TERDUDUK Miya saat melihat gambar yang ditunjukkan Balqis. Tidak sangka aksinya mencium Adrian sempat terakam.oleh kamera wartawan. Sialnya sudah hampir seminggu foto itu berlegar di internet tanpa dia menyedarinya. Ya, mungkin tidak ada sesiapa yang sedar tentang gambar itu sehinggalah semalam. Hanya satu foto itu sahaja, terselit antara puluhan gambar semasa pelancaran koleksi minggu lalu.
"Yang kau suruh aku alih perhatian semua yang dekat kawalan hari tu, ni la kerja kau ek?" Bulat mata Balqis memandang Miya. Jujurnya, dia tidak begitu mempermasalahkan perkara itu kerana dia tahu Miya dan Adrian sudah berkahwin. Yang menjadi masalah dan membuat telinganya panas adalah mulut orang sekeliling. Bermacam kata cemuhan yang dia dengar membuat ringan saja tangannya mahu melayangkan penampar. Tetapi ditahan dirinya. Bimbang ada yang mati kerana pecah salur darah.
"Aku tak sangka ada cameraman sempat rakam."
Balqis berdecit geram. "Kau ni kan...hishhh!!!" Mati kutu Balqis dengan tingkah sahabatnya yang seorang ini.
"Habis tu sekarang ni macam mana? Satu bangunan mengata kau."
Miya tidak menjawab. Hanya keluhan lolos dari sela bibirnya. Dia juga buntu bagaimana mahu mendepani masalah ini. Patutlah sepanjang jalan dari lobi sehingga sampai ke pejabatnya, dia menjadi pusat perhatian. Rupa-rupanya ada khabar tidak enak telah tersebar.
"Aku tak ada masalah dengan gambar tu sebab aku tahu kau dah kahwin. Masalahnya orang lain. Dia orang pandang serong pada kau, faham tak?"
Miya diam, namun dalam hati mengakui, kata-kata Balqis itu semuanya benar.
"Tak ada cara lain lagi nak tutup mulut orang. Kau kena announce perkahwinan kau."
"Tak boleh Bee. Kau tahu kan benda tu mustahil."
"Mustahil tak mustahil, benda dah jadi Miya. Takkan kau nak biarkan orang terus mengata and look down on you? Dia orang tak mengata Adrian tau. Kau yang jadi sasaran sekarang. Perempuan murahan, pisau cukur, gold digger, perempuan tak tahu asal usul...Kau tak rasa...tertekan ke?"
Miya diam. Diam yang tidak membawa makna apa-apa kerana fikirannya kosong. Terbejat sehingga menyekat akal rasionalnya daripada berfikir.
"Call and bincang dengan Adrian. Demi imej, maruah, dan harga diri kau, jangan biar orang terus berteka-teki dengan khabar angin tu. Kena mintak Adrian announce status kau."
"He's gonna divorce me, Bee."
"Tapi belum cerai kan? Sekarang kau masih isteri dia!"
"Cakap memang senang sebab..."
"Betul. Bercakap memang senang. Sebab tu orang yang mengata tu bercakap macam air sungai mengalir. Dah sampai ke mana-mana dah kemurahan harga diri kau tu dijaja."
Miya berdecit tidak suka. "Bee!"
"Fakta, Miya. Fakta! Cerai tak cerai belakang cerita. Yang penting, status kau sekarang." Tidak menunggu jawapan Miya, Balqis segera keluar.
Miya pula terkebil-kebil dengan otak beku tidak mampu berfikir. Namun kata-kata Balqis tadi masih terngiang-ngiang di telinganya.
Minta Adrian mengumumkan statusnya? Tidakkah itu akan membuat Adrian berfikir dia cuba mengambil kesempatan? Tidak, dia tidak mahu lagi dituduh cuba menggantikan tempat Dahlia. Cukuplah sekali dia dituduh begitu. Rasanya cukup pedih, apabila dia yang bukan apa-apa atau sesiapa dengan tidak ada asal usul yang jelas dituduh cuba menggantikan tempat seorang wanita yang begitu istimewa. Terasa dirinya begitu hina dan kerdil.
Jika diberi pilihan, dia lebih rela dicemuh dan dipandang serong oleh seribu orang, berbanding dihina oleh Adrian. Orang lain itu bukan sesiapa. Mereka mengata atau tidak, itu urusan mereka. Tetapi dengan Adrian, dia perlu hidup sebumbung dengan lelaki itu untuk beberapa bulan lagi. Tidur sekatil, melayan keperluan zahir dan batinnya, jadi dia mahu kehidupan dia di rumah, bersama lelaki itu berjalan tenang dan aman.
Biarlah orang mahu berkata apa, asalkan dia dan Tuhan tahu kebenaran di sebalik kebatilan.
FOTO Miya mencium Adrian di depan pentas runway itu akhirnya dipadamkan tanpa meninggalkan sebarang jejak. Namun beberapa foto lain pula yang muncul. Gambar Miya mencium Adrian di Thirty8 Restaurant tempoh hari, juga gambar mereka di pusat membeli belah semalam. Malah foto-fotonya saat memasuki apartment
Miya tidak tahu siapa yang merakam foto-foto itu dan menyebarkannya. Dan dia tidak tahu apa niat mereka. Adrian juga tidak menghubunginya sejak pagi. Dia pula takut mahu menghubungi suaminya itu terlebih dahulu. Bimbang mengganggu atau dikata cuba melampaui batas yang ada antara mereka.
Waktu rehat tengah hari juga Miya tidak keluar dari pejabatnya kerana tidak mahu bertembung dengan sesiapa.
Balqis yang membungkus makanan dan dihantar ke pejabatnya. Walaupun Balqis terkesan marah, namun sahabatnya itu tidak mengabaikannya. Malah saat dia mengucapkan terima kasih pun, sahabatnya itu tidak membalas. Miya faham benar dengan perangai Balqis yang baran itu. Pantang dia dibuli, Balqis yang akan terlebih dahulu ke depan, mempertahankannya.
Tetapi kali ini, dia tahu Balqis tersepit. Kalaulah Adrian bukan boss mereka, rasanya sudah lama Balqis menyerang lelaki itu dan memaksanya mengumumkan status perkahwinan mereka.
TAMAT waktu pejabat, Miya tidak segera pulang. Malas berdepan dengan pandangan serong dan bisik-bisik rakan sekerja.
Menyiapkan beberapa kerja yang tertangguh kerana mengambil cuti sakit semalam, tidak sedar jarum jam sudah beranjak ke angka lapan. Jeling skrin telefon, entah mengapa terbit sedikit rasa kecewa apabila tiada mesej atau panggilan daripada Adrian. Malah, mesejnya memberitahu akan pulang lambat malam ini juga hanya dibaca, tetapi tidak dibalas.
Apa Adrian marah, atau kecewa dengan penyebaran foto-foto itu? Ya, wajar jika Adrian marah kerana itu menjatuhkan imejnya sebagai seorang lelaki yang terhormat dan ternama.
Tetapi, adakah Adrian lupa, harga dirinya sebagai seorang wanita juga diinjak-injak seiring tersebarnya gambar-gambar itu. Dia yang menjadi mangsa cemuhan dan hinaan. Dia yang dipandang serong dan dianggap murah.
Mengapa Adrian tidak menghubunginya, setidaknya cuba menenangkannya dengan berkata semuanya akan baik-baik saja. Apa Adrian sedikit pun tidak peduli dengannya?
Miya tertawa pahit. Mengapa dia mengharap Adrian melakukan itu, sedangkan dia tahu pasti di mana kedudukannya dalam hati Adrian. Hanya alat untuk lelaki itu mendapatkan hak penjagaan anaknya. Juga, teman ranjang untuk memuaskan nafsunya. Jadi, apa yang dia harapkan?
Dia tidak boleh mengharapkan apa-apa daripada lelaki itu. Dia sendiri yang harus menghadapi semua cemuhan itu. Ya, menghadapi. Bukan menyelesaikan atau memberi penjelasan. Seiring berlalunya waktu, Miya yakin orang akan lupa. Apatah lagi, dia sudah mempersiapkan diri untuk meninggalkan DayMond setelah Adrian menceraikannya kelak.
Membuang nafas, Miya bangun dari kerusinya lalu berkemas-kemas untuk pulang. Esok sepertinya dia harus keluar awal pagi supaya tidak bertembung dengan sesiapa.
MENOLAK kenop pintu, Miya melangkah masuk ke dalam kondo yang didiaminya sejak beberapa bulan ini. Suasana rumah yang gelap menunjukkan Adrian juga masih belum pulang.
Tidak pelik bagi Miya kerana jarang juga Adrian pulang awal. Kadang-kadang selagi jarum jam tidak beranjak ke angka 11, suaminya itu tidak akan menampakkan batang hidung di rumah.
Namun, walaupun sudah arif dengan rutin Adrian itu, tetap tangannya menggagau telefon di dalam beg, melihat jika ada mesej yang dihantar Adrian. Berharap ada mesej dari lelaki itu memberitahu akan pulang lewat. Namun nihil.
Kecewa. Namun cepat-cepat diusir rasa itu. Sedar yang dia tidak punya hak.
Membawa langkah ke bilik, dicampak begnya ke katil. Solekan di muka dibersihkan sebelum melangkah ke walk-in closet, mencapai tuala dan menuju ke bilik mandi.
Agak lama dia merendam tubuh di dalam air hangat, melegakan sendi-sendi dan urat tubuhnya yang tegang. Juga kepalanya yang berdenyut nyeri dengan masalah-masalah yang sepertinya bertimpa-timpa.
Selesai mandi, dia masih tidak melihat kelibat Adrian. Diintai segenap ruang di dalam rumah itu, namun tidak ada tanda-tanda Adrian sudah pulang.
Aneh...Sebelum ini dia tidak pernah peduli pukul berapa Adrian pulang. Kenapa dia lambat pulang? Ke mana dia? Dengan siapa? Dia tidak pernah memikirkan tentang itu. Malah sering juga, saat dia masuk tidur, Adrian masih belum menampakkan muka di rumah. Tahu-tahu saja esoknya lelaki itu sudah ada di sebelah.
Mengapa malam ini rasanya berbeza? Mengapa dia begitu ingin lelaki itu berada di sisinya? Apa kerana masalah yang menimpa hari ini, membuat dia ingin ada seseorang di sisi untuk menenangkannya?
Tidak. Dia bukan mahukan seseorang. Dia mahukan Adrian. Hanya aura dan kata-kata lelaki itu yang boleh menenangkannya.
'Everything is gonna be okay.' Cukup dengan kata-kata itu sahaja, dia akan lebih tenang. Tetapi dia mahu Adrian yang mengatakannya. Bukan orang lain.
Menuju ke dapur, segelas air suam dia tadah sebelum sepasang kakinya di bawa ke ruang utama. Berdiri di depan floor-to-ceiling window, dia membuang pandang ke luar. Memindai pemandangan KLCC yang menjulang tigggi, terang disimbahi cahaya lampu.
Kali pertama melangkah masuk ke rumah ini, dia begitu teruja membayangkan dapat melihat panorama KLCC dari ruang utama. Apatah lagi apabila membayangkan rumah ini akan menjadi miliknya kelak.
Namun sekarang, mengapa rasa teruja itu sudah tidak ada? Bukan hanya memudar, tetapi langsung hilang. KLCC yang gah di depan mata, yang hanya berjarak beberapa meter saja dari tempat dia berdiri, kini terlihat biasa saja. Tidak lagi mengujakan.
Saat ini dia terfikir, bagaimana nanti dia mahu mendiami rumah ini dengan bayang-bayang Adrian sentiasa mengekorinya? Bagaimana dia mahu mendiami rumah ini jika segenap ruang terisi kenangan yang sangat sukar dihapus.
Adrian ke Shanghai seminggu saja sudah membuatnya rindu. Jika bercerai nanti, tidak tahu berapa lama masa yang harus dia ambil untuk benar-benar melupakan.
Mengenangkan itu, tanpa sedar air mata sudah bertakung di kolam matanya. Pemandangan KLCC sudah nampak berbalam-balam. Saat dia berkedip, setitis air matanya jatuh.
Dia tidak tahu mengapa dia menangis. Yang dia tahu, hatinya sayu. Sayu membayangkan hidup yang setahun ini diisi dengan kesibukan menguruskan Adrian dan Lora akan kembali menjadi sunyi.
Kebam bibir, Miya tengadah. Cuba menghalang air matanya daripada terus gugur. Dia tidak suka menangis kerana dia sudah puas menangis sewaktu kecil dulu. Saat dia membesar, dia berazam tidak akan membenarkan setitis pun air mata gugur di pipinya kerana dia sedar, tidak akan ada sesiapa yang akan bersimpati dengannya jika dia menangis sehingga keluar air mata darah sekalipun.
Tidak mahu berlarut-larut dengan rasa sedih itu, Miya kembali ke dapur. Dibersihkan gelas yang digunakannya sebelum menuju ke bilik. Lebih baik dia tidur daripada terus memikirkan perkara yang membuat otaknya sesak.
Merebahkan tubuhnya ke katil, Miya tidak dapat melelapkan mata walau sepicing pun. Tubuh penat, kepala sakit, namun dia langsung tidak dapat tidur. Kepalanya dipenuhi dengan Adrian. Di mana suaminya itu? Apa yang dia lakukan? Apa lelaki itu masih di pejabat?
Dicapai telefon dari atas meja di sisi katil, dia menekan nombor Adrian. Namun tidak ada jawapan. Ditekan sekali lagi. Ah, sama juga.
Entah apa yang merasuki fikirannya, Miya bangkit menuju walk-in closet, menyarungkan t shirt, sweater dan jeans. Capai kunci kereta di atas meja konsol, dia melangkah keluar. Berniat mahu mencari Adrian di pejabat Acasia Villa. Entah atas dasar apa sehingga dia berani bertindak begitu sedangkan sebelum ini, menelefon Adrian saja dia tidak berani. Ya, malam ini dia berinisiatif menghubungi Adrian terlebih dahulu. Dan sekarang, dia sudah memandu ke pejabat suaminya itu. Tidak terfikir untuk berpatah balik walaupun dalam kepala sudah membayangkan Adrian bakal marah dan mungkin menghalaunya balik.
Lagipun sekarang waktu malam. Saat dia keluar tadi jam sudah menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam. Tentu tidak ada sesiapa di pejabat yang akan melihatnya.
SESAMPAI di perkarangan Acassia Villa, dia melihat kereta Adrian terparkir gagah di ruang parkir khas di hadapan lobi. Kelihatan Akram tidak jauh dari kereta itu, sedang berbual dengan pengawal keselamatan.
Mungkin perasan dengan kedatangannya, Akram kelihatan melajukan langkah ke arahnya.
"Puan...Cari Tuan Adrian ke?" tanya Akram.
"A'ah....dia..." Belum sempat Miya menyudahkan pertanyaannya, matanya menangkap Adrian bersama Eryna dari lif, berbual entah apa, sambil melangkah menuju pintu keluar.
Begitu ralit berbincang, dua orang itu masih belum sedar kehadirannya. Sehinggalah beberapa langkah menghampiri kereta, baru Adrian menyedari kedatangan Miya.
Sontak, langkah dia dan Eryna terhenti. Jelas terkejut. Mungkin tidak menyangka akan melihat Miya di sini. Ya, Miya juga tidak menyangka akan bertindak sejauh ini. Mahu menyesal, tetapi rasanya sudah terlambat.
"Adrian, I...balik dulu. See you tomorrow" Eryna meminta diri.
Adrian hanya mengangguk.
"Oh ya lupa... Here's your coat." Eryna menyerahkan kot Adrian di tangannya.
"Thanks."
Eryna berlalu ke keretanya setelah kot itu bertukar tangan.
"Bagi kunci kereta awak pada Akram," ujar Adrian.
"Oh..." Cepat-cepat Miya meraba mencari kunci keretanya di dalam beg sebelum dihulurkan kepada Akram.
"Tolong bawak balik kereta Miya," arah Adrian dan dibalas dengan anggukan oleh Akram.
Adrian melangkah ke keretanya tanpa berkata apa-apa. Mempelawa Miya juga tidak, membuat Miya ragu. Mahu mengikut Akram atau Adrian?
Namun saat Adrian menoleh ke arahnya dengan sorot mata seolah bertanya mengapa dia masih tercegat di situ, cepat-cepat Miya membawa langkah mendekati suaminya itu.
Kereta Adrian meluncur meninggalkan perkarangan pejabat Acasia Villa. Beberapa minit pertama, atmosfera di dalam kereta itu hanya diisi dengan keheningan, sehinggalah Adrian bersuara terlebih dahulu.
"Saya tak suka awak datang pejabat saya, Miya."
Miya yang membuang pandang ke luar tingkap, perlahan menoleh ke arah Adrian.
"Sorry..."
"Belum habis lagi orang bercakap tentang gambar tu, awak berani-berani datang tunjuk muka dekat pejabat saya."
"I'm sorry. It won't happen again."
"Tak kira apa pun yang awak buat atau apa pun rancangan awak, saya takkan umumkan perkahwinan kita. Apa yang dah tertulis dalam perjanjian tu, itu yang kita ikut sampai cukup tempoh setahun nanti."
Miya terdiam. Benar kan, Adrian menyalahkannya. Adrian menuduhnya tanpa bertanya, tidak memberi peluang untuknya membela diri.
Perlukah dia memberi penjelasan? Perlukah dia memberitahu Adrian yang dia tidak tahu menahu tentang gambar itu. Ah, rasanya tidak perlu. Melihat tampang sejuk beku Adrian itu, dia pasti lelaki itu tidak berminat untuk mendengar apa-apa daripada mulutnya.
Lagipun apa yang diperkatakan Adrian itu tidak ada yang salah. Cukup tempoh setahun, mereka akan bercerai. Jadi untuk apa dia berharap lebih? Apa yang dia harapkan sebenarnya dengan keluar mencari Adrian pada waktu begini? Ah, dia benar-benar tidak tahu dan dia sendiri bingung dengan dirinya malam ini. Mungkin terlalu terlambung dengan perlakuan Adrian semalam membuat akal warasnya tidak berfungsi dengan baik.
'Sedarlah Miya! Sedar!'
"Saya tak tahu kenapa dengan saya malam ni. I'm sorry. I will never cross the line again after this. This is the first and the last. I promise." Akhirnya hanya itu yang mampu dia katakan. Tanpa penjelasan. Tanpa pembelaan.
Tiada tanggapan daripada Adrian. Tatapan lurus ke depan dengan wajah tidak menyiratkan apa-apa.
Sampai di kondo, tidak masuk ke bahagian parkir, sebaliknya memberhentikan keretanya di lobi. Tidak berkata apa-apa, namun Miya mengerti. Buka pintu kereta, dia meloloskan dirinya keluar sebelum kereta Adrian menderum laju meninggalkannya di lobi itu.
Ketika dia masih terkebil-kebil bingung, Akram tiba-tiba muncul entah dari mana, menghulurkan kunci keretanya.
