Kerlipan indah bintang malam ini memukau sukma. Cahaya rembulan yang bersinar menjadikan malam sedikit terang. Bunyi bising di sebalik kamarku sedikitpun tidak kuhiraukan. Pasti ibu dan pakcik bertengkar lagi.
"Aku mahu dia berambus dari sini." Suara pakcik kedengaran garang. Aku menapak perlahan dan menekapkan telingaku rapat ke dinding. Siapa yang pakcik maksudkan itu? Siapa yang mahu diusir?
"Tapi dia anak saya, bang." Suara ibu kudengar sedih.
Kini aku tahu siapa yang pakcik maksudkan. Ya, memang sudah lama pakcik bencikan aku. Apa pakcik ingat aku suka padanya? Huh, sejak ibu berkahwin dengan pakcik tidak pernah sekali pun dia cuba untuk rapat dengan ku. Aku juga begitu. Pakcik sudah merampas ibu dan kasih sayangnya.
Memang ibu tidak pernah menunjukkan benci kepadaku tetapi ibu sering kali tidak menghiraukan aku. Aku bagaikan terbuang dalam keluargaku sendiri. Asing sekali aku dalam rumah ini. Lagi-lagi jika Intan ada di rumah.
Intan - adik tiriku. Baru berusia 13 tahun. Dia juga tidak menyukaiku. Dia lebih rapat dengan ibu. Maklumlah, anak bongsu. Segala yang diinginkan akan dipenuhi. Pakcik terlalu manjakan Intan. Cuba saja jika aku yang meminta? Ya, pasti dapat. Bukan dapat apa mahuku tetapi dapat maki.
Pernah sekali aku meminta ibu belikan aku selipar baru kerana selipar aku yang lama sudah putus talinya. Bila pakcik dengar terus saja dia memarahi aku. Katanya aku sengaja memutuskan selipar itu.
'Huh, sakit hatiku.'
Pagi itu pakcik memanggilku. Bicaranya baik sekali. Buat pertama kalinya aku merasa bahagia. Pakcik tidak memanggilku dengan panggilan 'tempang' tetapi dia memanggilku dengan namaku sendiri.
Tempang - panggilan pakcik dan panggilan orang kampung terhadap diriku. Ia kerana aku tidak dilahirkan normal seperti orang lain. Aku dilahirkan dengan sedikit kecacatan fizikal. Bukan aku meminta untuk dilahirkan begini. Kakiku yang tempang sebelah kanan dan jari tanganku yang bercantum membuatkan aku lain dari mereka yang normal.
Share this novel