Rate

chapter 3

Fantasy Series 231

Terasa asing bagiku berada di sekolah baru, semua orang lebih suka berkomunikasi dalam kelompok sendiri. Mungkin disebabkan aku adalah pelajar baru dan ditambah lagi dengan perangaiku yang pendiam. Dalam kelas aku boleh terbayang Eric yang tidak akan pernah duduk diam daripada mengangguku dengan bermacam-macam persoalan. Apabila difikirkan, persoalannya itu dia boleh mencari jawapan dengan sendiri. Memang sah, dia saja hendak mengganggu konsentrasiku dalam pelajaran. Sebak hati ini apabila terkenangkan semuanya kembali. Kini, baru ku sedari akan perasaan pelik yang menghantui diriku ketika Eric menyuruhku menyimpan petikan ayat itu jauh ke dalam sudut hatiku. Ia membawa kepada perpisahan antara kami berdua.

"Macam mana dengan sekolah baru awak?" Tanya Nicky lada suatu petang.

Waktu itu, aku sedang mengulangkaji pelajaran di sebuah taman yang terdapat dalam kawasan asrama. Hanya aku bersendirian tanpa ditemani oleh seseorang yang dipanggil kawan.

"Okey aje." Jawabku ringkas.

Aku tidak tahu sama ada itu merupakan satu jawapan yang jujur? Tapi, hidup ini... mengajarku supaya jangan terlalu menunjukkan yang kita lemah. Padahal aku memang lemah dalam mengharungi hidupku untuk keesokan harinya.

"Tak, awak tak okey sebenarnya."

Mendengarkan itu, mataku segera tertumpu kepada Nicky. Wajahnya yang putih mulus itu mendapat renungan daripadaku. Kenapa dia seolah-olah mengetahui segala perasaanku saat ini?

"Dalam kelas, awak selalu termenung... masa saya datang kejap tadi pun awak lebih banyak mengelamun. Fikir apa sebenarnya?"

Aku tidak tahu bagaimana hendak membalasnya sebab apa yang baru dikatakannya itu sangat benar. Aku lebih banyak mengelamun... memikirkan kisah lalu sehingga menyebabkan pelajaran terabai. Apa yang aku fikir sebenarnya? Itu... aku sendiri pun tidak pasti.

"Revi, nama awak Revi Brilliant, kan?" Soalnya lagi.

Aku hanya menganggukkan kepala... pada masa yang sama kepala otakku ligat berfikir, kenapa Nicky bertanyakan namaku pula?

"Harapan adalah satu-satunya yang boleh mengalahkan ketakutan. Tak perlu takut dalam gelap, sebab tanpa malam awak tidak akan pernah melihat bintang."

Berkerut dahiku cuba memahami akan kata-kata Nicky itu. Segala sistem dalam kepala ini sedang menyambung setiap maklumat...

"Tak faham lah saya..." luahku setelah masih kurang faham akan kata-katanya sebentar tadi.

"Tengok pada bintang di angkasa... saya pasti awak akan mendapat jawapan itu."

Jawapan? Apa yang sedang Nicky merepek ni? Takkanlah sekadar tengok pada bintang dan jawapan itu aku boleh peroleh dengan begitu sahaja? Hebatlah dia ni... getusku dalam hati.

Sudah beberapa malam aku melihat bintang di angkasa... namun hampa kerana jawapan itu, aku masih belum memperolehinya. Lihat pada bintang, dan ia bersinar di atas sana... menghiasi suasana malam yang sunyi. Sama seperti hidupku yang kesunyian tanpa mama dan papa, kini Eric juga sudah berada jauh daripadaku. Seketika kemudian, terpanah kepala otakku. Kata Nicky itu ada betulnya juga.... Bintang!

"Satu cahaya untuk menerangi jalan kehidupanku, saya sangat kuat menghadapi semua ini... Bersendirian." Ujarku perlahan.

Terukir sebuah senyuman pada wajahku saat ini. Terlalu bahagia apabila jawapan itu, aku sudah mendapatnya! Tidak sangka sekali, Nicky telah membantu agar aku keluar dari kegelapan. Dan kini... aku ingin hidup dalam cahaya! Terasa hari-hariku akan bahagia selepas ini. Aku bukannya sesat, cuma masih dalam perjalanan ke arah cahaya itu. Kini, berakhirnya kisahku untuk merindui semua orang. Menuju pencapaian matlamat hidupku itu adalah lebih penting! Yang mana impianku untuk menjadi seorang jutawan. Wahai kisah silam, terima kasih untuk semuanya. Wahai masa depan, aku sudah bersedia!

Hari berganti hari, minggu berganti bulan, dan bulan berganti bulan sehinggalah peperiksaan SPM berakhir. Lihatlah lada bintang dan bagaimana ia bersinar ke atas kamu, dan semua yang anda lakukan. Aku telah melihat hari-hari yang indah, walaupun dalam kepayahan untuk menghadapai semua itu. Dengan kesakitan dan kesusahan yang ku hadapi sehingga sampai satu masa, aku hampir berputus asa namun aku berjaya bangkit berjuang pada hari-harj yang berikutnya. Usaha tangga kejayaan, kan?

"Revi." Panggil Nicky.

Aku melihat ke arahnya lalu tersenyum, dia membalas senyumanku. Waktu itu, aku sedang bersuka hati sebab itulah raut wajahku ringan saja melemparkan senyuman kepadanya.

"Nampak riang aje awak ni..."

Terdetik di dalam hatiku, mengapa aku tak senang hati pula? Keputusan SPM, aku berikan kepadanya. Inilah sebabnya yang mengundang kepada kegembiraanku.

"Wow, awak lulus dengan cemerlang, lah.." nampak sangat yang reaksinya itu seperti dibuat-buat.

Aku merenungnya, tajam. Pasti dia sudah sedia maklum lebih awal daripadaku. Eh, ni orang ni tak ubah seperti seorang ejen penyiasat!

"Awak memang seorang yang pintar Revi... memang padan dengan nama awak, Revi Brilliant."

Aku mengeluh dalam diam... sehingga sekarang aku masih belum mengetahui perihal disebalik namaku itu. Nicky berkata sedemikian seolah-olah dia pun ada menyimpan sesuatu perkara daripada pengetahuanku. Hati nuraniku kuat menyatakan... Nicky ini ada kaitan dengan papa dan mama. Dia terlalu mengambil berat tentangku. Akan tetapi, firasatku itu aku melemparkannya jauh-jauh sebab tidak mahu terlalu berharap. Bukankah hanya menyakitkan hati sekiranya dia bukanlah seperti yang ku sangka?

"Jadi awak dah merancang masa depan awak?" Soalnya lalu memberikan kertas keputusan itu kembali kepadaku.

"Belum..."

Satu jawapan yang belum pasti kerana aku tidak tahu merancang...

"Revi... jadikan semua impian awak kepada rancangan yang fokus. Banyak benda yang awak kena ketahui dan pelajari. Awak kena tabah menghadapinya sendirian."

"Apa maksud awak?" Kali ini gikiranku pula bertanyakan soalan.

Nicky tidak segera menjawab malah melontarkan pandangannya jauh ke tempat lain pula. Satu perasaan pelik mula menyinggah ke dalam kalbuku. Kenapa Nicky berubah menjadi diam serta-merta?

"Bintang... awak adalah seorang bintang!" Jawabnya setelah lama berdiam diri.

Oh Tuhan, apa yang Nicky cuba sampaikan kepadaku pula ni? Bintang apa pula? Takkanlah dia menyuruhku supaya mencari jawapan dengan melihat kepada bintang di angkasa lagi? Aduhai, Nicky...

"Apa yang awak nak katakan ni?"

Secara jujurnya memang aku tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Nicky sebentar tadi. Aku seorang bintang?

"Revi Brilliant, memang seorang bintang... yang akan menyinari pada waktu malam. Semua orang akan menerima banyak kegembiraan daripada awak. Jadi, tolong simpan bintang ini agar terus bersinar dalam hati nurani awak."

Nicky berkata sedemikian lalu memberikan aku seutas rantai yang berbentuk bintang. Tanpa sebarang kata aku menyambut pemberiannya itu.

"Ini untuk apa pula?"

Terlalu banyak persoalan sehingga aku sendiri tidak tahu bagaimana hendak bertanya? Kali ini Nicky tidak dapat duduk dengan tenang, mesti dia juga terasa sukar hendak memberitahuku.

"Lusa nanti saya bawa awak ke satu tempat. Pada hari itu saya bakal mendedahkan segalanya."

Memang bohonglah kalau diri ini tidak dilanda sedikit kejutan mendengar akan kata-kata Nicky itu. Kepala ini sudah tidak dapat dibendung lagi... dengan pelbagai persoalan. Lusa? Jadi, selama itu aku kena bertahan daripada mengetahui perkara yang sebenarnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience