Rate

Bunga Kertas

Short Story Completed 2198

BUNGA KERTAS

Bip! Bip!

Ayman pantas menarik keluar telefon pintarnya dari kocek seluar. 26 notifikasi mesej dari aplikasi whatsapp dinyah baca serentak. Hati dan mindanya saat ini benar-benar kosong. Sekosong langit jingga yang menghiasi persisiran Pantai Cenang, tempat dia berpijak sekarang.

Deruan ombak sesekali singgah menenggelamkan sebahagian jiwanya. Bayu laut yang membelai lembut ditepis dengan rasa kecewa yang masih merobek hati. Hanya kudratnya masih gah menapaki persisiran pantai itu.

Kecewa? ya. Segumpal rasa itu yang membawanya ke sini. Satu perjalanan yang tidak dirancang sempurna. Semuanya mengikut gerak hati. Hanya kerana peristiwa itu.

3 hari sebelumnya...

Ayman merenyukkan satu-satunya potret sempurna yang dilukisnya untuk Bunga. Potret yang sepatutnya dihadiahkan kepada Bunga saat pertemuan mereka yang bakal berlangsung genap tanggal 10 April. Dalam sekelip mata lukisan itu menjadi gumpalan separa bulat lantas dilontar masuk ke bakul sampah di sisi katil.

Dadanya masih terasa sesak dengan nafas yang turun naik. “Sampai hati kau kan Bunga. Engkau yang kuanggap haruman penenang, pelengkap sebahagian jiwa, ternyata ilusi semata.” Ayman mengeluh berat. Kedua telapak tangannya dirapatkan ke kepala yang seakan goyah menanti rebah.

Buat seketika pandangannya terhalang cairan panas yang segera diseka. Lantas matanya dipejam rapat. Masih terbayang jelas beberapa keping gambar Bunga bersama seorang lelaki beserta seorang budak yang ditemuinya melalui pencarian di laman sesawang.

Hati pasangan kekasih mana yang tidak remuk bila mendapat tahu pasangannya menyembunyikan hakikat. Hakikat yang amat pahit untuk ditelan. Percintaan yang berlangsung hampir 2 tahun lantas membenihkan harapan, kini hancur lebur sekelip mata.

“Dia milik orang.”

Serta merta lagu kegemaran Bunga bermain difikiran Ayman. Lagu ciptaan Harry Khalifah itu kerap diminta Bunga untuk dinyanyikannya. Namun, langsung tidak terjentik hatinya untuk berfikir bahawa itu sebenarnya satu petanda. Bahkan, tanpa jemu terus mengejar hati yang sepatutnya dibiarkan tanpa terus didekati.

Bunga. Wanita itu terlalu baik bagi Ayman. Setiap tutur bicaranya meninggalkan rasa di hati sesiapa sahaja yang mendengar. Sikapnya yang sentiasa mengambil berat membuatkan hati yang sedia kosong rasa terisi. Gelak, gurau dan tawanya, membuatkan hati yang separuh mati turut terhibur. Boleh dikatakan munculnya Bunga memberi nafas baru buat Ayman.

Dan, dari semua rasa itulah munculnya satu rasa yang tidak pernah diminta. Cinta.

Demi cinta, Ayman tekad untuk mendekati Bunga dari hari ke sehari. Sehinggalah kata keramat yang ditunggu Ayman muncul dari bibir Bunga. “I love you, Ayman.”

“I love you? “ kata-kata itu menarik Ayman kembali ke realiti. Memori indah yang bermain di mindanya tadi lenyap sekelip mata. Yang tinggal kini hanya persekitaran Pantai Cenang yang mula dikunjungi beberapa pasangan kekasih yang mungkin sedang mencari mood romantik untuk diabadikan ke dalam lensa kamera telefon masing-masing. Suasana tersebut membantutkan niat Ayman untuk berlama di situ.

Langkahnya diatur meninggalkan persisiran Pantai Cenang tanpa arah tuju yang pasti. Dan, disebabkan lapar. Ayman akhirnya singgah di sudut restoren di persisiran pantai. Betul-betul mengadap hamparan jalan.

Beberapa mata asing memperhatikan langkah Ayman yang melepasi meja-meja mereka. Salah seorang wanita asing berambut perang yang sedia duduk di salah sebuah meja di situ melempar senyuman. Ayman cuba membalas, malangnya, otot wajahnya terasa kaku. Sudahnya Ayman sekadar melangkah dan mengambil tempat selang 2 meja dari situ.

Menu dipesan. Nasi goreng daging sepinggan, burger daging keju untuk dimakan, dan sebiji burger ayam keju untuk dibawa balik nanti.

Telifon pintar dikeluarkan dan pegun digenggaman Ayman buat seketika. Selang beberapa detik, Ayman kembali membuka setiap mesej yang terkumpul sejak petang tadi. Tiada mesej dari Bunga. Telifon diletakkan ke meja beserta keluhan kecil. Jujur tanpa berselindung, sebahagian hatinya masih merindui setiap luahan hati Bunga. Namun, sebahagian lagi menyumpah seranah dirinya kerana bersikap bodoh. Untuk apa berharap pada sesuatu yang sah haram untuk terus dinanti. Apa yang diharapkan dari wanita yang sah-sah berstatus isteri orang?

Masih terpahat kemas difikiran Ayman bagaimana Bunga berkali mencipta alasan bila diajak untuk berjumpa. Bahkan, sepanjang 2 tahun perkenalan Ayman dan Bunga, pelbagai keraguan timbul tentang siapa sebenarnya Bunga. Namun, segalanya ditepis dengan bersangka baik dan percaya. Dan kesemua keraguan tersebut kini terjawab. Pernah Ayman cuba untuk berikan Bunga peluang sekadar untuk berterus terang tentang dirinya yang sebenar. Namun, peluang tersebut hanya sia-sia. Bunga mula mencipta alasan demi alasan seakan cuba menegakkan benang yang sarat basah. Sudahnya, dari rasa cinta timbul rasa benci.

“Sabarlah Ayman. Saya pun tak faham kenapa dia sampai berani ambil risiko macam ni. Sepatutnya Bunga berterus terang status dia pada awak dari awal, bukannya sampai awak jumpa semua bukti tu sendiri.”

Yany satu-satunya sahabat yang tahu kisah percintaan diantara Ayman dan Bunga. Dan, disebabkan Yany, Ayman mampu untuk terus bersangka baik dengan mencipta jawapan sendiri atas semua pertanyaannya pada Bunga.

“Thanks Yany.” Hanya ucapan itu mampu diucapkan buat sahabat yang benar-benar memahami. Meskipun perbualan mereka sekadar di hujung jari yang pantas menaip dan membalas satu persatu pesanan mesej. Sedikit sebanyak hati Ayman menjadi tenang.

Sedar tak sedar, sepinggan nasi goreng dan sebiji burger tadi selamat dihadam Ayman. Perut yang tadinya kosong terisi sempurna. Selesai membuat bayaran, Ayman meneruskan langkah kembali ke Sandy Garden Resort. Tempatnya berteduh sepanjang di sana.

“Hello brotha, do you have a lighter? “ sapa seorang lelaki berkulit putih.

“No, i just have this.” Vape hitam di tangannya diangkat buat tatapan. Lelaki tadi mengangguk seraya membalas isyarat ‘Okay’. Jujur, Ayman masih berpegang janjinya pada Bunga untuk berhenti merokok. Bezanya, asap yang disedut ini sekadar penenang untuk melenyapkan kesengsaraan jiwa. Hanya itu alasan untuk menghalalkan cara. Ayman tersenyum sendiri.

Bungkusan makanan yang dibelinya tadi diletakkan di meja. Lampu bilik dimatikan serentak sejurus selepas pintu utama dikunci rapat. Tv dan penghawa dingin dihidupkan seraya melabuhkan duduk di birai katil. Dua buah novel yang diletakkan di hujung bantal dipandang kosong. Novel yang kononnya dibawa sebagai peneman dan pengisi waktu kosongnya langsung tidak berusik. Jiwa kacau.

Zeez! Zeez!

Telifon pintar di kocek seluar ditarik seraya diamati. 2 pesanan mesej tertera melalui aplikasi Whatsapp. Ayman sendiri terlupa telifonnya telah ditetapkan dalam fungsi senyap. Paparan skrin kembali diteliti.

“Weh. Berapa hari kat sana? balik bagitahu awal... takut aku kerja.”- Adik

“Apa ni abang Aie, pergi sana hilang diet terusss.”- Fyra

Mesej kedua mereka dibalas pantas.

“Aku apply cuti seminggu. Okay, balik aku inform.” Dihantar.

“Makan kan ubat stress.” Dihantar.

“Ok.” ringkas balas adik. Emotikon ‘Okay’ dihantar Ayman sebagai penutup perbualan.

“Hahaha. Abang Aie dekat Langkawi ke tu? “ -Fyra

Mesej Fyra dibalas. Selain, Yany. Fyra merupakan pendengar dan penasihat setia bagi Ayman. Bahkan, keakraban mereka pernah disalah anggap sebagai pasangan bercinta. Lucu bila ada diantara kenalan rapat yang bertanya, “Abang Aie dengan kak Fyra ada apa-apa ke? “ saat itu Ayman hanya menggeleng senyum. Bukannya mereka buta yang Fyra sudah berpunya. Fyra dan Ayman kalau digandingkan pun ibarat “Beauty and the beast” , seorang berwajah manis, seorang lagi pula bermuka kelat. Jurang perbezaan yang terlalu jauh.

“Bye.” Baris terakhir mesej dihantar Ayman. Penutup perbualan diantara mereka. Kepalanya direbahkan mengadap syiling kosong bertemankan cahaya suram dari kaca tv. Ingatannya pada Bunga kembali menerpa. Kurang beberapa jam kemudian, sedikit demi sedikit memori tersebut pudar saat mata terpejam rapat.

3 hari berlalu tanpa sedar. Mujurlah sepanjang tempoh itu, masanya dihabiskan dengan aktiviti jelajah pulau. 12 April adalah hari terakhir Ayman di pulau tersebut. Perjalanan yang dijangka mampu melenyapkan semua ingatannya tentang Bunga ternyata meleset. Masih tersisa rindunya pada Bunga. Cuma, prinsip hidupnya yang tidak suka dikhianati menjadi tiang kukuh untuknya berpaut. Biar sukar manapun, Ayman tekad untuk melupakan insan bernama Bunga.

Ayman tidak menunggu lama bila kenderaan yang dihubunginya melalui aplikasi Grab tiba awal. Perjalanan dari Pantai Cenang ke pekan Kuah terasa panjang kerana meredah hujan lebat. Ayman lebih selesa mengadap tingkap sisi, merenung titisan hujan yang berjuraian jatuh ke permukaan cermin. Hanya sesekali pandangannya dialihkan ke sudut pemandu bila lelaki itu bersoal jawab.

“Bro, lepas ni kalau datang Langkawi lagi bawa la peneman... baru syok jalan-jalan pusing pulau.” Seloroh pemandu Grab tersebut.

“InsyaAllah bro,” balas Ayman dengan senyuman plastik.

“Ye... aku akan datang ke sini lagi, InsyaAllah. Itupun andai takdir mempertemukanku pengganti.” Monolog itu ditelan Ayman biarpun perit.

Sampai di Jeti Kuala Perlis, Ayman termenung jauh. Sesekali Vape yang mengandungi sisa cecair berperisa gula-gula getah yang hampir di tahap kering itu disedut dengan nafas panjang.

Masih terngiang kata-kata keramat pemandu Grab yang dinaikinya tadi. “Bro, kalau kau rasa pergi jauh tu mampu buat hati kau tenang, pergi bro. Ikut gerak hati kau.”

Sebaik menghembus keluar asap tebal dari rongga hidungnya, Ayman tekad untuk meneruskan perjalanannya ke Thailand. Kembali menjejakkan kakinya ke negara gajah putih. Tempat di mana bermulanya sejarah silam seorang Ayman.

Border Malaysia-Thailand kelihatan sesak dari jauh. Ayman yang ke sana menaiki teksi terpaksa bertukar pengangkutan angkut menerusi sebuah motosikal. Roda berputar laju menyelit ke kiri dan kanan demi meredah kesesakan jalan raya. Meninggalkan mata-mata berang yang lelah menunggu giliran.

Selesai pengesahan daftar masuk, Ayman menyambung perjalanan ke pekan Sadao. Beberapa keping not 50 ditarik keluar lantas matawang bertukar ganti. Perjalanan Ayman diteruskan dengan membonceng angkut meredah kesesakan tubuh manusia di kiri kanan jalan.

SIAM INN, satu-satunya tempat penginapan terdekat yang masih kosong. Disitulah Ayman menginap. Bag galas diletak, baju putih yang basah dengan warna merah dan biru penangan dari senapang air yang ditembak rambang ketika melintasi jalan utama tadi ditanggalkan lantas dicampak ke bilik air. Sambil melabuhkan duduk di kerusi kecil berhadapan cermin hias, Ayman mengeluarkan telifon. Skrin yang basah dikeringkan ala kadar sebelum menekan masuk password wifi. Ada seseorang yang ingin dihubungi Ayman.