SEHINGGA Miya terbangun keesokan harinya, Adrian masih tidak pulang. Tempat tidur di sebelahnya kemas tidak berusik menandakan penghuninya tidak pulang malam tadi. Dicapai telefon di atas meja di sisi katil, melihat jika ada mesej atau panggilan daripada Adrian, namun tidak ada. Entah di mana lelaki itu tidur malam tadi. Apa di rumah Eryna?
'Ah, tak mungkin!'
Malas berfikir banyak, Miya mengangkat tubuhnya dari katil dan menjalankan rutinnya seperti biasa. Adrian dan Lora tidak ada, dia tetap perlu memasak sarapan untuk dirinya sendiri. Malah sengaja dimasak lebih untuk dibawa bekal. Malas menyusahkan Balqis membungkus makanan tengah harinya di saat sahabatnya itu masih bengang dengannya.
Menyudahkan sarapannya dengan cepat, Miya segera bersiap untuk ke pejabat. Tidak mahu terlewat kerana malas bertembung dengan sesiapa.
Namun, sepertinya nasib tidak menyebelahinya hari ini. Kemalangan antara dua buah kereta menyebabkan jalan sesak, membuat dia tetap sampai ke pejabat seperti biasa.
Dengan langkah berat, dia membawa sepasang kakinya menuju ke lif. Ada beberapa orang sudah berdiri di situ menuju lif terbuka. Mendengar derak tumit kasutnya, beberapa orang itu menoleh. Miya hanya tersenyum nipis membalas tatapan itu.
Tiada lagi bisik-bisik seperti semalam membuat Miya mendesah lega.
"Patutlah dia tak layan yang cikai-cikai macam kita ni Lan. Rupanya dia jala ikan besar je." Zaki, salah seorang staf Jabatan Jualan, tiba-tiba bersuara.
Miya yang tidak tahu arah perbualan itu, tidak begitu menanggapi.
"Nak hidup kat kota besar ni macam tulah. Kena pandai cari side income." Azlan yang dipanggil Lan oleh Zaki tadi membalas.
"Untung muka cantik. Senang cari makan." Aini, kerani bahagian kewangan pula menyampuk.
"Itulah orang kata, muka cantik tak menjamin perangai tu suci."
Seorang demi seorang bersuara, membuat Miya akhirnya mengerti. Namun, dia hanya diam. Menjawab belum tentu mereka akan percaya. Silap-silap dia akan terus menjadi bahan sendaan. Lagipun dia bersendirian. Tidak ada yang akan menyokong atau mempertahankannya.
"Satu jam berapa ribu kau caj, Miya?" Galak mereka ketawa apabila menyedari Miya bersendirian. Jika ada Balqis bersama, tentu mereka tidak berani berkata apa-apa.
"Miya, kita pernah kerja sekali dulu kan sebelum aku transfer ke sales department. Boleh bagi diskaun tak?" Zaki yang memang sudah lama menyimpan hati pada Miya, bertanya galak. Inilah masanya dia mahu membalas dendam pada Miya yang tidak pernah memandang atau melayannya.
"Tak payah diskaun ki. Kita tong tong. Gilir-gilir pakai," balas Azlan.
"Sekor-sekor mulut macam babi. Si babi Azlan ni pun, babi betina kau kat rumah sarat mengandung anak babi kau, dengan tiga ekor anak babi berderet entah cukup makan ke tidak, ada hati nak cari perempuan lain. Nak tong tong apa? Beli pampers dengan susu anak pun berhutang, duduk flat PPRT, tak payah sembang macam babi pun boleh terbang." Entah bila Balqis muncul, suara lantang dan ayat carutnya bergema di segenap ruang lobi itu.
Merah muka Azlan diherdik begitu oleh Balqis. Terkepal tangannya namun dia tahu Balqis bukan lawan yang boleh diajak bergaduh. Taekwondo tali pinggang hitam, siapa berani cari gaduh dengannya? Apatah lagi teman lelakinya bukan calang-calang juga. Anak seorang Senator berjawatan Setiusaha kementerian.
"Amboi mulut kau boleh tahan. Bertuahlah Miya, ada orang tolong back up kerja kotor dia," sinis Aini.
"Tak sekotor mulut engkau. Agaknya masa berjimak dulu, bapak kau lupa pakai kondom, itu yang lahir engkau."
Tuhan, berdesing telinga Miya dengan kata-kata Balqis. Malah, tidak hanya Miya, ada dua orang di belakang mereka yang turut ngilu telinga dengan ayatnya yang tidak bertapis itu.
"Eh Balqis! Kau pun dapat saham jugak ke tolong sorok kerja maksiat kawan kau ni?!"
Balqis sudah mahu menjawab, namun pintu lif terbuka membuat hasratnya terbantut. Membiarkan beberapa orang itu masuk dahulu, Balqis terus berdiri bersama Miya, dengan mata menatap tajam ke arah Zaki, Azlan, Aini dan beberapa orang lagi yang sudah masuk ke lif. Pada masa yang sama, pintu lif eksekutif juga terbuka. Ketika itulah baru mereka sedar, Adrian dan Eryna melangkah masuk ke lif itu.
Ya, itu yang membuat Balqis geram. Adrian ada di situ, mendengar kata-kata hinaan yang dilemparkan pada Miya, tetapi lelaki itu diam saja. Malah lebih memilih berdiri agak jauh dan tersembunyi dari Miya dan sekumpulan staf tadi tanpa sedikit pun mempertahankan isterinya itu. Tidak mungkin Adrian atau Eryna tidak mendengar, memandangkan makhluk-makhluk tadi sengaja bercakap dengan suara yang kuat.
Saat pintu kedua-dua lif hampir tertutup, Balqis lagi-lagi bersuara kuat. "Bacul la lelaki dah berbini pun tak pandai nak jaga bini. Sibuk jaga diri sendiri, sibuk dengan betina lain, tahu nak pakai atas katil je, tapi tak pandai jaga hati bini! Cerailah kalau dah tak suka! Nak simpan lagi buat apa!" Tatapan mata terarah kepada Azlan, tetapi sindiran itu dia tujukan kepada Adrian.
"Bee...dahlah..." Miya bersuara separuh berbisik sambil mencuit-cuit lengan sahabatnya itu.
Balqis pasang tampang tidak peduli. Tangan Miya ditepis kasar.
Di dalam lif eksekutif Adrian ketap bibir dengan tangan terkepal erat. Bukan geram dengan Balqis, tetapi geram dengan Miya. Kenapa Miya tidak mempertahankan dirinya? Kenapa mesti Balqis yang membalas semua cemuhan itu? Apa Miya tidak berperasaan? Apa dia boleh menelan semua cemuhan itu tanpa sedikit rasa tersinggung, sedih, kecewa atau terkilan?
Sehingga pintu lif tertutup, Miya tidak langsung memandangnya meskipun dia tahu, Miya sedar kehadirannya. Isterinya sempat melirik sekilas ke arahnya tadi saat Balqis menyindirnya.
Ya, dia sedar kata-kata Balqis tadi ditujukan kepadanya. Namun dia malas begitu peduli.
Yang dia peduli ialaj wajah Miya saat ini. Kosong. Tidak ada riak sedih walau sudah dicemuh dengan sebegitu hina. Hanya tangannya menggenggam erat tali beg. Putih kepalan tangannya seperti tidak berdarah. Pucat wajahnya, jelas menggambarkan suasana hati yang tidak setenang yang terlihat pada zahirnya.
Share this novel
kite baru baca....haaaa puas hati ak bebabi2 dye baikan org...hahahahahaha weyh sakit erh hati...xguna betul adrian ni..ni semua plan eryna...ntah2 eryna yg stalk dorg ni...
aku syak aryna pa adrian yg buat ni...haha..x sabo balqis sound dia triple babi..haha
yezzz adrian lgi babiiii sgala babi