SHORT STORY

Mystery Completed 390

“HELLO, guys! Welcome back to my channel. Seperti biasa.. hari ni hari Isnin, kan? Kita masuk segmen... Duk. Duk. Duk. Dah bunuh siapa hari ni? Korang teruja tak?” Aku tersenyum sambil mata membaca satu persatu komen di skrin komputer.

“Seronok.”

“Tak sabar.”

“Kak El, cepatlah cerita.”

Aku ketawa kecil. “Comel betullah korang ni. Okey. Okey. Kita teruskan. Hari ni kita baca cerita yang dihantar oleh Lemondotcom. Bertajuk... dia yang minta.” Mata aku bertemu dengan lensa kamera.

“Wuu... tajuk cerita pun dah seram. Nia, bukan nama sebenar. Aku dan dia berkawan dah lama. Sejak daripada zaman sekolah lagi. Nia ni boleh dikatakan lawa, lemah lembut. Boleh dikatakan perfect calon menantu la. Berbanding dengan aku yang agak nerd. Tak semua orang suka.” Satu persatu ayat yang terpapar di skrin Ipad aku baca.

“Tapi, di sebalik kesempurnaan itu... Nia ada satu sikap yang orang lain tak tahu. Hanya aku saja yang tahu. Iaitu... obses dengan bunuh diri. Nia ni suka tengok dokumentari jenayah. Pasal bunuh-bunuh. Itu semua kegemaran dia. Lama-lama dia jadi obses. Dia nak rasa semua tu.” Sebelah alis aku terangkat. Komen di skrin monitor aku kerling sekilas. Masih menderu naik seperti tadi.

“Pernah sekali dia kelar tangan sendiri di dalam bilik tidur. Nasib baik masa itu mama dia masuk bilik. Nia dapat diselamatkan. Walaupun, masa tu dia sudah kehilangan banyak darah. Sejak dari itu, Nia tak habis-habis cuba membunuh diri. Pernah dia cuba terjun dari tingkat tiga. Tapi, dia bernasib baik juga... kecederaan yang dia alami hanyalah patah kaki.” Jari telunjuk aku terhenti dari menggesek skrin Ipad.

Kamera aku pandang semula. “Ada juga ya orang macam ni. Korang dekat luar sana... kalau sama macam Nia ni... please seek help. Okey kita sambung.” Layar skrin Ipad aku pandang semula.

“Lama-kelamaan Nia macam bengang. Kali ni dia cuba libatkan aku. Dia minta aku kurung dia dalam satu bilik stor. Nota untuk semua yang bilik stor tu hanya di belakang rumah Nia. Bilik tu kecil. Kedap udara. Nia minta aku bakar arang kemudian, letak di dalam satu bekas. Nia tak boleh buat tu seorang diri sebab dia tengah cedera. Wait.” Aku terkedu. Skrin Ipad aku tenung beberapa saat. Otak aku cuba memproses apa yang baru lepas aku baca.

“Jadi, maknanya... tak lama lepas kaki dia patah... dia cuba nak bunuh diri lagi?” Lensa kamera aku pandang. “Man. She’s crazy... crazy.” Kepala aku gelengkan perlahan. Hujung telunjuk aku gesek semula skrin Ipad.

“Pada mulanya aku tolak. Tapi, Nia janji nak bagi aku duit. Dua ribu ringgit. Dia tahu aku terdesak. Sangat memerlukan duit memandangkan kerja part time pun tak cukup untuk aku cover makan dan minum. Biasalah studen kan. Banyak duit nak pakai. Jadi, aku terpaksa setuju.” Air liur aku telan. Bagaikan pasir. Kesatnya bukan main.

“Malam Khamis... aku pergi ke rumah Nia. Masa tu, parents Nia tak ada di rumah. Nia bawa aku ke bilik stor yang dia katakan. Arang aku letakkan ke dalam satu bekas. Macam bekas tong sampah. Aku hidupkan api. Jadi, asap pun mula berkepul-kepul dalam stor tu. Nia terus halau aku keluar selepas dia bagi satu sampul yang isi dia sangat tebal. Dalam tu ada duit. Berisi dua ribu ringgit.”

“Lepas malam tu, aku terus tak dihubungi oleh Nia langsung. Dua hari selepas tu, tiba-tiba kecoh dekat U yang Nia dah mati sebab bunuh diri. Sudah semestinya aku terkejut. Tapi, tak terkejut seperti mereka yang lain. Sebab dah dia yang minta. Aku hanya ikut. Sekian daripada Shua bukan nama sebenar.” E-mel daripada Lemondotcom aku keluar. Mata aku beralih pada monitor semula. Satu persatu komen aku baca.

“Kalau betul kes ni... bukan dah jadi kes bunuh ke?” Aku angguk. “Betul. Jadi kes bunuh. Tapi, tu la... tak ada bukti. Saksi pun tak ada. Kasihan dekat parents Nia la.”

“Nia tu pun satu. Dah kenapa nak mati sangat? Dah lama hidup ke apa?” Dahi aku berkerut ketika baca komen itu. Geram. Sungguh aku pun geram. “Kan. Entahlah. El pun tak faham dengan orang macam tu.”

Komen masih lagi banyak. Viewer rancangan podcast aku banyak menyuarakan rasa tidak puas hati mereka. Lensa kamera aku tenung. Riak serius aku tayangkan.

“Korang dekat luar sana jangan sesekali jadi macam Nia dan kawan dia ni. Pengajaran yang boleh kita ambil adalah... jangan sesekali obses dengan benda yang boleh membahayakan diri. Bunuh diri bukan jalan penyelesaiannya. Please. El merayu sangat-sangat. Siapa yang ada masalah... please seek help. Okey?” Nafas berat aku hembus.

“Okeylah. Masa kita pun dah habis. Nanti kita jumpa lagi. Di waktu dan hari yang sama. Duk... duk... duk... is signing out. Bye.” Tangan aku melambai pada lensa kamera. Usai itu, rakaman aku matikan.

Aku menghembus nafas lega. Tetikus aku tekan sekali gus keluar dari aplikasi Discord. Selepas menutup semua setup rakaman, aku membawa Ipad keluar dari ruang bilik kerjaku. Anak mata aku bertemu dengan kakak sulungku, Dina yang kebetulan baru balik dari kerja.

“Yo.”

“Yo. Baru habis buat live ke?” soalnya sambil menanggalkan stoking di kaki. Kasut tumit tingginya diletakkan di atas rak kasut. Dia sudah lali dengan kegiatanku di rumah setiap hari Isnin.

Aku angguk seraya melabuhkan punggung di atas sofa. Ipad di tangan aku letak di atas meja kopi. Kaki aku lebarkan. Melepaskan rasa penat badan. Muka aku raup. Dalam masa yang sama, aku rasa henyakan di sebelah. Dina berada di situ sambil menanggalkan beg sandangnya.

“Cerita apa kau baca kali ni? Pasal bunuh?” tanyanya tanpa menoleh ke arahku. Dua matanya terpaku pada siling ruang tamu.

Aku angguk. Kepala aku mendongak. Sama sepertinya. Mata aku fokuskan pada permukaan warna krim itu. Nafas berat aku hembus.

“Aku baca pasal orang yang obses dengan bunuh diri.”

“Ada juga orang macam tu.”

“Ada la kut. Entahlah. Mungkin ada. Mungkin tak ada. Kita tak tahu. Sebab dunia ni luas, kan. Kerja kau hari ni macam mana? Okey ke?” Dina aku lirik dari ekor mata. Sebelah bahunya terangkat.

“Macam tu aje la. Hari ni dapat kes perempuan usia 21 tahun dijumpai dekat rumah. Bunuh diri.” Dia balas dengan nada yang sedikit mendatar. Mungkin terkesan sedikit dengan kejadian itu.

Dina jarang menunjukkan perasaannya. Bekerja bahagian Forensik buatkan hati dia dah semakin lali dengan kejadian-kejadian begitu. Mungkin sebab gadis itu muda lagi. Itu yang dia rasa lain. Mungkin...

“Dah la. Aku nak mandi. Kejap lagi kita makan sama.” Dia menepuk lembut paha kiriku lalu bangun dari sofa. Langkah kakinya terhenti. “Sekejap lagi aku nak oder Grabfood. Kau nak apa-apa tak?”

Aku sengih comel. Kepala aku angguk. “Nak. Nak KFC. Snack plate. Kau belanja tau. Boleh tak?”

Dia memutarkan matanya ke atas. “Ya la. Ya la. Oder dulu. Nanti aku bagi duit,” pesannya seraya sambung langkah. Beredar menuju ke kamar tidurnya.

“Yes!” Laju tangan aku mencapai Ipad. Aplikasi Grab aku buka sambil bersiul kecil.

“HARI ni cerita kita bertajuk... dah aman, kan? Aku ada seorang jiran. Kita panggil dia Cik Ani. Seorang perempuan tua dalam usia 60- an. Dia ni boleh dikatakan seorang mak dan nenek yang jahat. Kenapa aku kata macam tu? Boleh dikatakan setiap hari dia akan bertekak dengan anak-anak dan cucu-cucu dia. Kadang-kadang tengah malam pun dia akan cari pasal dengan famili dia. Setiap hari ada isu kecil yang sengaja dia perbesar-besarkan.” Aku berjeda seketika. Rambut aku tolak ke belakang. Skrin Ipad aku sambung gesek.

“Kami duduk di kawasan perkampungan. Tahu aje la rumah kampung macam mana. Rapat. Jiran bergaduh pun kita boleh dengar. Sehingga kadang-kadang aku boleh terjaga sebab dia bertekak dengan anak-anaknya. Tidur pun terpaksa bertutupkan bantal.” Nafas berat aku hembus. Kepala aku menggeleng perlahan. Geram. Ya. Itu yang rasakan pada ketika itu.

Lensa kamera aku pandang. “Lain macam ea perangai mak cik ni. Fuh!” Skrin Ipad aku tekan. Sambung membaca.

“Sehingga la satu masa... aku terdengar bunyi jeritan pada tengah malam. Macam biasa aku tekap telinga dengan bantal. Tapi, kali ni bunyi jeritan tu lama-lama lain macam bunyinya. Seperti orang minta tolong pun ada. Aku pun apa lagi... bangun cepat-cepat pergi ke tingkap. Di sebabkan bilik aku tidak jauh dari pintu belakang rumah Cik Ani, aku boleh nampak anak lelaki Cik Ani... Kerol bukan nama sebenar seret keluar sesuatu yang dibalut dengan tikar mengkuang.” Aku terjeda seketika.

Kepala aku sengetkan sedikit. “Mustahil anak dia bunuh mak sendiri, kan?” Monitor aku pandang. Komen aku baca.

“Boleh jadi El. Orang kalau dah marah, macam-macam boleh dia buat,” komen Matdriver.

“Mak kalau hari-hari bising macam tu... siapa aje yang suka?” Unadostes pula komen.

“Tapi kan dia mak. Tergamak ke kita nak buat macam tu?” soalku seakan berbisik. Pelipis aku garu perlahan. Skrin Ipad aku pandang semula. Cerita yang dihantar oleh Lemondotcom aku sambung baca.

“Semasa Kerol tarik tikar mengkuang tu, aku perasan tiba-tiba ada satu tangan keluar dari celah tikar tu. Masa tu juga aku nampak ada kesan darah dari muka pintu dapur sehingga ke atas rumput. Aku tak tahu nak buat apa masa tu. Tapi, mungkin masa tu Kerol ternampak aku mengintai dia... pandangan mata kami bertembung. Terus dia tersenyum lalu buat isyarat suruh aku tutup mulut. Aku apa lagi... terduduk la. Cuak habis. Aku terus naik katil semula. Siap berselubung. Keesokan harinya, aku demam panas.” Jari telunjuk aku tolak ke atas.

“Sepanjang aku demam, aku jalani hari dengan tenang. Tiada lagi jeritan dan pertengkaran di rumah Cik Ani. Mungkin semuanya sebab Kerol. Selepas seminggu berkurung di rumah, akhirnya aku mula bekerja. Dan masa aku kunci pintu pagar, aku terserempak dengan Kerol. Dia siap tersenyum manis pada aku. Semasa kami berselisih sempat dia berkata perlahan... dah aman, kan? Aku hanya mampu angguk. Sekian. Daripada Que, bukan nama sebenar.” Ipad aku alihkan ke tepi. E-mel daripada Lemondotcom aku keluar.

Mata aku pakukan pada lensa kamera. Kedua belah tangan aku cantumkan. Nafas aku tarik panjang.

“El tak tahu nak komen apa pasal ni. El ada tiga versi. First, kalau El jadi Que, El memang akan berterima kasih la kepada Kerol sebab dah ‘bagi’ keamanan pada kawasan tu. Second, Que sepatutnya laporkan pada polis tentang jenayah yang dilakukan oleh Kerol. Lastly, tergamak seorang anak bunuh mak dia? El macam tak boleh nak fikir. Ya la buruk baik pun tetap mak kita kan,” ujarku sambil mata membaca komen di skrin monitor. Komen viewer aku baca.

“Memang buruk baik mak kita. Tapi, kalau dah hari-hari asyik bergaduh siapa aje yang tak stress, El.” Komen seorang viewer. Nateberuk namanya.

“Betul. Tapi, tu la. Jenayah tetap jenayah,” balas Stargirl.com. Viewer lain.

“Betul tu, stargirl. Apa-apa pun, ini semua hanya rekaan. Bukan betul. Relax semua. Setiap orang ada pendapat masing-masing. Jam pun sudah menunjukkan pukul 10 malam. Nanti kita jumpa di hari yang sama dan waktu yang sama. Duk... duk... duk is signing out. Bye.” Tangan aku lambaikan di depan kamera. Live aku tamatkan.

Ketukan pada pintu aku dengar ketika aku sedang menutup suis komputer. Daun pintu bilik kerjaku dibuka dari luar. Dina muncul dengan pijama sudah tersarung di badan. Plastik Sushi King ada di tangannya. Sambil tersenyum lebar aku menghampirinya bersama Ipad.

Aku bersila bertentangan dengan Dina. Penuh sabar aku menunggu dia keluarkan kotak bungkusan sushi. Bekas kicap dan wasabi aku buka sebelum aku gaulkan sehingga sebati. Lagi enak dinikmati begitu. Aku dan Dina memang kuat pedas. Setakat pedas wasabi. Celah gigi aje.

Satu sushi salmon aku ambil. Aku masukkan ke dalam mulut setelah dicicah dengan campuran kicap dan wasabi. Mata aku terpejam. Sedapnya!

“Makan perlahan-lahan, El. Tak lari mana pun sushi ni. Aku beli banyak,” tegur Dina sambil mematahkan chopstick. Aku dijeling tajam. Tanda amaran. Satu sushi tamago dimasukkan ke dalam mulut.

Aku tersengih malu. “Baik, kak. Nak coca-cola ke pepsi?”

“Pepsi zero.”

“Okey.” Aku terus bangun dari bersila. Pintu peti sejuk aku buka. Dua tin pepsi zero aku ambil sebelum kembali semula ke tempatku. Satu tin aku buka. Aku letakkan di sebelah bekas sushi Dina.

“Thank you,” ucapnya dengan mulut yang penuh. Chopstick diletakkan di dalam bekas. Tin pepsi zero dibawa ke mulut. Penuh rakus dia menelan air itu.

Aku hanya mampu menggelengkan kepala. “Kerja okey ke? Stress aje aku tengok kau ni.” Bahagian pembuka tin aku tarik ke atas. Air gas itu aku teguk. Lega seketika tekak aku yang kering. Satu lagi sushi aku sumbat ke dalam mulut.

Dina menggeleng. Tin diletak bersama satu nafas berat. Mulutnya yang sedikit basah dilap dengan belakang tapak tangan. Chopstick dipegang semula.

“Hari ni ada kes... mayat seorang mak cik dijumpai di belakang rumah. Mayat mak cik tu dah berusia sebulan. Siapa yang jumpa? Penyewa. Siasat punya siasat. Suspek utama adalah anak dia sendiri. Kau boleh bayang tak... tegar tau anak dia balut mayat mak dia dalam tikar mengkuang. Then, tanam macam tu. Sadis betul.”

Kunyahan aku terhenti. “Kau... kau cakap apa tadi? Mayat dia dibalut dengan tikar mengkuang?”

Dina angguk. “Haah. Anak dia bunuh mak dia dalam rumah. Then, mayat tu dia tanam dekat belakang rumah. Kenapa? Aku ada salah cakap ke?”

Chopstick aku letak di dalam bekas. Selera aku dah mati. Cepat-cepat aku mencapai Ipad yang berada di sebelah. E-mel Lemondotcom aku cari. Ipad aku hulurkan pada Dina. Bibir bawah aku gigit.

“Apa ni?” soal Dina keliru. Aku dipandang dengan sebelah alisnya ternaik.

“Bacalah cerita tu. Cerita tu... aku baca untuk live hari ni. Sama, kan?”

Dina diam. Tetapi, matanya bergerak. Membaca setiap isi e-mel yang dihantar oleh Lemondotcom. Setelah beberapa minit, dia menggelengkan kepala.

“Nampak sama. Tapi, bukan. Mak cik tu dikerat. Yang dalam cerita ni tak. Lagi pun, cerita yang dihantar ni kan hanya rekaan. Bukan betul pun.” Dina pulangkan semula Ipad pada aku. Sushi salmon dikepit sebelum masuk ke dalam mulut.

“Manalah tahu. Kalau cerita ni betul macam mana?” Dua kening aku angkat.

Dina menggeleng. “Tak betul. Penyebab pun dah lain. Mak cik ni kena bunuh sebab anak dia penagih. Tak bagi duit. Bukan sebab dia asyik bergaduh. Tu la... banyak lagi baca cerita-cerita macam ni, kan dah tak betul otak tu.” Sedas dia memperli aku. Siap menjeling tajam lagi.

Aku mendengus kecil. Mata aku putarkan ke atas. “Suka hati aje kata macam tu. Ini sumber pendapatan aku tau.”

“Ya. Aku tahu. Okey. Kalau cerita ni betul pun... kau nak buat apa? Laporkan pada polis ke?” Dina memandang aku dengan kerutan di dahi. Riak tidak puas hati ditayangkan padaku.

Aku tersenyum seraya menggeleng. “Tak. Aku nak tanya si Lemondotcom ni mana dia dapat cerita-cerita macam ni. Kalau betul dia reka cerita ni... aku boleh upah dia jadi storyteller untuk segmen aku. View pun naik. Untung pun banyak.”

“Ikut kau la, El. Aku malas nak ambil tahu. Asalkan apa yang kau buat tak membahayakan kau,” balas Dina pasrah. Tin pepsi zero diambil. Baki air pepsi diminum.

Aku hanya tersengih seperti kera sumbang di depannya. Sushi tamago aku kepit lalu sumbat ke dalam mulut.

REFRESH aku tekan buat kesepuluh kali. Skrin komputer loading. Perlahan-lahan aku menolak tetikus ke bawah. Kelopak mata aku kecilkan. Mencari nama Lemondotcom. Masih tak jumpa. Badan aku sandarkan ke kerusi. Kecewa merajai hati aku pada ketika itu.

Masuk hari itu sudah hampir sebulan aku tidak terima emel daripada Lemondotcom semenjak kes Que. Aku ada juga menghantar e-mel kepada Lemondotcom tentang tawaran yang aku bicarakan pada Dina. Tetapi, masih tidak berbalas.

Ting.

Bunyi telefon pintarku kedengaran. Menandakan satu pesanan Whatsapp masuk. Nama Dina terpapar di skrin telefon. Ikon Whatsapp aku sentuh. Terus terpapar di layar skrin ruang perbualan antara aku dan Dina.

Malam ni aku tak balik. Mungkin esok pagi baru balik. Duit makan aku dah bank-in. Jangan tak makan. – Dina.

Okey. Thank you. – El.

Telefon pintar aku letak ke tepi. Baru saja aku mahu angkat punggung, terus komputer aku berbunyi. Emel masuk. Mata aku membuntang. Mahu saja aku melompat pada ketika itu. E-mel daripada Lemondotcom muncul di situ. Laju aku membuka e-mel itu.

Hanya ada cerita.

Tiada balasan untuk e-mel tawaran aku.

Hampa. Sudah semestinya. Muka aku raup. Jam di skrin monitor sudah menunjukkan pukul 9:00 malam. Sudah tiba waktunya aku mulakan live. Selepas setup semua barang, aku duduk semula di atas kerusi.

“Hello, guys. Welcome back to my channel. Kita kembali ke dalam rancangan... duk... duk... duk... dah bunuh siapa hari ni? Kali ni kita dapat e-mel daripada orang yang kita semua tunggu-tunggu. Siapa lagi kalau bukan... Lemondotcom. Korang semua mesti tak sabar, kan? Baiklah. Tajuk hari ni adalah kakak.” Bibir aku mencebik sedikit. Lensa kamera aku lirik sekilas.

“Aku ada seorang kakak. Nama dia D, bukan nama sebenar. D ni seorang yang baik, penyayang sama la seperti kakak-kakak yang lain. Hubungan kami agak akrab. D ni kerja bagus. Dia kerja bahagian forensik. Setiap kali balik rumah mesti ada cerita yang dia ceritakan padaku. Dan semuanya best. Aku pula memang jenis yang gemar dengan cerita-cerita macam tu. Jadi, aku dengar aje la.”

“Tapi, ada la sesekali aku dan kakak bertengkar. Ya la. Aku duduk di rumah. Aku suka buat video. Buat live di Discord. Pernah kakak kata yang kerja aku ni tak ada faedah langsung.” Aku mendengus sinis. Kepala aku geleng. Sudah semestinya aku tidak puas hati dengan kenyataan itu.

“Sehingga kadang-kadang aku tekad dekat diri... aku nak bunuh kakak aku sendiri. Nampak jahat, kan? Tapi, tu la apa yang aku rasa. Aku tertekan. Sehingga la satu malam... kakak kata yang dia balik lambat. Sebab kerja. Jadi, aku tak rasa apa la. Aku buat video macam biasa. Tiba-tiba keesokan harinya, mayat kakak dijumpai di belakang bangunan tempat dia kerja. Kakak bunuh diri. Dekat tangan kakak ada nota bertulis... kau tak akan jumpa aku. Sekian. Cici bukan nama sebenar.”

Nafas berat aku hembus. Perasaan aku berbaur. Lensa kamera aku pandang.

“El tak ada komen pasal ni. Sedih. Mesti adik dia rasa serba salah. Pengajaran yang boleh kita ambil adalah... jangan terlalu membenci. Nanti kita menyesal. Okey la. Kita berjumpa di masa akan datang. Duk... duk... duk is signing out. Bye.” Live aku matikan.

KETUKAN pada pintu buatkan aku berlari anak. Daun pintu aku buka. Muncul seorang polis lelaki. Dahi aku berkerut.

“Ini rumah Cik Dina ke?”

“Ya, saya. Encik ni siapa? Kenapa cari kakak saya?” Aku memandangnya curiga.

“Dukacita dimaklumkan Cik El... Cik Dina dijumpai di belakang bangunan kerja. Cik Dina disyaki bunuh diri.”

Satu berita yang buatkan dunia aku gelap pada ketika itu. Aku terduduk di atas lantai. Nafas aku tersekat. Aku menggeleng. Tidak percaya. Lelaki itu menghulurkan satu kertas bertompok darah.

“Kami jumpa ni di tangannya.”

Keratan kertas itu aku buka. Nota itu bertulis.

Kau tak akan jumpa aku.

“Ahhh!” Aku menjerit sekuat hati. Melepaskan rasa di dada.

TAMAT

Terima kasih sudi bacaaaa

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience