ABD 39: I WANT HER BACK

Romance Completed 1572856

Adrian memerhatikan video itu dengan saksama. Lelaki itu merempuh tubuh Miya membuat Miya jatuh dan hampir tersungkur. Gerakannya cepat dan pisau yang digunakan tentu sangat tajam kerana mampu melukakan belakang badan Miya dengan pantas dan menembusi pakaiannya.

Lelaki itu kelihatan cepat-cepat mahu memasukkan pisau yang digunakannya ke dalam saku jaket apabila tiba-tiba pisau itu terlepas dari tangannya.

Adrian menekan butang pause dan zoom pada pisau yang terjatuh itu yang kelihatan sedikit bersinar dalam gelap.

Diperhatikan detil pada pemegang pisau itu sambil otaknya memutar semula sommelier knife yang dilihatnya di rumah Eryna.

Sama. Ternyata sama. Graffiti itu tidak hanya lukisan abstrak tetapi ada tertulis nama Eryna disebalik contengan lukisan itu.

Terima kasih kepada premis judi itu yang menggunakan CCTV resolusi tinggi iaitu 2560*1920 membolehkan Adrian melihat pemegang pisau itu dengan jelas. Teknologi yang dimiliki CCTV itu membolehkan imej dilihat dengan jelas walaupun selepas zoom in beberapa kali.

Adrian kemudian mempercepatkan video ke minit di mana lelaki itu menyerahkan semula telefon Miya. Menekan butang pause, dia zoom wajah lelaki itu. Ada satu parut melintang dari kening sebelah kanan sehingga ke sudut kiri bibirnya. Rambut panjang dan dibiar lepas.

Bersandar pada tempat duduknya, Adrian berfikir-fikir. Pisau yang digunakan itu sama dengan yang dihadiahkannya kepada Eryna. Tetapi lelaki itu siapa? Tidak mungkin pisau itu kebetulan sama kerana ada nama Eryna di sana. Dan jika pisau itu dicuri, mengapa masih ada dengan Eryna? Tidak mungkin pencuri memulangkannya dan tidak mungkin juga Eryna berusaha mencari kerana harga pisau itu bukanlah seberapa. Tidak sampai 100 dolar Singapura pun. Cuma ia istimewa kerana dibuat khas untuk Eryna.

Menegakkan kembali tubuhnya, Adrian menekan semula butang play. Diperhatikan cara jalan lelaki itu. Langkahnya sigap dan gagah, dengan kedua-dua tangan di dalam saku jaket. Dengan kepala sedikit mendongak, bahu ke belakang dan mendabik dada, dia nampak angkuh dan berkuasa. Adrian mengundur semula video itu. Kali ini dia memerhatikan pergerakan kaki lelaki itu sebelum beberapa minit kemudian dia mendesah putus asa.

Kecewa kerana selain pisau itu, dia tidak menemui petunjuk apa-apa untuk menyabitkan Eryna. Jika terang-terang yang di dalam video itu adalah Eryna, ya itu senang. Tetapi yang di dalam video itu adalah lelaki. Dia perlukan bukti lain sebelum boleh menuduh pembantu peribadinya itu.

PUKUL tiga pagi, Miya dan Balqis masih terkebil-kebil menatap lelangit kamar. Terlentang dengan kedua-dua tangan bersilang di atas perut.

“Ni bilik Lora?” tanya Balqis tanpa mengalihkan tatapannya daripada hiasan kapas berbentuk awan yang menghiasi lelangit kamar.

“Emm…” Miya hanya menjawab dengan gumaman. Keras pula matanya malam ini tidak dapat dilelapkan. Mungkin saat mahu tidur tadi dia dibantutkan dengan panggilan Balqis. Nah, sampai sekarang kantuk itu hilang tidak menemui jalan pulang.

“Bertuah jadi anak orang kaya kan? Bilik tidur luas, mewah, dah macam saiz ruang tamu rumah aku je,” ujar Balqis.

“Anak kau pun nanti akan jadi anak orang kaya jugak.”

Balqis terkekeh perlahan. “Kau rasa Razin tu baik tak, macam Adrian?”

Berkerut dahi Miya apabila Balqis mengumpamakan baik itu seperti Adrian. Adrian baik? Ya, dia tidak menafikan Adrian ada sisi baik walaupun kadang kala sikapnya seringkali membuat dia tersinggung. Namun, bermula dari hari dia kehilangan bayinya, segala kebaikan Adrian selama pernikahan mereka bagai sirna.

“Miya, jawablah!” Balqis berbalik, mengadap Miya yang masih terkedip-kedip memandang siling.

“Mana aku tahu boyfriend kau. Kau yang lebih kenal dia,” balas Miya.

Balqis berdecit tidak puas hati dengan jawapan Miya. Dipusingkan semula tubuhnya, terlentang dengan wajah masam.

Tertawa Miya dengan tingkah sahabatnya itu. Samsengnya mengalahkan Kak Long kawasan, tetapi jika merajuk, kalah Lora. Apatah lagi dengan muncung panjangnya itu. Geram rasa mahu ditarik-tarik.

“Yalah, aku jawab. Bagi aku yang tak rapat sangat dengan dia, yang jumpa dia beberapa kali je, aku rasa…” Miya berjeda, membuat Balqis kembali mengiring mengadap sahabatnya itu. mengalas kepala dengan dua tangan, wajah Miya ditatap dengan binar teruja. Tidak sabar mahu mendengar pandangan Miya tentang Razin.

“…dia baik. Ada ciri-ciri lelaki budiman. Penyabar. Sesuailah dengan kau yang baran ni. Senang cerita, aku boleh simpulkan yang Razin tu, good looking with good manners.”

Tersenyum Balqis dengan jawapan Miya, membuat dia semakin yakin untuk membawa hubungan dia dan Razin ke tahap yang lebih serius. Sudah agak lama juga mereka berkawan. Bermula dari perkenalan secara tidak sengaja ketika sama-sama menyertai kejohanan taekwondo sempena Hari Belia Negara lima tahun lalu.

“Kalau dia ada anak, aku harap dia boleh jadi bapa penyayang macam Adrian.”

Adrian lagi. Entah Balqis tersampuk apa sehingga semua benda perlu dikaitkan dengan Adrian.

“Kenapa mesti Adrian?” tanya Miya.

“Sebab aku suka tengok cara dia layan Lora. Aku ingat lagi, hari korang nikah, masa dia nak perkenalkan kau pada Lora…Dia bertinggung, pegang bahu Lora, pandang tepat dalam mata anak dia tu, then baru dia bercakap. Macam mana nak cakap ek… he has a lovely balance of sensitivity and gentle boundaries and he’s good at making warm contact, you know.”

Miya terdiam. Benar, Adrian bapa yang baik kepada Lora walaupun kadang kala lelaki itu tetap tidak mengawal baran dengan anaknya itu. Namun setidaknya, Adrian melengkapi hidup Lora dengan segala kemewahan. Cukup, tidak ada yang kurang. Malah berlebih dan melimpah ruah.

Tetapi dengannya? Dengan anak yang dikandungnya, Adrian tidak begitu. Dia bukan sesiapa bagi Adrian. Hanya alat untuk lelaki itu mendapatkan Lora.

“Bapa yang baik, tak semestinya boleh jadi suami yang baik.” Tanpa sedar kata-kata itu terpacul dari mulut Miya.

“La, mana ada macam tu. Kalau dia bapa yang baik, dia akan jadi suami yang baik. Sebab yang menjadikan dia seorang bapa ialah isteri yang melahirkan anak dia. Sayang anak, mestilah sayang maknya jugak,” tukas Balqis.

Betul. Sayang anaknya, mestilah sayang anaknya. Itu yang membuat hati Miya bagai disayat-sayat. Adrian sayangkan Lora kerana Lora dilahirkan oleh Dahlia. Dahlia. Wanita yang tidak pernah mati dalam hati Adrian, membuat Miya yang hidup di depannya terasa seperti mahu mati. Mahu mati bersama janinnya yang pergi kerana perbuatan Adrian.

“Bila aku tengok sedihnya dia masa kau hilang tu kan, aku terfikir tau…Adrian tu kalau dia sayang, memang dia sayang sungguh-sungguh.”

“Bee…” Miya memusingkan tubuhnya mengadap Balqis menjadikan mereka saling berhadapan. “…Adrian rasuah kau ke sampai kau puji dia tinggi melambung ni?”

“Miya Liany…Aku ni kalau aku benci, rasuah enam belas juta pun takkan membuatkan lidah aku ni puji dia. Faham? Aku tak pandai sorok perasaan aku. Kalau aku suka, aku puji. Kalau aku benci, aku maki.”

Miya diam. Betul juga. Balqis memang seperti itu. Jadi tidak hairan jika dia punya banyak musuh, yang mungkin sedang mengekori atau memerhati pergerakannya.

“Kalau dia cintakan kau, kau pun cintakan dia. Sama-sama ada perasaan, teruskan je. Bukan berdosa. Dah kahwin kan.”

“Entahlah Bee…Aku tak rasa dia cintakan aku. Mungkin apa yang kau nampak tu cuma rasa bersalah dia pada aku je. Mungkin dia tak jangka yang…”

“Tak jangka apa?”

“Tak ada apa.” Miya menggeleng. Tidak mahu lagi mengingat tentang pil itu kerana hanya akan membuatnya kesal.

“Aku benci betullah cerita separuh-separuh ni. Bagitahulah Miya. Tak jangka apa? Kau tahu kan, perasaan ingin tahu aku ni tinggi. Sekali tak dapat, aku takkan biarkan kau tidur dengan tenang.”

Miya malas melayan. Menarik selimut, dia berselubung menutup kepala.

“Eh Miya. Spesis manusia yang cerita separuh-separuh ni kan macam tak ada matlamat hidup tau. Mula-mula tadi kau nak cerita, lepas tu tak nak cerita. Tak ada visi yang jelas. Buat kerja separuh jalan. Spesis macam kau ni lah buat orang cepat mati.”

Miya buka selimut yang menutup kepalanya lalu memandang Balqis dengan tatapan tajam.

“Kau ni kan…Mulut…” Geram, Miya menarik bibir Balqis membuat sahabatnya itu menjerit marah.

“Betul apa aku cakap. Kalaulah kontraktor buat kerja separuh jalan, tak ke nanti bangunan runtuh, berapa banyak orang akan mati. Kalau JKR buat jalan tak siap, kereta lalu, masuk lubang, accident, mati. Kalau doktor buat operation separuh jalan, dah belah dada, operate jantung, lepas tu dia tinggal macam tu je, tak ke mati orang tu nanti. Kau pun samalah.”

“Tapi aku cerita separuh jalan, tak mati pun kau,” balas Miya sebal.

Balqis terdiam. Dipusingkan tubuhnya membelakangkan Miya. Merajuklah tu.

“Bee..”

Balqis tidak bergerak.

“Bee…” Miya cucuk belakang badan Balqis dengan telunjuknya, namun Balqis tetap membatu.

“Janganlah merajuk, Bee. Kesian aku nanti tak ada kawan.”

“Kalau kau anggap aku kawan kau, jangan sorok apa-apa daripada aku. Kalau kau sedih ke, marah ke, bengang ke, happy ke, cerita dengan aku. Jangan buat aku sama macam orang lain yang tak ada kena mengena dengan kau.” Balqis menjawab tanpa membalikkan tubuhnya.

“Ada sesetengah benda aku rasa aku tak boleh nak share dengan sesiapa termasuk kau Bee. Bukan aku anggap kau sama mcam orang lain yang tak ada kena mengena dengan aku, tapi…Aku cuma tak boleh. Ada benda yang berlaku di luar daripada kemampuan aku, yang aku rasa aku tak boleh nak tanggung. Aku jadi sedih, aku jadi frust, dan buat aku susah nak lupa, sedangkan benda tu buat akal waras aku makin lama makin menipis.”

Perlahan Balqis membalikkan tubuhnya apabila mendengar suara Miya yang sudah mula sebak.

“Sebab tu kau kena cerita. Walaupun aku tak boleh selesaikan, but at least kau akan rasa lega. Luahkan apa yang kau rasa. Kau nak marah, menangis, meraung, aku akan dengar, aku akan teman kau.”

Miya menggeleng. Bukan dia tidak mahu, tetapi dia tidak boleh. Trauma masa kecil membuat dia lebih suka menyimpan semuanya sendiri. Sepatah perkataan yang keluar dari mulutnya, jika tidak penampar, rambutnya ditarik, atau perut dan tangannya dicubit. Malah untuk menangis pun, dia tidak dibenarkan. Walau dipukul, walau sakit, dia hanya diam. Menahan setiap pukulan itu sambil menggigit bibir dan semua itu terbawa-bawa sehingga kini. Jika menangis, dia akan terus dipukul sehingga dia diam. Paling tidak, jika terlalu sakit, dia akan menangis diam-diam di dalam biliknya.

“Aku tak boleh, Bee. Bagi aku masa.” Bukan mudah untuk mengatasi semua trauma itu. Dia belum cukup kuat untuk melakukannya. Biarlah seperti ini saja. Seiring berlalunya waktu, dia yakin semuanya akan kembali seperti sedia kala.

“Okaylah. Aku takkan paksa kau. Tapi aku nak kau tahu yang kalau kau nak cerita apa-apa, atau nak luah apa-apa, aku I will always ready to lend you my ears.”

“Thanks Bee.”

.
. .

“Dia tak nak cerita apa-apa,” ujar Balqis lalu meletakkan rakaman perbualannya dengan Miya yang direkod menggunakan telefonnya di depan Adrian.

Adrian mendesah putus asa, namun dia mendengar juga rakaman perbualan itu. Mana tahu jika ada mana-mana bahagian daripada percakapan Miya itu yang boleh dijadikan klu. Namun sehingga tamat rakaman, dia tidak menemui apa-apa.

“Macam nilah. Sekarang ni saya bercakap sebagai sahabat Miya, bukan pekerja DayMond. Jadi maaf kalau kata-kata atau percakapan saya lepas ni kedengaran agak kasar. Saya sebenarnya tak kecewa dengan Miya bila dia tak cerita apa-apa dengan saya. Tapi saya kecewa dengan diri saya sendiri. Sekian lama saya berkawan dengan dia, tapi saya masih tak dapat kepercayaan dia untuk dia luahkan apa yang dia rasa.”

Adrian terdiam. Jika dengan Balqis, Miya tidak membuka dirinya, apa lagi dengan orang lain.

“Jadi saya rasa kalau awak nak tahu kebenaran, awak tak boleh harapkan untuk dengar dari mulut dia. Kena cari klu dan siasat sendiri. Saya tak tahu macam mana caranya, tapi…Saya doakan usaha awak berhasil.”

Adrian mengangguk-angguk. “Nampaknya macam tulah. But anyway, thanks for your help.”

“You’re welcome.” Balqis berdiri dan bersedia untuk keluar. Namun, saat tangannya memegang tombol pintu, dia menoleh semula ke arah Adrian. “Tapi saya nak ingatkan awak satu perkara.”

Kata-katanya itu membuat Adrian yang sudah menunduk mahu meneruskan pekerjaannya, kembali mengangkat muka.

“Berhenti buat semua ni kalau awak tak ada niat nak dia kembali pada awak. Berhenti buat dia berharap dan salah faham dengan semua kebaikan awak tu. Sekeras mana pun dia, tetap dia tersentuh bila dapat perhatian daripada seorang lelaki. Jadi…Kalau awak rasa awak nak Miya kembali jadi isteri awak, then usahalah sungguh-sungguh. Tapi kalau awak sekadar berniat nak tebus rasa bersalah, atau tunjuk penyesalan, berhentilah. Miya tak perlukan semua tu.”

