Rate

Bab 2

Romance Series 4434

KEPUTUSAN telah pun dibuat. Apa yang aku risaukan nampaknya berlaku juga. Akhirnya tanpa perasaan, Azhael melafazkan talak padaku setelah Aina berusia tujuh bulan setengah. Dia memang dah tak sayangkan aku dan zuriatnya. Sedihkah aku saat menerima berita ini? Inikah balasan yang aku terima walaupun bukan salahku?

“Kau dah siap belum? Kejap lagi aku sampai,” kata Azhael agak keras. Apa yang dapat aku dengar, ada suara perempuan di sebelahnya.

“Dengar tak ni?”

“Haa...dengar. Farah pun dah siap kemas baju ni.”

“Bagus. Tataplah rumah tu puas-puas. Lepas ni aku takut kau rindu nak duduk kat tempat-tempat mewah macam tu.”

Usai berkata begitu, talian terus dimatikan. Aina yang sedang lena di atas katil, aku perhatikan lama. Demi Aina, ibu kena kuat. Walau apa pun yang bakal berlaku, aku tak boleh patah semangat. Hidup perlu diteruskan. Jika Azhael dah tak perlukan kami berdua, buat apa
nak dipaksa lagi. Biarlah dia bahagia dengan pilihannya.

Aku menuju ke ruang tamu dengan dua beg besar. Sudah bersedia menanti kedatangan Azhael. Apabila terdengar bunyi hon keretanya di garaj, cepat-cepat aku dukung Aina lantas mendapatkan Azhael.

Ternyata memang benar sangkaan aku tadi. Dia datang bersama seorang perempuan muda. Lebih cantik dan jelita berbanding aku.

“Apa lagi yang kau tercegat kat depan tu? Masuklah cepat!” arahnya keras.

“Farah nak ambil dua beg kat dalam tu. Abang tolonglah Farah.” Mahu tak mahu, aku terpaksa meminta bantuan. Jika aku sendiri, tak perlulah nak menyusahkan dia. Siapa pula yang nak kendong Aina nanti.
Nampak keruh muka dia. Pintu kereta dihempas sekuat hati.

“Sengaja nak susahkan aku. Ish kau ni.” Bengis muka dia sebelum mengambil beg-beg itu.

“Dah, cepat masuk. Aku banyak lagi kerja ni nak buat.”

Aku sekadar mengangguk. Ikutkan sahaja kemahuannya. Dalam keadaan yang tidak mengizinkan seperti sekarang, aku perlu sabarkan hati dengan kerenahnya. Anggap sahaja ini ujian yang amat besar daripada Allah. Aku kena kuat.

“You nak campak dia ke mana aje ni, sayang?” soal gadis di hadapan.

“Mana-manalah yang I rasa okey.”

“Baguslah. I tak berani nak pandang muka budak tu lama-lama. Risau sangat kalau terkenan. Ish...selisih. Minta dijauhkan.”

Kutuklah semahunya. Langsung tak berbekas di hati ini. Apa yang aku fikirkan sekarang, arah tuju hidup aku dan Aina pada masa hadapan. Mujurlah aku ada sedikit duit simpanan yang boleh digunakan dalam masa kecemasan begini. Jika nak harapkan Azhael, satu sen pun dia tak bagi.

“Aku harap lepas ni kau tak cari aku. Anggap aje kita tak pernah kenal. Lagi satu, aku tak nak kau burukkan nama aku kat sesiapa. Kalau orang tanya, jawab aje tak ada jodoh. Faham?”

Aku mengangguk kecil.

“Kau pekak ke?”

“Ya, faham.”

Dia sengaja mendera emosi aku. Jika kau harap aku akan tewas, kau dah silap Azhael. Hari ini aku jatuh tapi tak bermakna aku akan jatuh untuk selamanya. Sampai suatu masa nanti aku akan bangkit menuntut bela.

“Tak lama lagi aku dan Heidi nak kahwin. Harapnya kau tak ganggu kebahagiaan kami. Doakan aje yang baik-baik untuk aku dan dia. Yang penting, aku tak sabar nak timang zuriat sendiri. Yang normal, yang lebih baik daripada budak cacat tu. Tak sabarnya nak tunggu waktu tu. Kan, sayang?”

Azhael genggam erat tangan Heidi. Nampak mesra. Jika nak kata aku tidak cemburu,
tipulah. Aku pernah hidup dengan Azhael dan berkongsi segala-galanya dengan dia. Rasa cinta ini pernah tumpah untuknya seorang. Apatah lagi anak yang sedang berada dalam pangkuanku ini sekarang merupakan benihnya. Aina lahir dari cinta kami yang pernah mekar suatu ketika dulu.

“Aku rasa okey kot kat sini aje aku tumpangkan kau. Sekurang-kurangnya ada juga makhluk hidup kat tempat ni. Macam mana?”

Azhael berhenti di sebuah pekan kecil yang terletak jauh dari bandar Kuantan. Rasanya bolehlah daripada dia campak aku ke tempat yang tiada manusia. Sekurang-kurangnya jika aku memerlukan pertolongan, tentu masih ada yang sudi membantu.

“Terima kasih. Cuma saya minta tolong angkat beg ni keluar.”

Nampak terpaksa Azhael menuruti kemahuanku. Heidi yang berada di hadapan langsung tak memandang aku saat aku ingin bersalam dengannya. Aku mendapatkan Azhael yang baru meletakkan kedua-dua beg aku di atas lantai yang berdekatan dengan pondok menunggu bas.

“Jaga diri abang baik-baik.”

“Tahulah aku jaga diri. Kau tu yang kena fikir semuanya.”

Azhael memandang aku kemudian menoleh ke arah lain.

“Cium pipi ayah, sayang.” Aku dekatkan Aina ke arah Azhael namun cepat-cepat dia mengelak.

“Eee...jijiklah aku nak sentuh budak cacat ni. Kotor tahu tak.”

Azhael menggosok-gosok bajunya yang terkena tubuh Aina. Jijik sungguh dia. Berlinang air mata aku melihat layanan kasar dia kepada zuriatnya sendiri. Aina tiba-tiba merengek.

“Dahlah, aku tak ada masa lagi ni. Aku pergi dulu!”

“Abang...” Aku menahan langkahnya.

“Apa lagi ni?”

“Farah nak ucapkan terima kasih sebab sudi jaga makan minum Farah selama ni. Hanya Allah dapat balas jasa abang.”

“Yalah.”

Tanpa berlengah lagi, dia terus melangkah pergi. Pintu kereta dihempas sekuat mungkin. Dari jauh, aku melambai-lambaikan tangan ke arah Azhael yang semakin jauh meninggalkan kami.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience