SERI WIRDAYU TASIK BIRU
KARYA: Penna Nera
Hari ni nak menulis tentang pengalaman bertemu dengan orang bunian. Makhluk Allah yang mungkin setempat dengan kita tetapi berlain demensi. Wallahuaklam. Macam biasa, nama yang tertera tiada kaitan antara hidup dan mati ya.Kita sambung lagi.
Pak Latip dan adik iparnya memang pemancing tegar. Segala ceruk dia teroka. Mana tempat baru orang cakap pasti dia akan sampai walaupun terpaksa mendaki ke, meredah sungai ke, masuk hutan ke. Apa je berdesup sampai la diorang . Sampai isteri Pak Latip pun dah malas nak berleter. Pak Latip pun kemana-mana kawasan memancing memang akan berdua dengan adik iparnya sebab tu la isterinya malas dah nak bising. Bak kata Kak Melah, “berbuih mulut aku pun, bukan dia ambik pusing”. Lupakan tetang Kak Melah yang nak berbuih tu, kita cerita pasal Pak Latip, adik ipar dan bunian. Satu hari tu lepas balik dari kerja, hujan turun lebat. Pak Latip singgah kedai kopi sementara nak tunggu hujan berhenti. Nak redah juga dengan motor dia tak sanggup sebab hujan lebat sangat. Jadi berhenti lah dia dekat kedai kopi Halim jagung. Sebab apa orang panggil Halim jagung, sebab belakang kedai kopinya memang dia tanam jagung je untuk duit samping-samping katanya. Jagungnya tak pernah berhenti, sentiasa ada. Okey, lupakan pasal halim jagung kita fokus cerita asal.
“Ada tempat baru lim. Kawasan luas, tapi kena redah macam hutan sikit baru jumpa macam tasik. Besar tasiknya. Minggu lepas aku dah pergi dengan Makrop dolah, dengan Ujang,”kata abang Jalil pada Halim jagung. “Kau tak nak pegi le Tip?” tiba-tiba abang Jalil menyebut nama Pak Latip. “Aku on je bang. Kau cakap bila, aku ngan wan sampai.”kata pak Latip. Wan adalah adik iparnya tetapi ke akraban mereka dah serupa adik beradik kandung. Adik Pak Latip meninggal sewaktu kecil dek kerana sawan demam panas. Tinggal dia sahaja anak tunggul dalam keluarga. “Sabtu kau kerja tak tip? Kalau tak kita on la sabtu malam, ahad pagi kita balik,”kata abang Jalil. “okey bang. Jumpa sabtu. Aku bagi tau Wan,”kata Pak Latip
Masa yang ditunggu, pun tiba. Punya la tak sabar, sampai pancing pun dah letak siap-siap depan rumah. Dua pancing Pak latip, dua pancing Wan. Lepas belanja kak Melah shopping di pasar malam sabtu, dia pun bergerak lah bersama Wan dengan menaiki motor masing-masing ke gerai Halim jagung. Sampai sana, Halim jagung dan abang Jalil dah menunggu. Makrop Dolah tak dapat ikut kerana harus bekerja lebih masa hingga ahad. Mereka pun bergerak ke tempat yang dijanjikan dengan menaiki Land Rover abang Jalil. Sampai destinasi, barang-barang kelengkapan pancing dipunggah untuk dibawa ke tasik. Sedang berjalan, tiba-tiba pancing Wan terjatuh. “Abang Latip, kejap. Pancing jatuh,”kata Wan. Abang Latip berhenti dan menunggu Wan. “Kami jalan dulu ek Tip. Kau terus je jalan kedepan. Tak payah kona kona,” kata Abang Jalil. Pak Latip pun menganggukkan kepala tanda faham.
“Jom bang. Nanti kita tertinggal lak,”kata Wan. Mereka terus berjalan menuju kedepan mengikut arahan Abang Jalil. Hanya berpandukan lampu dikepala dan bulan yang terang, mereka bergerak kedepan. “cantiknya tasik ni bang. Air jernih tu. Ni kalau siang, lagi nampak terang dalam air. Malam-malam pun dah nampak dah dalam air. Tasik betul ke tasik bu...”lantas mulut Wan ditutup Pak Latip. Dia tau adik iparnya boleh tahan juga mulut. Mahal sangat sampai insurans pun tak nak. “Kau ni... mulut tu lain kali tinggal. Pantang nampak apa, nak tegur saja,”bidas Pak Latip. Mereka pun memasang joran masing-masing. Umpan dipasang dimata kail lalu dilempar ke dasar tasik. “kau ada nampak abang Jalil dengan Halim tak?”tanya pak Latip. “Diorang belah sana kot. Handphone ada kan, nanti kita telefon la diorang,”balas Wan. Pak Latip Cuma mengangguk. Sungguh galak ikan memakan umpan, seekor ke seekor naik ke darat. Ibarat berlumba si Wan dan Pak Latip. “Memancing ke saudara?”tiba-tiba dengar satu suara wanita menyapa. “Tak lah. Tengah bersenam,” balas Wan sambil ketawa. Wanita itu ikut ketawa. “Awak siapa?”soal Pak Latip. “Dekat-dekat sini ada kampung ke?”Pak Latip bertanya lagi. “Hujung sana kampung saya. Saya Seri. Seri Wirdayu nama penuh saya. Saya anak ketua kampung Tasik Biru.”balas wanita itu. “Oooo nama tempat ni Tasik Biru,”balas Wan. “Ya. Nama diberi sempena tasik yang membiru dihadapan tuan berdua,”terang Seri. Setelah Seri berlalu pergi. Mereka berdua menyambung semula aktiviti mereka. Setelah Seri datang, mereka tidak lagi mendapat ikan. Masa yang dirasakan terlalu lama berlalu, tetapi hari masih lagi gelap. “Aku rasa dah berjam-jam dah bang Latip. Tapi tengok dekat jam tangan ni, kita baru nak masuk dua jam. Tapi aku rasa masa dah setengah hari kita kat sini,”keluh Wan. Abang Latip turut mengiakan persoalan adik iparnya. Pak Latip mengajak Wan untuk kesebelah sana, bertemu abang Jalil dan Halim.
Rasa sudah agak lama berjalan, tapi masih tidak bertemu Abang Jalil dan Halim. Mereka mula menjerit nama keduanya namun tak bersahut. Bila ditengok pada telefon bimbit, liputan pun tiada. “Adoi la bang. Macam mana ni. Tak jumpa-jumpa pun diorang. Kena sorok hantu ke ape,”Wan mula membebel. “Aku dah kata dah, mulut tu jaga Wan. Kita kat tempat lain ni. Kita tak tau selok belok sini. Mulut jangan la celupar. Kalau akak kau ni, dah kena cili dah kau,”marah Pak Latip. Mereka berhenti melepaskan kan lelah. “Kalian sesat?”tiba-tiba Seri muncul. “Hmmmm,”balas Wan pendek. Wan ni jenis manusia yang bila penat, jadi malas semua. Sampai nak bercakap pun malas. “Mari ke kampung saya dulu. Dah jauh malam ni,”kata Seri. Mereka pun bersetuju.
Sampai dikampung seri, mereka berasa pelik. orang kampung memakai baju serba hijau termasuk seri. “Apsal semua pakai hijau. Orang kampung ni beli kain ela sama je ke semua,”Wan bersuara. Pak Latip memberi isyarat supaya Wan diamkan diri. Sepanjang laluan, orang-orang kampung itu memandang mereka dengan pandangan yang tajam seolah-olah mereka telah membuat salah. Wan merapati pak Latip kerana dia merasa tidak selesa dengan pandangan orang-orang kampung disitu. Seri membawa mereka ke rumahnya dan mempelawa mereka duduk. Didalam rumah Seri, tiada set kerusi mahupun sofa. Hanya duduk dilantai beralas tikar. Kemudian ibu Seri keluar sambil menatang dulang yang berisi makanan. Ibu Seri mempelawa mereka berdua untuk minum dan makan. Terhidang dihadapan mereka ubi kayu berserta kelapa dan ikan masin. Tanpa segan silu, Wan memulakan suapan dahulu dan hanya dipandang oleh pak Latip sambil menggelengkan kepala. “Apa? Rezeki jangan ditolak,”kata Wan. Pak Latip hanya menghirup kopi yang agak berlainan rasanya dari kopi-kopi yang dia minum.Tidak lama kemudian, bapa Seri yang juga merupakan ketua kampung disitu masuk kerumah. “Kamu berdua dari mana? Kenapa masuk ke kampung kami tanpa izin?” bertubi-tubi soalan dari bapa Seri. “Kami datang memancing ditasik tu pakcik...,”Pak Latip memberi isyarat untuk bertanya nama bapa Seri itu. “Panggil saja Pak Darwan,”balas bapa seri. “Tasik itu kepunyaan kami. Kenapa banyak orang luar mengganggunya!”bentak Pak Darwan. “Maaf, Kami tak tahu,”balas Pak Latip tanpa mahu memanjangkan masalah. Wan hanya berdiamkan diri kerana takut melihat mata Pak Darwan yang merah kerana marah. Sambil- sambil itu Pak Latip memerhati raut muka mereka agak berlainan dari manusia biasa. Hidung dan cuping telinga agak runcing. Kulit agak kuning langsat tetapi cerah. Alis mata pun agak tajam, bibir yang kecil. Ganjil raut wajah mereka. Dalam hatinya dah mula merasa sesuatu.
Hampir sejam rasanya disitu, Pak Latip meminta izin untuk balik. Dia risau Abang Jalil dah Halim mencari mereka. Seri sekeluarga hanya berdiamkan diri dan hanya memandang mereka. Pak Latip menyambar tangan Wan dan mengajaknya turun. Di capai semua barang-barang mereka lantas mereka turun dari rumah. Sewaktu mereka turun, mereka terkejut bila ramai “manusia” dilaman rumah Seri dan sedang memandang mereka dengan pandangan tajam. Tiba-tiba mereka semua menyeringai sambil menunjukkan gigi mereka yang runcing. Kelam kabut Pak Latip dan Wan berlari tanpa arah tuju. Puas segala ceruk mereka redah namun tak berjumpa dengan tasik itu. Masa awal-awal sampai hanya 10 minit berjalan dari tasik ke rumah Seri. Beberapa kali mereka terjatuh dek kerana terlanggar batu dan akar pokok. “Tadi masa datang tak ada pun pokok-pokok ni bang. Kenapa ada pokok pulak sekarang,?”tanya Wan pada Pak Latip . “Dari cakap yang bukan-bukan baik kau baca ayat kursi ke, Al-Fatihah ke atau apa-apa ayat pendinding yang kau tau,”sela Pak Latip. Pak Latip pun ikut sama terkumat kamit membaca beberapa surah pendinding yang dia tahu. “Wan, lepaskan ikan tadi,”arah Pak Latip. “Kenapa bang. Penat tu pancing. Takkan nak lepas macam tu je,”marah Wan. “Aku kata lepas tu lepas kan je la. Jangan banyak tanya,”kata Pak Latip. Wan terus membuka bekas sejuk dan melepaskan ikan-ikan itu ketanah. Alangkah terkejutnya mereka, ikan-ikan itu walaupun dah lama dalam ais tetapi masih hidup lagi. “Bismillah hirahma nirahim. Dengan nama Allah, permudahkan lah kami. Pertemu lah kami dengan kawan-kawan kami,”kata Pak Latip. Mereka meneruskan perjalanan mereka mencari kawan-kawan mereka. Tiba-tiba terdengar suara ketawa mengilai disamping bunyi seperti beribu-ribu kawanan lebah menuju ke arah mereka. Tetapi mereka tidak nampak walau seekor lebah pun disitu. Mereka berdua membaca ayatul kursi dan menghembuskan kesegenap arah bagi setiap bacaan. Memohon pada Allah agar melindungi mereka dari perkara-perkara yang buruk. Sedang berjalan, tiba-tiba mereka berdua terjatuh arah kebawah. Bila bangun, mereka berada tidak jauh dari kereta abang Jalil dan keadaan dah cerah.
“Hoi korang pergi mana? Puas aku cari. Kalau tak jumpa jugak aku nak pergi report polis sekejap lagi,"sergah abang Jalil. “Eh tadi malam lagi ni dah pagi!”kata Wan. “Pagi apa, kau tengok jam. Lagi setengah jam dah nak masuk waktu asar tau tak!,”kata abang Jalil. Mereka berdua menjadi binggung apatah lagi mereka melalui malam yang sangat panjang dalam sejarah hidup mereka. Mereka lihat kaki-kaki mereka penuh luka dah calar balar disamping lutut seluar yang koyak akibat jatuh, baju yang rabak akibat tersangkut ranting dan dahan pokok semasa berlari. Itu yang membuktikan bahawa mereka bukan bermimpi. Tanpa berlengah, abang Jalil menyuruh mereka masuk ke dalam kereta. Mereka mencampakkan barang-barang kebelakang dan terus memasuki perut kereta. Walaupun jauh berlari, barang-barang dan joran tidak ditinggalkan. Mereka bercerita setiap inci kejadian pada abang Jalil. Apa yang dah mereka alami sepanjang malam tu. Abang jalil pun rasa pelik dengan apa yang dah jadi pada mereka. Abang Jalil ada mengatakan bahawa, semasa mereka memancing, abang Jalil ada mencari mereka kerana pelik mereka tidak sampai-sampai padanya. Masa tengah mencari tu, abang Jalil kena sergah dengah satu jeritan suara garau. Tak cukup dengan suara, abang Jalil rasa bagai ditendang dari belakang dan dia jatuh kedepan oleh entiti yang dia tak pasti dan tak nampak. Tanpa buang masa, abang Jalil mengajak Halim balik dulu dah kemudiaan datang semula mencari mereka. Abang Jalil mula mencari mereka dari lepas subuh. Semasa masuk waktu zohor, abang Jalil mula kan dengan azan dan bersolat disitu. Kemudian berdoa memohon agar dimudahkan bertemu dengan kawan-kawannya yang hilang. Usahanya serta usaha dari Pak Latip dan Wan diperkenan oleh Allah. Mereka bertemu semula.
Abang Jalil kemudian membawa Pak Latip dan Wan ke rumah kawannya, seorang ustaz sebelum menghantar mereka pulang. Ustaz menyuruh mereka mandi dengan air yang dicampur limau dan sudah dibacakan beberapa ayat suci Al-Quran. Baju-baju yang dipakai mereka dibuka dan dibakar. Sementara pancing mereka dibasuh dengan air yang sama mereka mandi. Ustaz berpesan supaya hati-hati bila memilih tempat memancing. Jangan memancing semberono katanya. Minggu berikutnya, mereka pergi semula ketempat memancing itu untuk melihat keadaan sebenar. Selepas bersarapan di kedai Halim Jagung, mereka bertolak kesana. Lebih memeranjatkan, disitu hanya sebuah lombong tinggal yang airnya kelihatan kotor dan gelap segelapnya. Sekelilingnya penuh semak samun, lalang yang tinggi melangit. Semasa menoleh ke bahagian kiri, Wan ternampak ”Seri” disebalik rimbunan semak sedang tersenyum menyeringai ke arahnya. Berdiri segala bulu yang ada! Lantas Wan mengajak mereka pulang kerana takut perkara sama berulang kembali. Semenjak kejadian itu, Pak Latip dan Wan bertukar tabiat memancing ke laut pula. Makin pening Kak Melah. Sekian.
Share this novel