Miya sendirian apabila Adam ke pejabat pagi itu. Adam dan Hafiz terpaksa mengambil alih semua kerja Miya sementara Miya di hospital.
Merenung siling, Miya memutar semula kehidupannya selama setahun ini. Bermula dari dia dikejar lintah darat, kemudian bertemu Adrian dengan cara yang tidak terduga, Adrian membantunya, lalu perkahwinan ini pun terjadi. Perkahwinan yang awalnya untuk saling memanfaatkan antara satu sama lain, berpegang kepada satu perjanjian untuk menamatkannya dalam tempoh setahun, tetapi menjadi bersimpang siur sehingga sulit untuk menemui pangkal jalan.
Fikirnya tempoh setahun itu akan berlalu dengan cepat. Menjadi isteri rahsia Adrian, membantu lelaki itu mendapatkan hak penjagaan anaknya, selepas itu bercerai. Dia akan mendapat rumah dan wang sejuta. Adrian pula mendapat Lora. Tetapi nyatanya jalan yang perlu dilalui tidak semudah yang dia fikirkan. Entah bila dan bagaimana, dia terperangkap dengan rasa cintanya pada Adrian. Dia tidak tahu sebabnya, tetapi layanan Adrian di awal perkahwinan mereka dulu benar-benar membuat dirinya terasa dihargai dan dilindungi.
‘As long as you’re my wife, you’re my responsibility.’ Kata-kata Adrian itu melekat kuat dalam benaknya sehingga setiap kali dia mengingatnya, dia akan tersenyum.
Dia dibesarkan oleh lelaki yang tidak pernah tahu erti tanggungjawab. Baik sebagai suami atau sebagai ayah. Lelaki yang tidak pernah menunjukkan peranannya sebagai seorang ketua keluarga. Bicaranya kasar dan memaki hamun. Sepak terajang menjadi makanan harian dia dan ibunya. Tidak ada sehari pun zaman kanak-kanaknya berlalu dengan indah. Tidak ada. Saban hari dia menghitung detik untuk keluar dari rumah itu. Dia belajar. Walaupun kelengkapan sekolahnya tidak pernah cukup dan sentiasa perlu meminjam, namun dia tebalkan muka. Dipujuk dirinya yang semua itu akan berlalu dengan cepat; meyakinkan dirinya yang dia akan berhasil melaluinya. Akhirnya dia berjaya keluar dari rumah itu. meneruskan pelajaran menengahnya di sekolah berasrama penuh dengan menggunakan kuota anak-anak B40. Ya, atas pertolongan gurunya. Malah gurunya itu juga yang menghantar dan menguruskan pendaftarannya di sekolah itu. Ibu dan ayahnya? Ibu sibuk mencari duit untuk dihamburkan pada ayahnya. Lelaki durjana itu pula menghabiskan saban waktu di meja judi; membuat kebencian terhadap ayah angkatnya itu semakin kukuh mengakar dalam hatinya. Benci. Terlalu benci.
Menerima perlindungan daripada Adrian, serta melihat bagaimana Adrian melayan Lora, memberi segala kasih sayang yang sepatutnya diterima oleh kanak-kanak seusia Lora,
membuat sedikit demi sedikit perasaan cinta terhadap lelaki itu tumbuh dalam hatinya tanpa dia sedar. Membuat dia mula menyedari, masih ada bapa yang penyayang dan bertanggungjawab di dalam dunia ini. Malah tekad Adrian yang mahu menikahinya semata-mata mahu mendapatkan hak penjagaan Lora, jelas menunjukkan betapa besar kasih Adrian terhadap anaknya itu. Mungkin lelaki itu agak panas baran dan kurang sabar, namun segala keperluan Lora sentiasa cukup. Tidak pernah sekali Adrian mengabaikan tanggungjawabnya terhadap Lora. Ya, tanggungjawab. Sesuatu yang Miya tidak pernah nampak pada ayahnya.
Saat Adrian bertindak sebagai hero menyelamatkannya daripada amukan seorang lelaki selepas kemalangan beberapa bulan lalu, membuat Miya mula membuka mata. Masih ada lelaki dan suami yang bertanggungjawab di dalam dunia ini. Tidak semua lelaki itu jahat seperti ayah angkatnya.
Banyak yang dia perolehi dan pelajari dalam tempoh setahun ini, yang membuat dia sedar…Dia tidak ingin sendiri. Dia mahukan sebuah keluarga. Biarpun kecil tetapi lengkap.
Malah, melayan dan menguruskan Lora membuat dia sedar, anak yang sebelum ini tidak dirasakan begitu penting dalam hidupnya, menjadi begitu bermakna. Dia begitu inginkan anak sehingga bertindak melanggar perjanjian yang telah dia persetujui.