Sejenak, Adrian terpana sebelum akhirnya dia mengangguk. “I want her back and I will give her happiness she deserves.”

“Good.” Balqis mengangguk, berpuas hati dengan jawapan Adrian. Dia tahu Miya dan Adrian sudah bercerai. Adrian yang bercerita saat lelaki itu mahu meminta pertolongannya. Jangan harap dia mahu membantu jika Adrian berselindung.

SETELAH Balqis keluar dari biliknya, Adrian memanggil Eryna pula masuk. Tidak sampai seminit, terjengul wajah pembantu peribadinya itu di muka pintu pejabatnya.

“Ada apa you cari I?” tanya Eryna dengan senyum manis.

“Weekend ni you free?”

“Free. Kenapa?” tanya Eryna dengan senyum tidak surut dari wajahnya.

“I nak ajak you hiking. Dulu selalu pergi dengan Dahlia, tapi sejak kahwin dengan Miya, dah lama tak pergi.”

“Yeah…dulu kita selalu hiking. You, me, Dahlia.”

Adrian tersenyum. “So, I anggap you setuju?”

“Of courselah. You pun tahu kan I suka hiking.”

“Good. Kita pergi awal pagilah so that kita boleh sampai puncak betul-betul masa matahari terbit.”

“Just…The two of us?” tanya Eryna.

“Yeah. Nak ajak siapa lagi?”

Terangkat kening Eryna mendengarnya. Tidakkah sesuatu yang romantik, mengambil gambar di puncak gunung dengan pemandangan matahari terbit? Berdua pula.

“Kalau macam tu, okay.”

“I jemput you nanti.”

“Nak hiking kat mana?”

“Tak perlu jauh. Area KL je. Saja nak lepas gian sebab dah lama tak hiking. Nanti kalau ada masa, kita pergi High Tatras. Dulu I pernah pergi dengan Dahlia. Cantik tempat tu. Its mountainous area is shared between two national borders, the northern border of Slovakia and the southern border of Poland.”

“Sounds nice.”

“Yeah…”

“Okaylah kalau macam tu. Pukul berapa you nak jemput I nanti?”

“Around five thirty a.m macam tu.”

“Okay.” Eryna bersetuju tanpa banyak soal. “Anything else?”

“Tak ada.”

“Kalau macam tu I keluar dulu,” ujar Eryna lalu bangun dan melangkah keluar.

Adrian memerhatikan Eryna sehingga pembantu peribadinya itu hilang di sebalik pintu.

Menghela nafas yang terasa berat, Adrian bersandar pada tempat duduknya. Terlalu banyak perkara yang berlaku sehingga semuanya berselirat dan mustahil untuk dirungkaikan.

Miya tidak mahu membuka mulut, petunjuk yang dia temui juga masih samar-samar. Buntu.

Tidak mahu sendirian melayan perasaan, dia menghubungi Adam. Meskipun Adam adalah saingannya, dan kadang kala menyebalkan, tetapi seorang itu sajalah saudara yang dia ada.

“Hallo Adam. Datang office I sekejap,” ujarnya lalu memutuskan panggilan tanpa menunuggu jawapan daripada adiknya itu. Tentu anak kesayangan mama itu sudah memaki-makinya di hujung sana. Ah, peduli apa dia. Yang penting dia tahu, Adam akan sampai ke biliknya.

Tepat sangkaannya apabila dua minit kemudian, muncul wajah sebu Adam di muka pintu. Selamba dia menyerbu masuk tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu. Malah tanpa dijemput juga, dia terus duduk di depan Adrian.

“Ada apa?” tanyanya.

“Saja.”

Adam memicingkan mata. “Eh you tahu tak I banyak kerja dekat bawah?”

Adrian tertawa sumbang. “Kerja apa sangatlah dekat marketing department tu? Mengintip Miya?”

Adam terkekeh nakal.

“Salah ke? I jaga kakak ipar. Kakak ipar cantik, ramai orang minat.”

Adrian menyengir sebal. Mujurlah Adam adiknya. Sedarah sedaging. Jika tidak, mahu berdarah hidung dia layangkan penumbuk.

“Adam…I nak tanya sikit.”

Adam jongket kening, sebagai respon kepada kata-kata abangnya itu.

“You masih ingat lagi tak pukul berapa Miya pengsan dalam bilik mesyuarat? I mean, hari dia keguguran tu.”

Adam cuba mengingat-ingat sambil jemarinya mengetuk-ngetuk meja. “Dalam pukul empat lebihlah. Tapi yang dia nampak pucat tu, sebelum tu lagi.” Dia ingat kerana waktu dia beberapa kali melirik jam saking bosan. Dia paling tidak suka menghadiri mesyuarat, namun kerana Hafiz tidak ada hari itu, terpaksa dia yang menggantikan.

“Sebelum tu…Dia ada keluar makan tengah hari?” tanya Adrian. Daripada pembacaannya, pil gugur akan bertindak balas dua hingga tiga jam selepas makan. Jadi, dalam kiraannya, jika benar Miya menelan pil gugur, tentu dia melakukannya pada waktu makan tengah hari.

Adam diam berfikir-fikir, cuba mengembalikan memorinya ke hari kejadian. Berkerut-kerut dahinya cuba mengingat kerana kejadian itu juga sudah hampir dua bulan berlalu.

“Tak ada, sebab I ingat Balqis kata dia nak bungkus makanan untuk Miya sekali sebab Miya tak sihat.”

“Then, dia bungkus tak?”

“Bungkus. Lepas tu dia mintak I hantar pada Miya sebab dia kena pergi jumpa client, teman Kak Sally yang ganti Miya sebab Miya kena attend meeting dengan I.”

“Apa yang Balqis beli?”

“Bubur. Tapi Miya tak makan pun sebab dia kata you dah hantar makanan. Dia dah makan.”

Berkerut dahi Adrian dengan kata-kata Adam. “I tak hantar makanan untuk dia.”

“Habis tu siapa yang hantar?”

Adrian tidak menjawab. Tangannya mulai sejuk apabila otaknya mula menduga-duga.

“Office ada CCTV?” tanya Adrian.

“Depan pintu lif ada satu. Dalam pejabat ada satu. Dalam bilik Miya tak pasti.”

Sejenak, suasana menjadi hening apabila Adrian dan Adam kelihatan berfikir-fikir. Persoalan yang sama yang menguasai benak mereka. Siapa yang menghantar makanan kepada Miya?

“Wait, kenapa you tanya apa yang Miya makan? I tak faham.”

Menghela nafasnya dengan kasar, Adrian menatap Adam. “Doktor kata, kemungkinan Miya telan pil gugur. That’s why I nak tahu, kenapa dia makan pil tu dan kalau dia kata I yang hantar, I nak tahu siapa sebenarnya yang hantar.”

“Oh my God! Are you serious? Pil gugur? I tak percaya Miya buat macam tu. She likes kids, she loves kids, tak mungkin…” Adam menggeleng. Dia kenal Miya. Tidak mungkin Miya tergamak melakukan perkara keji seperti itu.

“I pun tak percaya. Tapi itulah yang doktor kata. Bila I tanya Miya, dia tuduh I yang hantar pil tu.”

“Buang masa you tanya dia. You takkan dapat apa-apa daripada Miya. Dia bukan jenis yang suka bercerita.”

“Yeah.”

“I bukan nak tunjuk yang I kenal Miya. Tak. Tapi…”

“I faham. Apa yang berlaku ni buat I betul-betul kenal Miya.”

“Apa sebenarnya yang berlaku?” tanya Adam.

Adrian menggeleng. Dia tidak mahu bercerita. Menceritakan kesilapannya kepada lelaki yang pernah menjadi teman lelaki Miya? Tentu sekali tidak.

“Oh come on. You know that you can count on me.”

“Yes, that’s why you’re here.”

Adam berdecit tidak puas hati.

“Tolong jangan bagitahu mama tentang pil gugur tu. I tak rasa Miya sengaja makan pil tu.”

“Don’t worry. I akan jaga maruah dan harga diri ex girlfriend I.”

Terangkat tangan Adrian mahu membaling penindih kertas dari bahan kristal di atas mejanya ke kepala Adam namun adiknya itu cepat-cepat berlari ke pintu sambil berdekah-dekah ketawa. Cepat-cepat Adam memulas tombol pintu sebelum keluar dari bilik Adrian apabila melihat wajah abangnya yang sudah berang.

“Ada adik sorang pun tak berguna,” gerutu Adrian.

HABIS waktu pejabat, Adrian ke bilik kawalan keselamatan untuk melihat rakaman CCTV. Dia tidak mahu pergi pada waktu bekerja kerana tidak mahu sesiapa melihatnya ke bilik itu.

“Encik Adrian…Ada apa-apa saya boleh tolong?” tanya Azmi, pegawai yang bertugas di bilik kawalan itu.

“Saya nak tengok rakaman CCTV 15 April. Lif dan pejabat jabatan pemasaran.”

“Pukul berapa, encik?”

“Antara pukul 12 sampai pukul 2.”

“Oh…” Kembali duduk, pegawai itu menggerakkan tetikus, mencari rakaman CCTV pada tarikh yang disebutkan Adrian.

Berdiri di belakang Azmi, Adrian bercekak pinggang sambil memerhati monitor. Beberapa minit mencari, hanya skrin gelap dengan paparan ‘no signal’ yang diperolehi.

“Kenapa gelap?” tanya Adrian.

“Selalunya kalau video gelap, sebab kerosakan pada kabel kamera atau digital video recorder. Sekejap saya cek, encik.” Azmi bangun, mencapai sebuah fail lalu membeleknya.

“Betul encik, 15 April ada berlaku kerosakan pada kabel kamera. Sejak pagi. Tapi dah dipulihan pada hari yang sama, pukul 3 petang.” Azmi menunjukkan laporan itu kepada Adrian.

Adrian meneliti laporan yang ditunjukkan Azmi. Kerosakan berpunca daripada kerosakan pada coxcial cable dan port DVR.

Adrian mendengus kasar. Terputus atau sengaja diputuskan? Jika benar sengaja diputuskan, maka dia yakin seseorang yang memberi makanan atau pil kepada Miya benar-benar bukan orang biasa. Setiap pergerakannya kemas tanpa meninggalkan kesan.

“Macam mana kabel tu boleh terputus?”

“Nampak macam gigitan tikus.”

“Tikus?” Tidak tercapai dek akal Adrian tikus mampu menggigit kabel. Sekuat itukah gigi tikus? Dan ya, di dalam bangunan yang serba moden dan mewah ini ada tikus?

“Ya encik.” Azmi menunjukkan gambar kabel yang terputus dalam lampiran laporan kerosakan itu.

“Sejak pukul berapa tak ada signal pada kamera tu?”

“Pukul…Enam pagi.”

“DVR tu macam mana boleh rosak?”

“Tak pasti encik. Tak dinyatakan sebabnya.”

“Kenapa ambil masa yang lama nak pulihkan? Daripada pukul enam pagi rosak, kenapa pukul tiga baru dipulihkan?”

“Sebab DVR tu perlu dihantar ke supplier untuk dibaiki, sebelum dia hantar semula pada kita.”

Mendengus kasar, Adrian meninggalkan bilik itu setelah mengucapkan terima kasih kepada Azmi. Tidak ada yang salah dengan jawapan Azmi, cuma Adrian kecewa kerana tidak menemui apa-apa.

.
. .

HUJUNG minggu itu Adrian menjemput Eryna seawal pukul lima setengah pagi. Dari dalam kereta, Adrian memerhatikan Eryna yang sedang mengunci pintu rumahnya sebelum wanita itu melangkah ke arah keretanya. Tersenyum Eryna membalas tatapannya.

“Kenapa you pandang I macam tu?” tanya Eryna setelah meloloskan dirinya ke tempat duduk penumpang.

“You look energetic with that hiking clothes,” ujar Adrian sambil menurunkan brek tangan, menarik gear sebelum memandu meninggalkan perkarangan rumah Eryna.

“Really?”

“Waking up early always gives me energy. I rasa kalau you tak sibuk, kita boleh jadikan ni aktiviti mingguan.”

“Good suggestion.”

Eryna tersenyum sambil menarik tali pinggang keledar lalu dipasang pada buckle.

TIDAK mengambil masa yang lama untuk mereka tiba di Bukit Gasing kerana jaraknya yang tidak jauh dari rumah Eryna.

Meskipun hari masih sangat pagi, namun sudah ada beberapa pendaki lain yang turut bersama mereka. Mungkin mahu mengejar suasana matahari terbit.

Sejuk angin pagi yang menggigit kulit membuat Adrian sedikit menggigil. Namun dingin itu hanya seketika apabila perjalanan menuju puncak yang mengambil masa lebih sejam itu membuat badannya mula berpeluh.

Mereka sampai di puncak tepat ketika matahari mula muncul di ufuk timur. Berdiri bersisian menatap langit, mereka sama-sama menarik nafas, menghirup udara segar dari puncak bukit.

“Come, let me take a picture of you,” ujar Adrian.

Tidak membantah, Eryna mula menggayakan dirinya di depan kamera sebelum dia meminta sepasang suami isteri yang sampai ke puncak bersama mereka tadi untuk mengambil gambarnya bersama Adrian.

Setelah puas menikmati udara di puncak, mereka beransur turun. Seperti saat mendaki tadi, Adrian berjalan di belakang Eryna sambil tangannya memegang telefon, merakam panorama alam yang jarang dilihat kerana kesibukannya.

Perjalanan turun tidak mengambil masa yang lama. Kurang sejam, mereka sudah sampai ke bawah.

Adrian membawa Eryna bersarapan terlebih dahulu sebelum menghantarnya pulang.

“Terima kasih teman I hari ni. You dah banyak tolong mudahkan kerja I.”

Melepaskan tali pinggang keledar dari buckle, Eryna hanya tersenyum.

“Don’t mention that, Adrian. I memang suka pergi hiking. Dah lama kan kita tak pergi sama-sama.”

Adrian tersenyum. “I miss those days. Bila I keluar dengan you hari ni, I feel like I need to know you better. You tahu semua tentang I. My life, my wife, my routine, everything. Even tentang Dahlia, Miya pun you yang lebih tahu banding I sendiri. Tapi I macam tak tahu apa-apa tentang you.”

Eryna tertawa. “I’m your PA. of course I kena tahu semua tentang you. you’re my boss, so tak ada keperluan untuk you tahu tentang I. Tapi kalau you nak tahu jugak, kita boleh spend time macam ni lagi bila-bila you free.”

“Yeah, I think that’s a good idea.”

“You nak balik terus atau nak masuk dulu? I boleh buatkan kopi untuk you.”

“No thanks. Kita baru lepas breakfast. I tak nak overdose caffeine.”

“Oh…Okay. Then I keluar dulu. Drive safely.”

Adrian hanya mengangguk dan tersenyum; terus memandu pergi setelah Eryna keluar dari keretanya.

KEMBALI ke villa yang pernah didiaminya bersama Dahlia, dia segera ke bilik bacaan. Semua gambar dan video yang diambil semasa pendakian tadi dipindahkan ke komputer riba sebelum diteliti dan ditonton satu-persatu. Tidak ada satu detil pun di dalam gambar dan video itu yang terlepas daripada pemerhatiannya sambil dia membandingkan dengan video CCTV ketika Miya dirempuh lelaki tidak dikenali itu. Sedikit petunjuk pun sudah memadai untuk membolehkan dia bertindak.

Share this novel

EL'S
2022-10-22 18:18:59 

Adrian x solat subuh 5 30 am.. Wkwkwk

rozidah abdullah
2022-10-17 23:23:46 

can't wait... please...

Che Mah Thambi Mohamed
2022-10-16 18:53:02 

next


NovelPlus Premium

The best ads free experience