Series
124
Siren polis kedengaran di malam itu, bomba juga turut berada sekali cuba memadamkan api yang marak di tengah jalan itu. Kemalangan yang memecahkan kesunyian malam ini. Kemalangan tunggal, penuh misteri.
Kesedihan melanda hati Aleesya, perasaan sebak memenuhi pelupuk laranya. Pada mulanya, dia juga terkejut, tidak percaya secepat ini ibunya pergi meninggalkannya. Suka ketawa ibunya pagi tadi berlegar-legar di ingatan.
“Ibu rindu dekat cucu-cucu ibu.”
Aleesya mula memandang Puan Jasmin. Pagi ini, ibunya nampak aneh
“Cucu mana ni ibu?” Soalnya pelik sambil tangan menuang air teh ke dalam cawan. Nasi goreng juga dicedok ke dalam pinggan.
“Anak kamu la…” Bibir menyimpul senyum. Puan Jasmin mula melabuhkan punggung di kerusi, berhadapan dengan anak tunggalnya.
“Ish ibu ni, Esya belum kahwin lagilah. Cucu datang dari mananya.” Makanan yang terhidang dihulur ke ibunya.
“Kamu kahwinlah cepat-cepat, lagi cepat ibu dapat cucu.”
“Esya nak habiskan belajar dulu, lima tahun lagi Esya carilah pasangan, hehehe.” Jawabnya sambil ketawa kecil.
“Lama lagilah ibu nak merasa gendong cucu.” Suara itu perlahan, namun terdengar berat di telinga Aleesya.
Dada Aleesya mula berombak, tak tenang.
“Ibu…,” Lembut suaranya, “Bagi Esya habiskan belajar dulu. Ibu tahukan Esya ada impian nak banggakan ibu ayah?”
“Ibu tahu… Cuma ibu pun ada hasrat nak jaga cucu-cucu ibu, anak kamu.”
“Apa kata suruh ayah kahwin lagi satu, ibu dapat anak lagi, Esya pun ada adik.” Sakatnya. Nada bergurau.
“Kesitu pula kamu ni. Ibu nak cucu bukan anak. Ibu belum mati lagi nak suruh ayah kamu kahwin lain.”
Jantung Aleesya tersentak. Sedar gurau tu menyentuh perkara sensitif. Dengan penuh sesalan, dia menyalahkan diri sendiri.
“Alaaa, Esya gurau je ibu. Nanti-nanti Esya akan mula cari pasangan, bagi cucu ramai-ramai kat ibu.”
Puan Jasmin ketawa. Dia tahu anaknya ini hanya berseloroh. Sudah jadi tabiat Aleesya yang suka menyakat, manja, nakal dalam manisnya.
Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un…
“Sesungguhnya kami milik Allah, dan kepada-Nyalah kami akan kembali.”
Menunduk tabah atas kehilangan ibunya. Dia tiada apa-apa kuasa untuk menolak takdir ini. Kuasa yang Esa tiada sesiapa yang boleh halang. Hanya menerima, yang pergi, tetap pergi
.
“Esya…,” Encik Hassen, ayahnya berjalan lemah menghampiri anaknya.
Air mata yang sudah kering mula mengalir kembali. Melihat ayahnya yang longlai, dia tak tega. Dia akui tak kuat untuk hadap kehilangan ibunya, wanita yang paling disayangi.
“Ayah…, Esya tak kuat. Esya nak ibu.”
Tangisan semakin menjadi-jadi di pelukan ayahnya. Encik Hassen mula menggusap lembut belakang tubuh permata hatinya. Hiba, sayu, rindu, semuanya menjadi satu.
“Cik Aleesya dan Encik Hassen kan?”
Encik Hassen mula melepaskan pelukan saat melihat seorang lelaki berpakaian rasmi hospital. Doktor Zainal, tag nama di dada. Aleesya berpaling tubuh menghadap Doktor Zainal.
“Saya Cik Aleesya. Kenapa ya?”
“Encik Hassen dan Cik Aleesya diminta ikut saya ke bilik mayat untuk pengecaman mayat.”
“Allah.” Encik Hassen rebah ke lantai. Aleesya kaku. Dunia terasa gelap. Nafasnya hampir putus.
Aleesya memaut lengan ayahnya cuba salurkan kekuatan untuk bangun berdiri walaupun dia sendiri pun tidak kuat. Nafas ditarik, longlai langkah mereka menyusuri koridor. Setiap derapan langkah bergema dalam dinding-dinding sepi itu.
Bau antiseptik bercampur formalin menusuk hidung. Di hujung laluan, tertulis satu papan besi kecil, Unit Forensik. Dada Aleesya mula berombak.
Nafasnya pendek-pendek. Sejuk. Seperti petanda bahawa hatinya bersiap untuk hancur.
“Sini, ikut saya.” Suara Doktor Zainal perlahan, namun cukup jelas.
Mereka memasuki sebuah bilik. Lampu putih yang malap. Dinding serba putih. Dan di tengah-tengah bilik itu, terbujur kaku satu tubuh diselubung kain putih.
Jantung Aleesya berdentum. Dia menggenggam lengan ayahnya lebih erat. Encik Hassen kelihatan tidak mampu berdiri tegak.
“Kami akan buka kain penutup sekejap. Kalau tak sanggup tengok, boleh berundur,” kata doktor sambil mengangguk kecil pada petugas.
Perlahan-lahan, kain putih itu dilipat ke bawah… menampakkan wajah yang pernah dia kecup saban hari.
Puan Jasmin.
Mulut Aleesya ternganga tanpa suara.
Lututnya melemah.
“Ibu…”
Dia tidak menjerit. Tidak meraung. Tapi air mata mengalir deras, jatuh ke lantai marmar yang dingin.
“Maafkan Esya, ibu… Maafkan gurau Esya pagi tadi…”
Encik Hassen terduduk di bangku sisi, menekup wajahnya. Bahunya terhinjut-hinjut menahan tangis. Aleesya menghampiri tubuh ibunya.
Lutut dilipat perlahan. Jari-jemarinya mengusap pipi dingin itu. Wajah itu… tidak lagi bergerak. Tidak akan lagi membalas senyumannya.
“Ibu janji nak jaga cucu Esya… Ibu tipu.” Tangisnya pecah akhirnya.
“Kami minta maaf, kami akan tutup jenazah ni. Encik Hassen diminta ke kaunter untuk sign borang urusan jenazah.”
Aleesya mula berundur setapak, memberi ruang kepada petugas. Namun saat kain putih itu hampir menutup wajah pucat ibunya, ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Sayatan luka di telinga ibunya, seumpama hirisan benda tajam. Dalam.
“Doktor,” terhenti seketika interaksi antara Doktor Zainal dan seorang petugasnya.
“Kenapa ada luka dekat telinga ibu saya?”
Doktor Zainal terus mengalihkan pandangannya tepat ke arah soalan Aleesya tadi.
“Saya juga pelik, luka ni sungguh ganjil dalam kes langgar lari. Saya rasa kejadian ni bukan kemalangan biasa, tapi polis mengatakan sebaliknya.”
“Dirancang?” Mata Aleesya terus fokus ke arah Doktor Zainal. Keningnya bertaut.
“Sebentar,” pamit Doktor Zainal seketika.
Anak mata Aleesya mengekori setiap langkah Doktor Zainal. Laci ditarik perlahan.
“Ini barang peribadi Puan Jasmin dan laporan bedah siasat awal. Cik Aleesya boleh rujuk kalau ada sebarang keraguan. Saya sedia bantu.”
Aleesya menyambutnya perlahan. Matanya tak lepas dari kelaran luka yang menimbulkan tanda tanya di benaknya.
Assalamualaikum
Share this novel
Tak sabarr kita.. awak?