Rate

Bab 1 : The Anonymous

Short Story Series 3814

Sungguh cepat waktu berlalu pergi. Aku rasa baru semalam aku belajar bertatih. Baru semalam belajar untuk menuturkan kata dengan fasih. Dari alam kanak-kanak melangkah ke alam persekolahan seterusnya alam remaja. Melayari lembah kehidupan yang penuh dengan pancaroba bukan mudah. Aku ditinggalkan oleh ibu kandungku sendiri. Terdampar aku kesejukan di hadapan rumah ibu dan ayah angkatku lebih kurang dua puluh tiga tahun yang lalu.

Rengekan aku memecahkan keheningan pagi. Itu yang orang tua angkatku katakan. Aku bersyukur sekurang-kurangnya ada insan lain yang sudi menjagaku bagai menatang minyak yang penuh. Sedangkan ibuku sendiri membiarkan aku sendiri di tempat asing. Langsung tidak menghiraukan aku. Layakkah aku panggil dia ibu?

Namun, aku tak dapat tipu diri sendiri. Aku juga ingin tahu siapa dia. Kadang aku berharap agar dia ke sini semula, untuk bertemu dengan aku, memeluk aku dan mengucup aku. Tapi, itu harapan palsu. Hakikatnya, aku anak terbuang. Anak pungut. Anak angkat. Anak yang keliru identiti sebenarnya.

Aku tidak tahu bagaimana mahu membalas jasa baik orang tua angkatku. Kakak dan adik angkatku juga. Aku hadir dalam kehidupan mereka hanya untuk menumpang kasih. Mencelah dalam sebuah keluarga bahagia. Mujur kehadiranku disambut baik. Kasih sayang yang tidak berpenghujung dicurahkan. Kebaikan mereka harus kubalas.

**********

"Kau mahu jadi burung?" Ameena menyoal aku. Mataku direnungnya dalam-dalam. Secangkir kopi dihirup sedikit lalu diletakkan semula di atas piring bercorak daun mapple.

"Kita kan dah jadi manusia. Buat apa mahu jadi seekor burung?" Aku berseloroh tanda tidak mengambil serius dengan soalan yang kakakku utarakan.

"Aku nak terbang bebas seperti burung. Aku nak lari dari masalah dunia yang menyesakkan. Kau lihatlah burung. Bebas." Ameena mengulas. Jari telunjuknya terarah ke sekawan burung di atas langit. Aku mengangkat kepalaku sedikit. Melihat makhluk Tuhan bersayap itu. Terbang membelah langit. Nampak bebas. Pandanganku berkalih semula melihat Ameena.

Brownie coklat disuakan ke mulutnya lalu digigit rakus. Seperti orang kelaparan. Brownies yang tadinya banyak terhidang kini tinggal sisa. Aku baru makan seketul.

"Masalah bukan untuk ditolak tepi tapi dihadapi. Masalah takkan selesai kalau kita lari sejauh mana pun." Jawabku. Aku tidak begitu setuju dengan balasan Ameena. Semua orang ada masalah. Tidak semua orang tabah. Masalah muncul pasti bersebab. Untuk mengajarkan kita sesuatu.

"Pandai juga kau ye. Tak semua orang kuat. Sebab tu, ada orang yang pilih untuk lari. Mar, kau teringin tak nak jumpa dengan ibu kandung kau?" Ameena menukar topik perbualan. Pertanyaannya sangat mengejutkan. Ini kali pertama dia membahaskan tentang ibu kandungku. Insan yang telah melahirkan aku lalu membuang aku.

"Itu mustahil." Dua patah keluar dari mulutku. Aku sendiri memadamkan harapan aku. Benar-benar mustahil. Serba sedikit tentangnya langsung aku tak tahu.

"Dalam dunia ni tiada yang mustahil. Jom, kita cari ibu kau." Bersinar anak matanya menatap aku. Ada kesungguhan di situ.

"Ridiculous!" Jeritku. Bukan aku tidak mahu. Pasti sukar untuk mencari ibu kandungku setelah sekian lama aku hidup atas muka bumi ini. Entah masih hidup atau tidak, Allah saja yang tahu. Cari orang yang tidak tahu namanya. Wajahnya. Asal usulnya. Itu lagi sukar daripada cari kucing hilang.

Aku membuang pandang ke arah sekawan burung yang terbang tinggi di langit biru.

Bebas? Aku rasa aku dah cukup bebas.

Ada keluarga angkat yang baik. Diberi pendidikan sempurna lagi. Aku bebas buat apa yang aku mahu. Tiada siapa mahu menghalang.

Angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa mengelus lembut rambutku yang ikal mayang. Di beranda inilah yang menjadi saksi aku dan Ameena saling bertukar pandangan dan berkongsi cerita.

**********

Muzik dan aku memang tidak boleh dipisahkan. Macam sudah sebati dalam jiwa. Tak semua genre aku suka. Memilih juga. Aku layan Mozart, Bach, Chopin dan Beethoven. Karya seni penggubah muzik tersohor lain tahapnya. Lebih dekat dengan jiwa. Ameena mengusik mengatakan aku patut hidup dalam zaman purba. Opera klasik dah lapuk. Itu kata dia.

Hakikatnya, seni mereka tetap diagungkan. Mungkin bukan untuk orang seperti Ameena. Bukan juga untuk mereka yang jenis layan lagu jiwang terkini di corong-corong radio. Para pemuzik di luar sana tahu siapa mereka. Harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan nama. Walau aku hanya pendengar setia, aku tahu karya 'masterpiece' tetap hidup sepanjang zaman.

Lagu klasik, retro dan kumpulan-kumpulan muzik saja yang aku dengarkan seni mereka. Aku tahu semua. Klasik. Retro. Band. Iskandar, ayah angkatku banyak mempengaruhi minat aku. Dia mengajarkan aku banyak perkara. Suka mendengar lagu-lagu lama. Suka mengumpul barangan antik. Pemutar piring lama, telefon rumah era 1990an, grandfather clock dan kereta antik antara koleksi yang dia kumpul. Aku rasa boleh buka satu muzium hanya untuk mempamerkan koleksi antiknya.

Aku mengeluarkan sekeping CD berwarna putih daripada album lagu. Aku masukkan CD ke mulut radio lalu menekan butang Play. Alunan muzik bergema di segenap ruang tamu.

"Muzik apa ni?" Iskandar menyergahku.

"Fur Elise. Beethoven. Kesukaan ayah. Ayah lupa?" Aku menunjukkan wajah hairan. Sudah banyak kali dia memutarkan muzik ini. Tak silap aku, baru kelmarin.

Iskandar menyengih menayangkan gigi palsunya. Kuperhatikan rambutnya sudah memutih di kepala.

"Ayah nak masuk bilik kejap." Iskandar meminta pamit untuk pergi. Langkah diatur menuju ke bahagian sebelah kiri.

"Ayah. Bilik ayah kat atas." Dahi aku mula berkerut. Perubahan Iskandar sangat ketara. Bagaikan terlupa dengan perkara yang mudah.

**********

Hari ini aku menggantikan Iskandar menjaga kedai barangan antik, Paradise. Terletak di hujung deretan kedai. Bersebelahan dengan kedai pak cik cina jual emas. Kedai ini wujud sekadar bisnes kecil-kecilan. Iskandar banyak lagi mengusahakan bisnes lain. Pernah dia kata, selagi kudrat masih tersisa, selagi itu dia tidak akan berhenti mencari rezeki.

Aku memutarkan lagu Stairway To Heaven, Led Zeppelin. Kedai kecil ini tidak ramai sangat pengunjung. Dalam sehari boleh aku bilang dengan jari berapa saja pelanggan. Kadang kala, ada antara mereka yang tidak membeli malah menjual barangan antik yang dimiliki.

Aku menongkat dagu kebosanan. Keluhan kecil dilepaskan. Mataku memerhatikan pintu utama. Harap-harap ada lah sesiapa yang menolaknya.

Pucuk dicita ulam mendatang.

Pintu ditolak. Kelibat seorang ibu muda dan anak lelakinya masuk ke dalam kedai.

Aku melemparkan senyuman paling manis. Layanan terbaik harus diberikan kepada pelanggan.

"Dik, tumpang tandas boleh?" Tanya perempuan itu. Anak mataku jatuh melihat anaknya yang menahan kencing. Senyuman manis aku melorot jadi tawar.

"Ada kat hujung sana." Aku menunjuk arah.

Tiada pelanggan lagi nampaknya. Tak ada rezeki.

Lagu Stairway To Heaven bertukar ke lagu lain, Careless Whisper, George Michael.

Ibu muda tadi dan anaknya keluar dari kedai.
Sempat mereka ucapkan terima kasih.

Rambut yang terikat kemas gaya pony tail aku leraikan, jatuh melepasi bahu. Aku merapikan helaian rambut yang melindungi telingaku ke belakang telingaku. Hujung jariku berputar-putar bermain dengan hujung rambut.

Sedang asyik aku leka, terlihat kelibat seorang lelaki menolak daun pintu kedai dengan kasar.

Yeay! Ada pelanggan! Hatiku bersorak riang. Akhirnya.

Sejurus aku menatap lelaki itu, senyumanku mati. Aku sendiri tidak tahu kenapa. Serius. Aku macam pernah kenal. Otak cuba memutar kembali kenangan. Namun hampa. Tiada yang terlintas di benak.

Keringat membasahi dahinya. Desahan nafas naik turun. Tercungap-cungap seperti dikejar oleh seseorang.

"Tolong aku!" Terhincut-hincut dia berjalan ke arahku.

"Tolong apa?" Aku terpinga. Risau. Eh kenapa aku nak risau? Bukan pelanggan. Bukan orang yang aku kenal.

"Cepatlah tolong aku! Aku nak sembunyi! Cepatlah! Cepat!!" Dia memaksa. Melenting suaranya. Seperti sangat terdesak.

"Encik pusing belakang encik, jalan sedikit ke hadapan, tolak pintu depan tu, lepas tu keluarlah." Selamba aku balas. Tulah, tak nak cakap elok-elok dengan aku.

"Orang macam aku, tak ada masa nak layan kerenah kau. Boleh pulak kau main-main. Cepatlah bagitahu aku!" Dia paksa aku lagi. Berang dengan tindakan aku yang acuh tidak acuh.

Mahu aku lesing kepala dia. Baru tahu tinggi rendah langit. Masuk-masuk terus marahkan aku.

"Terus je pergi hujung sana, ada bilik stor. Masuklah dalam tu." Terpaksa aku turutkan. Tidak mengapalah sekali sekala membantu seekor makhluk dalam kesempitan seperti lelaki malang ini.

Laju dia menapak pergi ke bilik stor walaupun kakinya cedera. Sakit cuba ditahan.

Lagu yang berkumandang kedengaran tersekat-sekat. Aku geram lalu mengetuk radio. Dah nazak nampaknya. Cuaca di luar berubah mendung. Hujan renyai-renyai mula turun. Kemudian bertambah lebat. Radio tetap tidak berfungsi. Sudahku ketuk entah kali yang ke berapa. Aku tersentak bunyi guruh berdentum tiba-tiba. Terhinggut bahuku terkejut. Satu rasa menyelinap dalam sanubari. Kenapa aku rasa resah seperti ada benda yang tak kena?

Pintu terkuak. Tiga orang lelaki yang basah lencun masuk ke dalam kedai aku. Berjejeran air hujan jatuh menitis ke lantai kedai. Aku perhatikan mereka satu demi satu. Seorang berbadan gendut. Seorang agak kurus kering. Seorang lagi terbantut ketinggiannya. Seram sejuk aku melihat mereka.

Terasa debaran jantungku. Aku yakin mereka juga bukan pelanggan. Saling tak tumpah seperti penyangak.

"Mana lelaki tadi? Mana?!" Lelaki gendut itu bertanya kepadaku. Terbeliak biji matanya seperti sengaja mahu menakutkan aku.

"Lelaki? Tak nampak ke cuma ada saya seorang kat sini." Aku menipu bercampur sindiran. Melihatkan gaya mereka, entah-entah makhluk tadi pun satu geng mereka kut? Oh tidak!

"Jangan nak menipu! Aku tahu mesti laki tadi masuk kedai ni kan?!" Si orang lidi ini pula cuba memprovok aku. Aku tidak cepat melatah. Tindakan mereka sama kurang ajarnya seperti lelaki tadi. Tapi aku sendiri tidak mengerti mengapa hatiku tergerak untuk membantu lelaki tadi.

"Tak percaya ya sudah. Dari pagi tadi saya terpacak kat kedai ni. Kalau encik bertiga nak buat kecoh kat sini, saya tak teragak panggil polis." Aku mengacah. Punat telefon bimbitku ditekan kasar. Mengganggu ketenteraman aku saja.

"Hello.. saya nak buat report," Belum sempat aku habiskan laporan lelaki kurus kering itu membentak melarang aku meneruskan panggilan.

"Bos, tak perlu kut kita buat kecoh kat tempat yang tak sepatutnya." Konconya yang bertubuh kecil itu berbisik. Aku menangkap sedikit bisikannya. Si gendut itu merenung tajam anak mataku seperti memberikan aku amaran keras. Sudahnya, mereka beredar dari kedai aku.

Hujan masih lebat di luar sana disertai kilat yang sabung-menyabung. Aku memeluk tubuh.

"Penyangak atau pengecut? Ceh! Dengar je nama polis dah ketar. Mental koyak."

Aku mengorak langkah ke bilik stor. Tombol pintu dipulas. Daun pintu aku tolak perlahan menjenguk makhluk malang tadi. Sekujur tubuh terdampar di hadapanku.

"Ish, boleh pulak dia tidur kat sini."

Aku menyepak kecil kakinya dengan hujung kasut.

"Hoi, bangunlah!" Aku bercekak pinggang. Lelaki itu tidak menunjukkan sebarang reaksi. Aku mengecilkan mata. Makin lama aku tatap, makin aku kenal. Ah! Tapi itu tidak mungkin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience