BAB 1

Romance Completed 7847

“Pergi dulu ayah, Assalammualaikum..’’ku capai tangan Ayah lalu ku kucup sebelum berlalu pergi.

“Baiklah, elok-elok memandu tu, mata jangan melilau, silap haribulan surat saman ke rumah ni siaplah kamu,” ayah memberi pesanan penaja seperti biasa.

“Baik, bos! Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Aku menghidupkan enjin kereta Myvi kesayanganku lantas memulakan pemanduan. Hari ni aku mahu menjadikan hari yang ceria dan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Lepas parking kereta, aku nak bersarapan dekat warung Mak Timah depan office aku tu.

Pekena Nasi Lemak dengan air milo panas betul-betul boleh membuatkan berat badan aku naik berganda kalau pilih menu tu hari-hari. Jadi aku biasanya akan makan Nasi Lemak seminggu dua kali atau sekali sahaja. Hari lain aku makan kuih muih atau sarapan dekat rumah aje. Tapi memandangkan esok dah mula nak puasa jadi hari ni aku nak makan makanan kegemaran aku tu buat kali terakhir sebelum bercuti selama sebulan. Sebulan tanpa Nasi Lemak Mak Timah yang sedap lagi enak lagi memukau? Ohhh…! Semestinya sungguh syahdu apabila membayanginya.

Disebabkan itu minggu lepas aku ‘cuti’ makan Nasi Lemak Mak Timah sebab nak kasi feel makan untuk last day hari ni. Rasanya dua bungkus pun okay kalau aku makan ni!

Tanpa sedar, aku sudah sampai pun di tempat kerjaku. Alaa… office aku ni dengan rumah aku tak sampai 20 minit dah sampai.

“Haiih… banyaklah pula kereta hari ni. Mana aku nak park kereta terchenta aku ni?” aku memandu keretaku perlahan sambil mataku liar memandang kalau-kalau ada tempat letak kereta yang kosong. Kawasan sini banyak juga kedai makan jadi ni mesti sebab ramai nak sarapan dekat tempat favourite sebelum puasa. Macam aku. Hehe…

“Hah! Orang tu dah nak keluar dah! Oraitt…! Alhamdulillah.” Aku sudah tersengih senang lantas memberhentikan kereta untuk menunggu kereta tersebut keluar.

Sebaik saja kereta tersebut keluar, aku cepat-cepat menekan minyak untuk memarkir kereta di situ tapi malangnya enjin keretaku mati secara tiba-tiba. “Hish, kereta manual memang suka mati time-time orang nak cepat macam ni tau!”

Dalam aku cepat-cepat nak hidupkan semula enjin, sebuah Toyota Vios hitam muncul lalu dengan penuh selambanya parking di tempat letak kereta yang kosong itu.

Mataku terbeliak, “Amboii!! Punyalah ya-ya aku tunggu kereta tadi tu keluar, boleh selamba badak aje dia masuk?” aku sudah mula rasa mahu mengebom kereta Toyota Vios itu!

Sebaik saja pemandunya keluar aku mengecamnya sebagai pengurus baru bahagian tempat aku bekerja bernama Iqram. Tapi aku peduli apa! Lelaki itu sudah mencuri parking lot aku! Aku menekan hon untuk menarik perhatiannya namun malangnya dia tidak mendengar kerana telinganya bersumbat dengan earphone dan tumpuannya pula pada telefon bimbit di tangan.

Dadaku berombak naik. “Eii! Dasar mamat pekak, hampehh!” aku menyumpah seranah lelaki itu kerana sudah merosakkan permulaan hari aku! Ikutkan hati memang aku letak mercun bola dekat ekzos kereta dia tapi takut lain pula halnya yang jadi karang.

Nak tak nak aku terpaksa juga mencari tempat letak kereta yang lain dan akhirnya aku menemui juga tempat letak kereta yang kosong. Itupun jauh dari pejabat aku. Akibatnya aku kena berjalan kaki agak jauh jugalah.

“Sabar Shahila Humaira… sabar… lepas ni kita makan dekat warung Mak Timah, okay? Nasi Lemak dan air milo panas Mak Timah mesti boleh buat kau tenang balik. Sabar… sabar…” aku memujuk diri.

Aku ni bukan penyabar orangnya jadi kalau aku boleh bersabar itu dah kira bagus sangatlah tu. Ada waktu-waktunya aku boleh mengamuk macam King Kong kalau dah tak tahan sangat!

Sampai di gerai Mak Timah aku memesan air milo panas dan sudah sedia mahu mencapai Nasi Lemak yang biasanya tersedia siap dibungkus di atas meja. Tapi… eh, meja ni tak ada Nasi Lemak ke? Takkan baru seminggu aku tak beli Nasi Lemak Mak Timah ni dah advance sampai boleh invisible?

“Mak Timah, Nasi Lemak tak ada ke?” aku bertanya ketika Mak Timah membawa air yang ku pesan.

“La… hari ni kamu nak makan Nasi Lemak ke Shahila?” Mak Timah bertanya. Aku mengangguk. Mestilah nak! Kalau tak buat apa aku tanya.

“Mak Timah minta maaflah. Nasi Lemak dah habis. Itu yang last hah,” Mak Timah menjuihkan bibir ke arah seorang lelaki di belakangku. Membuatkan darah aku semakin mendidih, lelaki itu ialah Iqram! Lelaki yang sudah mencuri parking aku sebentar tadi.

Dengan penuh senang hatinya dia mengunyah penuh nikmat Nasi Lemak yang sepatutnya menjadi milik aku itu! Eii… dahlah curi parking lot aku, sekarang Nasi Lemak aku pun dia rembat! Memanglah Nasi Lemak tu bukan milik aku tapi kalau tak sebab dia tadi, aku dengan gumbiranya sudah sampai ke sini lebih awal dan dapat menikmati Nasi Lemak tu!

“Shahila?” Mak Timah memanggil lembut. Aku memang sudah lama mengenali wanita tua itu. Sejak hari pertama aku bekerja lagi iaitu dua tahun lalu. Akulah antara pelanggan setianya yang tidak jemu menikmati sarapan di sini hampir setiap hari.

Aku menarik nafas dalam-dalam memaksa diri supaya tenang sebelum tersenyum penuh terpaksa kepada wanita itu,“Tak apalah Mak Timah. Saya minum ajelah.”

“Mak Timah minta maaflah ya. Kuih ada. Kamu nak?” Mak Timah seakan memujuk.

Aku menggeleng sambil menghirup air milo yang ku pesan tadi. Apa maknanya air milo ini tanpa Nasi Lemak tercinta aku?!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience