BAB 6

Romance Completed 4799

Johan meninjau kawasan asrama. Kelihatan beberapa kanak-kanak yang sedang bermain badminton di gelanggang. Beberapa orang yang lain sedang melakukan aktiviti riadah yang lain. Waktu petang di ASDEH, anak-anak diberi ruang untuk merehatkan minda dnegan beriadah. Usai solat Isyak, akan diadakan ceramah mengenai apa ertinya saya memeluk Islam oleh Ustaz Firdaus.

Kebiasaannya, para sukarelawan akan hadir untuk membantu melancarkan program. Kawasan ASDEH yang mempunyai kira-kira 100 orang anak-anak yatim piatu kekurangan tenaga untuk mendidik. Para sukarelawan yang hadir amat dialu-alukan bagi membantu pentadbiran di ASDEH.

Johan hampa. Kelibat Jennie tidak kelihatan. Kebiasaan Jennie hadir jika ASDEH memerlukan kakitangan tambahan. Mungkin Jennie masih marah dengan kata-katanya tempoh hari. Johan menghela nafas panjang.

“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka,” khusyuk anak-anak di ASDEH mendengar ceramah. Johan di belakang mendengar dengan tekun setiap yang disampaikan oleh Ustaz Firdaus.

Fikiran Johan menerawang kepada Jennie. Jennie, gadis cina yang istimewa baginya. Tidak seperti kebanyakan gadis cina lain, Jennie bermata bundar, wajahnya mirip melayu, Cuma kulitnya jelas kelihatan seperti kebanyakan bangsa cina di tempatnya. Mungkin kerana campuran dari ayahnya yang berketurunan suku Temiar di Pahang.

Jennie sangat rajin membantu perkembangan semasa di ASDEH. Johan tertarik dengan peribadi Jennie. Mungkin jika disisipkan dengan nilai-nilai Islam sebenar, hati Jennie akan terpaut pada ajaran syumul itu. Acap kali melihat Jennie membantu majlis-majlis berbentuk keagamaan yang diadakan di ASDEH, malah Jennie tidak janggal untuk memakai selendang menutup rambutnya bagi menghormati majlis yang diadakan.

‘Mungkin cara yang aku tampilkan salah, tapi aku mahu Jennie seperti anak-anak di sini,’ Johan masih termenung. Sehingga majlis selesai, Johan masih tidak lihat kelibat Jennie. Johan kecewa. Tindakannya membuatkan Jennie semakin jauh dari apa yang diimpikannya.

Ustaz Firdaus duduk di ruang makan yang disediakan. Johan duduk di sebelah menemani jamuan ringan yang diadakan selepas ceramah sebentar tadi. Kek lapis diambil sepotong disuakan ke mulut. Dikunyah perlahan sebelum meneguk air di cawan yang tersedia.

“Kamu ada masalah ke?”

Johan diam. Mengiya tidak, menidakkan juga tidak. Sukar untuk menepis telahan Ustaz Firdaus. Ustaz yang lebih dulu makan garam darinya pasti lebih mengetahui.

“Hari ini tak nampak ramai sukarelawan di ASDEH,” Ustaz Firdaus menukar topik.

“Jennie tak dapat datang rasanya ustaz, selalu dia ada saja kalau dipanggil,” Ustaz Firdaus tersenyum. Jeratnya mengena tepat. Johan yang sedar dirinya terperangkap malu dengan kata-katanya sebentar tadi.

“Dicari isteri kerana empat perkara, kecantikan, kekayaan, keturunan dan agamanya, carilah yang beragama, Insya-Allah rumah tangga akan diberkati. Nak mendidik mereka yang baru kenal agama ni ibarat bayi yang baru lahir ke dunia. Silap didikan, pincanglah masa depan.”

Johan diam. Bagai baru tersedar tentang hal yang satu. Bergetar hatinya mendengar ujaran Ustaz Firdaus. Selepas menghantar Ustaz Firdaus, Johan duduk mendiamkan diri di bilik. Sepanjang malam Johan tidak tidur. Johan duduk berteleku di sejadah, memohon ampunan pada sang pencipta. Hatinya merintih sayu di saat penghuni yang lain sedang nyenyak dibuai mimpi.

Hatinya diuji dengan ujian dan ternyata dia hampir tewas dengan ujian itu. Taksubnya Johan mahu mengislamkan Jennie kerana tertawan dengan kecantikan dan keluhuran budi Jennie. Johan dikaburi dengan niat yang dipesongkan dari hatinya. Malam itu menjadi saksi anak Adam menangisi kesilapan yang dilakukan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience