Series
526
Saya tahu dia tidak pandai masak sebaik sahaja bola mata saya mengerling ke arah tangannya yang memegang pisau seperti bersedia membunuh seekor harimau yang mahu menerkam.
Walhal dia hanya mahu memotong sebiji bawang merah sebagai bahan penumis bagi masakan sambal ayam yang sedang saya ajarkan. Sepatutnya untuk memotong atau menghiris sebiji bawang, pisau tidak harus digenggam kuat; hanya lembut dan cermat.
Saya hanya mampu gelengkan kepala, bukan kerana sedang berzikir. Tetapi sudah hampir setengah jam, perempuan dari langit ini masih belum selesai memotong bawang. Sejak tadi dia membelek-belek bawang itu seolah-olah ianya suatu objek yang sangat istimewa yang mungkin jatuh dari Neverland. Tapi saya tidak kisah kerana saya tahu perempuan dari langit seperti dia mana mungkin tahu memasak. Lagipun dia memberitahu kenapa dan mengapa dirinya diturunkan ke daratan ada kaitannya dengan soal masakan (Di langit pun masih mengutamakan soal perut).
Ya, saya andaikan ketika dia di langit kehidupannya serba mewah dengan segala macam keperluan diperolehi sekelip mata bukan seperti saya atau kalian di tanah bertuah ini yang harus menahan mata dari malam sampai awal pagi semata-mata mahu menyiapkan manuskrip yang kemudiannya terbuang di bakul sampah si penerbit perasan hebat (maaf saya beremosi). Bahasa tubuhnya yang kelihatan kekok ketika di dapur hanya menghadirkan senyuman sinis pada wajah saya.
“Lepas potong bawang nak buat apa pula ya?” Dia bertanya kepada saya.
***
Dua hari lepas.
Dalam dua bulan kebelakangan ini, saya ditimpa malang yang berganda. Benar kata orang (saya tidak pasti siapa yang kata) dugaan hidup tidak pernah berakhir selagi masih benyawa. Jadi untuk mencari ketenangan saya mengambil keputusan pergi ke tasik Puchong Perdana bukan untuk membunuh diri tetapi sekadar merenung langit petang yang kembali cerah selepas hujan turun.
Tapi mengapa tasik? Sedangkan saya sedar tidak sampai tiga ratus meter dari tasik itu berdiri teguh sebuah masjid yang sebahagian binaannya di atas tasik. Namun demikian saya tidak mahu menjadi manusia yang hipokrit bila susah baru mencari masjid sedangkan ketika senang hanya duduk di restoran mamak sambil menghembus asap candu moden lambang aspirasi anak muda kononnya.
Saya duduk di bangku batu merenung ke tasik dan sekali-sekala memerhati gerombolan awan putih di langit. Saya mengenangkan nasib diri yang tidak ada pekerjaan bahkan ditinggalkan pula oleh teman wanita yang mulanya berjanji setia sanggup bersusah payah namun setelah dipujuk rayu oleh lelaki kaya akhirnya layu juga. Duit adalah segala-galanya.
Saya cuba memejamkan mata seperti teknik yang diajar dalam buku motivasi (selain menjerit) untuk menghilangkan kekusutan, tiba-tiba seorang perempuan yang sangat wangi, berbaju kurung serba putih berdiri tegak di hadapan saya. Perempuan itu tersenyum sehingga menampakkan giginya yang kemas tersusun rapi seperti baru menjalani proses yang saya sendiri tidak tahu apa namanya, tapi giginya memang cantik (lebih cantik dari iklan komersial Fazura dan ubat gigi berjenama X).
“Assalamualaikum”. Dia memberi salam kepada saya dengan suara yang lembut, sangat lembut (tidak seperti Faizal Tahir menyebut ucapan itu dalam lagunya). Saya terkesima tapi mulut tidak ternganga. Siapakah perempuan berkulit putih, cantik dan berambut hitam di sebalik selendangnya yang jarang? Tidak mungkin Pontianak akan memunculkan dirinya pada siang hari lagi-lagi di lokasi yang berhampiran dengan masjid (dalam filem melayu, tiada babak pontianak masuk masjid bukan?). Dia minta izin untuk duduk di sebelah saya, lalu saya izinkan tanpa prejudis. Mulut saya ketika ini masih membisu. Belum pernah dalam hidup saya seorang perempuan tiba-tiba memberi salam dan minta izin duduk di sebelah saya. Hampir lima minit kami duduk di bangku batu itu tanpa berbual antara satu sama lain. Kemudian dia bertanya pada saya sekiranya boleh atau tidak jika dia mahu menumpang di rumah saya untuk satu malam. Terkejut. Saya tidak mengenali dia dan tiba-tiba pula mahu menumpang di rumah saya? Lalu saya bertanyakan perihal dirinya untuk lebih kepastian sebelum mempertimbangkan samaada boleh atau tidak kerana terlalu banyak persoalan berkaitan perempuan ini yang bermain di fikiran saya.
+++++++++++
“Awak janji semalam tumpang sampai petang ini kan? Sekarang silalah pulang kembali ke langit.”
“Awak tak kesiankan saya? Kan saya dah ceritakan pada awak hal sebenar.”
“Masalahnya saya tak beritahu pada mak, awak tu datang dari langit. Kalau mak tahu nanti alamat pengsan dia!”
“Ok. Awak jangan cakap pada mak awak. Biar saya jelaskan sendiri, boleh?”
“Ehh! Jangan. Saya tak kira awak mesti tinggalkan rumah ini kejap lagi.”
“Hari dah petang lagipun di luar hujan lebat. Awak tak kesiankan saya?”
Saya terdiam, terdetik rasa simpati padanya.
“Tapi sebelum balik saya ada satu permintaan.”
“Apa?”
“Boleh ajarkan saya masak sambal ayam?”
Sambal ayam adalah makanan kesukaan saya dan ia menjadi punca kenapa perempuan dari langit ini masih belum mahu meninggalkan rumah saya. Seperti dia tahu saya seorang lelaki keras di luar, lembut dalam hati, maka permintaannya itu saya turuti. Saya sendiri agak skeptikal mengapa sambal ayam yang dia ingin pelajari?
Mungkin bagi seorang perempuan, masak sambal ayam lebih mudah berbanding rendang ayam, mungkin. Memandangkan hujan turun sangat lebat dan tidak berhenti sehingga Maghrib, maka terpaksalah saya membenarkan dia untuk tinggal sehari lagi dan mengajarnya masak sambal ayam pada hari esok.
++++++++++
Jam sudah menunjukkan pukul 12.30 tengah hari. Kalau begini caranya, mungkin selepas Asar baru selesai. Namun begitu saya memuji kesungguhannya. Ya, mungkin perempuan dari langit tidak seperti perempuan di tanah ini yang lebih gemar mengambil gambar makanan berbanding membelek buku resepi.
“Cik Langit, macam mana awak tahu saya pandai masak sambal ayam?” Saya bertanyakan soalan yang telah lama tersimpan dalam hati saya sejak di pasar tadi.
“Kelmarin. Mak awak hidangkan saya sambal ayam untuk makan malam. Sedap. Dia cakap awak masak.”
Sedap? Pada waktu ini saya seperti sedang terapung di udara dek kerana pujian dia.
Fly me to the moon let me be among the stars
“Sekarang awak gaulkan ayam ini dengan kunyit dan garam, lepas itu kena goreng dulu.”
“Kalau saya ada permintaan boleh?”
“Apa dia?”
“Saya risau kuku jari saya kotor. Boleh kan?” Jarinya menunjuk ke arah serbuk kunyit dan ayam.
Alamak! Sekali lagi saya hanya berupaya gelengkan kepala tetapi entah mengapa hati saya berasa bahagia. Ya bahagia.
Selepas selesai menggoreng ayam bagi pihaknya, saya mengajarkan pula cara menumis. Dia memerhati dengan penuh ketelitian ketika saya “mencampakkan” satu persatu bahan-bahan tumisan ke dalam kuali. Sambil menunggu sambal “pecah minyak”, saya log masuk Twitter yang sudah seminggu tidak saya jenguk. Satu persatu tweet melintasi susur masa twitter saya baca sekali imbas. Sehinggalah saya terbaca satu tweet bergambar.
“MOHON BANTUAN MENCARI TUNANG SAYA YANG HILANG SEJAK DUA HARI LEPAS. DIA MENGALAMI MASALAH HILANG INGATAN....”
Jantung saya berdegup kencang. Gambar yang ditweet saling tak tumpah seperti muka perempuan dari langit itu. Beerti semua yang dia ceritakan kelmarin ketika di tasik adalah dusta belaka dan saya hanya mampu menepuk dahi mengenangkan bagaimana saya boleh percaya bahawa dia perempuan dari langit (yang saya sangka dihantar oleh Tuhan untuk menjadi teman istimewa saya!). Lebih malang, “perempuan dari langit” ini telah bertunang! Seketika saya merasakan kebahagiaan saya telah direntap secara paksa dan sekeliling menjadi sunyi sepi..sepi..dan gelap.
“Sekarang dah boleh masukkan ayam?”
Lamunan saya terhenti. Kelihatan dia tersenyum kepada saya dengan tangan kanannya masih memegang sudip.
+++++++++++
“Tak, saya tak percaya awak datang dari langit.” Jari telunjuk saya menuding ke arah langit.
“Sekarang cuba awak beritahu saya sekali lagi dari mana awak datang sebenarnya?”
“Saya turun dari langit!”
“Awak turun? Maksud awak jatuh gedebuk tiba-tiba? Tipu.”
“Betul. Tapi bukan jatuh. Turun.”
“Ya ar, turun dari apa?”
“Turun dari langit”
“Turun macam tu je?”
“A’a.”
“Tak pakai payung terjun?”
Dia gelengkan kepala.
Saya memandang ke arah langit, mencari kalau-kalau ada kapal terbang atau helikopter yang sedang berlegar-legar. Mungkin juga UFO. Ketakjuban menyelubungi diri saya. Mungkin ini adalah kurniaan Tuhan kepada lelaki patah hati seperti saya! Atau boleh jadi saya sebenarnya sedang berbicara dengan seorang perempuan gila? Saya bingung.
"Satu soalan lagi. Sebab apa awak turun ke sini?”
“Sebab masakkan saya tak sedap. Saya didenda.”
“Tapi memang ada kerajaan langit kat atas sana?” Saya menunjuk ke langit. Dia tidak menjawab sebaliknya hanya mengangguk tanda ya, mungkin.
“Ya ampun! AyahPin tak tipu” bisik saya dalam hati, tetapi kemudian saya kembali beristighfar kerana ketelanjuran pemikiran saya itu. Kemudian saya dan perempuan dari langit itupun berjalan meninggalkan kawasan tasik.
“Jadi mana kenderaan awak?” Giliran dia menyoal saya.
“Saya jalan kaki. Tak ada duit.”
“Awak tak kerja?”
“Baru kena berhenti.”
“Kenapa?”
“Editor saya kata, saya perli dia dalam artikel berkaitan jerebu.”
“Kesian. Jadi kita kena berjalan?”
“Ya, intan payung kita kena jalan kaki, baik untuk jantung.” Saya ketawa kecil.
“Siapa nama awak?”
“Mimi”
“Mimi? Mimi apa?”
“Lupa dah, lepas turun dari langit.”
“Ok. Kalau macam tu biar saya panggil awak “Cik Langit”
“Cik Langit? Tak pelik ke?”
“Ada orang nama dia Kerusi, lagi pelik.”
“Oh!”
“Awak tak takut kalau saya sebenarnya orang jahat?” Saya memandang dia atas bawah, seolah-olah mata saya sedang melakukan proses scanning.
“Tak.”
“Betul?”
“Muka awak tak macam orang jahat. Saya percaya pada kata hati saya.”
Saya tersenyum sendiri. Kami berjalan seiringan seperti pasangan kekasih, menuju ke rumah saya (rumah mak saya sebenarnya).
Sekali sekala mata saya menjeling ke arahnya dan di hati saya berkumandang lagu Hero.
I can be your hero baby, I will stand by you forever, You can take my breath away.
Nantikan episod seterusnya.
Share this novel