Series
77
Suri menemani Datuk Razlan di hospital sepanjang malam. Keesokan paginya, lelaki tua itu dipindahkan ke sebuah bilik wad peribadi.
Walaupun keadaannya semakin stabil, Datuk Razlan masih belum sedar.
Suri duduk di sebelah katil sambil mengelap wajah dan kedua-dua tangan lelaki tua itu menggunakan tuala kecil yang dibasahkan dengan air suam.
Tidak lama kemudian, seorang doktor masuk bersama jururawat untuk melakukan pemeriksaan rutin.
“Doktor, kenapa atuk ni masih belum sedar?” tanya Suri.
“Keadaan dia stabil. Semua bacaan penting pun baik. Cuma dia perlukan masa untuk pulih daripada kecederaan semalam.”
“Jadi, bila agaknya dia akan sedar?”
“Mungkin dalam beberapa jam lagi, tapi kami tetap kena pantau keadaan dia.” Doktor itu tersenyum kecil. “Kamu ni cucu dia ke? Dari semalam tak berganjak dari sebelah dia.”
Suri menggeleng sambil tersenyum.
“Bukan, doktor. Tapi kalau doktor perlukan nama waris untuk isi rekod, letaklah nama saya sebagai cucu dia.”
Doktor itu ketawa kecil.
“Tak perlulah sampai macam tu. Maklumat waris kena ikut rekod yang betul. Kalau dia dah sedar nanti, terus maklumkan dekat kami, ya.”
“Baik, doktor. Terima kasih.”
Selepas pemeriksaan selesai, doktor beredar dan sempat memaklumkan keadaan Datuk Razlan kepada Inspektor Eric yang sedang menunggu di luar.
Inspektor Eric mengetuk pintu sebelum melangkah masuk.
“Selamat pagi, Cik Suri. Saya kena balik ke balai sekejap. Nanti saya datang semula.”
“Baik, inspektor. Pandu elok-elok, ya.”
Inspektor Eric mengangguk sebelum beredar.
---
Tidak lama kemudian, Puan Amirah muncul di muka pintu sambil membawa dua mangkuk tingkat dan sebuah beg pakaian.
Suri yang sedang duduk di sebelah katil segera bangun.
“Ibu!”
Puan Amirah tersenyum melihat anaknya.
“Haa, masih dekat sini rupanya.”
“Ibu datang tepat pada masanya! Saya dah lapar sangat ni.”
Suri menghulurkan tangan untuk mengambil mangkuk tingkat, tetapi Puan Amirah segera mengalihkannya.
“Eh, sabar dulu. Kamu dah mandi ke belum?”
Suri tersengih.
“Belum lagi.”
“Habis tu, dari semalam tak mandi? Pergi bersihkan diri dulu. Ibu dah bawakan baju salin.”
Puan Amirah menghulurkan beg pakaian kepada anaknya.
“Terima kasih, ibu! Sayang ibu!”
“Dahlah, jangan nak mengada. Pergi cepat. Lepas tu baru makan.”
“Baik, puan!”
Suri ketawa kecil sebelum keluar untuk membersihkan diri.
Sementara menunggu, Puan Amirah meletakkan mangkuk tingkat di atas meja lalu menjenguk Datuk Razlan. Lelaki itu masih belum sedar.
Selesai mandi dan menukar pakaian, Suri terus menjenguk Datuk Razlan. Namun, lelaki itu masih belum sedar.
“Dahlah, Suri. Doktor dah cakap dia perlukan masa,” pujuk Puan Amirah. “Mari makan dulu.”
“Saya tak laparlah, ibu.”
Belum sempat ibunya membalas, perut Suri tiba-tiba berbunyi.
*Krrr...*
Suri terus terkaku.
Puan Amirah mengangkat sebelah kening.
“Tak lapar, ya?”
Suri tersengih malu.
“Err... nampaknya lapar juga.”
Puan Amirah ketawa kecil sebelum menyerahkan satu bekas makanan kepadanya.
“Dari semalam kamu tak makan betul-betul. Mestilah lapar.”
“Terima kasih, ibu!”
Suri segera duduk lalu menikmati makanan yang masih hangat itu.
Sambil makan, dia tiba-tiba teringat sesuatu.
“Ibu, bukan syif malam ibu baru habis pagi tadi ke? Bila masa ibu sempat masak semua ni?”
“Ibu balik rumah lepas habis syif. Masak sikit, mandi, lepas tu terus datang sini.”
Suri berhenti mengunyah lalu memandang ibunya.
“Hah, tengok tu! Sekarang ibu tahu tak perangai suka tolong orang ni saya ikut siapa?”
Puan Amirah mengerutkan dahi.
“Apa pula kaitannya?”
“Yalah. Ibu dah kerja sepanjang malam, lepas tu balik rumah terus masak untuk saya. Sekarang datang hospital balik. Bila masa ibu nak rehat?”
“Ibu dah agak kamu takkan balik selagi Datuk Razlan belum sedar. Sebab tu ibu bawakan makanan.” Puan Amirah menggeleng sambil tersenyum. “Kalau kamu betul-betul risaukan ibu, habiskan makanan tu cepat-cepat. Lepas ni ibu nak balik tidur.”
Suri tersenyum puas.
“Haa, macam tulah. Baru betul.”
“Dah, makan. Jangan banyak sangat bercakap masa tengah makan.”
“Baik, ibu!”
Suri kembali menikmati makanannya, manakala Puan Amirah duduk di sebelah.
Tanpa disedari mereka berdua, Datuk Razlan sudah mula sedar.
Suara perbualan ibu dan anak itu perlahan-lahan sampai ke pendengarannya. Kepalanya masih terasa berat, tetapi dia dapat mengenali suara gadis yang membantunya ketika kemalangan.
Namun, dia tidak terus membuka mata.
Pengalaman bertahun-tahun dalam bidang ketenteraan membuatkannya terbiasa menilai keadaan sekeliling terlebih dahulu, terutama apabila berada di tempat yang asing.
Dia cuba mengingati kejadian terakhir sebelum kehilangan kesedaran.
Cahaya lampu yang menyilaukan. Hentaman kuat. Kemudian, suara seorang gadis yang tidak henti-henti memanggilnya.
Datuk Razlan kembali menumpukan perhatian kepada perbualan dua beranak itu.
“Ibu, macam mana dengan bil hospital atuk ni?” tanya Suri.
Puan Amirah menghela nafas perlahan.
“Ibu harap keluarga dia datang cepatlah. Pagi tadi pihak hospital dah maklumkan pasal bayaran deposit bilik ni. Ibu dah bayar sebahagian deposit guna duit simpanan ayah kamu.”
Suri terus menoleh.
“Ibu guna duit ayah?”
Haah. Deposit tu belum cukup lagi. Nanti bila keluarga dia datang, kita bincang pasal bil.”
Suri mengangguk.
“Sekurang-kurangnya ayah dah cuba bantu.”
Puan Amirah hanya tersenyum kecil tanpa memberikan sebarang jawapan.
Di atas katil, Datuk Razlan mendengar perbualan tersebut dengan jelas.
Dia mula memahami bahawa gadis yang menyelamatkannya bukan sahaja sanggup menemaninya sepanjang malam, malah keluarganya turut menggunakan wang simpanan sendiri untuk membantu menanggung kos rawatannya.
Sedangkan mereka langsung tidak mengenalinya.
Datuk Razlan menarik nafas perlahan sebelum akhirnya membuka mata.
Cahaya di dalam bilik membuatkan dia mengecilkan mata seketika. Kemudian, dia berdeham untuk menarik perhatian mereka.
“Ehem...”
Suri yang sedang makan terus menoleh.
Apabila melihat mata Datuk Razlan terbuka, dia hampir melompat dari kerusi.
“Atuk!”
Dia segera meletakkan bekas makanan di atas meja lalu bergegas menghampiri katil.
“Ibu! Atuk dah sedar!”
Puan Amirah turut bangun dan menghampiri mereka.
“Atuk boleh dengar suara saya tak?”
Datuk Razlan menggerakkan matanya perlahan-lahan sebelum memandang gadis di hadapannya.
Wajah itu masih jelas dalam ingatannya. Gadis yang memanggilnya dengan cemas ketika dia terperangkap di dalam kereta.
“Nama saya Suri, atuk. Atuk ingat tak saya?”
Datuk Razlan cuba membuka mulut, tetapi tekaknya terasa kering. Dia hanya mampu mengangguk sedikit.
Melihat lelaki itu masih belum bersuara, Suri mula bimbang.
“Ibu, kenapa dia diam je? Atuk ni betul-betul okey ke?”
“Suri, jangan tanya banyak-banyak dulu. Biar dia rehat.”
Namun, sebelum Puan Amirah sempat memanggil jururawat, suara serak kedengaran dari atas katil.
“Saya... saya okey.”
Suri terus tersenyum lebar.
“Atuk boleh cakap!”
Datuk Razlan memandangnya sebelum tersenyum lemah.
Puan Amirah segera menekan butang panggilan jururawat.
“Datuk, jangan bangun dulu, ya. Saya dah panggil jururawat. Biar diorang periksa keadaan Datuk dulu.”
Datuk Razlan mengangguk perlahan.
Melihat lelaki itu seolah-olah mahu bercakap lagi, Puan Amirah mencapai termos yang dibawanya lalu menuangkan sedikit air suam ke dalam gelas.
“Datuk haus, ya? Sekejap. Kita tunggu jururawat periksa dulu. Lepas tu baru minum kalau dah dibenarkan.”
Suri mengambil gelas tersebut dan meletakkannya di atas meja sisi katil sebelum kembali memandang Datuk Razlan.
“Atuk, baguslah atuk dah sedar. Saya risau sangat dari semalam, tahu tak?”
Datuk Razlan memandang gadis itu lama sebelum senyuman kecil terukir pada wajahnya.
Share this novel