******

Ayman berbaring malas dibirai katil. Badannya yang melekit seawal tadi kini kembali segar sesudah mandi.

Beep!

Bunyi amaran menandakan bateri telifon miliknya di paras kosong. Kepala pengecas dikeluarkan dari bag. Namun, sebaik sampai di meja katil, Ayman menepuk dahi. Perasaannya ketika ini bercampur baur. Samada mahu meraung atau ketawa.

“Ah, sudah! bengapnya kau ni Ayman“ rungut Ayman menyalahkan diri sendiri. Dia terlupa untuk membawa pengecas berkaki nipis. Mahu tak mahu, terpaksa Ayman menyarung singlet seraya menapak turun ke lobi. Pengecas perlu dicari.

Kejadian tadi sempat diabadikan di status Whatsapp. Gambar kepala pengecas berkaki bulat diambil betul-betul menghala ke soket berlubang nipis. Dengan teks bertulis , “Nak cucuk celah mana? “ emotikon ketawa menangis sebagai penutup.

Mujurlah di lobi mereka ada menjual soket penyambung. Not 5 ringgit melayang di situ. Namun, Ayman kira beruntung. Nasibnya kira baik kerana turut dihadiahkan pengecas berkaki nipis bila bertemu empat mata dengan pemilik hotel tersebut.

Sampai di bilik. 2 pesanan mesej masuk. Balasan dari status yang dimuat naik sebentar tadi.

“Kat hidung je la. ( disertai emotikon ketawa menangis)”- Yany.

“Hahahaha.”- Adik.

Untuk sekian kali Ayman tertawa. Mesej dibalas dengan emotikon ketawa menangis. Mesej yang sama turut disalin hantar kepada adiknya sebelum telifon tersebut ditinggalkan untuk pengecasan semula.

Sekitar 8 malam, Ayman turun ke lobi. Sebuah Toyota Land Cruiser hitam telah sedia menanti.

“Brotha! “ jerit lelaki yang baru melangkah keluar dari perut kereta. Wajahnya yang bermisai tampak garang walau dalam keadaan senyum.

Buat seketika mereka berjabat keras seraya mendakap bahu. Tingkah mereka menjadi perhatian mata-mata yang lalu lalang.

“Sabai di mai? khun mi bang-yang thi chabork huh? (Apa kabar kau? ada cerita yang nak kongsi ke? )” sapa lelaki tegap berambut panjang itu. Sekali pandang, wajah dan penampilannya persis ahli kumpulan rock lagenda negara tersebut, ‘Mee’ Carabao.

Ayman sekadar senyum. Rongchai, satu-satunya sahabat yang dipercayai Ayman sepanjang mereka bersahabat. Teman baik jahat dan jatuh bangunnya suatu masa dahulu.

“Chill brotha. Pai kin khao kan na khap (Jom lah kita cari makan dulu),” ujar Rongchai seraya membuka pintu kereta. Ayman mengangguk setuju.

Sebaik sampai ke destinasi pilihan Rongchai, Ayman didesak untuk bercerita. Dan memandangkan makanan yang dipesan mereka belum tiba, Ayman akur untuk berkongsi cerita.

“Hmm... Ayman. Thi pharm maa, kae ploi mern pai khap... khun tong phob kab kwam suk diy taw khun eng, (Ayman. Yang dah lepas tu, biarkan lepas... kau kena cari kebahagiaan untuk diri kau sendiri)”

“Chaii... ( Yee...)” mendatar jawapan Ayman. Rimas pula bila disekolahkan begitu. Namun, Ayman turut akui kebenaran kata-kata sahabatnya yang jauh lebih berpengalaman. Nasihat tersebut diterima dengan terbuka.

“Phen to-pai khong khun khe’ arai? (so, apa planning kau lepas ni? )”

“Pom mai-ru... phying kae tik-tam garn lael khap (aku tak tahu... ikutlah apa yang ditetapkan takdir).”

******

Bip! Bip!

“Weh , Ayman! kau Songkrun dekat mana ni? dah berapa lama kat siam? “ rekod pesanan suara melalui aplikasi Whatsapp.

“Sadao. Hari kedua.” Ringkas jawapan Ayman.

“Harey betul. Tak ajak. Hahaha. Pergi dengan sapa tu? marka ke? “

“Marka hotak kau! aku gerak sorang.” Tanpa sedar Ayman teremosi. Nada bicaranya kedengaran agak kasar. Masakan tidak, otaknya serta-merta terpampang wajah Bunga.

“Hah? biar betul kau ni bro? hmm, tak apa. Kebetulan aku kat Kedah sekarang. Esok... kalau urusan kerja aku siap awal, aku jumpa kau kat sana. Jaga diri elok-elok bro! Cobaan banyak sana tu.”

Ayman menggeleng senyum. Benarlah bagai dikata, tak berhubung bukan bermakna lupa, cuma terpisah dengan jalan hidup dan kekangan masa. Dan, ikatan persahabatan sebenar tidakkan pernah terputus.

Atas nama persahabatan, Ayman bertemu semula dengan sahabat lamanya. Betul-betul selepas Ayman selesai mengisi ruang perutnya dengan burger keju berganda Mc D.

“Weh! jom kita lepak makan ke minum ke dulu bro. “

“Lambat. Aku dah kenyang.” Cup plastik berisi cola diangkat tinggi. Cakap perlukan bukti.

“Harey. Tak habis-habis dengan Mc D. Haha. Eh, jom.” Lengan Ayman dicuit dengan siku sambil telunjuk kirinya menuding ke arah pentas pesta berlangsung.

Dua lagi rakan sahabatnya sekadar menurut. Membenteng laluan mereka meredahi batang tubuh manusia yang leka menari terkinja-kinja. Ada juga yang sibuk dengan senapang air, menembak sana sini.

Ayman dan mereka bertiga sampai dihujung jalan. Tempat dimana Jeep merah yang dinaiki mereka terpaksa ditinggalkan demi mengelakkan kesesakan.

“Okay bro. Sekarang kau cerita kat aku apa jadi sebenarnya? “

“Tak ada apa bro. Biasa lah, soal hati.” Malas mengulas panjang.

“Haha.. aku dah agak. Dari cara balas mesej tu pun aku dapat rasa. Ni pasal awek seberang laut kau tu kan? “

Ayman sekadar mengeluh. Pandangannya dilempar jauh ke dada langit. “Ye, semua tentang dia.”

“Kenapa? “

“Dia isteri orang...”

Suasana senyap sunyi seketika. Masing-masing saling berpandangan sebelum kembali memberi focus pada Ayman. Tiada lagi soal jawab. Jawapan tadi sudah cukup untuk difahami.

*********

“Menyembunyikan kebenaran itu ibarat menyimpan bangkai. Makin lama kau simpan, makin busuk yang sudahnya membuatkan orang sekeliling kau menjauh. Jujurlah biarpun kebenaran itu menyakitkan"

*******

“Daddy, please maafkan sayang. Sayang tahu daddy terluka. Tapi, sayang sembunyikan semua bersebab. Sebab sayang terlalu sayangkan daddy tahu tak? “

Mesej dari Bunga dibaca dengan teliti. Jujur, rasa sayang yang menggunung tinggi pada Bunga, lebur menjadi sisa. Jemari Ayman ligat menaip sesuatu,

“Sayang? kalau awak sayangkan saya, awak tak permainkan perasaan saya dari awal.” Tiada lagi gelaran sayang di situ. Bagi Ayman. Semuanya harus berakhir.

“Daddy! sampai hati daddy. Sayang cuma minta daddy berikan sayang masa, kalau kita berjodoh kita akan bersama. Cuma sekarang tolong jangan buang gelaran ‘sayang daddy’ dalam perbualan kita. Please.” Mesej balas dari Bunga benar-benar menyiksakan Ayman. Fikirannya berkecamuk!

“Awak, sebaik-baik tempat seorang isteri adalah di sisi suami. Tolonglah perbaiki hubungan awak dah dia.”

“Daddy tak faham! daddy tak ada di tempat sayang. Dengan daddy, sayang rasa dihargai. Daddy tak pernah buat sayang rasa tersisih.”

“Apapun alasan awak, awak tetap menipu! dari awal saya tanya status awak. Dan, kalau awak masih ingat, berulang kali saya jelaskan, saya tak kisah siapa pun awak di masa silam. Saya terima meski awak janda sekalipun, asalkan bukan isteri orang. Yang penting bagi saya, siapa awak di masa sekarang. Kita sama-sama perbaiki diri, dan saya ikhlas sayangkan awak. Tapi awak sanggup menipu.”

"Bukan niat saya untuk menipu. Saya sembunyikan semua sebab sayangkan awak. Dan sekarang, sanggup awak mungkir janji-janji awak? “

"Saya tak pernah mungkir janji. Cuma sekarang saya rasa bodoh dan tertipu. Sayang? dah tak bermakna apa-apa. Kenyataan melenyapkan semua rasa yang pernah ada antara kita.”

Mesej tersebut dihantar dengan tekad bahawa dia harus melupakan Bunga buat selamanya.

Sejak hari itu, Ayman jalani hidupnya dengan hati kosong. Sedikit demi sedikit dia cuba melupakan Bunga meskipun sukar. Akaun-akaun fac Bunga disingkirkan dari senarai rakan fac miliknya. Kecuali aplikasi Whatsapp. Entah kenapa sebahagian dirinya degil untuk melupakan Bunga. Dari status Whatsapp Ayman mengikuti perkembangan Bunga. Meskipun hakikatnya, setiap status yang terpamer langsung tidak berkait tentangnya.

“Ayman, saya faham perasaan awak... saya sendiri pernah lalui keadaan yang awak lalui sekarang. Memang sakit.” Mesej dari Yany sedikit sebanyak melegakan hati Ayman. Lantas, jawapan balas segera ditaip.

“Habis, macamana awak harungi hari-hari awak? “

Selang beberapa detik, mesej balas diterima,

“Saya sibukkan diri dengan kerja dan minat saya. Lepas tu, buang semua kenangan pahit saya jauh-jauh.”

Ayman terdiam sejenak. Otaknya mula menghurai setiap tindakan yang bakal diambilnya selepas ini. Cuma sebahagian dirinya masih ragu dengan tindakan tersebut. Telifon disimpan semula ke kocek seluar.

“Buat ape tuu? “ sapa Fyra dari arah sisi. Ayman yang leka menoleh dengan wajah beku. Tanpa reaksi. Namun, turut tersenyum bila gadis manis itu tersenyum. Entah bila Fyra terpacak di situ.

“Tak ada apa Fyra, tak sibuk ke? “ sengaja cuba menukar topik perbualan. Sebatang pen dicapai lantas berpura-pura sibuk.

“Fyra sebenarnya banyak kerja lagi, tapi tak apa lah. Nanti buat. So, Abang Aie dah move on belum? “ soalan yang membuatkan Ayman terkedu. Lantas terpaksa menipu.

“Eh, dah. Dah move on. Totally.” Hakikatnya sebahagian raganya kosong. Lenyap bersama kepercayaan yang diragut Bunga tanpa ehsan.

“Eleh, yeke? tapi, kalau betul baguslah. Buang semua kenangan pahit, bina hidup baru...,” halus nasihat daripada Fyra. Tapi menusuk ke hati. “okaylah, Fyra nak call bf Fyra jab. Bye.” Sambil tersenyum dia beredar meninggalkan Ayman.

Move on... ye, jujur rasa yang pernah ada untuk Bunga telahpun pudar. Yang tersisa pun cuma rasa kecewa. Kecewa bila dikhianati.

Ayman menarik sekeping kertas. Matanya dipejam erat. Buat sejenak, gambaran yang terbayang difikirannya dialirkan menerusi jemari yang kini ligat menari di kepingan kertas.

Selang beberapa ketika, terzahirlah potret seorang wanita bertudung. Potret ilusi pemilik rusuk kirinya mungkin? Namun, setiap kali ada suara yang bertanya tentang potret tersebut. Ayman sekadar senyum dengan jawapan balas yang aneh. Di samping potret tersebut ditulis beberapa baris kata puisi. Yang sudahnya dilakar tutup menjadi gabungan garis yang membentuk kotak. Kotak yang tercatat barisan nombor rahsia. Perungkai segala rahsia dirinya.

Zeez!

Getaran pada telifon pintarnya menandakan waktu yang harus ditinggalkannya buat seketika. Demi melunaskan tanggungjawab setiap insan yang bergelar hamba-Nya.

******

Buatmu Bunga,
Pengakhiran ini aku dan engkau tahu...
Bukan aku yang berubah.
Bukan aku yang berdusta.
Dan...
Tiada alasanku untuk membencimu
kerana kebaikan dirimu.
Namun , aku juga tiada alasan kuat untuk terus bersamamu demi mencipta impian palsu yang tidak akan pernah tercapai.
Engkau bukan lagi bunga harum yang menghiasi taman hatiku,
Engkau Bunga kertas yang menjadi sejarah hidupku.

< T A M A T >

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience