka buatan Mak Hasmah itu. Selera sungguh dia. Habis ditelan satu, dicapainya satu lagi. Perbuatannya itu membuatkan Mak Hasmah tersenyum. Tersenyum dek gelagat Jalani yang gelojoh itu.
“Mak Hasmah!”

Mak Hasmah terus merenungi muka Jalani – keningnya sedikit terangkat.

“Apa Jalani?” tanya Mak Hasmah.

“Kenapa kuih ini menjadi kuih kegemaran arwah Pakcik Man?”

Arwah Pakcik Man adalah suami kepada Mak Hasmah. Dia sudah meninggal dunia – dua tahun yang lalu. Meninggal kerana penyakit serangan jantung. Pernah bekerja sebagai tukang kebun di sekolah yang sama – tempat Mak Hasmah bekerja. Kerana pekerjaan tukang kebun sekolahlah, Jalani menjadi rapat dengan arwah Pakcik Man.

Mak Hasmah diam seketika. Berat untuk menjawab pertanyaan pemuda itu.

“Arwah pakcik kamu itu suka benar dengan kuih ini.” Mata Mak Hasmah ketika itu sedang memandang bekas yang berisikan kuih seri muka yang hanya tinggal di dalamnya beberapa potong sahaja.

“Kalau kamu nak tahu kuih ini ada kisahnya tersendiri,” kata Mak Hasmah dengan mulutnya sedikit senyum.

“Kisahnya tersendiri? Kisah apa tu? Mesti kuih ini yang satukan pakcik dan makcikkan?” Jalani menyoal seraya meneka penyataan Mak Hasmah itu.

“Ya, ada kisahnya tersendiri. Tapi bukan kuih ini yang menyatukan kami berdua. Dulu makcik selalu hantar kuih-kuih yang makcik buat ini ke Warung Haji Sudin, dekat simpang sana – gaya tangan kanan Mak Hasmah umpama menghalau lalat. Tempat dimana arwah pakcik kamu bersarapan. Di situlah juga tempat sumber pendapatan makcik. Arwah pakcik kamu tu, sebelum dia kahwin dengan makcik dia selalu ke sana. Dia mesti pesan kuih karipap sardin buatan makcik yang ada dekat warung itu. Katanya sedap. Makcik dapat tahu semua ini pun daripada Haji Sudin tauke warung itu juga.

Dalam banyak-banyak kuih yang makcik taruk dekat warung itu, karipap sardin juga yang menjadi pilihannya. Suka betul dia dengan karipap sardin makcik. Padahal bukan karipap sardin sahaja yang makcik taruk dekat sana. Ada kuih ketayap, lepat pisang, kasui dan banyak lagilah. Tapi, karipap itu juga menjadi kesukaannya. Kuih seri muka belum ada ketika itu. Maksud makcik, makcik tak terfikir lagi nak buat kuih itu.”

Mak Hasmah berhenti bercerita sejenak. Dia meminta Jalani menuangkan air kosong yang dibawanya siap-siap dari rumah ke dalam cawan yang tidak bertelinga itu – cawan itu juga dibawanya siap-siap dari rumahnya. Dia minum. Kering tekak agaknya. Usai minum, Mak Hasmah sambung bercerita.

“Ada satu hari itu, dia terserempak dengan makcik. Ketika itu makcik baru selesai hantar kuih-kuih makcik dekat Warung Haji Sudin. Makcik dah nak balik. Makcik terpandang dia. Sebabnya ketika itu dia seolah-olah memerhati makcik. Sepertinya sudah lama dia pandang makcik. Bila sahaja makcik pandang dia, dia terus senyum. Dari riak wajah dia, sepertinya ingin menegur makcik. Makcik tertunduk. Malu makcik ketika itu. Makcik tidak hiraukannya dan ketika itu juga makcik berlalu.

Keesokannya, makcik terserempak dengan dia lagi. Ketika itu makcik sedang menghulurkan bakul yang berisikan kuih-kuih makcik itu kepada isteri Haji Sudin. Dia terus mendekati makcik. Makcik jadi kekok. Dia tegur makcik. Katanya, karipap sardin makcik itu sedap. Dia berkata lagi: “Kalau awak nak tahu, hari-hari saya makan kuih-kuih awak dekat sini. Haji Sudin yang beritahu yang semua kuih-kuih ini awak yang buat. Semua saya rasa. Tapi paling saya suka karipap sardin awak. Dekat mana rumah awak? Bukan apa… Senanglah saya buat tempahan nanti bila diperlukan.”

Beberapa bulan berkenalan, kami berkahwin. Kamu nak tahu bila pakcik kamu mula suka kuih seri muka? Ada satu hari itu, ada seorang lelaki berbaju putih dan berketayap datang ke rumah makcik – hanya berdiri di luar rumah. Pakcik kamu menyambutnya. Lelaki itu meminta seri muka. Banyak kali lelaki itu menyebut nama itu. Pakcik kamu terus meluru ke dapur datang jumpa makcik. Ketika itu makcik sedang menyiapkan makanan tengah hari kami. Dia memberitahu makcik ada seorang lelaki datang dan mahukan seri muka. Dia tanya makcik: “Bukankah seri muka itu sejenis kuih?”

Makcik ketawa dengan soalan pakcik kamu itu. Makcik mengangguk tanda mengiyakan. Sebenarnya kami sudah biasa didatangi orang luar. Mereka datang untuk menempah kuih-kuih makcik. Tetapi kali ini pelanggan makcik yang datang itu membuatkan kami berfikir dua kali. Bila sahaja kami berdua berlari untuk mendapatkannya – menyambut untuk kali kedua – lelaki itu sudah tiada. Pakcik kamu ketika itu kelihatan bingung sekali. Pada mulanya makcik menyangka pakcik kamu itu membohongi makcik. Tetapi selepas diterangkan sekali lagi oleh pakcik kamu tentang lelaki berketayap itu – dengan bersungguh-sungguh – makcik percaya apa yang dikatakan itu.

Makcik mengajak pakcik kamu ke dapur untuk menikmati makanan tengah hari yang makcik sediakan. Dipendekkan cerita, waktu makan itulah pakcik kamu mula menyuruh makcik membuat kuih seri muka ini. Sebelum itu dia ada bertanya kepada makcik adakah makcik ini pandai membuat kuih seri muka. Katanya lagi, dia ingin mencuba kuih seri muka buatan makcik. Adakah sedap seperti kuih-kuih lain? Makcik kata pandai tapi sudah lama tidak menyediakannya. Demi pakcik kamu, makcik buat juga.

Sejak peristiwa itulah pakcik kamu menggemari kuih seri muka. Tidak lengkap sarapan pakcik kamu jika tiada kuih ini. Sejak kami bekerja di sekolah ini, hari-hari pakcik kamu menyuruh makcik bekalkan kuih ini supaya dapat bersarapan disini. Kadang-kadang kami jadikan ianya sebagai pencuci mulut. Maksud makcik hari-hari itu tidaklah selalu, ada juga kuih lain yang kami bawa. Tetapi kuih yang kerap makcik buat, kuih inilah, kuih seri muka. Semuanya demi pakcik kamu. Jika tidak diturutkan suruhan pakcik kamu, nanti makcik dikira derhaka. Makcik taknak masuk neraka. Makcik nak jadi isteri yang solehah! Begitulah ceritanya kenapa arwah pakcik kamu tu tersuka dengan kuih seri muka ini.”

Jalani yang ketika itu khusyuk mendengar kisah Mak Hasmah tersenyum. Tersenyum kerana makcik yang dianggap ibu kandung itu mempunyai sifat yang manis terhadap si suami. Manis seperti kuih seri muka. Dan ketika itu juga Mak Hasmah mencapai sepotong kuih seri muka lalu memakannya. Kini kuih itu tinggal sepotong lagi. Jalani bangun – sambil membetulkan topi kebunnya. Melihat muka Mak Hasmah, dia seperti teringatkan sesuatu. Sesuatu yang membuatkan dirinya tersenyum kagum.

“Kamu nak ke mana?” tanya Mak Hasmah kepada Jalani. Belum sempat Jalani menjawabnya, seorang perempuan dan juga cikgu sekolah itu dan mempunyai perwatakan yang sopan lalu di kawasan yang menjadi tempat rehat pekerja-pekerja sekolah itu. Membuatkan Jalani terus lupa dengan soalan Mak Hasmah. Cikgu Azura memang cantik orangnya dan sudah lama Jalani menyimpan perasaan terhadap cikgu itu. Apakan daya Jalani sedar akan dirinya yang dia hanya tukang kebun sekolah. Berkaki tempang pula. Dia tahu Cikgu Azura dengan dirinya bagai bumi dengan langit. Jalani cepat-cepat mengambil bekas Mak Hasmah yang berbaki sepotong
seri muka itu lalu menghulurkan kepada Cikgu Azura. Cikgu Azura ketika itu tersenyum – bercampur dengan perasaan terkejut – dengan gelagat Jalani yang mesra itu. Mak Hasmah menggelengkan kepalanya – dengan sedikit senyum.

“Terima kasih Jalani.” Ucap cikgu itu. Cikgu yang bertudung bawal kuning dan berbaju kurung itu menghampiri Mak Hasmah. Cikgu itu duduk di sebelah Mak Hasmah sambil diperhatikan Jalani ketika itu.

“Mak Hasmah sihat?”

“Beginilah keadaan saya cikgu. Alhamdulillah sihat.”

“Sedap kuih ini. Saya tahu, kuih ini Mak Hasmah yang buat kan? Kuih buatan Mak Hasmah mesti menjadi.”

“Ada-ada saja cikgu ni.”

“Bulan puasa dah nak dekat. Mak Hasmah menjual atau tidak di bazar Ramadan tahun ini? Kuih-kuih Mak Hasmah ni cepat habis.”

“Insya-Allah. Ada rezeki Mak Hasmah menjual lagi. Tahun ini mungkin Jalani yang tolong makcik menjual.” Mak Hasmah terus memandang Jalani selepas nama lelaki itu disebut oleh Mak Hasmah. Jalani tersenyum.

“Anak-anak Mak Hasmah mana? Kenapa Jalani yang kena tolong Mak Hasmah menjual?” Cikgu Azura bersuara lagi.

“Tahun ini anak-anak Mak Hasmah tiada di sini. Anak Mak Hasmah yang pertama, Si Haikal tu dah dapat kerja di Brunei. Yang kedua pula, Si Yana anak bongsu Mak Hasmah tu dapat sambung belajar di UM (Universiti Malaya). Nasib baik ada Jalani. Dapat juga dia teman Mak Hasmah. Lagipun rumah Si Jalani ni sebelah rumah Mak Hasmah saja. Tiadalah rasa sunyi.”

“Oh, begitu…” Cikgu Azura mengangguk tanda memahami akan situasi Mak Hasmah itu. Cikgu itu berkata lagi, “Minta maaf. Saya minta diri dulu ya. Lepas ini saya akan masuk mengajar. Terima kasih untuk kuih tadi ya Mak Hasmah, Jalani.” Cikgu itu bangun setelah sekian lama duduk di sebelah Mak Hasmah. Cikgu itu memberi salam dan berlalu meninggalkan mereka berdua.

“Manis sungguh!” Perlahan sahaja suara Jalani memuji Cikgu Azura. Seolah-olah sedang berbisik – mata Jalani ketika itu melirik sahaja ke arah Cikgu Azura.

“Apa dia?” Sengaja Mak Hasmah mengganggu pandangan Jalani ketika itu. Mak Hasmah menyambung lagi, “Tadi kamu belum menjawab pertanyaan makcik. Kamu nak ke mana sebenarnya tadi? Sebelum cikgu kesukaan kamu itu datang ke sini.”

“Berkias pula Mak Hasmah ni. Hm, saya mahu ke kantin. Nak beli nasi. Laparlah. Mana kenyang makan kuih sahaja Mak Hasmah. Tapi kuih Mak Hasmah memang sedap. Mak Hasmah nak pesan apa-apa?”

“Mahu ambil hati makcik ya? Tak apalah, belikan makcik nasi lemak. Bungkus ya. Makcik mahu makan di sini.”

Jalani mengangguk tanda mendengar permintaan Mak Hasmah. Lalu dia terus berlalu tanpa sebarang kata. Dia teringatkan kata-kata arwah Pakcik Man. Pakciknya pernah berpesan kepadanya supaya tengok-tengokkan Mak Hasmah jika pakciknya itu sudah tiada nanti. Pakcik Man sepertinya sudah tahu bahawa dia tidak akan hidup lama di atas dunia ini.
Arwah Pakcik Man pernah berkongsi ceritanya kepada Jalani suatu ketika dahulu semasa mereka berdua sedang sibuk melakukan kerja. Mungkin untuk menghilangkan rasa sunyi semasa bekerja. Ada saja cerita Pakcik Man yang nak dikongsikan kepada Jalani. Kerana kemesraan itulah Jalani menjadi rapat dengan pakciknya. Katanya, sebelum dia menjumpai Mak Hasmah, ada sebuah keluarga berminat dengannya. Mereka ingin mengahwinkan anak perempuannya dengan Pakcik Man. Tetapi Pakcik Man menolak. Dia sebenarnya boleh sahaja menerima perempuan itu. Mungkin
cintanya kepada perempuan itu hanya biasa-biasa sahaja dan dia terpaksa menolaknya. Kata Pakcik Man lagi, dia tidak mahu hidupnya dipenuhi dengan perkara-perkara yang terpaksa. Biarlah perkara yang dijumpainya itu dijumpai secara tidak sengaja. Jika baik untuknya, jika ada cinta, dia akan menghargainya sepenuh hati.
Sebab itulah Pakcik Man suka benar dengan kuih seri muka walaupun kuih itu datang dalam hidupnya dengan cara yang tidak dapat diduganya. Walaupun pada asalnya dia meminati kuih karipap sardin. Mungkin kerana minatnya terhadap karipap itu biasa-biasa sahaja. Tetapi itu hanyalah pendapat Pakcik Man. Adakala, Jalani susah untuk menerima kenyataan itu. Kerana dia tahu dia berhadapan dengan orang yang lebih tua daripadanya, sebagai yang muda dia harus serap rasa hormat ke dalam dirinya. Apa-apa sahaja yang keluar dari mulut orang tua itu, selagi perkara itu baik untuknya, dia harus terima.

Mak Hasmah yang masih duduk itu mengambil bekasnya yang sudah kosong itu lalu menutupnya dengan penutup bekas. Aroma kemanisan kuih itu masih dapat dihidunya. Kuih tradisional yang menjadi kegemaran ramai. Kuih yang diberi nama kuih seri muka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience