BAB 1

Drama Completed 1705

Sepatutnya malam itu akan ada gerhana bulan. Cicak yang lalu lalang selang beberapa saat itu tiba-tiba jatuh ke atas meja warna perak berkilat. Lalu, lamunan yang sudah jauh ke tanah seberang itu pecah.

Kelepek. Cicak seekor itu berjalan laju, meninggalkan ekornya yang masih terloncat-loncat. Dengan malas, jari diangkat menjentik ekor itu ke bawah meja. Esok sahajalah disapu, fikirnya.

Dalam otaknya masih ligat dengan satu persoalan. Berfikir tentang sebab Papa tidak izinkan dia menyambung PhD. Sudah dikhabarkan yang dia akan tetap tinggal di rumah, menemani Papa. Bukan jauh mana universiti itu dengan rumahnya. Buka pintu sudah terjongol atap perpustakaan.

Telefon bimbit atas meja yang sedang bercaj diambil, membuka mesej perbualan bersama Papa petang tadi.

Tak boleh. Ini final.”, taip Papa berserta tanda seru.

Tingkap bilik yang dibuka luas itu membiarkan wajah bulan yang sudah separuh tertutup terbias pada tingkap. Penat berfikir, dia mengangkat kaki atas kerusi dan memeluk lutut. Leka dia perhatikan bulan itu tertutup.

Ada cahaya yang mula membesar terbentuk daripada biasan pada cermin. Semakin besar dan besar hingga dia menjadi silau. Cahaya terang. Terang sekali sebelum dia membenam wajah dalam pelukan pada lutut. Lama.

“Allana, gosok gigi dulu.”, bahunya digoyang orang perlahan. Televisyen siaran rosak dimatikan Papa. Papa menekan butang warna hitam besar pada televisyen lalu televisyen menjadi gelap. Sunyi rumah itu.

Kemudian ada bunyi kereta masuk ke halaman, diikuti lampu kuning terik. Lengannya diangkat menutup muka. Terjuntai gelang sementara warna putih ‘Wetworld-Kid Ticket’ pada pergelangan tangan.

Dibacanya tulisan itu penuh keliru sebelum lampu terpadam. Bunyi tapak kasut tumit tinggi menapak mendekati rumah. Ketak, ketuk, ketak, ketuk. Pintu terbuka, terjengul tubuh seorang wanita.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience