BAB 1

Romance Completed 13511

“Okay ini tak kelakar tau. Biar betul! Tunang? Kami berdua nak tunang!” Daniela dan Akid bersuara serentak. Kemudian mereka berpandangan dan mendiamkan diri buat seketika. Beberapa saat kemudian masing-masing ketawa terbahak-bahak. Akid mulai menekan perutnya akibat terlalu geli hati dengan apa yang baru sahaja didengari olehnya.

“Habis tu betullah kan….kami bukan apa, sebelum kamu berdua bertolak ke luar negara, tak salah kiranya kalau kamu berdua ditunangkan terlebih dulu…nanti tak adalah istilah Ela kena rampas dan Akid pulak kena ambil dekat perempuan lain,” Datuk Mukhriz bersuara bagi pihak keluarga Akid. Sekali lagi Akid dan Daniela berpandangan maka terburailah hilai tawa yang lebih dasyat daripada tadi.

“Yang kamu berdua ni kenapa? Lucu sangat ke cadangan kami semua ni?” tanya Encik Zamri mewakili pihak keluarga perempuan. Isteri masing-masing yang berada di sebelah mengangguk. Masing-masing masih terasa pelik dengan gelagat anak mereka yang masih lagi tergelak tanpa henti.

“Daddy….mummy…benda ni memang la tak lawak kalau kami berdua ni bercinta, masalahnya sekarang ni kami berdua ni kawan je, kawan baik, best friend, kawan dari kecik, mana ada istilah cinta antara kami berdua, habis tu macam manalah kita orang berdua ni tak gelak bila dengar rancangan pasal benda-benda tunang ni,” Akid akhirnya bersuara. Namun masih lagi dengan hilai tawa yang berbaki.

“Entahlah mama dengan papa ni, dari manalah mama dengan papa dapat maklumat yang langsung tak ada kebenaran tu? Kita orang kawan jelah, Ela nak tunang dengan Kid, macam geli geleman jek,” Daniela pula bersuara. Kemudian semua terdiam buat seketika manakala Akid dan Daniela masih mengekek ketawa.

“Betul ni! kamu berdua tak tipu?” Datin Rubiah pula bertanya. Puan Anisah yang berada di sebelahnya mengangguk setuju.

“Ya Allah, betullah memang la kami berdua ni selalu sangat bersama,tapi kami berdua memang sekadar kawan je, tak lebih dari tu, bukan Ela ni saja yang geli geleman dengar semua ni, Akid pun seriau, macam manalah mummy dengan daddy, uncle dan aunty boleh terfikir tentang semua ni, kami berdua ni tak mungkin boleh jatuh cinta, apatah lagi nak tunang dan kahwin segala, semua benda baik buruk Si Ela ni saya tahu, tak mungkin la kami akan jatuh cinta, kan Dan?” Akid beralih memandang Daniela yang berada di sebelahnya.

“Buruk sangat ke aku ni?” soal Daniela tiba-tiba sambil menjeling tajam memandang Akid yang duduk di sebelahnya.

“Contoh jelah mak cik, perumpamaan, tu pun nak terasa, yang kau sensetip tiba-tiba ni kenapa?” soal Akid kembali.

“Saje nak tanya tak boleh?” balas Daniela.

“Betul ni…kamu berdua tak bergurau kan?” Puan Anisah pula bertanya. Betul-betul inginkan kepastian. Bukan mai lagi mereka merancang untuk menjodohkan anak-anak mereka lantas merapatkan lagi perhubungan persahabatan yang terjalain selama ini. Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Mereka sangat terkejut dengan kenyataan yang baru sahaj diketahui.

“Mama, mama tengok anak mama ni jenis yang suka bercinta ke? Tak ada makna cinta-cinta ni, tambah-tambah kita orang ni muda lagi, malas la nak fikir pasal cintan cintun segala, lagi-lagi kalau nak bercinta dengan mamat senget ni, lagi la Ela tak nak, tak ada perasaan, sikit pun tak ada,” Daniela bersuara dengan bersungguh. Sekilas dia memandang Akid sambil menjelirkan lidah dan terus dibalas kembali oleh Akid.

“Emm…nampaknya kempunan la cita-cita nak jadi besan ya Ani,” Datin Rubiah bersuara dengan nada yang cukup kecewa.

“Nampaknya macam tu lah Rubi, saya ingatkan mereka berdua ni tengah bercinta, rupa-rupanya kita silap,” Puan Anisah memandang Datin Rubiah kemudian beralih pandang kepada suaminya En. Zamri.

Kini giliran Datuk Mukhriz dengan En. Zamri pula berpandangan. Mereka terdiam seketika. Kemudian hilai tawa terus sahaja pecah. Giliran mereka berdua pula tergelak besar sehingga memecah kesunyian banglo mewah kepunyaan Datuk Mukhriz.

“Papa dah agak dah, baby Girl papa sorang ni takkan bercinta punyalah, papa kenal dengan anak papa, mama tu je yang sibuk-sibuk buat cerita yang bukan-bukan,” En. Zamri bersuara kuat. Datuk Mukhriz mengangguk-ngangguk sambil ketawa yang masih belum reda.

“Daddy lagi la daddy siap bertaruh dengan mummy, daddy dah cakap anak daddy ni tak adanya nak bercinta serius waktu-waktu muda macam ni, mummy kamu tu yang degil, sekarang ni, cancel jalan-jalan kat Paris,” Datuk Mukhriz berbicara sambil menjeling manja kepada isteri kesayangan. Bukan main lagi isterinya memberitahu dia mengenai percintaan anak lelaki tunggalnya dengan Daniela anak sahabat baiknya itu. Dia pula waktu itu mati-mati menafikan, namun isterinya tetap dengan pendiriannya sehinggakan dia bertaruh sekiranya isterinya betul dia akan memanjangkan tempoh mereka bercuti ke Paris tetapi sekiranya isterinya salah, percutian mereka terus dibatalkan.

Datin Rubiah terus sahaja mencebik. Geram dengan sikap suaminya yang terlalu manjakan anaknya. Dia tahu sejak kecil suaminya itu terlalu rapat dengan anak lelakinya itu malah mereka berdua boleh dikatakan satu kepala. Boleh dikatakan semua perkara mereka berdua sependapat sehinggakan dia kadang-kadang dipalit rasa cemburu melihat kemesraan mereka berdua.

“Papa…habis tu macam mana?” Tanya Puan Anisah kepada suaminya.

“Habis apa? Macam tu jelah mama, tulah mama tak nak dengar cakap papa, kan papa dah cakap papa kenal anak kesayangan papa ni, kalau dia bercinta dengan mana-mana lelaki dia mesti beritahu papa, mama yang degil,” jawab En. Zamri. Kemudian dia dan Datuk Mukhriz tergelak sekali lagi. Daniela dan Akid hanya tersenyum melihat telatah keluarganya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience