ABD 7: CUP CAKE*

Romance Completed 1572856

ADRIAN sampai ke rumah agak lewat hari itu. Sepanjang hari dia berada di Johor Bahru kerana melawat tapak pembinaan Hotel Acassia Villa. Cuaca yang panas serta suasana di tapak pembinaan yang bising dan berhabuk membuat kepalanya sakit dan berdenyut-denyut.

Melangkah masuk ke rumah, matanya disuguhi dengan jambangan bunga lili putih segar di dalam pasu kristal yang diletak di atas meja konsol setentang pintu. Suasana rumah sudah sunyi dan hanya lampu di bahagian tengah sahaja terpasang. Miya dan Lora tentu sudah tidur kerana jam sudah menunjukkan pukul sebelas malam.

Saat dia menapak ke biliknya, dia mendengar bunyi air di bilik mandi. Baru dia teringat kebiasaan Miya yang akan mandi sebelum tidur.

Adrian merebahkan tubuh ke katil sementara menunggu Miya siap mandi sambil memicit-micit kepalanya yang berdenyut.

Ketika dia hampir terlelap, pintu biliknya tiba-tiba dibuka dari luar. Memanggung sedikit kepalanya, dia melihat Lora melangkah masuk dengan sebuah buku di tangan. Segera dia bangkit dari baringnya dan duduk di birai katil. Wajah Lora dipandang dengan penuh tanda tanya.

“Kenapa sayang? Kenapa tak tidur lagi?” tanyanya.

Perlahan Lora mendekati Adrian dan menghulurkan buku di tangannya.

"Buku mesej?" Adrian pandang wajah Lora sekilas sebelum membaca kandungan mesej di dalam buku itu.

Murid-murid dikehendaki membawa kek esok untuk sambutan hari lahir murid-murid yang lahir pada bulan April. Memang menjadi rutin tadika itu akan mengadakan sambutan hari lahir pada setiap penghujung bulan untuk semua murid yang lahir pada bulan berkenaan. Setiap bulan pula ada tema yang ditetapkan. Kadang-kadang tema buah-buahan, tema pasta, tema makanan barat, makanan tradisi dan macam-macam lagi. Bulan ini pula tema kek.

Adrian berdecit. Di mana hendak cari kek di tengah malam begini? Melihat tarikh pada buku itu, emosinya mencanak naik tidak semena-mena. Pesanan itu telah diberi dua hari lepas.

“Kenapa sekarang baru bagitahu daddy? Your teacher passed this message two days ago!” Meninggi suara Adrian membuat bahu Lora terjongket saking terkejut.

“Lora lupa,” jawab Lora perlahan sambil menahan air matanya yang sudah bertakung di pelupuk mata daripada mengalir keluar

“Then, tak payah bawa apa-apa! Tell your teacher that you forgot!” ujar Adrian dengan suara yang masih meninggi.

Miya yang baru keluar dari bilik mandi, terkejut mendengar nada Adrian itu. Matanya terus menancap pada Lora yang berdiri di depan bapanya itu dengan wajah sugul. Segera dia membawa langkahnya mendekati Lora.

“What’s wrong, Lora? Bukan tadi dah tidur? Kenapa bangun?” tanya Miya. Bertinggung di depan Lora, dipandang wajah anak itu yang hanya menunduk. Tangan Lora digenggam namun Lora merentapnya kasar.

“Did you have a bad dream?” tanya Miya lagi tanpa mempedulikan kedinginan Lora.

Lora masih diam. Matanya bergenang, mengenang esok dia harus ke sekolah tanpa membawa kek. Walaupun guru-gurunya tidak akam marah, tetapi dia malu andai semua kawannya membawa kek sedangkan dia tidak membawa apa-apa.

"Ni..." Adrian menghulurkan buku mesej Lora kepada Miya. Tangan Miya terhulur menyambut buku dari tangan Adrian sebelum membaca isinya.

“Don’t worry. I will make sure tomorrow you have cake to share with your teachers and friends okay?"

Kata-kata Miya itu membuat Adrian dan Lora memandangnya dengan wajah tidak percaya.

“Are you promise?” tanya Lora. Bersinar matanya memandang Miya walaupun suaranya lemah dan perlahan.

“I promise. Now, let’s go to sleep, okay?”

Lora mengangguk. Miya bangun dan memimpin tangan Lora menuju bilik tidurnya.

Adrian hanya memandang bersama keluhan berat lolos dari bibirnya. Terbersit sedikit rasa kesal kerana menengking Lora tadi. Miya yang tidak ada pertalian dengan Lora saja mampu bersabar, tetapi dia sebagai bapa dengan mudah lepas kendali.

Kenapa Miya terlalu sabar? Kenapa Miya melayan Lora dengan baik walaupun dia tahu Lora tidak sukakannya? Adakah Miya sengaja melakukan begitu untuk menarik perhatiannya? Adakah Miya ada niat lain? Adakah Miya mahu meneruskan perkahwinan ini dan tidak mahu bercerai seperti yang dijanjikan?

Ketika otaknya masih sarat berfikir tentang Miya, pintu biliknya dibuka dan susuk yang memenuhi fikirannya itu melangkah masuk.

“Lora dah tidur?” tanyanya.

“Hmm.” Miya memandang Adrian yang sedang memicit-micit dahinya.

“Sakit kepala?” tanyanya.

“Ermm..” Itu sahaja jawapan Adrian.

Miya menyikat rambutnya dan kemudian melabuhkan punggungnya di sebelah Adrian. Dia sudah mengantuk, tetapi terasa tidak kena pula jika dia terus tidur dan membiarkan Adrian dalam keadaan sakit kepala.

“Nak makan ubat?” tanya Miya.

“No. No need,” balas Adrian.

“Hmm. Come, biar saya picit,” ujar Miya.

Adrian tidak menolak. Memejamkan mata, dia menikmati urutan jemari lembut Miya di kiri dan kanan kepalanya. Sekalipun urutan itu tidak membuat rasa sakit kepalanya reda, tetapi ia berhasil membuatnya lega. Suasana bilik yang sejuk dan sunyi dan haruman gel mandian berbau ros dari tubuh Miya membuat dia benar-benar tenteram.

“Dahlia…”

Miya memandang Adrian apabila nama Dahlia tergetus dari sela bibir suaminya itu. Melihat mata Adrian yang terpejam rapat, dia mengagak suaminya itu sudah terlena.

Nama Dahlia tidak pernah lekang dari bibir Adrian walaupun dalam tidurnya. Hampir setiap malam dia mendengar Adrian menyebut nama Dahlia. Malah, Adrian masih menggunakan gambar Dahlia sebagai latar belakang dalam telefon bimbit dan komputer ribanya. Miya tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaannya. Di awal perkahwinan, dia seperti tidak kisah kerana dia tahu Adrian mengahwininya bukan kerana cinta. Adrian hanya mahukan Lora dan dia pula terdesak dengan hutang yang ditinggalkan ayahnya. Tetapi sekarang, perasaannya menjadi lain. Timbul rasa kurang senang walaupun dia tahu dia tidak berhak berperasaan sedemikian.

Adakah dia cemburu? Ah, tidak mungkin.

Adakah dia mengharapkan gambarnya yang menghiasi telefon bimbit dan komputer riba Adrian? Mustahil!

Adrian akan menceraikannya selepas setahun.

Bukankah itu sudah jelas menunjukkan Adrian tidak pernah memiliki perasaan istimewa terhadapnya? Adrian juga tidak mahu dia mengandung. Malah kerap mengingatkannya supaya mengambil pil perancang. Dia tidak pernah engkar walaupun hatinya kadang kala tergores setiap kali Adrian mengingatkannya tentang itu. Seolah-olah jika dia hamil, anak yang lahir dari rahimnya itu begitu hina di mata Adrian.

Jadi, apa yang dia harapkan daripada lelaki ini? Adrian melayannya dengan baik, itu sudah memadai baginya.

Adrian masih seorang suami yang bertanggungjawab walaupun dia bukan isteri yang dicintai.

"Belajar bersyukur, Miya," bisiknya sambil menarik selimut lalu menyelimutkan tubuh Adrian sebelum dia ikut berbaring di sebelah suaminya itu.

ADRIAN tersedar pagi itu apabila terasa bahunya ditepuk lembut. Perlahan dia membuka mata dan mengerjap beberapa kali. Setelah pandangannya mulai jelas, dia melihat Miya berdiri di sisi katil. Setiap hari Miya akan berdiri di situ sehingga dia benar-benar sedar dari tidurnya.

“Are you feeling better? Atau nak ambik cuti hari ni?” tanya Miya.

“No. No. I’m fine,” jawab Adrian lalu bangun dan bersandar pada kepala katil sambil menggeliat membetulkan urat-urat tubuhnya yang terasa lebih segar setelah tidur yang lena semalam.

“Okey, saya nak pergi kejut Lora,” ujar Miya sebelum berlalu meninggalkan Adrian.

"Okey..." Adrian memerhatikan langkah Miya sehingga isterinya itu hilang di sebalik pintu. Urutan lembut Miya semalam benar-benar membiusnya. Tidurnya lena sehingga dia tidak sempat menukar baju. Kemeja yang dipakainya untuk ke Johor Bahru semalam masih tersarung kemas di tubuhnya.

Dia tidak tahu sama ada apa yang dilakukan Miya semalam adalah disebabkan isterinya itu benar-benar mengambil berat atau hanya sebatas tanggungjawab sebagai seorang isteri atau mungkin hanya dorongan perasaan simpati. Tetapi dia senang Miya melakukannya. Terasa seolah-olah terisi segala kekosongan yang ditinggalkan Dahlia sejak lebih setahun lalu. Miya menjalankan tanggungjawabnya dengan baik sejak mereka berkahwin. Tidak banyak bercakap dan tidak pernah membantah. Malah Miya juga melayan Lora dengan baik sebagaimana selayaknya seorang ibu.

Mengingat Lora, Adrian tiba-tiba diterpa rasa bersalah kerana menengking anaknya itu semalam. Terlalu letih dan kepala yang berdenyut-denyut menyebabkan dia tidak dapat mengawal emosi.

Ah, membayangkan wajah Lora yang sugul semalam membuat dia merasa gagal sebagai seorang ayah. Juga rasa berdosa dengan Dahlia kerana telah mengecewakan satu-satunya anak mereka itu.

Bangun dari katil, Adrian menuju ke bilik mandi. Dia akan cuba memujuk Lora selepas ini. Jika tidak ada kek yang boleh dibawa, Lora tidak perlu ke sekolah. Dia akan menghantar Lora ke rumah ibunya.

SELESAI bersiap, Miya menjenguk ke ruang makan. Namun, dia tidak melihat Adrian ataupun Lora di situ.

"Eh kenapa tak makan lagi?" desisnya apabila melihat sarapan yang dihidangkan di atas meja masih belum berusik.

Dipusingkan tubuhnya untuk ke bilik Lora, namun ketika itu juga dia melihat Lora keluar dari biliknya menuju ke ruang makan bersama Adrian dengan wajah sugul.

“Lora, kenapa muram je ni?” tanya Miya walaupun dia tahu kenapa Lora berkelakuan begitu.

Lora diam. Wajahnya datar tidak bereaksi. Tatapannya lurus ke depan dengan kedua-dua tangan berlipat ke dada.

Tidak mempedulikan tingkah Lora itu, Miya meletakkan Japanese soufflé pancake bersama sos coklat di atas pinggan dan menolak pinggan itu ke depan Lora.

“Sarapan dulu,” ujarnya lembut.

“Tak nak!” bentak Lora lalu menolak semula pinggan itu ke arah Miya.

“Lora!” Suara Adrian melengking. Marah bukan kerana dia menyebelahi Miya, tetapi tidak suka anaknya berkelakuan biadap begitu.

“Never mind.” Miya menepuk lembut tangan Adrian apabila lelaki itu mula berang dengan Lora.

Adrian menarik nafas dan menghembusnya kasar. Baru sekejap tadi dia berazam tidak mahu menengking Lora hari ini. Tetapi tidak sampai beberapa minit, dia sudah melakukannya lagi.

Ah, kenapa Miya boleh bersabar, tetapi dia tidak boleh? Sedangkan Lora adalah anaknya.

“Nak bawak kek pergi sekolah tak?” tanya Miya.

"Daddy kata tak ada kek, tak payah pergi sekolah," ketus Lora dengan wajah masam.

"Kalau ada, boleh pergi kan?"

"Daddy kata pagi-pagi tak ada bakery buka." Nada Lora masih ketus.

"Betul. Tapi bakery Miya buka 24 jam. Makan cepat. Nanti lambat nak pergi sekolah."

"Ada kek ke?" tanya Lora dengan mata berkaca.

"Ada. Kan Miya dah janji semalam."

Lora akhirnya menarik semula pinggannya dan mula makan.

Tingkah Miya dan Lora itu tidak luput dari perhatian Adrian. Hairan sekaligus kagum dan tidak urung juga curiga. Dia sendiri sebagai bapa kandung Lora pun kerap hilang sabar dengan anaknya itu. Kenapa Miya boleh sentiasa tenang? Apa Miya sengaja melakukan begitu untuk menarik perhatiannya? Jika ya, Miya patut berhenti. Dia tidak tertarik.

Mata Adrian terus memerhatikan gerak geri Miya yang nampak tenang dan bersahaja. Menghirup kopinya dengan santai tanpa mengganggu atau melebih-lebih menunjukkan perhatian kepada Lora.

Miya pula tidak begitu memerhatikan Adrian. Otaknya lebih sibuk memikirkan bermacam pekerjaan yang masih bertimbun di pejabat menjelang majlis pelancaran koleksi terbaru DayMond jewels tidak lama lagi.

"Dah habis." Suara Lora membuyarkan lamunan Miya tentang pekerjaannya.

Dipandang pinggan Lora yang sudah licin.

"Good girl," ujarnya sambil tersenyum. Angkat tubuhnya dari kerusi, Miya menuju ke dapur. Tidak berselang lama, dia keluar semula dengan menatang sebuah bekas berbentuk segi empat sama.

"I have a surprise for you," kata Miya. Penutup bekas itu dia buka dan memperlihatkan isinya kepada Lora.

“Tada!"

Bersinar mata Lora melihat isi di dalam bekas itu. Kek cawan dengan krim berwarna biru dan merah jambu, dihias dengan hirisan strawberry dan coklat.

Ringkas, tetapi nampak kemas dan comel seperti kek yang dijual di bakery.

Adrian juga terkebil-kebil melihat kek cawan itu. Teringat dia janji Miya kepada Lora semalam. Fikirnya Miya hanya berkata begitu untuk menyedapkan hati Lora dan menyuruhnya tidur. Rupanya Miya benar-benar menunaikan janjinya.

“You like it?” tanya Miya apabila melihat reaksi Lora itu.

Lora tidak membalas. Sebaliknya dia melompat turun dari kerusi dan memeluk Miya membuat Miya kaget. Tidak sangka akan mendapat respons seperti itu dari Lora. Fikirnya Lora hanya akan mengucapkan terima kasih dengan nada ketusnya seperti selalu.

“Thank you,” ujar Lora. Kali ini dengan nada yang terdengar benar-benar ikhlas.

Miya tersenyum senang. Meleraikan pelukan Lora, dia membongkok mensejajarkan matanya dengan mata Lora lantas menangkup pipi anak itu.

“You’re welcome,” ujarnya.

Lora menatap mata Miya. Lama. Matanya yang bundar dan berkaca itu kelihatan bersinar memandang Miya, walaupun bibirnya masih tidak mengukir senyum.

“I hope you like it even tak sedap dan cantik macam kek kat kedai,” ujar Miya.

“I like it,” balas Lora lalu kembali duduk dan menghabiskan susunya.

Adrian yang menjadi pemerhati sejak tadi, tersenyum melihat wajah sugul Lora kembali bersemangat.

“Can I have one cup cake?” Dia mengusik sambil cuba mengambil sebiji kek cawan di dalam bekas.

“No!” Jerit Lora sambil menampar tangan daddynya.

Adrian dan Miya serentak ketawa. Miya bangun dan mengambil sesuatu di dalam peti sejuk.

“Miya ada simpan sikit untuk kita,” ujar Miya lalu menghulurkan sebiji kek cawan untuk Lora dan Adrian.

"Yay!" Lora teruja. Dari tadi dia teringin untuk merasa kek cawan itu, tetapi dia mahu makan bersama guru dan kawan-kawannya di sekolah. Tidak sangka Miya ada menyimpannya untuk mereka.
Pantas tangan kecilnya mencapai sudu dan merasa kek itu. Miya memandang dengan wajah teruja; tidak sabar menunggu reaksi Lora.

“Sedap tak?” tanyanya.

Lora mengangguk lalu menghabiskan kek itu dengan tiga suap sahaja. Miya tersenyum, dan tanpa dia sedar Adrian menatapnya.

“Can I eat cup cakes everyday?” tanya Lora.

"Nope. It's not good for your teeth,” ujar Miya sambil mencuit hidung Lora.

“Are you ready to school, Lora?” Adrian mencelah apabila merasakan dia seolah-olah tidak wujud di situ.

“Yeah.” Lora bangun, turun dari kerusi lalu mengambil beg sekolahnya. Nampak begitu gembira dan bersemangat.

Tersenyum Adrian dengan gelagat anaknya itu. Kali ini dia benar-benar kagum dengan Miya. Dia sendiri pun tidak dapat menggembirakan Lora seperti itu selepas kematian Dahlia. Tetapi Miya yang baru beberapa bulan masuk ke dalam kehidupan Lora, berjaya melakukannya.

Ah, with just a few cup cakes, she can do it. Getusnya dalam hati.

Tatapannya dihalakan kepada Miya yang sedang mengemas meja makan. Wajahnya bersahaja, tidak langsung menggambarkan kepenatan walaupun dia tahu, tidak sedikit tenaga yang dihabiskan untuk membuat kek-kek cawan itu.

Tertanya-tanya juga dia, kenapa Miya sentiasa kelihatan tenang begitu? Tidak pernahkah dia rasa marah, tertekan, sedih, atau sakit hati?

"BILA awak buat cup cakes tu?” tanya Adrian apabila melihat Miya menguap beberapa kali. Ketika itu mereka berada di dalam lif menuju ke tempat letak kereta. Dia mengagak Miya tentu tidur lewat atau bangun lebih awal untuk menyiapkan kek cawan itu.

“Pukul empat pagi tadi,” jawab Miya sambil menguap lagi untuk kesekian kalinya

“I’m sorry,” ujarnya apabila menyedari perlakuannya yang kurang sopan itu.

“You can take a day off if you’re sleepy,” ujar Adrian.

“Boss sakit kepala semalam. Takut saya nak mintak cuti.”

Jawapan spontan Miya itu membuat Adrian tertawa. Mahu membalas, tetapi ketika itu juga pintu lif terbuka.

Mereka melangkah keluar dan Miya terus menuju ke keretanya.

Ketika Miya baru sahaja membuka pintu kereta, Lora tiba-tiba memanggilnya.

“Miya!” Ah, Lora masih memanggilnya Miya.

Miya menoleh dan melihat Lora berlari ke arahnya lantas memeluknya sekali lagi.

“Thank you,” ucap Lora untuk kesekian kali.

Miya meleraikan pelukan Lora lalu bertinggung untuk mensejajarkan ketinggiannya dengan Lora.

“You’re welcome. Enjoy the cup cakes with your teachers and friends, okay?” ujarnya lalu tersenyum.

“Okay.” Lora mengangguk lalu menghadiahkan satu ciuman di pipi Miya. Kemudian dia berlari ke arah bapanya semula.

Kaget Miya menerima ciuman Lora itu, tetapi dia hanya tersenyum dan terus masuk ke kereta.

Dia tidak berniat untuk menggantikan tempat Dahlia di hati Lora. Dia cuma mahu anak itu gembira. Lora baru berusia lima tahun dan anak itu berhak untuk berasa gembira. Dan dia, hanya melakukan apa yang dia rasa mampu untuk menggembirakan Lora.

Perlakuan Miya dan Lora tadi tidak luput dari pandangan Adrian, yang tidak gagal membuat hatinya terasa hangat. Namun ada perkara lain pula membuat dia bimbang. Jika Lora mula menyayangi Miya, tentu urusan perceraiannya dengan Miya kelak akan menjadi sukar.

‘Ah, perkara itu masih jauh lagi dan tidak perlu difikirkan sekarang. Apa yang penting, dia mendapat Lora nya semula.’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience