- Citt! -
Terdengar suara dari basikal berwarna biru tua milikku berdecit kuat.
Aku baru sahaja sampai di sekolah untuk belajar seperti biasa. Sudah kebiasaanku untuk berdikari ketika pergi ke sekolah seorang diri, memandangkan ayahku sibuk bekerja manakala ibuku pula suri rumah sepenuh masa.
Sesampai sahaja di parkir perkarangan sekolah bagi pelajar di bahagian hadapan, aku meletakkan basikal kesayanganku di hujung sudut basikal dan kenderaan bermotor seperti motorsikal. Aku mengerling ke arah jam tangan berwarna biruku yang aku pakai. Jam baru sahaja menunjukkan pukul 7:10 pagi.
Seusai itu, aku meneruskan perjalanan ke kelasku, yang terletak di bahagiaan atas bangunan di bahagian blok A, akademik.
Sekolah menengah yang aku datangi ini merupakan sekolah menengah baruku, setelah aku berpindah dari sekolah menengah lamaku atas alasan tempat bekerja ayahku telah bertukar. Sudah dua minggu aku bertukar ke sekolah ini.
Dahulu, di sekolah lama aku, penulis Mazni Aznita atau Anita Aruszi pernah mengajar aku mata pelajaran subjek Sains. Kelasku yang terdahulu memanggilnya Teacher Mazni. Beliau sangatlah sporting dan baik hati. Lebih-lebih lagi, aku pernah berbicara dengannya serta memuji hasil karya novel beliau yang sangat bagus dan popular dari kalangan pembaca novel.
Aku menaiki tangga menuju ke kelas Tingkatan 2 Alpha bagi meletakkan beg sekolah milikku. Selesai sahaja sampai di kelas, aku menuju ke tempat duduk di bahagian tengah dan meletakkan beg yang kugalas di belakang badan.
"Eh Sofea, awal betul kau datang."
Aku memandang ke arah suara yang memanggil dan berbicara denganku.
'Oh, Lina rupanya.'
Rina merupakan kawan sebangku yang duduk di sebelah tempat duduk aku. Sepertinya dia baru sahaja sampai ke kelas.
"Hai Lina, haah awal sebab aku bangun awal pagi tadi."
Aku memandang Lina sambil tersenyum.
"Oh..macam tu." Lina hanya mengangguk dan meletakkan beg lalu duduk di sebelah aku.
Lina merupakan kawan pertama yang aku ada sejak aku berpindah ke sekolah baru ini. Boleh dikatakan dia agak peramah kerana dia orang pertama yang menyapa aku di dalam kelas sejak pertama kali berjumpa.
Aku merupakan seorang introvert, pendek kata, aku merupakan orang yang pendiam. Di rumah aku sangatlah ramah dengan ibu bapa dan keluargaku, tetapi masuk sahaja ke sekolah, aku terus jadi orang yang tidak banyak bercakap dan lebih suka buat hal sendiri.
Namun, apabila aku mengenali Lina, aku banyak bercakap dan berbicara dengannya oleh kerana sifatnya yang easy-going dan boleh diajak berbicara. Sikapnya itu menenangkan aku yang merupakan seorang pendiam. Jadi, aku tidak berasa kekok tatkala bercakap dengannya.
Lucu apabila mengingatkan hari pertama aku bercakap dengan Lina.
Ketika itu, satu-satunya kerusi yang kosong adalah tempat duduk yang ada di sebelah Lina. Selesai sahaja pengenalan guru kelas ke atas diriku yang baru sahaja berpindah, aku terus duduk di kerusi disebelahnya.
Ketika itu, tiada seorang pun yang menghampiri untuk bercakap dengan aku oleh kerana penampilanku yang tidak menarik. Namun..
"Hi, selamat berkenalan. Saya Wan Sharlina Adriana. Panggil saya Lina saja. Nama awak Deniala Nur Sofea ya. Kalau saya panggil awak Sofea, boleh?"
Aku yang ketika itu tidak mengenali sesiapa hanya mengangguk dan berbicara sepatah. "Boleh."
Lina hanya tersenyum sambil memandangku yang menjawab soalannya pendek.
Sejak hari pertama itu, Lina banyak berbicara denganku yang merupakan seorang yang pendiam. Aku hanya menjawab seadanya sahaja kerana aku tidak begitu mengenalinya.
Namun, suatu hari, aku pernah terlupa membawa wang saku sekolah.
'Aduh, aku lupa nak bawak duit belanja! Macam mana ni?'
Ketika aku risau tika itu, aku memutuskan untuk tidak keluar ke kantin untuk rehat.
Lina yang ketika itu baru sahaja bangkit daripada tempat duduknya memanggilku, "Eh Sofea, awak tak rehat dan pergi makan ke?"
Aku tersangatlah malu apabila ditanya soalan sebegitu. Sebab takkanlah aku nak jawab lupa bawa duit belanja pulak kan? Aku sebenarnya tak suka kalau orang kesiankan dekat aku disebabkan perangai aku yang lupa.
Aku memandang Lina seraya mengelengkan kepala beberapa kali. "Ah, haah, saya tak rehat harini, dah makan pagi tadi."
'Maaf Lina, aku terpaksa menipu.' Bisikku di dalam hati.
Lina hanya memandangku dan mengangguk tanda faham. "Oh macam itu, baiklah. Saya pergi rehat dulu tau. Bye Sofea."
Aku hanya melambai-lambaikan tangan sambil tersenyum melihatnya pergi. "Bye."
- Kriuk~ -
'Alamak, bunyi apa tu?'
Aku memandang perut aku. 'Aduh, asal perut aku bunyi lapar pulak ni. Nasib Lina tak dengar...'
Selepas itu, aku melihat ke arah pintu. 'Mujur Lina sudah pergi rehat.'
Aku bersyukur kerana di dalam kelas ketika itu tiada orang kerana masing-masing sudah pun keluar membeli makanan. Kalau orang mendengarnya, aku sudah malu sehingga tidak tahu mana mahu sorokkan muka aku ni.
Semasa aku termenung sendirian, aku hanya mengosok-gosok perutku sambil meredakan perasaan lapar yang dirasa. 'Nasib kau la perut kena berlapar harini.'
Tiba-tiba...
"Sofea! Saya belikan awak makanan!"
"Oh mak kau jatuh tergolek!"
Lina menyergahku dari belakang dan memberikan nasi lemak yang sudah dibungkus serta air kotak Strawberi.
Aku menutup mulutku dengan pantas. 'Alamak, terlatah la pulak!'
"Eh Sofea, awak melatah ya bila terkejut? Hahaha!"
Perasaan segan mulai hadir dalam diriku apabila melihat Lina tertawa. 'Aduh....'
Aku menekup mukaku dengan tangan sambil mengalihkan pandangan ke sisi. "Haah. Melatah..."
'Oh Lina..Kenapa masa ni jugak kau buat aku terkejut.'
Selepas itu, aku menyedari makanan yang telah diletakkan di atas mejaku. "Eh Lina..apa ni? Susah-susah awak je belikan. Saya tak lapar pun."
"Ambil je Sofea, anggap je saya belanja awak. Hehe." Lina yang ketika itu sudah habis ketawa hanya tersenyum dan tangannya meletakkan nasi lemak itu di hadapan aku.
"Eh tak apalah Lina." Aku menolaknya sekali lagi. Malu la kalau orang bagi macam ni. Aku tak biasa kalau orang belanja makanan.
"Sofea ambil jee.." Ujar Lina sambil menayangkan nasi lemak dan air kotak itu di hadapan mataku.
Aroma bau nasi lemak dari daun pandan itu membuatkan aku terliur.
- Gulp. -
Aku menelan air liur aku perlahan. 'Aah sudah. Nampak sedap pulak nasi tu...'
Tak lama selepas itu, aku menganggukkan kepala kepada Lina yang disebelah aku. "Alhamdulillah, rezeki. Kalau macam tu terima kasih tau Lina!"
Lina hanya tersenyum. "Sama-sama. No problem, hehe."
Sejak hari itu, Lina selalu membantu aku dalam pelbagai hal. Contohnya, aku terlupa bawa buku teks, dia akan berkongsi bukunya denganku. Ketika aku hampir dimarahi guru sebab tidak dapat menjawab soalan, Lina tolong menjawabkannya bagiku. Ketika hari yang sedang hujan di sekolah, Lina memberikan payungnya yang lebih kepadaku.
Lama-kelamaan, aku serasi dan terbuka hati untuk menerimanya sebagai rakan rapat aku. Dan sekarang panggilan 'saya' dan 'awak' juga telah bertukar menjadi 'aku' dan 'kau'.
"Fea! Fea!"
"Deniala Nur Sofea!"
Lamunan aku terhenti apabila menyedari yang Lina duduk disampingku telah memanggil aku beberapa kali sambil melambaikan tangannya di hadapanku.
"Ha? Err..kenapa?"
Aku memandang dan menjawab panggilan Lina dengan perasaan gugup. Kantoi termenung, hahaha.
"Kenapa apanya? Aku ajak kau pergi perhimpunan pagi ni sama-sama. Ni mesti sebab kau termenung lama macam biasa ni. Ish, ish, ish."
"Hehehe, maaf, maaf. Alah, biasalah. Jom pergi sekarang, Lina." Aku mengajak Lina pergi ke perhimpunan seraya bangkit dari tempat duduk.
Lina juga mulai memanggilku dengan panggilan 'Fea' dari namaku 'Sofea'. Aku juga mulai memanggilnya Lina dan menganggapnya kawan baik aku.
Cuaca di luar juga kelihatan samar-samar cerah dengan matahari mulai terbit dari timur.
"Jom!"
*****************************************
Share this novel