Chapter 5

Humor Series 9411

KAMI BERSAMA – II

JULIA sudah melambai-lambaikan tangannya ke arah Erika. Erika berlari anak mendapatkan kawan baiknya itu. Dia dengan Julia kawan sekuliah tapi mereka tidak tinggal bersama.

“Kau kena tolong aku Ju. Aku punya beg baju si lembu jantan tu campak dan tinggalkan dekat kolej. Sekarang ni baju aku tak cukup tau.”

Julia terkejut dengan kenyataan yang baru didengarinya itu. Sampai begitukah Eziyad balas dendam kepada kawannya itu? Dahsyat!

“Nasib baiklah aku bawa baju seluar lebih. Itu pun aku tak tahu cukup ke tidak. Anak-anak kecil kau tu muat ke dengan aku?” Julia berfikir sebentar. Kena tanya-tanyakan juga sesiapa yang bawa baju lebih. Kasihan pula dekat si Erika ni.

“Tu punya pasal. Ishh geramlah aku dengan lembu jantan tu. Kau tengok tu muka dia. Selamba macam tak ada salah je.” Erika menjuihkan bibirnya ke arah kelibat Eziyad itu.

“Nanti aku tolong tanyakan dengan budak-budak ni. Tu lah kau sengaja datang lambat kan?. Tu padahnya. Kalau awal kau sampai kolej, memang ada ruang kosong dalam bas. Faris dengan Redzuan asyik tak tentu arah je risau tengok kau kena naik kereta dengan Eziyad.”

“Dah lah dah. Jom kita ke sana. Dia orang semua dah berkumpul tu.” Erika menarik tangan Julia yang masih tidak berhenti membebel. Iyalah Ju, aku salah!

“Dalam pegangan tangan saya adalah senarai nama kumpulan untuk kamu semua. Pelajar semua ada 100 orang pelajar dan setiap kumpulan adalah 5 orang. Jadinya saya nak ada 20 kumpulan okey. Saya tak mahu kamu sendiri pilih. Nama-nama ni semua sudah saya random. Jangan nak tukar-tukar.”

Hani tersenyum senang dengan taklimat yang diberi oleh Encik Yusof itu. Dia memang baik dan rapat dengan pensyarah Encik Yusof. Oleh itu, Encik Yusof telah memberi kepercayaan kepadanya untuk menguruskan ahli-ahli kem tersebut. Dialah yang tentukan semua kumpulan ini.

“Kau okey tak Ika?” Faris mendekati Erika yang sedang berpeluk tubuh itu. Risau juga dia bila mendapat tahu yang Erika ke sini bersama-sama menaiki kereta Eziyad.

Erika mengangguk saja tanpa bersuara. Dia sedang tekun mendengar nama yang sedang dipanggil itu. Dia harap dia berkumpulan sama dengan Redzuan. Redzuan kumpulan 3. Harap sangatlah dia pun kumpulan 3.

“Eziyad ada buat apa-apa tak dekat kau?”

“Jangan risau Riz. Aku okey ni. Dia cuma tinggalkan beg baju aku dekat kolej je. Tak apa. Masalah tu dah selesai.”

Faris menggelengkan kepalanya. Eziyad tu memang jenis pendendam. Tapi kalau Erika dah kata macam tu lega juga hatinya. Takut juga Eziyad tu buat macam-macam dekat Erika.

“Okey dah nama aku dah panggil tu. Aku pergi dulu.”

“Okey.” Erika melihat saja Faris yang berlari anak untuk bersama dengan kumpulannya itu. Faris kumpulan nombor 1.

Alahai, mana nama aku ni. Kumpulan nombor 3 dah penuh kut 5 orang. Ishh, Julia berkumpulan dengan Faris. Redzuan pula berkumpulan dengan si Hani rambut kena asid tu. Bebel Erika geram.

Erika melihat saja gedik Hani yang sedang mendekati Redzuan. Bila Redzuan tersenyum ke arahnya, terpaksalah Erika membalas senyuman plastik untuk Redzuan.

“Eziyad, Yana, Muaz, Azam dan Erika awak kumpulan nombor 5.”

Erika melangkah lemah ke arah kumpulannya itu. Dia tak berapa dengar permulaan nama tadi. Kalau dia tahu yang Eziyad juga berkumpulan dengannya memang dia rasa malang dengan dunia ini.

Hani dari jauh sudah tersenyum kemenangan. Dia memang sengaja menyatukan Eziyad dan Erika. Biar padan muka perempuan tu bersama dengan musuhnya Eziyad. Dia akan pastikan yang Redzuan jauh dari Erika. Faris pun tidak ketinggalan juga. Ini saatnya dia mengambil kesempatan untuk mendekati Redzuan.

“Bila saya dekat sini, awak pun dekat sini. Ehh tolonglah ni kumpulan saya. Pergi jauh sikit” Erika rimas bila nampak muka si lembu jantan ni. Menyakitkan hati tu memang sudah pasti. Menyakitkan mata tu lagilah terlalu pasti!

“Ezz memang kumpulan dengan kitalah Ika.”

Erika merenung wajah Yana meminta kepastian. Tolonglah Yana, tolong cakap yang semua ni tak betul. Mungkin Ezz lain kan? Bukan Eziyad.

“Ezz lain eh maksud kau kan?. Bukan Eziyad yang ni” Erika menunjukan jari telunjuk ke arah wajah Eziyad.

Yana sudah tersenyum geli hati. Comel sebenarnya Erika ini.

“Eziyad memang kumpulan dengan kita. Kita orang tau korang tak baik tapi tolonglah ya beri kerjasama” Muaz pula bersuara menerangkan kecelaruan fikiran Erika tadi.

Erika rasa seperti batu terhempap di atas kepalanya. Kenapa aku perlu bersama dengan dia lagi? Cukuplah dalam kereta tadi. Sekarang ni dekat sini pun nak bersama?.

Erika diam saja. Malas nak ambil pusing dengan keadaan sekarang. Mereka semua sudah bergerak ke tapak perkhemahan. Padang Terap nama tapak perkhemahan ini. Sini adalah hutan simpan Gunung Jerai.

Jauh juga jarak khemahnya dengan Julia. Alahai tapi nasib baiklah Yana ni baik juga. Boleh buat kawan.

Mereka semua perlu siap sediakan khemah. “Yana, tak boleh ke kita tukar tempat lain? Tak sukalah khemah kita ni bersebelahan dengan si Ezz tu. Kau tau kan aku dengan dia tak okey?”

“Tak bolehlah Ika. Setiap kumpulan dah diberi tempat masing-masing untuk didirikan khemah. Alaaa bukan kita satu khemah dengan mereka pun. Bersebelahan je. Tapi ini untuk kebaikan kita juga. Kalau ada apa-apa berlaku nanti senang lelaki ada nak tolong.”

Erika menarik nafas malas. Betul juga cakap Yana ni. Dan ini masanya dia perlu berbaik dengan Eziyad. Dia tak mahu bergaduh dengan sesiapa. Tapi macam mana nak berbaik kalau Eziyad tu pun tak ada usaha nak berbaik dengan dia?

“Aku harap kau okeylah dengan kumpulan ni. Aku tau kau tak berapa baik dengan Ika tu. Tapi jangan sampai bawa masalah dengan kami eh Ezz?” Azam bersuara sambil memunggah barang-barangnya dimasukkan ke dalam khemah mereka.

“Jangan risau. Aku tak akan susahkan korang. Aku tak suka dia je” Eziyad menepuk punggungnya dan bangun untuk mengangkat begnya pula.

“Boleh aku tahu kenapa kau sampai tak suka dia? Dia buat salah apa?”

Muaz turut mengangguk untuk tahu juga kenapa Eziyad benci akan Erika. Nasib baiklah soalan yang ditanya oleh Azam itu bernas.

“Kau hanya perlu tahu yang aku tak suka dia” Eziyad menjawab ringkas. Dia tak nak orang tahu kenapa dia tak suka perempuan playgirl macam Erika itu.

Tengok sajalah dari tadi mata Erika dan Redzuan tidak beralih. Walau dari jauh sekalipun mereka tetap tersenyum-senyum. Senyuman paling gedik Erika berikan kepada Redzuan. Nak muntah hijau Eziyad melihatnya.

“Mana tau korang berkumpulan ni supaya korang berdua boleh berbaik-baik. Tak salah kau berbaik dengan Erika tu” Muaz pula sudah menambah idea.

“Aku tak suka dia”

“Ehh eh, dah tu awak ingat saya suka awak ke?” Erika menyampuk dari belakang. Dia dengar perbualan jejaka tiga orang itu. Geram pula bila melihat dengan selambanya Eziyad menyatakan yang lelaki itu tak suka padanya?. Ada aku kisah?!

“Baguslah kau tak suka. Aku lagi beribu kali tak suka kau” balas Eziyad selamba

“Awak beribu kali tak suka saya. Saya berjuta-juta kali tak suka awak tau!”

“Okey fine. Aku hanya nak kau tahu yang aku memang tak suka kau. Tak suka perempuan playgirl macam kau. Tak akan suka kau, dan tak akan pernah suka kau. TITIK!”

Erika mendekati Eziyad. Dia cuba berhadapan dengan lelaki itu.Terlalu sakit apa yang diperkatakan oleh lelaki itu tadi. Dia mendongak melihat mata tajam lelaki yang kini berhadapan dengannya.

“KENAPA?. Saya nak tahu kenapa?” Erika bertanya dengan berani. Jarak antara mereka memang dekat.

Eziyad menelan liur. Berani sangat si Erika ni getus hatinya. Dia tidak boleh menjawab pertanyaan itu. Yang dia tahu memang dia tak suka Erika dan dia ada sebab tersendiri.

“Kau nak tahu kenapa aku memang tak boleh jawab kenapa.”

“Saya tetap nak tahu kenapa. Kalau tidak saya tak akan berganjak dari sini.”

Muaz, Azam dan Yana sudah tak tentu arah. Mereka takut juga tercetusnya perang seperti hari kelmarin itu.

Eziyad tersenyum sinis. “Bagus kalau kau tak nak berganjak. Jangan kau marah kalau aku cium kau dekat sini. Depan mereka lagi.”

Erika terus terdorong ke belakang setelah mendengar kata-kata Eziyad itu. Gila namanya ini! Eziyad tergelak kecil.

“Tahu takut.”

Ahli kumpulan mereka yang lain menarik nafas lega setelah Eziyad pergi berlalu dari situ. Takut juga kalau betul-betul Eziyad lakukan sesuatu terhadap Erika.

“Kau tak rasa apa-apa ke Ika?” tanya Yana kepada Erika setelah mereka berdua berada di dalam khemah.

“Rasa apa pula ni?”

“Kalau aku berada dekat dengan si kacak Eziyad tu, aku rasa hati aku dah cair. Kau tak akan tak sedar yang Ezz tu handsome?”

“Redzuan lagi handsome dari Ezz tu okey. Dan Eziyad tu bukan taste aku.”

“Ecehh cakap besar. Nanti jatuh cinta baru padan dengan muka. Okey dahlah. Nanti kita nak solat berjemah isyak sama-sama ni. Kita kemas sikit-sikit je ni dulu.”

Erika mengangguk saja. Dia turut kemas barangnya. Lagipun barang miliknya tak banyak pun. Semua ni gara-gara lembu jantan tu. Nasib baik tadi Julia dan Yana ada bagi sedikit baju kepadanya.

*****************

“RISAU saya tadi bila dapat tahu awak tumpang kereta Ezz. Nasib baiklah korang selamat je sampai sini” ngadu Redzuan terhadap rasa risaunya itu. Takut juga dia kalau-kalau Eziyad itu buat perkara buruk dekat Erika.

Dia semakin hari semakin sayang dengan Erika. Erika semakin mendapat tempat di hatinya.

“Jangan risaulah. Saya pandai jaga diri saya. Ezz tu pun tak akanlah dia nak buat sesuatu tak baik. Dia saja je ugut-ugut padahal dia tak berani pun” jawab Erika ya, ya saja tu. Terharu sangat sebab Redzuan risau akan dirinya. Aww aww so sweet.

“Awak satu kumpulan dengan dia ni pun jaga diri k. Jangan risau, saya ada je tengok-tengokkan awak.” Erika mengangguk setelah Redzuan mengeluarkan ayat romantik itu. Redzuan tengok-tengokkan dia?. Kau ado?!. Tak ado ken?. Kihkihkih

“Nanti kalau dia buat apa-apa dekat saya, saya panggil awak eh? Awak pun kena selalu ada tau”

“Baiklah kesayangan hamba” Erika tersenyum senang mendengar balasan dari Redzuan itu.

“Okeylah saya nak balik ke khemah saya. Awak jangan dekat-dekat sangat dengan Hani eh? Cemburu tau!”

Redzuan ketawa terbahak-bahak. Cemburu juga Erika ni.

“Ya jangan risau.”

Erika membuka zip khemahnya itu. Sebelum masuk ke dalam, dia melihat kelibat seseorang yang tidak jauh darinya. Eziyad?

Dia mendekati Eziyad yang sedang terduduk itu. Telekung yang dipakai itu disingkap sedikit agar tidak kotor. Kenapa dengan lelaki ini? Sepertinya menahan kesakitan.

“Awak kenapa ni?”

Eziyad mendongak melihat Erika yang berada di sisi kirinya itu. Tangannya masih mengelap darah yang mengalir di pergelangan tangan kirinya itu. Mata Erika sudah tertancap di pergelangan tangan Eziyad yang terluka.

“Awak luka ni. Kena pisau ke?” Erika mencangkung di hadapan lelaki itu.

“Meh sini saya tengok.”

Belum sempat Eziyad nak menjawab, Erika sudah mencapai tangan dia.

“Sikit je ni. Tangan aku kena ranting kayu tajam tu. Dah kau jangan dekat-dekat nanti telekung kau pula kotor”

“Awak tunggu sini. Dalam beg saya ada ubat luka dengan kain balut.” Erika cepat-cepat masuk ke dalam khemahnya itu.

“Bak sini tangan awak. Biar saya sapu ubat ni.” Erika terus saja mendekati Eziyad. Telekungnya sudah dia buka tadi.

“Aku kata tak payah la weh. Sikit je ni.” Eziyad menarik tangannya semula. Dia terus bangun dari duduknya.

Erika turut bangun sekali. Dia menjeling tajam ke arah Eziyad. Walaupun suasana malam itu tidak berapa jelas dengan keadaan wajah Eziyad. Tapi dia tetap nampak wajah lelaki itu mengerut kesakitan. Dasar lembu jantan degil!

Erika menarik semula tangan lelaki itu. “Saya nak tolong awak ni. Sekejap lagi ada taklimat dan tak akan awak nak pergi dalam keadaan macam ni?”

“Tangan aku, bukan tangan kau. Kau tak payah nak sapu ubat segala. Baik kau sapu ubat dekat otak kau yang mereng ni.” Dengus Eziyad geram.

Tiba-tiba Eziyad terkejut dengan tindakan spontan dari Erika itu. Jari telunjuk Erika sudah mengunci mulutnya. Erika dengan selambanya meletakkan jari telunjuknya ke mulut Eziyad.

“Awak diam. Jangan banyak cakap. Suka hati saya jugalah kalau saya nak tolong awak atau tak kan?. Biar saya sapu ubat dan tolong balut”

Eziyad diam. Dia tidak tahu kenapa setiap perlakuan yang dilakukan oleh Erika selalu membuatkan dia beku. Dia melihat saja tangan gadis itu yang lincah menyapu ubat ke atas lukanya dan akhirnya pergelangan tangannya itu sudah siap dibalut.

“Okey sudah siap. Awak pergi kat sana dulu. Mesti kumpulan kita dah tunggu tu. Saya nak tukar baju. Semua ni gara-gara awak la tau. Habis terkena sedikit ubat kuning ni dekat baju saya. Baju saya pula awak dah campak jauh dekat kolej kan?. Cakap dengan Yana saya datang kejap lagi.”

“Aku tak suruh kau sapu ubat. Kau yang degil nak. Lepas tu salahkan aku. Tak ikhlas langsung” sindir Eziyad geram. Tadi dah aku kata tak payah, dia yang nak.

“Alaaa jangan marah. Tapi salah awak juga pergi tinggalkan beg baju saya kan?. Saya tak banyak baju ni tau. Nasib ada Yana dengan Julia bagi pinjam baju.”

Eziyad malas nak ambil tahu. Dia terus berlalu pergi tanpa mengucapkan terima kasih. Erika mencebik. Dasar tak sedar diuntung. Terima kasih kat aku pun tak ada!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience