Rate

BAB 1

Humor Series 3971

DIA terpinga-pinga. Kebingungan. Yang peliknya dia tidak tahu dia berada di mana saat ini. Mengapa dia ada di tempat yang sesak dan sempit seperti itu. Kedua tangan disilang ke depan sebagai langkah berjaga-jaga. Rempuhan dan suara manusia yang berteriak mencetuskan suasana hura-hara dan tidak terkawal.

Apa sebenarnya yang sedang berlaku, dia tidak tahu.

Sekejap ditarik ke sana sekejap diheret ke situ mengikut arus ratusan manusia yang sedang berkumpul dan berhimpit. Mati akal. Sementara dia sendiri tidak menemui arah jalan keluar. Tiada laluan untuk dia dapat meloloskan diri dari kekacauan yang berlaku?

Ke tepi!

Tubuh kecilnya makin dihimpit dari perbagai arah. Orang di sekelilingnya meraung dan menjerit meminta tolong.

Argh!

Dirinya mulai melemah akibat kehilangan tenaga. Anggaran dalam beberapa waktu saja lagi dia sudah tidak mampu bertahan berdiri dalam kesesakan yang berpanjangan. Belum ada sebarang tanda keadaan reda. Malah orang ramai semakin mengganas.

"Too..." Mahu dia menjerit meminta tolong akan tetapi suaranya tersekat di kerongkong.

Perutnya kembang kempis. Nafasnya semakin pendek. Termengah-mengah. Seolah-olah udara kehabisan gas oksigen untuk dihirup akibat manusia yang berlapis-lapis berada di tempat yang tertutup.

Seluruh tubuhnya mulai kedinginan dan menggeletar. Suara riuh-rendah manusia perlahan-lahan menjauhi corong telinga. Pandangannya berpinar-pinar dan kabur. Hilang daya upaya. Merasakan dirinya saat ini terkapai-kapai dilambung ombak manusia. Bila-bila masa sahaja dia bakal tenggelam akibat lemas.

Dalam keadaan separuh sedar dia merasakan ada sesuatu yang menjalar lembut dari belakang lalu mengikat ketat pinggangnya. Belum sempat dia membuka mata, tubuhnya diheret dan ditarik ke belakang dengan kasar. Sekaligus merasakan dirinya bagai dicampak dari tempat tinggi.

"Sara Rashida!"

Dedebuk!

"Ah! Aduh..."

Bibirnya muncung mengerang kesakitan seraya mengusap punggungnya yang menghempap lantai.

Puan Marina langsung berlari masuk ke kamar anak perempuannya itu. Terkecoh-kecoh mendapatkan Sara yang bagai cempedak jatuh ke tanah.

"Astaghfirullah al-azim, kamu ni dah kenapa. Tak cukup besar ke katil ni sampai tak cukup ruang kamu tidur," bebel Puan Marina.

Puan Marina segera memapah Sara bangun. Rambut panjang Sara yang berselerak ditolak ke belakang. Mencari kalau-kalau ada sebarang tulang yang patah.

Mukanya berkerut. Sara perlahan-lahan berdiri kemudian duduk di atas katilnya. Diangkat sebelah punggung lalu diusap supaya sakitnya cepat hilang. Nasib baik punggung yang jatuh dulu. Kalau kepala yang mendarat dulu, tak tahulah keadaannya macam mana.

"Aduii..."

Sara masih mengadu sakit. Rasa macam nak tercabut tulang punggungnya. Belum pernah-pernah dia mengalami kejadian seumpama ini seumur hidupnya.

"Mimpi apalah hai sampai jatuh katil. Mengigau?"

Puan Marina geleng kepala. "Tulah... Tidur lagi lepas subuh. Tulah balasannya."

"Orang penatlah mama. Mengantuk. Sara tidurlah kejap. Alah, bukan selalu pun," balas Sara selamba.

Hakikatnya hujung minggu sajalah dia boleh rehat dan tidur secukupnya. Hari-hari lain dia akan sibuk berkerja di luar. Pagi keluar, petang pulang. Seperti itulah rutin hariannya sudah tiga tahun.

"Kalau mengantuk pergilah siram-siram pokok bunga mama tu. Pergi cabut-cabut rumput depan tu ke. Bagi segar, biar badan tu ada tenaga. Tak pun tolong mama dekat dapur. Ni tak, tidur sampai matahari naik atas kepala."

Sara pecah ketawa mendengar cadangan ibunya itu. Membayangkan keadaan dirinya sedang membersihkan laman rumah. Boleh tahan juga ibunya melawak.

"Aduhh, sampai hati mama suruh Sara cabut rumput."

"Dah tu?"

Sara buat gaya merajuk sebelum merebah kepalanya semula di atas bantal empuk.

"Eh, sambung tidur pula? Dah, bangun-bangun. Pergi mandi," suruh Puan Marina. "Anak dara siapalah ni,"

Sara malah menarik selimut hingga ke paras bahu. "Kejaplah mama. Bagilah Sara tidur kejap. 15 minit,"

Sara isyaratkan lima jari. Membetulkan posisi kepada di atas bantal. Menyambung lenanya sambil memaniskan muka. Sekilas timbul persoalan di benaknya. Dia mimpi apa tadi?

Selimut yang membaluti batang tubuh Sara diselak. Kali ini Puan Marina bertegas.

"Bangun, Sara. Sekarang! Mama nak minta kamu teman mama."

Sara terpisat-pisat membuka mata disertai dengan rengekan halus. "Pergi mana mama... Abah, mana? Mama kan selalu pergi dengan abah. Bawalah abah."

"Kalau abah kamu ada, mama tak payah susah-susah paksa kamu ikut mama. Abah kamu ada kerja tak boleh teman mama. Dah, cepat siap. Jangan banyak songeh!" Puan Marina bagi kata muktamat.

"Tapi Sara dah janji dengan Anis nak keluar kejap lagi."

"Cakap sajalah dengan Anis, kamu nak teman mama keluar. Esok pun boleh jumpa dia. Hari-hari kamu jumpa Anis. Tak puas lagi kamu berdua ke hulur ke hilir, jalan sana-sini?"

Sara tersengeh basi. Mamanya kalau meleter memang tak boleh lawan. "Iyalah, iyalah, mamaku sayang."

Satu tempat kerja, mestilah jumpa hari-hari. Lagipun Anis tu sajalah kawan dia ada di atas muka bumi ini. Yang lain sudah ghaib.

"Dah, cepat pergi siap. Jangan lama sangat. Pakai baju kurung. Bawa baju lebih satu pasang. Nanti abah hantar pergi terminal."

Sara buat muka cengang. Kurang faham dengan arahan ibunya. Pakai baju kurung, bawa baju lebih satu pasang?

"Kita nak pergi mana pula mama, bawa baju lebih? Kita pergi melancong ke?" soal Sara dengan riak muka bingung.

Itu yang terlintas di kepalanya. Tapi kenapa tiba-tiba? Dahlah tak bincang dengan dia terlebih dahulu.

"Bukan pergi melancong... Pergi kampung."

Masih loading. "Hah?"

"Mengigau lagilah tu. Esokkan Idayu dah nak nikah."

"Hah?!" Lagi besar mulutnya ternganga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience