Bab 4

Romance Completed 98027

“Kau sihat?”

Luna tersentak apabila suara berat seorang lelaki menyapanya dari belakang. Dia menghentikan sebentar kerjanya yang sedang menggoreng telur untuk Aura.

Luna berpaling perlahan, ingin melihat siapa yang bercakap di belakangnya.

“Tuan bercakap dengan saya?”

“Bagaimana keadaan kau sekarang?”

Aiden tidak menjawab soalan Luna kerana dia tidak suka jika pertanyaannya dijawab dengan soalan.

“Saya baik, Tuan,” jawab Luna dengan menundukkan kepalanya.

Semasa di hospital, fikiran Aiden sering terarah kepada Luna. Sebaik sahaja pulang ke rumah pada petang itu, Aiden terus menuju ke dapur untuk mencari Luna.

Aiden melangkah lebih dekat, jarak di antara mereka kini semakin rapat. Tangan Aiden bergerak, memegang dahi Luna, kemudian mengangguk.

Luna terkejut ketika Aiden menyentuh dahinya, bagi Luna itu tindakan yang agak melampau.

“Luna, aku minta maaf. Tapi, hal tu… aku harap kau boleh rahsiakan.”

Aiden tidak tenang, bimbang jika Luna memberitahu Estella atau ahli keluarganya tentang apa yang telah berlaku.

Mungkin Aiden terlalu ego, tetapi dia tidak mahu menyakiti hati Estella, wanita yang baru menjadi isterinya dan yang sangat dicintainya.

Luna mengangguk perlahan. Aiden hanya memikirkan perasaan Estella, tetapi bukan perasaannya.

“Aku sangat cintakan dia,” sambung Aiden, cuba meyakinkan Luna untuk menyimpan rahsia itu. “Atau aku boleh beri kau duit, berapa banyak yang kau nak.”

Luna terdiam seketika. “Duit?”

Aiden mengangguk, yakin bahawa Luna akan setuju dengan tawarannya.

Luna mengangguk-angguk, malang benar nasib wanita itu. Mungkin bagi Aiden, duit boleh membeli maruah seseorang.

“Saya akan rahsiakan semuanya. Tuan tak perlu risau,” jawab Luna dengan penuh yakin.

Aiden mengangguk. “…Terima kasih.”

Aiden pun berlalu pergi, meninggalkan dapur tanpa berkata apa-apa lagi.

“Duit?” Luna tersenyum sinis, seolah-olah bagi orang kaya seperti Aiden, maruah hanya diukur dengan wang ringgit sahaja.

Hari-hari berlalu, Luna tidak lagi tenggalam dalam kesedihan yang tidak berkesudahan. Semuanya telah direlakan tanpa sebarang rasa benci.

Apa yang membuat Luna semakin kuat ialah Qamar, kekasihnya, tetap menerima dirinya walaupun segala kebenaran tentang apa yang terjadi telah diberitahu. Walaupun pada awalnya Qamar juga begitu kecewa kenapa Luna tidak memberitahu sahaja siapa pelakunya, atau melaporkan kepada polis. Namun setelah puas dipujuk oleh Luna, barulah Qamar berhenti bertanya tentang perkara itu.

Kenapa Luna tetap mahu berahsia? Mungkin dia ada sebabnya sendiri.

“Makcik Luna!” panggil Aura dengan nada risau.

Kebelakangan ini, Luna sering muntah-muntah, tubuhnya lemah dan pening.

“Maaf ya Aura, perut Makcik Luna masuk angin kot,” jawab Luna sambil tersenyum tipis.

Aura mengangguk walaupun sedikit risau. Dia duduk di kerusi meja makan, menunggu Luna untuk menyuapnya semula. Namun, belum sempat bersuap, Luna tiba-tiba bangun dan berlari menuju ke singki.

Aura menyandarkan kepalanya pada meja, perutnya yang lapar membuatkan dia semakin marah pada Luna.

“Kenapa ni?” tanya Aiden yang baru tiba di meja makan.

Aiden menarik kerusi untuk Estella sebelum duduk berhadapan dengan Aura.

“Makcik Luna buat Aura marah, dari semalam dia asyik muntah-muntah. Aura lapar!” adu Aura dengan muka masam.

“Dari semalam?” Aiden mengerutkan dahi.

“Aura, pagi ni biar Makcik Sem yang suapkan, ya?” Makcik Sem yang mendengar keluhan Aura segera mengambil alih tugas Luna.

Aura mengangguk kerana perutnya sudah terlalu lapar.

“Makcik Sem,” Aiden mula bertanya dengan nada sedikit ragu, namun rasa ingin tahunya mengatasi, “Luna sakit ke?”

“Sayang!” Estella memotong. Dia tidak suka melihat suaminya begitu prihatin terhadap wanita lain. Aiden adalah suaminya, tidak ada wanita yang akan rela melihat suaminya memberikan perhatian pada orang lain.

Aiden mengusap kepala Estella dengan lembut. “Sayang, aku ni seorang doktor. Kalau ada orang sakit, aku kena tolong.” Entah sudah berapa kalu Estella mendengar alasan ‘aku doktor’ dari Aiden.

Estella mendesis marah, namun dia terpaksa menerima hakikat itu walaupun dia tidak suka Aiden memberikan perhatian kepada Luna.

Aiden tidak bertanya lebih lanjut tentang Luna di hadapan Estella, tetapi kata-kata Aura tadi masih mengganggu fikirannya.

Selepas sarapan, Aiden menghantar Estella ke rumah kedua ibu bapanya dengan janji akan menjemputnya pada waktu malam.

Bukannya terus menuju ke hospital, Aiden membuat keputusan untuk berpatah balik ke rumah.

Melihat Makcik Sem sedang menyapu halaman, Aiden segera keluar dari keretanya dan mendekati wanita itu.

“Makcik Sem, Luna ada di dalam rumah?”

Makcik Sem sedikit terkejut dengan pertanyaan Aiden yang tiba-tiba.

“Kau tanya pasal Luna?” suara Diana tiba-tiba kedengaran, membuatkan Aiden tersentak.

Diana berdiri di hadapannya. Aiden terpinga-pinga, tidak tahu apa yang harus dikatakan.

“Luna?” tanya Aiden seolah-olah tidak faham.

Diana mengerutkan dahi, hairan dengan jawapan Aiden.

“Kau tadi tanya pasal Luna, kan? Luna sedang hantar Amar dan Aura ke sekolah,” jelas Diana dengan nada bingung.

“Makcik, tadi saya tanya pasal Aura, kan?” Aiden memberi isyarat kepada Makcik Sem, berharap dia akan bekerjasama.

“I-iya, Puan Diana. Tuan Aiden tadi tanya pasal Aura,” jawab Makcik Sem, walaupun sebenarnya tidak mahu berbohong. Tetapi kerana takut pada Aiden, dia terpaksa.

Diana mengangguk, lalu berlalu pergi.

Tidak lama kemudian, sebuah kereta Alphard putih berhenti di hadapan rumah. Seorang wanita keluar tergesa-gesa.

“Luna?” panggil Makcik Sem.

Namun, Luna tidak mempedulikan panggilan itu. Dia terus berlari masuk ke dalam rumah, menuju ke bilik mandi.

“Makcik Sem, dia selalu muntah-muntah ke?” tanya Aiden, rasa ingin tahu semakin memuncak kerana dari tadi belum ada jawapan pasti.

“Iya, Tuan. Dari semalam lagi. Macam orang mengandung saja,” jawab Makcik Sem selamba.

Blush!

Muka Aiden serta-merta menjadi merah. Jantungnya berdegup kencang, takut jika apa yang dikatakan oleh Makcik Sem benar.

“Tuan!” Makcik Sem memanggil Aiden beberapa kali, tetapi Aiden hanya terdiam, tenggelam dalam fikirannya.

Tiba-tiba, suara jeritan Diana terdengar dari dalam rumah.

“Aaaa!!!”

Aiden berlari masuk, melihat Diana berteriak di dapur dengan Luna terbaring lemah di lantai.

“Luna!” Diana menepuk-nepuk pipi Luna berulang kali, cuba menyedarkan wanita itu.

Tanpa berfikir panjang, Aiden mengangkat Luna lalu membaringkannya di atas sofa, tubuhnya lemah dan wajahnya pucat, masih belum sedarkan diri.

“Aiden, Luna kenapa?” tanya Diana dengan cemas.

“Erm,” Aiden hanya terdiam, tidak tahu bagaimana hendak menjawab setelah memeriksa keadaan Luna.

“Aiden!” Diana menggoncang lengan Aiden, mendesak agar dia memberikan penjelasan.

“Rasanya tak ada apa-apa. Mungkin cuma perut masuk angin,” jawab Aiden perlahan, jari-jemarinya memicit dahinya yang terasa pening sambil matanya menatap tubuh lemah Luna yang masih terbaring di atas sofa.

Share this novel

Mahmood
2024-10-08 15:14:06 

mcmna nk baca bagi hbis

Guest User
2024-10-02 15:56:15 

terbaik


NovelPlus Premium

The best ads free experience