0

Drama Series 290

Kehadapan Kekanda Guntur ,

Warkah ini Cempaka nukilkan kerana sudah lama hati ini berasa rindu akan kanda yang sudah genap dua puluh tahun berpergian dari Kepulauan Tanah Merah , mengejar impian Awang Lima - berlayar hingga ke hujung dunia demi Pusaka Lazuardi dan juga atas titah Sultan Mahmud III.

Anak - anak kita , Kasturi dan Mawar juga menginjak usia sembilan belas tahun dan esok hari bakal menjadi ulang tahun ke dua puluh buat mereka. Tumbuh menjadi anak - anak yang taat dan kuat. Wajah mereka banyak mengingatkan dinda pada kanda. Jika dibandingkan , wajah Kasturi lebih banyak mengikuti wajah dinda manakala Mawar pula dinda lihat lebih banyak seperti kanda.

Persis seperti kanda juga , kedua - duanya mahir bermain senjata dan taat akan amanah yang dititah Sultan pada mereka. Anakanda berdua itu gemar sekali turun berguru dengan mantan pahlawan Negeri Seri Mentari , Mat Said yang sudah anakanda kesayangan kita anggap seperti bapa mereka sendiri.

Kekanda Guntur ,

Cempaka tidak tahu sama ada kanda masih bernafas di bumi ini , ataupun mungkin sudah lama meninggalkan dunia tanpa sepengetahuan kami di sini. Tetapi hati dinda tetap percaya , kanda akan pulang suatu hari kelak.

Bagaimana agaknya susuk tubuh Kanda Guntur sekarang , masih gagah perkasakah ? atau apa mungkin semakin berisi ?

Sudah sepurnama Cempaka bermimpikan kehadiran kanda membawakan bunga mawar putih kepada dinda ditemani senyum yang persis seperti kali terakhir dinda melihat susuk kanda , sentiasa diingati hati ini. Wajah kanda semakin kacak dan berseri. Cempaka juga lihat wajah kanda ditumbuhi jambang membuatkan kanda semakin tampan dan kelihatan benar perkasanya meski kelihatan roman menua kanda tetap tampan di mata dinda. Wajah yang paling dindarindui , ketika itu dia tersenyum mesra ke arah dinda.

Kekanda Guntur ,

Bohong andai hati dinda tidak terusik dengan mimpi itu , terutamanya apabila hampir lengkap dua purnama juga dinda tidak menerima sebarang warkah balasan daripada kanda. Entah sampai bila dinda menanti , rindu ini memberat dari hari ke hari.

Dinda gusar sekali kerana dapat merasakan masa dinda akan tiba dan berita kanda belum juga dinda terima. Selama dua purnama ini juga penyakit misteri dinda tidak sembuh lagi , meski telah Kasturi dan Mawar bawa dinda berubat ke pawang dan bidan yang handal , dinda tetap begini , sering batuk kering dengan kehadiran darah dan lemah badan seluruhnya.

Sakit sekali rasanya kanda , seperti dada Cempaka ini ditusuk dengan bilah keris apabila sakit itu datang. Dinda sejujurnya tidak sanggup menanggung sakit begini , namun memikirkan Kasturi dan Mawar setidaknya dinda mahu pergi setelah dinda yakin mereka mampu mandiri. Tetapi dinda sudah lama yakin mereka mampu untuk mandiri , dan dinda percaya anakanda kesayangan berdua itu akan menjadi orang hebat nanti. Kasihan apabila mengenangkan Kasturi dan Mawar yang sentiasa bimbang akan keadaan dinda.

Kanda ingat Putera Herman , cucu bongsu Sultan Mahmud II ? Sultan telah melantik anakanda kesayangan berdua menjadi pengiring teman sepermainan mereka itu setelah usia mereka menginjak sembilan belas tahun.

Begitu juga Badang putera kepada salah seorang teman akrab kanda dan Indera putera kepada Laksamana Mat Said , bapa angkat anakanda berdua kesayangan kita itu. Dinda harap , mereka yang sudah dinda anggap seperti anakanda sendiri dapat menemani dan menjaga anakanda kesayangan berdua itu setelah pemergian dinda.

Kekanda guntur ,

Sepurnama lepas Cempaka sangat bertaruh harap agar sekali sahaja mungkin , agar dinda diberi peluang untuk bertemu kanda sebelum dinda pergi untuk selamanya. Tuhan telah makbulkan doa dinda mungkin bukan di dunia sebenar , kerana Dia hantarkan kanda melalui mimpi yang hampir sepurnama sudah.

Entah bagaimana , dinda lihat kanda seolah - olah mengajak dinda untuk turut serta dengan kanda ke sesuatu tempat. Sayangnya sebelum ini dinda banyak kali menolak , dan setiap kali itu kanda menyerahkan sekuntum mawar putih dan berlalu pergi. 29 kuntum semuanya yang dinda sudah terima , dan anehnya semuanya berada tepat di sisi dinda tatkala dinda terjaga dari peraduan.

Kekanda Guntur,

Cempaka rindu , benar - benar rindu akan kanda kerana itu seusai subuh dinda terus menerus menulis warkah ini kerana rindu itu kali ini berat sekali dinda rasakan.Cinta dinda pada kanda juga tidak berubah, masih persis seperti awal - awal percintaan kita.Masih bermain di halwa dinda , puisi merdu yang kanda nyanyikan untuk dinda setiap kali kita bertemu di bawah pohon kelapa di Tanjung Mersing ketika kita berdua hangat bercinta.

Dinda masih simpan warkah dan puisi kiriman kanda .Sering sekali dinda bacakan untuk diri ini sebelum dinda beradu.Dinda sering tersenyum sendiri mengenang kisah cinta kita. Jelas di ingatan ini bagaimana titkala itu kanda dikejar almarhum ayah kerana disangka pencuri , sedangkan tika itu kanda cuma menghantar hadiah ulang tahun dinda melalui tingkap dapur rumah setelah berpulangan solat isyak dari surau lama.

Rantai mutiara buatan tangan kanda ? Masih Cempaka pakai dan tidak pernah dinda lepaskan.Begitu juga gelang perhiasan yang kanda pesan dari saudagar negeri cina itu , masih dinda pakai hingga hari ini.

Jika ditulis di warkah ini akan kenangan kita berdua ketika berkasih dulu , sukar akan dinda berhenti.Kelak mungkin dinda akan menulis sepanjang hari tanpa henti ditemani air mata apabila mengenang betapa indahnya masa yang dihabiskan bersama kanda dan betapa rindunya hati ini pada kekasih hati Cempaka , Kekanda .

Kekanda Guntur ,

Matahari juga sudah mahu terbit dari timur.Kenangan - kenangan kita berdua sudah dinda tulis diikuti warkah - warkah rindu dinda selama hampir sepurnama ini.Dinda tidak berniat untuk menghantarnya , kerana dinda tahu warkah - warkah itu kelak tidak akan sampai kepada kanda .

Tetapi tidak mengapa , setidaknya dinda tuliskan kenangan - kenangan kita agar dapat mengingatkan dinda jika terlupa.Semuanya bakal dinda ceritakan lagi kepada Kasturi dan Mawar kerana mereka gemar sekali mendengar dinda bercerita tentang kanda kerana mereka juga rindu akan Kanda.

Kekanda Guntur ,

Ingatan dinda sudah semakin pudar , dinda tidak lagi jelita seperti dahulu meski anakanda berdua kesayangan kita sering mengatakan dinda masih jelita.Sudah tumbuh garis - garis putih pada rambut dinda , kaki juga tidak kuat lagi melangkah meski usia dinda menginjak empat puluh tahun esok hari.Masih mahukah kanda pada dinda yang begini? Walaupun Cempaka tidak serupawan dahulu , dinda tetap Cempaka yang sama.Cempaka yang setia menanti kepulangan kanda.

Kekanda Guntur ,

Memanda Pawang negeri mengatakan semua terjadi disebabkan penyakit misteri yang dihidap dinda.Seperti yang dinda katakan , semakin hari dinda semakin lemah.Ingatan dinda juga sama melemah.

Bonda Putera Herman , Permaisuri Nur Nilam Sari telah mangkat tiga purnama lepas oleh asbab penyakit yang sama dan tidak mustahil dinda akan mengikut jejak langkah permaisuri bila - bila masa.

Tidak apa juga,kerana dinda tahu janji Tuhan itu pasti.Walau kita berdua tidak dapat bertemu di dunia ini , dinda harap sekali agar kelak kita bertemu di syurga.Seperti kata kanda pada dinda ,

"Kita berkasih hingga ke syurga."

Ah , benar rindu sekali Cempaka pada kekanda Guntur , terngiang suara kanda di telinga ini tidak berhenti dari kelmarin malam.Betapa rindunya jiwa dan hati ini pada kanda.

Kekanda Guntur ,

Nampaknya matahari sudah terbit , burung pagi juga sudah berkicau tanpa henti seusai dinda sembahyang subuh sedari tadi.. Ini warkah terakhir dinda tuliskan untuk kanda , kerana sudah tidak ada apa - apa lagi yang mampu dinda luahkan.Rindu dan cinta pada kanda juga akan dinda lunaskan hari ini , dengar dinda tujuh hari lalu akan ada kapal yang akan berlabuh esok hari. Dinda teruja apabila dikatakan kapal itu adalah kapal Awang Lima , Dinda harap benar berita yang dibawakan Laksamana Syukur itu , seperti mahu meledak jiwa ini dengan keterujaan dan perasaan yang terus membuak.

Oh ya kanda , Dinda berharap malam kelak kanda datang lagi melawat mimpi dinda , seperti tadi.Kanda tadi membawa senyuman yang manis sekali untuk dinda , dan seperti biasa mawar putih ada pada dinda sekarang.Mawar yang ke dua puluh sembilan , dan masih tertanya dinda bagaimana mawar - mawar ini ada di sini. Tidak mahu berfikir lebih - lebih , terima kasih atas pemberiannya kanda dan dinda suka sekali akan harumnya.

Kekanda Guntur ,

Cempaka tutup penghujung warkah ini dengan puisi yang dinda tulis khas untuk kanda , puisi ke dua puluh sembilan dinda karang untuk kanda.
Yang ketiga puluh , biar dinda sediakan tempat itu khas untuk kanda , apabila kanda pulang esok hari kita karang sama - sama ya ?

' Dua Puluh Sembilan '

Madali - madali jentayu
Menemani hati - hati yang merindu
Ditemani awan kelabu dan mendung yang sayu
Angin menyeret dingin berpapasan dengan bayu

Banyak purnama , banyak zaman pun
Akan terus di sini menunggu
Meski setiap harinya dihujani rindu
Hati Cempaka tetap milik yang disitu
Kekanda Guntur ku.

Salam rindu dan sayang ,

Isterimu Cempaka Anum.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience