BAB 9

Romance Completed 5104

“MAN! Mana Su?” soal Fairuz yang baru sahaja keluar dari pejabatnya untuk berjumpa dengan Suhaila. Dia mahu melamar kembali cinta hatinya. Dia tidak akan mengulangi kesilapan yang dulu.

Hati Fairuz sebenarnya tidak tahan menanggung rindu. Dia sudah tidak mampu lagi dengan keadaan ini berterusan. Sebentuk cincin belah rotan ingin disarungkan semula ke jari manis Suhaila. Dia tahu bahawa Suhaila memang panas baran orangnya tetapi dia benar-benar sayang dan cintakan Suhaila meskipun wanita itu meminta putus dengannya.

Fairuz cukup sedar kasih sayang dan cinta itu tidak boleh dibuat main-main kerana ia melibatkan soal hati. Dia tidak mahu lagi menggores hati cintanya itu.

“Su baru sahaja berhenti kerja,” balas Rahman.

“Kenapa?!” Fairuz menyoal pantas.

“Bos tengking dia”

“Sebab apa?”

“Sebab proposal” kata Rahman.

Fairuz dapat menggambarkan apa yang sudah berlaku. Dia tahu hati Suhaila sudah lama membengkak. Berkerut dahi Fairuz berasa bimbang akan Suhaila.

“Hanya itu sebab itu Suhaila berhenti kerja?” Fairuz menyoal lagi mahukan kepastian.

Dia tahu mungkin Rahman tahu sesuatu.

“Err…tak….”

“Habis tu?”

Fairuz bersungguh-sungguh ingin tahu. Dia tidak mahu Suhaila berhenti kerja. Tanpa melihat wajah Suhaila di pejabat walau sehari hatinya tidak akan gembira. Hatinya tidak akan bahagia. Biarpun sikap Suhaila itu adalah terburu-buru namun bagi Fairuz, Suhaila cukup bermakna dalam hidupnya. Dia hanya mahukan Suhaila seorang sahaja.

“Semuanya sebab kau,” kata Rahman itu amat mengejutkan Fairuz.

Tanpa berlengah lagi dia terus ke mengejar Suhaila. Dia tidak mahu kehilangan kekasih hatinya. Biarpun sering bertengkar namun di hati masih ada sayang, masih ada cinta. Meskipun Suhaila mendesak supaya pertunangan ini diputuskan tetapi hatinya tidak rela dan hanya Suhaila sahaja yang dipujanya.

Cepat kaki Fairuz melangkah. Dia menoleh kira dan kanan mencari kelibat Suhaila.Telefon bimbit Suhaila tidak dapat dihubungi. Suhaila sengaja mematikan telefon.

Di satu sudut dia terpandang kelibat Suhaila yang sedang membawa barang-barangnya bersama. Suhaila sedang meyeberangi jalan. Dengan pantas dia mengejar. Mata Fairuz kemudiannya terpandang sebuah kereta Proton Saga dipandu laju seperti tidak menyedari Suhaila sedang menyeberangi jalan menuju ke perhentian bas.

Fairuz berlari sepantas yang boleh.

“Su!!!!!” pekik Fairuz.

Suhaila mendengar tetapi tidak sempat menoleh kerana dirinya ditolak laju ke depan. Daya tolakan itu sungguh kuat. Barang-barang yang dipegangnya jatuh. Kesan tolakan itu membuatkan dia terpelanting dan mengalami luka kecil di bahagian siku akibat bergeser pada jalan tar.

Suhaila menoleh pantas melihat jasad seorang lelaki melayang akibat dilanggar oleh kereta. Demi menyelamatkan Suhaila, Fairuz telah cedera parah. Saat ini dia sedang bermandi darah dan sedang meronta-ronta kesakitan. Bekas cincin tergolek jatuh dari tapak tangan yang dari tadi digenggam kemas. Suhaila merangkak mendapatkan Fairuz yang sudah tercedera. Darah tidak henti-henti mengalir dari kepala Fairuz. Sekujur tubuh itu tertiarap di bahu jalan.

“Fairuzzzzzz!!” Suhaila terpekik kuat.

Suhaila berusaha untuk bangun dan terus berlari ke arah Fairuz. Pantas tubuh Fairuz di tolak sekuat hati untuk dilentangkan. Kemudian Suhaila meriba kepala Fairuz yang berlumuran darah. Kereta yang telah melanggar Fairuz itu terus berlalu pantas.

“Tolongggg!!!! Tolonggg!!” Suhaila menjerit.

Sebelum orang ramai datang membantu Fairuz sempat berbisik.

“Su…ini a..adalah demi cinta Fairuz untuk Su…” ujar Fairuz dengan nafas yang tersekat-sekat. Dia cuba gagahkan tangannya untuk meraba bekas cincin itu untuk diberikan kepada Suhaila namun tidak berdaya.

“Maafkan Su..maafkan Su, tolong jangan tinggalkan Su.. sebenarnya Su cintakan Fairuz… tolonglah jangan tinggalkan Su…” air mata Suhaila berhemburan setelah mendengar kata-kata Fairuz.

Pandangan Fairuz kian kabur. Lama kelamaan kelopak mata Fairuz tertutup setelah khalimah syahadah dilafazkan perlahan.

“Tidakkkkkkkkkkkkkkkkkkkk!!!!” raung Suhaila.

Perginya sang kekasih membuatkan hati Suhaila bagaikan tersayat. Cemburu buta tidak dapat menyelesaikan masalah. Hakikat itu harus ditelan jua. Parah sekeping hati tidak terbuat lagi kerana sebuah kehilangan itu adalah selama-lamanya.

Suhaila tidak pernah tahu akan kesetiaan Fairuz selama ini. Mengapa harus cinta kalau sering kali curiga hingga membawa pada satu pengakhiran sebegini rupa? Memang ini adalah takdir maka sayangi selagi ada.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience