Sewaktu kecil dahulu, aku sangat bahagia dengan kehidupanku. Aku mendapat sepenuh perhatian dan kasih sayang daripada mak dan ayah. Aku benar-benar bahagia dan bersyukur apabila dikurniakan keluarga yang sangat indah dan kaya dengan kasih sayang. Hidup kami tidaklah semewah orang lain, kami hanya tinggal di sebuah pondok yang usang dan kotor. Pondok kami sentiasa menjadi kunjungan lalat, nyamuk dan serangga-serangga lain. Maklum sajalah tempat kami ini hanya mampu menerima kunjungan binatang sahaja, para penduduk kampung jangankan ziarah menjenguk ke pondok kami pun mereka tak ingin. Bayangkan, betapa sakitnya hati ini tatkala dihina, dikeji dan dilemparkan serta ludahan orang ramai terhadap pondok usang kami.
Tapi mak selalu berpesan “Ain, biarkan mereka nak. Kita kena sedar siapa diri kita, kita ni tak ada kuasa nak marah mereka. Mereka tu lebih besar pangkatnya daripada kita yang hanya merempat ditepi longkang dan semak-samun. Kita kena ingat nak, kita orang kecil mereka tu orang besar. mereka ibarat gajah, kita hanya seekor semut merah. Janganlah sesekali kita menyimpan dendam pada mereka ya nak….”
Kadang-kala aku tidak sependapat dengan mak. Aku rasa mak terlalu baik sampai sanggup memekakkan telinga mendengar semua caci-maci orang kampung kerana memikirkan darjat saja. Kami tahu dan sedar siapa kami. Tapi aku tak sanggup membiarkan air mata mak bertakung di bawah mata lalu melimpah membasahi pipi. Entah kenapa kadang-kala aku merasakan perasaan benci, marah dan dendam semakin membuak-buak dalam hati ini. Aku hanya mampu bersabar dan memikirkan kesihatan mak dan perlu menjaga hatinya agar tidak dicalarkan oleh sesiapapun. Aku telah berjanji pada diri aku bahawa, sekiranya terdapat sesiapa saja makhluk tuhan yang cuba nak menyakiti hati mak, makhluk itu akan aku balas dengan sekejamnya agar dia dapat merasakan betapa sakitnya hati kami menanggung derita ini tanpa seorang ketua keluarga. Seandainya ayah masih ada, aku pasti dan seyakinnya pasti ayah akan mempertahankan keluarga kami.
Tapi segalanya sudah berlalu, kami masih tinggal dalam pondok buruk itu lagi. Ayah pun telah pergi meninggalkan kami. Aku tak sangka yang semua ini akan terjadi pada keluarga kami.
Aku menyesal sekali, gara-gara aku ayah pergi meninggalkan kami dua beranak. Aku pasti ini semua salah aku, kalau aku tak minta ayah carikan aku kasut sekolah, pasti ayah masih ada di sisi kami hingga sekarang. Aku meminta ayah carikan aku sepasang kasut sekolah kerana kasut lamaku telah rosak dan rakan-rakan di sekolah sentiasa mengejekku. Mereka mengatakan bahawa aku ini orang miskin, tak layak dapat kasut baru.
Sehinggakan pada satu masa aku sudah tidak tahan lagi dengan ejekan rakan-rakan di sekolah, lalu aku pun melenting.
“Aku sedar aku ni budak miskin, tapi korang semua tak ada hak nak tentukan hidup aku. Korang siapa nak kutuk-kutuk aku. Esok, aku akan buktikan pada korang yang aku boleh pakai kasut sekolah yang lebih elok sekarang. Korang tunggulaaaahhhh…”
Hmmm….macam itulah aku waktu dulu, agak baran sikit. Itu pasal tak ada orang yang nak kawan dengan aku. Bayangkanlah, kasut sekolahku langsung tak ada rupa kasut sekolah. Ternganga sana, ternganga sini mana taknya kena ejek dengan kawan-kawan. Aku rasa malu sangat, sampaikan kadang-kala aku rasa tak nak pergi sekolah, nak berhadapan dengan cikgu pun malu. Cikgu pun satu, kasut sekolah murid koyak pun sibuk nak marah-marah. Kalau dia boleh belikan aku kasut baru tak apalah jugak, ini tidak tahu nak marah saja. Apa dia ingat aku ni keluarga orang kaya ke?
Selepas pulang dari sekolah, aku membuat keputusan untuk menemani ayah ke pekan. Tapi pada hari itu, ayah berkelakuan sangat aneh. Dia seolah-olah tidak seperti ayah yang aku kenali selama ini. Kelakuannya begitu aneh sekali, ibarat seperti orang yang mendapat petunjuk dari tuhan bahawa dia akan pergi meninggalkan bumi ini buat selama-lamanya.
Aku cuba untuk menghindarkan segala fikiran yang tidak baik di dalam kepala ini, tapi agak sukar dan aku bertambah bimbang tatkala dia menghalangku daripada menemaninya sedangkan selama ini dia yang selalu menyuruhku menemaninya ke mana saja agar dia tidak tersesat jalan. Maklum sajalah, jalan di pekan itukan sesak dengan kenderaan yang bertali arus di jalan raya.
“Mari ayah, saya dah siap nak ke pekan ini”
Aku mengajak ayah keluar ke pekan. Tapi lain yang ayah jawab.
“Tak payahlah Ain, ayah tahu pergi sendiri. Lagipun ayah dah biasa dengan jalan kat pekan tu. Kamu tinggal saja di rumah tak perlu risaukan ayah, ayah tahu macam mana nak jaga diri”
“Tapi ayah, saya bimbangkan keselamatan ayah”
Aku membantah cakap ayah.
“Kamu tu dah besar Ain. Sepatutnya tempat kamu di rumah bukan lagi di luar. Tambahan pula, kamu tu perempuan tak manis kalau orang tengok kamu merayau-rayau. Lagipun mak kamu tak sihat, siapa lagi yang nak jaga dia kalau bukan kamu Ain. Ayah bimbang kalau-kalau ayah tak nak jaga mak kamu. Dengan siapa lagi ayah boleh harapkan kalau bukan anak ayah sendiri. Kesian mak kamu tu. Kamu jangan risau, ayah pasti akan bawa balik kasut kamu”
“Tapi ayah……….”
“Baiklah, anakku ayah pergi dulu ya. Jaga mak kamu elok-elok. Assalammualaikum”
“Waalaikummussalam”
Ayah pun beransur pergi tanpa ingin mendengar kata-kataku. Aku berasa seperti ada sesuatu yang tak kena, darahku berderau, jantungku pula berdebar dengan kencang. Aku jadi tak senang duduk waktu itu. Aku rasa serba salah sama ada nak ikut ayah atau jaga mak.
Tiba-tiba,
“pergilah Ain, tak usah risaukan mak. Pergi kejar ayah kau pastikan dia selamat”
“Terima kasih mak”.
Aku dengan segera kejar ayah.
Aku memerhatikan ayah secara senyap-senyap. Hmmm….pada masa itu, aku rasa seperti seorang perisik pula. Hatiku ketawa kecil. Aku tidak langsung alihkan perhatian aku daripada pergerakan ayah. Tiba-tiba perasaan simpatiku terhadap ayah muncul tatkala melihat ayah sibuk mengorek tempat pembuangan sampah untuk mencari sepasang kasut sekolah yang terpakai. Aku akui aku berasa sangat terharu apabila ayah sanggup mengorek tempat yang kotor semata-mata nak lihat anaknya pergi ke sekolah dengan berpakaian kemas seperti orang lain juga.
Akhirnya, ayah terjumpa sepasang kasut sekolah. Dari jauh kasut itu kelihatan agak kotor sedikit dan buruk. Tapi tak mengapa, aku tak ambil peduli semua itu.
“Mungkin hari ni rezeki kami, syukur alhamdulillah ya Allah, engkau telah permudahkan segala-galanya” Bisik hati kecilku sambil kepalaku mendongak ke langit menunjukkan tanda syukur.
Malang tidak berbau, mungkin telah tertulis di atas bahawa pada tanggal 14 Mei 2003, ayah telah pergi meninggalkan kami dalam satu nahas jalan raya pada hari yang ayah mencari kasut sekolahku itu. Memang ayah gembira apabila dah dapat kasut sekolah yang masih boleh dipakai, tetapi dia lalai, ayah terlalu asyik membelek-belek kasut itu. Sampaikan kereta lalu-lalang pun dia boleh tak perasan. Waktu itu cuma Allah saja yang tahu betapa cemasnya dada aku melihat ayah melintas jalan tanpa memandang kiri dan kanan. Pada masa itu, mataku liar memandang kiri dan kanan. Tiba-tiba datang sebuah kereta yang meluncur laju telah melanggarnya.
“Tidakkkkk……………ayahhhh….”
Aku menjerit apabila melihat ayah dirempuh oleh kereta itu dan tercampak di bahu jalan. Manakala, kasut sekolah itu pula tercampak ke dalam parit berhampiran.
Perasaan sedih dan marah aku terhadap pemandu itu semakin membuak-buak dalam hati . Tetapi aku tabahkan jiwaku dan cuba untuk meratapi wajah ayah yang berlumuran darah tanpa henti menangis teresak-esak.
Kereta itu pula terbabas ke tepi parit di sebelah kiri jalan raya.
Aku menangis keseorangan di situ tanpa berteman tatkala meribakan ayah yang darahnya mengalir keluar tanpa henti membasahi jalan raya.
“Ayah…..jangan tinggalkan Ain, ayahkan dah janji nak bawa balik kasut sekolah untuk Ain. Ayah tipu, ayah tipu…..kenapa ayah tinggalkan kami, kenapa…..?”
Aku meraung sekuat hati, dan aku terfikir macam mana nak bagitahu mak tentang kejadian ini. Aku tak dapat menahan kesedihan. Tambahan pula, kejadian ini berlaku depan mataku sendiri.
“Mak….. Ain tak dapat jaga ayah dengan baik mak. Ain gagal. Maafkan Ain mak, maafkan Ain…..”
Aku menjerit sambil berpelukan dengan ayah yang berlumuran darah.
Orang ramai agak panik melihat kemalangan ngeri itu lalu segera menelefon ambulans dan polis di pondok telefon yang berhampiran. Orang ramai sudah mula berkumpul di tempat kejadian. Aku melihat ada yang cuba mengeluarkan pemuda itu dari keretanya. Sementara menunggu ambulans datang, aku melihat ayah cuba mengangkat-angkat jari telunjuknya dan cuba untuk berkata sesuatu.
“A…a….ain…ayah nak minta maaf se…ses….sebab ayah tak dapat…nak bawa balik kasut sekolah untuk Ain. Maafkan ayah…aaain….”
Nada suara ayah begitu lemah sekali pada masa itu.
“Tak apa ayah, Ain maafkan ayah. Ayah tak bersalah, ini semua salah Ain kalaulah Ain tak minta ayah carikan Ain…”
“Ayah…..ayah….ayah……jangan tinggalkan kami ayah……”
Akhirnya, ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir di atas pangkuanku. Pada masa itu, aku rasa seperti orang yang dah tak tahu nak buat apa, hanya duduk diam, dan menangis melihat wajah ayah. Tiba-tiba ada seorang mak cik mendekatiku dan cuba menenangkanku. Tidak lama kemudian, ambulans pun sampai. Mereka dengan segera membantu aku mengangkat ayah untuk dibawa ke hospital. Aku diminta untuk menjadi saksi kejadian. Sepanjang perjalanan itu, air mataku tidak henti-henti mengalir mengenangkan ayah yang sanggup berkorban demi anaknya yang tercinta. Aku tak dapat bayangkan hidup aku dengan mak selepas ini tanpa ayah. Aku juga sentiasa memikirkan bagaimana cara yang sesuai untuk aku beritahu mak tentang hal ini. Lagipun mak sedang sakit, aku bimbang kalau-kalau mak tak dapat terima semua ini.
Setelah tiba di hospital, ayah di bawa ke bilik pembedahan untuk di bedah siasat. Manakala, pemuda itu di tahan polis akibat kecuaian semasa memandu. Aku terfikir bagaimana kami nak uruskan segala-galanya tentang urusan pengebumian ayah. Tiba-tiba datang seorang pemuda yang cuba untuk menghulurkan bantuan kepadaku. Aku benar-benar tidak mengenali pemuda itu, dari mana dia datang pun aku tak tahu.
“Assalammualaikum”
“Waalaikummussalam, ya saya. Abang ni siapa?”
Aku bertanya kepada pemuda itu untuk diberi keterangan tentang dirinya.
“Nama abang Mail, abang kepada pemandu yang telah melanggar ayah adik”
“Apa tujuan abang berjumpa dengan saya? Saya dah maafkan adik abang dan pesan kat dia lain kali jangan cuai sewaktu memandu. Disebabkan dia ayah saya mati”
Aku memaafkan adik pemuda itu dengan nada yang kedengaran kurang ikhlas.
“Insyaallah, abang ke sini sebenarnya ingin menolong adik menguruskan jenazah ayah adik. Abang tahu adik bukannya orang yang senangkan. Jadi sebagai tanda minta maaf, abang ingin membantu adik. Harap adik sudi menerima bantuan abang”
“Tapi macam mana abang tahu tentang hidup saya, sedangkan saya tak pernah kenal abang?”
Aku berasa sungguh hairan dengan pemuda ini.
“Awak tak perlu bimbang, sebenarnya saya dah lama kenal dengan ayah awak. Abang mula kenal dengan dia sewaktu dia cuba untuk selamatkan abang daripada dilanggar kereta. Dari situ kami mula berkenalan, dan dia telah ceritakan serba sedikit tentang kehidupannya”
Aku berasa sungguh bersyukur kerana pada saat yang genting ini masih ada lagi insan yang mulia ingin membantuku. Tanpa membuang masa, aku pun menerima perlawaannya.
“Baiklah, saya terima bantuan abang. Cuma kalau boleh saya nak minta tolong dengan abang untuk bantu saya jelaskan perkara yang berlaku ini kepada mak saya di rumah”
“Tak apa, tidak menjadi masalah. Mari abang hantarkan adik balik ke rumah”
Semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, aku sentiasa berdoa kepada Allah agar mak dapat menerima takdir bahawa ayah telah pergi meninggalkan kami. Pada masa itu, segala memori suka dan duka aku bersama ayah bermain-main dimindaku sehinggakan aku tidak sedar bahawa kami telah sampai di rumah. Aku melihat mak sedang menunggu kami sambil membuat muka yang pelik apabila melihat aku dan abang Mail keluar dari kereta dan kelihatan di wajahnya sibuk mencari-cari di mana ayah.
“Assalammualaikum, mak”
“Waalaikummussalam, nak…. Siapa pemuda ni? Ayah kau mana? Korang tak balik sekali? Mak dah masakkan makanan kegemaran ayah kau. Tadi mak tidur, mak mimpi ayah kau minta mak masakkan makanan kegemaran dia sebab dia kata dia nak pergi jauh. Mana ayah kau? Mesti dia lapar”
Mak tak henti-henti mengajukan soalan pada kami.” Manakala, aku dan abang Mail hanya berdiam diri dan masih memikirkan jawapan untuk soalan mak. Aku tak dapat menahan sebak. Kami benar-benar tak sampai hati nak bagi tahu mak tentang pemergian ayah.
“Hei… Ain! Hah… nama kamu siapa?”
“Nama saya Mail”
“Oh… Mail, Hah kenapa kamu berdua diam saja ni? Kamu tak dengar ke apa yang mak tanya? Buat bodoh je….”
“Mak… sebenarnya ada hal penting yang Ain nak bagi tahu mak Ain harap mak boleh terima dengan redha.”
“Hah…apa dia cakaplah?”
Aku dan abang Mail saling bertentang mata antara satu sama lain. Kami serba salah dan berada dalam keadaan dilema. Lalu abang Mail tekad memberitahu mak.
“Begini makcik, saya dan Ain sebenarnya serba salah nak bagi tahu makcik hal yang sebenarnya. Saya harap makcik banyakkan bersabar. Sebenarnya, pakcik dah meninggal dunia petang tadi”
“Hah!apa dia? Tak mungkin…”
Pada masa itu mak menangis dan meraung macam orang gila menafikan pemergian ayah. Kami faham tentang perasaan mak apabila dapat tahu bahawa ayah dah pergi tanpa sempat menjamah sedikit makanan kegemarannya yang telah mak masak. Aku cuba menenangkan mak dengan memeluknya. Tapi mak tetap meraung memanggil nama ayah. Lama-kelamaan, aku merasakan badan mak semakin lemah dan lembik. Kemudian mak terus rebah.
“Eh! mak kenapa ni? Abang tolong saya mak pengsan. Tolong cepat!”
Kami betul-betul panik. Aku dah agak dah, mesti mak tak dapat terima semua ni. Aku dan abang Mail bergegas ke hospital tempat ayah dihantar untuk dibedah siasat. Mak di masukkan ke wad kecemasan. Air mataku sentiasa menitis mengenangkan nasibku. Abang Mail pula sibuk menguruskan jenazah arwah ayah. Dari pandangan kaca mata jarum emasku, abang Mail ialah seorang insan yang mulia dan belum pernah kami temui sebelum ini.
Tepat pukul 12 malam, aku dan abang Mail masih lagi di hospital. Jenazah arwah ayah telah selamat dikebumikan. Mak pula ditempatkan di wad, sementara menunggu keputusan pemeriksaan kesihatan. Alhamdulillah, keputusan kesihatan mak amat baik cuma mak dinasihatkan supaya banyak berehat dan jangan terlalu memikirkan orang yang telah pergi. Betul juga cakap doktor, orang yang mati boleh kita kenang tetapi kita yang hidup ni perlulah teruskan hidup.
Kadang-kala aku kesian melihat mak, dia baru saja kehilangan suami tercinta dah nak kena sara kelurga pula. Ya Allah betapa beratnya dugaan mak. Aku ingin membantu mak. Bayangkanlah aku yang pada ketika itu berumur 13 tahun, sudah tahu nak uruskan diri dan keluarga tetapi mak tetap menghalang aku membantunya. Kata mak, aku ni budak lagi dan tugas aku adalah mencari ilmu, belajar dan praktikkan ilmu yang ada bukannya membantu dia menyara keluarga. Hmmm…nak buat macam mana lagi, nak tak nak aku kena dengar cakap mak. Mujurlah keluarga kami sekarang tidak sesusah dulu kerana abang Mail telah membantu kami dua beranak membeli peralatan dapur dan sedikit makanan.
Sekarang ni alhamdulillah, mak dah boleh terima ketiadaan ayah. Tapi kadang-kadang tu ada jugak mak tidur sambil meracau-racau memanggil nama “abang…abang…Mah nak ikut abang”
Aku takut jugak dengar macam itu tapi nak buat macam mana.
17 tahun sudah berlalu, kini aku sudah berumur 30 tahun. Aku sudahpun bekerja. Kini aku tinggal dengan mak di sebuah rumah teres setingkat yang aku beli hasil titik peluh aku sendiri bekerja sambil belajar. Alhamdulillah berkat doa mak, aku kini telah menjadi seorang yang berjaya dan dapat menyara keluargaku. Tapi sampai sekarang aku tak pernah nampak ataupun terserempak dengan abang Mail lagi. Tak apalah aku dan mak harap dia dipanjangkan umur dan luas rezekinya. Aku dan mak juga sering mendoakan ayah agar rohnya dicucuri rahmat. Hanya kerana sepasang kasut buruk satu nyawa telah melayang. Kini aku mengerti apa yang dimaksudkan dengan pengorbanan demi orang yang kita sayang.
Share this novel