Series
KAIN yang sejak pagi berkibar megah di atas Kota Utara itu tersangkut seketika pada hujung tombak musuh, kemudian terlepas lalu jatuh ke dalam lumpur. Warna yang dahulunya terang kini hampir tidak dapat dibezakan daripada tanah merah yang bercampur darah. Seekor kuda hitam meluru melepasinya sebelum salah satu kakinya memijak lambang kebesaran Melaka itu tanpa belas kasihan.
Dari tirai hujan, sorakan tentera Siam memukul tembok kota seperti gelombang kedua selepas bunyi gendang perang. Suaranya bergema, bersahut-sahutan dengan pekikan manusia yang sedang bertarung demi mempertahankan nyawa.
Kota Utara yang dahulunya menjadi salah satu benteng pertahanan penting Kesultanan Melayu Melaka kini berada di ambang kehancuran.
Dan pada saat itu, nyawa mereka yang masih berada di dalam kubu jauh lebih penting daripada segala-galanya.
Di hadapannya, palang pintu utama sudah retak. Kayu keras yang selama ini menahan kemaraan musuh tidak lagi mampu bertahan daripada hentaman bertubi-tubi. Setiap kali batang pelantak menghentam pintu, seluruh binaan seolah-olah bergegar. Serpihan kayu berterbangan dan celah antara kedua-dua daun pintu semakin melebar.
Di belakangnya pula, masih ada orang yang belum dapat berjalan sendiri.
Sebatang anak panah tertanam di celah zirah bahu kirinya. Sebatang lagi melekat pada lengan yang memegang perisai. Setiap kali tangan itu diangkat, kesakitan menjalar hingga ke pangkal leher. Darah yang mengalir daripada luka-lukanya sudah lama meresap ke dalam pakaian. Dia sendiri sudah berhenti membezakan air hujan daripada darah yang membasahi bengkungnya.
Nafasnya berat.
Dia tidak boleh tumbang.
Belum lagi.
Seorang penyerang menerpa dengan tombak rendah, mensasarkan bahagian pinggangnya yang tidak terlindung sepenuhnya oleh perisai.
Tuah menyisih ke kanan.
Dengan gerakan pantas, dia menangkap batang tombak itu menggunakan tepi perisai sebelum memijak lutut lawan sekuat hati. Kedengaran jeritan kesakitan apabila lelaki itu rebah ke tanah. Sebelum penyerang tersebut sempat bangun, Tuah menendang senjatanya hingga meluncur ke bawah sebuah pedati yang sedang terbakar.
Seorang lagi musuh cuba mengambil kesempatan dari sebelah kiri.
Tuah berpusing dan menepis serangan itu. Pertembungan besi menghasilkan bunyi nyaring yang tenggelam dalam hiruk-pikuk peperangan. Dengan sisa tenaga yang masih ada, dia menolak tubuh lawannya hingga terundur beberapa langkah.
“Rapatkan barisan!”
Suaranya bergema kuat untuk didengari.
Hanya empat orang menyahut.
Tuah sempat mengerling ke kiri dan kanan. Empat orang perajurit yang masih mampu mengangkat senjata segera bergerak merapatkan kedudukan. Seorang daripadanya memegang lembing yang telah patah pada bahagian hujung. Seorang lagi terpaksa menggunakan perisai yang hampir terbelah dua.
Pagi tadi ada lebih 30 orang di pintu itu.
Mereka telah bersumpah untuk tidak membenarkan musuh melewati pintu tersebut selagi nyawa masih dikandung badan.
Kini, sebahagian besarnya sudah terbaring di atas tanah.
Ada yang tidak lagi bergerak. Ada yang masih mengerang meminta pertolongan. Ada pula yang terpaksa diheret ke halaman dalam kerana tidak mampu berdiri.
Tuah mengetap rahang.
Dia mengenali hampir setiap seorang daripada mereka. Ada yang pernah berlatih bersamanya. Ada yang baru beberapa bulan ditugaskan menjaga kubu. Ada juga yang meninggalkan isteri dan anak kecil di kampung dengan janji akan pulang selepas peperangan berakhir.
Janji yang mungkin tidak akan tertunai.
Satu lagi dentuman menggegarkan pintu.
“Laksamana!” jerit seorang perajurit. “Palang sudah hampir patah!”
“Aku nampak!”
Tuah mengangkat perisainya lebih tinggi.
“Bertahan! Jangan biarkan mereka masuk!”
Mereka menurut, walaupun wajah masing-masing jelas memperlihatkan keletihan yang tidak lagi mampu disembunyikan.
Hang Kasturi muncul dari halaman tidak lama kemudian.
Dia memegang sebilah pedang yang tidak lagi lurus akibat terlalu banyak menerima hentaman. Pada lengan bajunya terdapat kesan koyakan yang panjang, memperlihatkan luka yang masih berdarah.
Langkahnya cepat, tetapi wajahnya berubah sebaik melihat keadaan pintu utama.
“Tuah!”
Hang Tuah menoleh sedikit.
“Pintu belakang masih terbuka,” kata Kasturi sambil menghampirinya. “Kita boleh keluar sekarang.”
Suara Kasturi kedengaran mendesak.
Dia sudah meninjau laluan keluar di bahagian belakang kubu. Walaupun jalan tersebut sempit dan berlumpur, mereka masih mempunyai peluang untuk menyelamatkan diri sebelum seluruh Kota Utara dikepung.
Namun, peluang itu semakin mengecil.
Tuah memandang melepasi bahu sahabatnya.
Di halaman dalam, dua orang askar sedang cuba mengangkat seorang lelaki yang sebelah kakinya tidak dapat digerakkan. Lelaki itu menggigit hujung kain yang digenggamnya, menahan jeritan setiap kali tubuhnya dialihkan.
Tidak jauh dari situ, seorang perajurit tua terduduk sambil menekap luka pada perut. Seorang lagi sedang membalut lengan rakannya dengan cebisan kain yang telah basah.
Di tepi telaga, seorang budak memeluk bekas air.
Usianya mungkin belum pun mencecah lima belas tahun. Wajahnya pucat, kedua-dua tangannya menggigil. Bibir budak itu bergerak-gerak tanpa suara, seolah-olah sedang membaca doa yang tidak mampu dilafazkan dengan sempurna.
Tuah memandang Kasturi semula.
“Yang cedera?”
“Ramai tapi tidak semua.”
Jawapan itu membuatkan Tuah terdiam seketika.
Kemudian, dia mengalihkan perisainya ke hadapan.
“Kalau begitu, belum masanya.”
Kasturi memandangnya dengan mata yang terbeliak sedikit.
“Tuah, kau sendiri hampir tidak boleh berdiri.”
“Aku masih berdiri.”
“Lihat keadaan kau!”
Kasturi menunjuk ke arah bahu Tuah yang masih tertusuk anak panah. Darah terus mengalir walaupun hujan tidak berhenti membasahi tubuh mereka.
“Kau sudah kehilangan banyak darah. Kalau kita terus berada di sini, tidak ada seorang pun yang akan keluar hidup-hidup!”
Tuah menghela nafas panjang. Dadanya terasa mencengkam setiap kali dia menarik udara.
“Aku tahu.”
Tuah memandang sahabatnya dengan wajah yang sukar dibaca.
“Kasturi, kalau aku pergi sekarang, siapa yang akan menahan mereka?”
Kasturi terdiam.
Di sekeliling mereka, bunyi hentaman pada pintu tidak pernah berhenti.
“Bawa mereka dahulu,” sambung Tuah.
“Dan kau?”
“Aku akan menyusul.”
Kasturi mengenali nada suara itu.
Nada yang sama pernah didengarinya setiap kali Hang Tuah membuat keputusan yang tidak boleh dipatahkan. Sebagai sahabat yang telah lama mengenali lelaki itu, Kasturi tahu bahawa tidak ada gunanya terus mendesak.
Namun, kali ini dia benar-benar takut.
Bukan takut kepada tentera Siam yang semakin ramai. Bukan juga takut kehilangan nyawanya sendiri.
Dia takut kehilangan sahabat yang sudah dianggap seperti saudara kandung.
Kasturi memegang bahu kanan Tuah.
“Jangan mungkir janji kau.”
Satu dentuman yang jauh lebih kuat daripada sebelumnya mematahkan hujung palang pintu.
Kayu yang retak itu terpelanting ke lantai. Pintu terbuka selebar tapak tangan, cukup untuk memperlihatkan wajah seorang askar Siam yang sedang mengintai dari luar.
Sepasang mata yang penuh keganasan bertembung dengan pandangan Hang Tuah.
Sesaat kemudian, hujung tombak menyusul masuk melalui celah pintu.
Tuah segera menolak tombak itu menggunakan perisai.
“Pergi, Kasturi!”
“Tuah!”
“Sekarang!”
Kasturi mengetap rahang.
Dengan berat hati, dia melepaskan bahu sahabatnya lalu berpaling menuju ke halaman dalam. Budak pembawa air yang masih terpaku di tepi telaga segera ditariknya bangun.
“Bangun! Kau mahu mati di sini?”
Budak itu tersentak.
“Bantu mereka angkat pengusung!” arah Kasturi sambil menunjuk kepada dua orang askar yang sedang mengangkat seorang lelaki cedera.
Budak tersebut mengangguk berkali-kali. Dia meletakkan bekas air di tanah, kemudian berlari mendapatkan mereka.
Kasturi sendiri membantu memegang salah satu hujung kain pengusung.
“Semua yang masih mampu berjalan, bergerak ke pintu belakang! Jangan berpecah!”
Suara arahannya bergema di halaman yang dipenuhi asap dan hujan.
Sementara itu, Hang Tuah kembali berdiri di hadapan pintu utama.
“Dengar sini,” kata Tuah dengan suara rendah tetapi tegas. “Kita tidak perlu mengalahkan seluruh angkatan mereka.”
Seorang perajurit muda menelan air liur.
“Cukup kalau kita dapat menahan mereka sehingga orang kita keluar.”
Lelaki itu mengangguk perlahan.
“Baik, Laksamana.”
Tuah mengetatkan genggaman pada hulunya.
Satu lagi hentaman kedengaran.
Kali ini, seluruh pintu bergegar sehingga engsel besinya berbunyi nyaring.
Hang Tuah mengangkat perisai.
“Bersedia!”
DI sebelah timur kubu, bekalan yang ditunggu sejak tengah hari sedang tenggelam ke dalam lumpur.
Beberapa buah pedati yang membawa beras, air minuman, ubat-ubatan dan anak panah tersadai di sepanjang laluan sempit yang dikelilingi pokok-pokok besar.
Roda pedati pertama telah terbenam hampir separuh ke dalam tanah lembut. Dua orang pengiring cuba menolaknya dari belakang sementara seorang lagi menarik tali kekang lembu yang semakin gelisah.
Hujan menjadikan segala-galanya lebih sukar.
Ketua pengiring bekalan, seorang lelaki bertubuh tegap dengan parut panjang pada dagu, memandang ke arah langit sebelum kembali memerhatikan laluan di hadapan.
Mereka sudah lewat.
Sepatutnya bekalan itu tiba di Kota Utara sebelum matahari mula condong. Namun, hujan yang turun sejak pagi memperlahankan perjalanan. Beberapa kali mereka terpaksa berhenti untuk membetulkan roda pedati yang tersangkut pada akar.
“Cepat sedikit!” jeritnya kepada orang-orang bawahan. “Orang di kubu sedang menunggu!”
“Kami sedang cuba, ketua!”
“Kalau perlu, turunkan separuh guni itu dahulu!”
Dua orang lelaki segera memanjat pedati dan mula mengalihkan beberapa guni beras.
Ketua pengiring mengesat air hujan daripada wajahnya.
Dia tahu betapa pentingnya bekalan tersebut.
Kota Utara telah bertahan lebih lama daripada yang dijangkakan. Beberapa utusan sebelum ini melaporkan bahawa makanan semakin berkurangan, sementara jumlah perajurit yang cedera terus meningkat.
Jika mereka gagal sampai, nasib angkatan yang mempertahankan kubu itu akan menjadi lebih buruk.
Tiba-tiba, ketua pengiring berpaling.
“Ada yang tidak kena?”
Belum sempat sesiapa menjawab, kedengaran bunyi derapan kuda dari arah pepohon di sebelah kanan.
Ketua pengiring mengangkat tangan, mengarahkan semua orang berhenti bergerak.
“Diam!”
Derapan itu semakin hampir. Tidak lama kemudian, beberapa bayang hitam muncul di sebalik tirai hujan.
Pasukan berkuda Siam.
Mereka meluru keluar daripada laluan yang terlindung daripada menara kawalan, terus menuju ke arah rombongan bekalan.
“Musuh!” jerit seorang pengiring.
“Angkat senjata!”
Tetapi amaran itu sudah terlambat.
Pasukan berkuda Siam menyerbu dengan kelajuan yang tidak memungkinkan rombongan kecil itu menyusun pertahanan.
Sebuah pedati dirempuh dari tepi sehingga terbalik. Guni beras jatuh bertaburan ke dalam lumpur.
Ketua rombongan segera menarik senjata dan cuba mengumpulkan anak-anak buahnya.
“Bertahan! Lindungi bekalan!”
Namun, musuh datang terlalu ramai.
Dan ada sesuatu yang tidak kena.
Ketua pengiring sempat melihat bagaimana pasukan berkuda itu bergerak. Mereka tidak kelihatan seperti tentera yang terserempak dengan rombongan secara kebetulan.
Mereka tahu kedudukan pedati.
Mereka tahu laluan yang digunakan.
Malah, mereka menyerang dari bahagian yang paling sukar untuk dipertahankan.
Mereka tidak tersesat.
Mereka tidak perlu mencari.
Darahnya berderau apabila menyedari hakikat tersebut.
Laluan itu bukan laluan biasa. Ia dipilih khusus bagi mengelakkan perhatian tentera Siam. Hanya sebilangan kecil pegawai kanan mengetahui pergerakan bekalan tersebut.
Lebih penting, laluan itu hanya diketahui oleh panglima Melaka.
Bagaimana musuh boleh menunggu tepat di situ?
Siapa yang telah memberitahu mereka?
Ketua pengiring sempat memikirkan perkara itu sebelum pedati pertama diterbalikkan sepenuhnya di hadapannya.
MENJELANG malam, berita kejatuhan Kota Utara sampai ke istana.
Hujan masih turun ketika seorang utusan tiba dengan pakaian yang dipenuhi lumpur. Kudanya hampir rebah sebaik berhenti di halaman. Lelaki itu sendiri tidak lagi mampu berjalan dengan sempurna, namun dia tetap memaksa diri mendapatkan pengawal istana.
Tidak lama kemudian, suasana di balairung istana berubah menjadi tegang.
Sultan duduk di atas singgahsana dengan wajah yang semakin suram.
Baginda membaca warkah itu.
Mata baginda meneliti setiap baris yang melaporkan kemaraan tentera Siam, kemusnahan pintu utama dan kehilangan bekalan yang sepatutnya tiba dari sebelah timur.
“Mana berita Tuah?”
Suara baginda memecahkan kesunyian balairung.
Utusan yang berlutut tidak mengangkat muka.
Peluh dingin mengalir di pelipisnya walaupun pakaian masih basah akibat hujan.
“Ampun, tuanku...”
“Beta bertanya tentang Hang Tuah.”
Utusan itu menunduk lebih rendah.
“Patik tidak mendapat khabar yang pasti, tuanku.”
Sultan memandangnya dengan wajah yang semakin tegang.
Tun Perak yang sejak tadi berdiri berhampiran singgahsana segera melangkah ke hadapan.
“Kali terakhir beliau dilihat, beliau masih mempertahankan pintu kubu, tuanku.”
Kesunyian yang menyusul terasa begitu berat.
Sultan menggenggam warkah tersebut sehingga kertas yang basah itu hampir terkoyak.
Hang Tuah bukan sekadar seorang laksamana yang mengetuai angkatan perang Melaka.
Kesetiaannya telah diuji berkali-kali. Keberaniannya menjadi sandaran negeri, malah namanya sering disebut sebagai lambang kekuatan Melaka.
Dan kini, lelaki itu mungkin sedang bertarung tanpa bantuan yang dijanjikan.
“Tidak mungkin...” Baginda bersuara perlahan.
Kemudian, tanpa amaran, tangan baginda menyambar cawan di sebelah singgahsana.
Cawan itu terhempas ke lantai.
Bunyi pecahannya membuatkan beberapa orang pembesar tersentak.
“Panggil semua yang mampu mengangkat senjata. Beta sendiri akan berangkat!”
Para pembesar saling berpandangan.
Tiada seorang pun segera menyahut titah itu.
Bukan kerana mereka tidak mahu mempertahankan negeri, tetapi keadaan angkatan Melaka sendiri belum benar-benar pulih daripada pertempuran yang berlarutan.
Tun Perak melangkah lebih hampir.
“Ampun tuanku. Angkatan perlu disusun. Kampung yang terjejas sudah kehilangan orang dan bekalan. Jika semuanya dikerah sekali lagi...”
“Musuh tidak menunggu kita cukup beras, Bendahara!”
Suara Sultan meninggi.
Baginda bangkit daripada singgahsana lalu menuruni beberapa anak tangga. Jubahnya meleret di atas lantai ketika baginda berjalan menuju ke rak senjata.
“Setiap waktu yang kita habiskan di sini memberi peluang kepada mereka untuk mara lebih jauh. Kota Utara telah jatuh. Berapa banyak lagi kubu yang harus kita kehilangan sebelum angkatan kita bergerak?”
Tun Perak tidak terus menjawab.
Beliau memahami kemarahan baginda.
Tetapi sebagai Bendahara, tanggungjawabnya bukan sekadar menurut titah. Beliau juga harus memastikan keputusan yang dibuat tidak membawa kehancuran lebih besar kepada negeri.
“Benar, tuanku,” jawabnya akhirnya. “Tetapi tentera tuanku tetap perlu makan. Anak mereka tetap perlu dijaga. Ringankan tanggungan kampung, supaya yang datang berjuang tidak meninggalkan keluarga dalam kelaparan.”
Sultan terdiam.
Di luar balairung, bunyi hujan memenuhi ruang yang sunyi.
Tun Perak menyambung dengan lebih berhati-hati.
“Ramai lelaki sudah meninggalkan kampung untuk mempertahankan sempadan. Ada sawah yang tidak sempat dituai. Ada keluarga yang kehilangan tempat bergantung. Jika kita mengambil semua yang masih mampu berperang tanpa memikirkan mereka yang ditinggalkan, kekuatan negeri akan semakin lemah.”
Baginda berdiri di hadapan rak senjata.
Tangan baginda menggenggam hulu pedang, tetapi belum menariknya keluar.
“Jadi, apa yang Bendahara mahu beta lakukan? Duduk menunggu sehingga musuh tiba di pintu istana?”
“Tidak, tuanku.”
Tun Perak mengangkat wajah.
“Patik mahu angkatan yang berangkat nanti mampu bertahan, bukan sekadar tiba di medan perang untuk menambah jumlah korban.”
Sultan menarik nafas panjang.
Kemarahan masih jelas pada wajah baginda, tetapi kata-kata Bendahara itu tidak boleh diketepikan.
Baginda mengetahui keadaan negeri yang sedang menanggung beban peperangan. Laporan tentang kampung yang kehilangan bekalan dan keluarga yang terpaksa meninggalkan rumah telah beberapa kali dibawa ke hadapan baginda.
Namun, memikirkan Hang Tuah yang mungkin sedang bertarung seorang diri membuatkan dada baginda terasa semakin sesak.
“Beta tidak mahu kehilangan Tuah,” titah baginda akhirnya.
Suara itu lebih perlahan.
Tun Perak menunduk hormat.
“Patik mengerti, tuanku.”
Untuk beberapa ketika, tiada siapa bersuara.
Kemudian, Tun Perak merendahkan suara.
“Sebelum itu, patik perlu tahu bagaimana musuh menemui laluan bekalan kita.”
Sultan menoleh.
“Apa maksud Bendahara?”
“Laluan yang digunakan bukan laluan umum, tuanku. Ia dipilih supaya bekalan dapat dibawa tanpa dikesan musuh. Namun, tentera Siam menyerang tepat di tempat yang sepatutnya paling selamat.”
Kening baginda berkerut.
“Barangkali mereka mempunyai peninjau.”
“Serangan itu terlalu tepat. Jika benar musuh sudah mengetahui pergerakan bekalan kita lebih awal, maka ada perkara yang perlu disiasat.”
Sultan tidak menjawab. Namun, genggaman baginda pada hulu pedang semakin erat.
“Bantuan selatan,” sambung Bendahara, “hingga sekarang belum tiba.”
Kata-kata itu membuatkan baginda terdiam lebih lama.
Bantuan tersebut bukan angkatan kecil yang boleh dianggap tidak penting. Pergerakannya telah diarahkan lebih awal bagi memperkukuh pertahanan Kota Utara.
Jika bantuan itu tiba seperti yang diperintahkan, Hang Tuah mungkin tidak perlu mempertahankan kubu dengan jumlah perajurit yang semakin berkurangan.
JAUH dari istana, di dalam sebuah khemah yang diterangi sebuah pelita, Panglima Damar sedang membaca titah yang sama untuk kali terakhir.
Angkatan yang sepatutnya bergerak ke Kota Utara masih berada di situ.
Panglima Damar duduk bersendirian.
Matanya meneliti titah yang ditulis atas nama Sultan.
+ Bawa angkatanmu ke Kota Utara dengan segera. Hang Tuah memerlukan bantuan.+
Kemudian, perlahan-lahan, bibirnya mengukir senyuman yang hampir tidak kelihatan.
Nama Hang Tuah.
Nama yang begitu mudah mendapat kepercayaan Sultan.
Sejak sekian lama, dia mengetahui kedudukan Hang Tuah dalam angkatan Melaka. Lelaki itu bukan sahaja dihormati kerana kebolehannya mengendalikan senjata, tetapi juga kerana kesetiaannya yang tidak pernah dipersoalkan.
Selagi Hang Tuah masih hidup, sukar untuk sesiapa menandingi pengaruhnya dalam kalangan angkatan perang.
Dengan tenang, dia membiarkan hujung kertas menyentuh bara api.
Satu demi satu baris titah itu hilang dalam nyalaan. Akhir sekali, api memakan meterai diraja di bahagian bawah warkah.
Dia melepaskan sisa kertas ke dalam bekas itu lalu menyandarkan tubuh ke kerusi.
Ketukan kedengaran dari luar khemah.
“Masuk.”
Seorang pengawal melangkah masuk. Lelaki itu menunduk hormat. “Panglima.”
Damar tidak segera menyahut.
“Bilakah angkatan bergerak, Panglima?”
Damar mengangkat wajah.
“Angkatan?”
“Benar, Panglima. Bukankah kita menerima titah supaya berangkat ke Kota Utara?”
Pertanyaan itu disampaikan dengan penuh berhati-hati.
Pengawal tersebut sudah beberapa kali mendengar rungutan dalam kalangan perajurit. Mereka tahu keadaan di Kota Utara semakin genting, tetapi sehingga malam itu, belum ada sebarang arahan untuk bergerak.
Damar bangkit dari kerusinya.
“Pilih enam orang yang paling pantas. Gunakan jalan hutan. Jangan bawa panji,” katanya.
Pengawal itu teragak-agak.
Arahan tersebut kedengaran aneh.
Enam orang terlalu sedikit untuk membantu mempertahankan sebuah kubu. Tambahan pula, laluan hutan pada waktu malam amat berbahaya, lebih-lebih lagi ketika hujan menyebabkan tanah licin dan sungai kecil mula melimpah.
Tetapi dia tidak berani mempersoalkan keputusan panglimanya secara terbuka.
“Untuk mencari Laksamana?” tanyanya akhirnya.
Damar perlahan-lahan berpaling. Kemudian, dia melangkah lebih hampir.
“Dengar baik-baik.”
Pengawal itu segera menegakkan tubuh.
“Orang yang kau pilih mestilah tahu menurut perintah. Jangan ambil mereka yang banyak bertanya. Dan jangan benarkan sesiapa mengetahui tujuan sebenar perjalanan ini.”
Pengawal itu menelan air liur.
Kali ini, tiada lagi senyuman pada wajah Damar.
“Jika Hang Tuah masih hidup,” katanya, “pastikan dia tidak sempat pulang.”
Pengawal itu terkaku.
Arahan itu bukan untuk menyelamatkan Hang Tuah. Arahan itu adalah hukuman mati.
Share this novel