OPERA
Laila, bermata galak dan cantik orangnya. Semua orang minat padanya, termasuklah seorang usahawan yang kaya, Nazhan. Nazhan merupakan anak kepada pengusaha pakaian opera di daerah Tanjung Mutiara. Laila juga pandai menari dan menyanyi di pentas panggung opera.
Satu hari, poster ditampal di seluruh bandar Tanjung Mutiara untuk menghebahkan tentang persembahan mereka. Laila orang yang pertama sekali sangat gembira kerana orang ramai akan mengetahui bahawa opera di tempat tinggal mereka merupakan opera yang terbaik dan terkenal.
Laila, sedang sibuk mendandan dirinya dan dia mengusik teman-temannya yang sedang memakai celak. Laila tidak suka membiarkan bilik solek itu kelihatan tegang.
“Murni, aku dengar opera ini ‘keras’ sikit. Kau tak pernah dengar cerita?”
Murni yang sedang memakai gincu itu tersentak. Keras? Mesti ada kejadian yang berlaku di sini. Bersyukur sangat kerana ayah Nazhan membeli tapak di sini. Dapatlah mereka mencari sesuap nasi.
“Laila, kau jangan nak takutkan aku. Aku dah mula seram sejuk ni. Lagi-lagi kau cerita pasal hantu. Jangan kau sebut. Aku tumbuk nanti.”
Laila diam. Nada suaranya tidak seceria tadi. Dia bukan mahu menakutkan kawannya. Tapi, dia yang dengar daripada mulut Nazhan sendiri. Nazhan sejak itu tak berani datang lagi ke opera yang besar ini. Kalau dia datang pun, mesti berteman.
“Aku cakap benda yang betul la. Tak apa, kalau kau tak percaya. Jom lah, kita ada persembahan sekejap lagi ni.”
Murni dan beberapa orang rakannya juga, Kaseh, Qila dan Maya menjuihkan bibir ke arah Laila. Mereka tidak suka akan Laila yang bermulut becok itu, walaupun dirinya cantik. Tetapi sayang, perangainya tidak secantik itu.
***
“Okey semua, kita kena bersedia lebih awal. Saya tak mahu ada cacat cela yang berlaku sepanjang pementasan opera ini berlangsung. Jika ada, saya akan salahkan kamu kerana tidak berlatih betul-betul.”
“Baik.”
Mereka tidak lama kemudian mementaskan opera yang bertemakan ‘Music of The Night’ dengan cemerlang sekali. Namun para penonton hairan, di manakah Laila? Maklumlah, wajahnya yang cantik itu sering menjadi tumpuan.
Kawan rapat Laila, Dea menjenguk ke bilik persalinan. Manalah tahu, Laila tidak dapat hadir kerana sakit perut. Alangkah terkejutnya dia apabila dia melihat Laila berlumuran darah dan pisau masih tertusuk di perutnya!
“Tidak!!! Laila!!”
Dea menjerit. Serta-merta semua lampu terpadam. Dea bertambah takut. Pintu almari itu terkuak perlahan-lahan. Dea tak dapat melihat. Tapi dia dapat merasakan ada seseorang memegang tangannya. Dea cuba untuk menjerit. Tetapi, suaranya seakan tidak keluar.
“Kau diam! Kalau tak aku bunuh kau!”
Suara yang garau itu membuatkan dirinya makin takut. Dea memejam matanya. Dia tak sanggup lagi melihat pembunuhan yang begitu kejam itu.
“Buka mata kau! Aku nak kau tengok kenapa opera ini terkenal dengan pembunuhan!”
Dea membuka matanya. Dia memekup mulutnya. Dia tidak melihat apa-apa, tetapi dia hanya melihat seorang wanita yang cantik, berambut panjang, dan wajahnya pucat datang ke arahnya dengan merangkak. Matanya berdarah.
“Jangan datang ke arah saya. Saya tak bersalah!”
Perempuan itu terus menangis dan tiba-tiba ketawa dengan nada suaranya yang menakutkan. Dea ditolak ke dalam sebuah perigi olehnya. Dea menjerit sekali lagi! Dia keliru. Siapa perempuan itu? Siapa pemilik suara garau itu?
Dea terkapai-kapai untuk meminta tolong. Sadisnya, dirinya juga menjadi mangsa kedua! Dia mati dalam keadaan yang mengerikan.
***
Semua kecoh dengan pembunuhan Laila, termasuklah Nazhan. Dia seakan sudah tahu itu angkara siapa. Dea? Di mana dia? Nazhan terus keluar tanpa mempedulikan penonton yang sudah berlari ke sana dan ke mari.
“Tuan Nazhan! Ada kematian! Di perigi tepi sana.”
Muka Nazhan berkerut. Dia terkejut. Orang itu adalah Dea! Bagaimanakah kejadian pembunuhan ini berulang lagi? Setahu dia, opera ini selamat daripada sebarang masalah. Dia mesti mengorek rahsia ini. Semalam, dia terdengar suara ketukan di pintu biliknya. Dia buat-buat tidak tahu. Dan di luar tingkap, dia melihat banyak mayat-mayat yang asalnya penyanyi opera di situ. Kenapa mereka mencarinya? Apa salah dia? Dan apa kaitan Dea dan Laila? Mengapa mereka dibunuh?
“Dea!!!”
Kejadian ini sangat menyayat hati. Mereka mengebumikan dua mayat sekaligus pada malam itu. Nazhan sempat melihat seorang lelaki tua yang berpakaian agak lusuh, tersenyum sinis ke arahnya. Umpama dia berpuas hati dengan apa yang berlaku. Nazhan mengambil keputusan untuk bertanya kepada lelaki tua itu. Dia masih tak faham dengan kejadian seratus tahun dahulu berulang lagi.
“Pak cik! Tunggu. Saya ada hal nak cakap dengan pak cik ni.”
Orang tua itu diam. Dia cuba mengelakkan daripada bersemuka dengan anak Tuan Nazih itu. Kerana Tuan Nazih, ramai penyanyi opera itu menjadi mangsa. Kerana dia jugalah, opera yang dahulunya terkenal menjadi satu pembunuhan yang tragik. Yang paling dia tidak puas hati, Tuan Nazih membuatkan dia kehilangan kerja!
“Apa kau nak wahai anak muda! Kau tak layak uruskan opera ini. Kerana datuk kau yang dah mati itu, opera ini tak kan terkenal lagi.”
Nazhan semakin tak faham. Apa kaitan datuknya dalam perkara ini?
“Pak cik, saya tak faham. Boleh pak cik jelaskan tak?”
“Begini ceritanya..”
***
Tuan Hisyam mengerah setiap penyanyi opera itu untuk mendapatkan wang. Lepas mereka tidak berguna lagi padanya, dia membunuh mereka hidup-hidup! Seorang penyanyi yang bernama Mariam, juga menjadi mangsa. Tetapi, Mariam tidak dibunuh dengan sengaja! Tuan Hisyam tersilap meletakkan racun dalam minuman Mariam dan menjadikan dirinya tidak dapat bercakap serta lumpuh. Takut kegiatan jenayahnya diketahui, Tuan Hisyam membakar opera itu.
Lima puluh tahun kemudian…
Tuan Nazih, anak kepada Tuan Hisyam pula bertindak untuk menjual semula opera itu dan membuang pekerjanya tanpa alasan yang munasabah. Ramai pekerja yang berkhidmat di situ menganggur dan ada yang berhijrah ke tempat lain. Kematian penyanyi opera tidak terbela termasuklah Mariam. Dia datang untuk membalas dendam. Semua keluarga Nazhan dibunuhnya dengan kejam. Nazhan seorang yang terselamat. Dan dia harus menghentikan semua ini.
“Pak cik, saya minta maaf bagi pihak mereka. Saya janji, saya akan tebus kembali apa yang mereka sudah buat.”
Nazhan menggali semula kubur-kubur yang terdapat di tepi perigi, dan dia mengerah semua pekerjanya. Kubur Mariam, masih berbau wangi dan dia melihat rantai mutiara yang dia kenal-milik ibunya! Dia mengagak, sebelum datuknya meninggal, mesti datuknya pernah datang ke sini untuk memberi rantai itu sebagai tanda maaf.
Nazhan meminta mereka mengebumikan semula penyanyi-penyanyi opera ini di suatu tempat yang khas. Termasuklah Laila dan Dea. Dirinya amat sedih. Namun, opera ini tidak mungkin perlu ditutup. Kos perbelanjaannya amat mahal untuk membinanya semula.
“Semoga kau tenang di sana wahai Mariam..”
Malam itu…
“Terima kasih..kau telah menuntut bela untukku. Aku sangat terhutang budi pada kau.”
Nazhan terjaga dari tidurnya. Dia mengucap sebelum kembali tidur. Dan dia menoleh ke luar, Mariam tersenyum padanya sambil menghadiahkan kalung mutiara buat dirinya! Nazhan membalas kembali senyuman itu. Kini, opera itu tidak lagi ‘keras’!
Share this novel