Saban hari dia berdoa supaya Tuhan mengabulkan doanya untuk mendapat seorang anak hasil pernikahannya dengan Adrian. Allah memakbulkan doanya, menjadikan dia insan paling bahagia dalam dunia walaupun reaksi Adrian membuat dia terluka. Namun dia tidak terlau kecewa kerana sejak awal dia tahu, Adrian melarangnya mengandung.
Namun kegembiraan yang dikecap tidak bertahan lama. Sekelip mata kegembiraannya lenyap direnggut dengan kejam oleh suaminya sendiri. Perginya janin itu membawa bersama perasaan cintanya pada Adrian. Yang ada sekarang cuma benci. Kebencian yang tidak berpenghujung, yang sebolehnya mahu dia luapkan dengan memaki dan menyumpah seranah Adrian. Tetapi sayangnya dia tidak mampu. Dia bukan jenis wanita seperti itu.
Miya tengadah, menghalang air matanya daripada jatuh. Dia tidak mahu menangis. Dia letih. Tidak tahu sampai bila dia harus ditahan di hospital. Kata doktor, sehingga keadaannya stabil. Dia juga tidak bertanya bagaimana keadaan stabil itu diukur. Tekanan darah? Denyut nadi? Pendarahan? Entahlah. Dia malas mengambil tahu.
Saat dia masih hanyut dengan rasa kecewa, pintu wadnya tiba-tiba dibuka. Eryna melangkah masuk dengan menjinjing sebuah beg kertas.
Tidak menatap Eryna, Miya pasang wajah tidak peduli. Eryna juga tidak peduli dengan reaksi Miya itu. Ditarik kerusi lantas melabuhkan duduk di sisi katil Miya.
“Miya…”
“What are you doing here? Shouldn’t you be with Adrian?”
“Oh…” Eryna tertawa perlahan. “…Mak I tak sihat, jadi I minta excuse. Selalunya dia memang akan pergi dengan I.”
Hening. Tiada pertanyaan lagi daripada Miya.
“I’m sorry for your loss,” ujar Eryna perlahan. Tunduk, seolah-olah benar-benar menyesali apa ayang berlaku. “Saya ke DayMond tadi dan saya dengar tentang awak.”
Hening. Miya masih tidak bersuara. Lurus matanya menatap siling dengan kedua-dua tangan bersilang di atas perut.
“Terkejut saya dengar orang bercerita awak keguguran. Padahal baru dua hari lepas kita jumpa, dan awak nampak sihat.”
Satu sudut bibir Miya terangkat mendengar penuturan Eryna. Sinis. Namun dia masih diam.
“Adrian must be very disappointed,” keluh Eryna. “I know how much he wants the baby and he’s really worried about you.”
“Sebelum dia berlepas ke LA hari tu, berkali-kali dia ingatkan I supaya jangan lupa hantar makanan dan vitamin pada you.” Eryna memerhatikan reaksi Miya namun dia tidak nampak riak bermakna pada wajah itu.
“Itu yang I pergi DayMond. Tapi sampai sana, berita lain pulak yang I dapat.”
Masih hening, namun Eryna tidak berkecil hati. Tersenyum, satu tangannya terhulur, meramas lembut bahu Miya.
“Awak nampak pucat sangat Miya. Dalam paper bag tu, ada makanan dan…Vitamin. Tapi sebab awak…” Eryna terhenti.
“Tak apa, Adrian kata vitamin tu kalsium je. Lepas gugur pun boleh makan, should be no problem.”
Kali ini Miya menoleh. Wajah Eryna ditatap tajam. “Anak saya dah mati. Tak perlu hantar ubat tu lagi.”
“Tapi ni kalsium je. Tak ada masalah kalau awak makan pun.”
“Ubat tu untuk bunuh anak aku. Kau tak faham ke?” Miya sudah berada di puncak kesabarannya. Benci sungguh dia melihat Eryna; seolah-olah mengingatkannya tentang penipuan Adrian. Kononnya vitamin, tetapi rupa-rupanya pil gugur.
Berubah wajah Eryna dengan kata-kata yang keluar dari mulut Miya. Satu tapak tangan dilekapkan ke dada dengan wajah yang jelas terkejut. “Apa maksud awak, Miya? Ubat tu…Ubat tu…Itu ubat apa sebenarnya?”
Miya hanya sungging senyum sinis. Dia malas menjawab. Biarlah Eryna berfikir sendiri.
“Jangan cakap yang…” Buntang mata Eryna sebelum kedua-dua tangannya terhulur menggenggam tangan Miya. “Ya Allah…Tak mungkinlah Miya…Adrian takkan buat macam tu.”
“Get out!” ujar Miya datar.
“Miya…”
Miya tidak mahu mendengar apa-apa lagi. Tangan Eryna yang masih menggenggam tangannya ditolak perlahan.
“Get out,” ujarnya sekali lagi. Masih dengan nada yang sama.
Eryna perlahan bangun. Beg kertas yang dibawanya tadi diambil semula. “Kalau I tahu Adrian ada niat macam tu, I takkan sekali-kali bagi pil tu pada you. Sumpah I tak tahu.”
Miya merapatkan kelopak matanya. Malas mendengar apa-apa lagi daripada Eryna. Boleh jadi Eryna dan Adrian sudah bersepakat. Bukankah mereka sudah lama bekerja bersama? Eryna pun tahu semua tentang dirinya. Malah, Adrian berkongsi semua verita dengan Eryna. Jika tidak, masakan Eryna tahu tentang slipped disc yang dialaminya? Malah Eryna juga tahu dia hamil.
“I’m sorry Miya. I’m so sorry. I tak sangka dia akan bertindak sampai macam ni…”
Diam. Dalam hati Miya mula mengira. Jika dalam hitunga sepuluh, Eryna masih belum berganjak, dia akan menjerit supaya jururawat memanggil security.
‘1…2…3…4…5…’
“Miya…Kalau betullah apa yang you kata…I akan tolong you pergi jauh dari Adrian. I will help you to find your own happiness. Orang yang baik macam you, berhak bahagia Miya…”
‘8…9…10.’
“Get out!” Miya sudah mencapai butang untuk memanggil jururawat.
“Okay…Okay…Saya keluar sekarang,” ujar Eryna sebelum berlalu keluar.
Miya menghela nafas kasar. Kalaupun dia mahu pergi jauh dari Adrian, dia tidak perlukan bantuan sesiapa. Apatah lagi daripada Eryna. Dia tahu bagaimana mahu hidupnya sendiri tanpa perlu diajar sesiapa.
.
.
.
Adrian memandang skrin telefonnya dengan wajah putus asa. Satu pun panggilan dan mesejnya tidak dijawab Miya. Bukan tidak tersambung, tetapi Miya tidak menjawabnya. Mungkin dia sengaja, Adrian tidak tahu.
Akhirnya dia terpaksa menghubungi Adam untuk mendapat berita tentang Miya.
“Miya masih dekat ward. Doktor tak benarkan dia discharge lagi,” jawab Adam.
“How is she today?”
“I don’t know. She didn’t talk to anyone.”
Adrian mendengus kasar. Bukan marah kepada Miya, tetapi lebih kepada rasa kecewa. Kecewa dengan dirinya sendiri yang telah mengecewakan Miya. Bukan sekali. Malah berkali-kali. Bermula dengan menuduh Miya cuba menggantikan tempat Dahlia, memarahi Miya kerana memakai dress Dahlia, dan sekarang ini pula.
Dia tidak kecewa Miya hamil. Dia juga tidak marah. Dia cuma terkejut dan tidak menyangka. Dia tidak menjangka perkara itu akan berlaku kerana seingatnya Miya tidak pernah culas mengambil pil perancang sejak mereka berkahwin.
Ya, dulu dia melarang Miya mengandung kerana fikirnya dia mampu tamatkan pernikahan ini setelah setahun. Namun, perancangan Tuhan ternyata lebih hebat. Rasa cintanya pada Miya mula tumbuh entah sejak bila dan bagaimana. Rasa yang membuat dia keliru dan bercelaru. Setiap kali rasa cinta itu hadir, dia cuba mengembalikan Dahlia ke dalam kotak fikirannya. Dinafikan perasaannya terhadap Miya sehingga tanpa sedar dia akan melukakan Miya dengan kata-kata dan perlakuannya. Meyakinkan dirinya dan meyakinkan Miya yang mereka akan bercerai setelah setahun.
Tetapi pada masa yang sama , hatinya berbolak balik. Antara mahu meneruskan perkahwinan ini ataupun menceraikan Miya, dia lebih berat kepada pilihan pertama. Ya, dia mahu meneruskan perkahwinan dengan Miya. Bukan sekali perasaan itu hadir. Malah berkali-kali. Bukan kerana dia cemburu dengan Adam. Bukan. Perasaan itu hadir dengan sendiri setiap kali dia memandang Miya. Namun setiap kali itu juga dia cuba menolaknya. Tetap meyakinkan dirinya yang dia masih mencintai Dahlia.
“Adrian! Are you still there?”
Suara Adam yang menerjah gegendang telinganya membuat Adrian tersentak.
“Ya.”
“Adrian, I know I have no right to ask about this but…I think I need to know.”
“What is it?”
“Masa you call Miya hari tu…Kenapa dia tiba-tiba menjerit?” Setelah menyerahkan telefonnya kepada Miya untuk bercakap dengan Adrian tempoh hari, dia keluar kerana tidak mahu mencuri dengar perbualan dua orang itu. Namun, mendengar jeritan Miya membuat dia menyerbu masuk setelah memanggil seorang jururawat bertugas. Beberapa kali dia mendengarMiya menggumam ‘I hate you, Adrian’. Ingin dia bertanya Miya, namun dia tahu dia tidak akan mendapat jawapan.
“I have no idea, Adam. I tak tahu apa-apa.”
Sama-sama membuang nafas, tiada sesiapa antara Adam ataupun Adrian yang bersuara.
“What should I do…” Adrian menggumam sambil meramas kasar rambutnya.
“Baliklah dulu, then slow talk with her.”
“Ya…” Sepertinya itu sajalah solusi terbaik setakat ini, walaupun dia tidak tahu jika dia balik nanti, Miya akan berbicara dengannya ataupun tidak.
“Okay. If there’s anything, I’ll call you back,” ujar Adam.
“Yeah, thanks.”
Memutuskan panggilan dengan Adam, Adrian cuba menghubungi Miya sekali lagi. Namun sama juga. Panggilan tersambung, tetapi tidak dijawab.
Akhirnya, Adrian menaip mesej untuk kesekian kali walaupun dia pasti mesej itu juga akan dibiar sepi. Mesej-mesej yang dihantarnya sejak semalam langsung tidak dibaca.
‘Miya, how are you doin’ today?’
Hantar!
Memandang sejenak mesej yang dihantar, berharap akan timbul dua ‘tick’ berwarna biru, namun nihil.
Mendengus lelah, Adrian mencampak perlahan telefonnya ke atas meja. bangkit dari duduknya, kaki di bawa menghampiri floor-to-ceiling window. Membuang pandang ke arah kota Los Angeles yang terang bermandi cahaya lampu.
Jasadnya di sini, namun rohnya sejak semalam sudah melayang pulang ke Kuala Lumpur. Semasa mesyuarat siang tadi juga, fokusnya tidak ada di sana. Otaknya hanya dipenuhi dengan wajah Miya. Malah tubuhnya juga oleng kerana semalaman dia tidak dapat melelapkan mata. Ya, jet lag itu satu. Tetapi fikirannya yang sarat tentang Miya membuat kelopak matanya langsung tidak dapat dikatup.
‘What actually happened, Miya?’ Adrian menarik nafas dan menghembusnya perlahan. Buat pertama kali dalam hidupnya, dia rasa bingung. Tidak tahu apa yang harus dilakukan dan tidak tahu di mana dan bagaimana harus bermula. Buntu.
Bunyi notofikasi mesej dari telefonnya membuat dia segera berlari ke arah itu. Pantas telefon dicapai lalu dia menggeser skrin, kerana menyangka itu mesej daripada Miya. Namun kecewa. Ternyata ia daripada Eryna. Namun dia membaca juga mesej itu. Bimbang jika ada perkara penting di pejabat. Selalunya jika dia ada business ke luar negara, dia akan membawa Syamel, PA lelakinya. Eryna diminta menguruskan pekerjaannya di Kuala Lumpur.
‘I baru dapat tahu tentang Miya. I’m sorry. Tadi I pergi Daymond ambil fail audit, then I accidentally overheard people talking about Miya's miscarriage.’
‘I ada melawat dia hospital tapi dia halau I balik. Tak tahu kenapa dia marah sangat.’
‘Oh, then dia ada sebut tentang ubat. I pun tak tahu ubat apa. But she said the pill had killed her baby.’
‘What happened Adrian? Did you give her abortion pills?’
‘Mungkin dia syak I bersubahat dengan you?’
‘Or did you say something to her sampai dia nekad ambil abortion pills?’
‘I rasa tak sedap hatilah, Adrian sebab I tak sempat explain apa-apa pada dia.’
Bertubi-tubi mesej masuk daripada Eryna, namun Adrian tidak berniat membalasnya. Bercakap dengan Eryna tidak akan menyelesaikan masalahnya dengan Miya.
Mencampak semula telefonnya ke atas meja, Adrian menjatuhkan tubuhnya ke sofa. Cuba melelapkan mata supaya esok segera tiba.
.
.
.
SESAMPAI di LTSAS, Adrian segera menghidupkan telefonnya. Baru berniat mahu menghubungi Adam ketika mesej daripada adiknya itu masuk ke telefonnya. Pantas jarinya menekan notifikasi, membaca mesej yang dihantar lebih sejam yang lalu itu.
‘Miya dah discaj.’
Tidak mahu membuang masa menaip mesej, Adrian menekan nombor Adam sebelum telefon dilekapkan ke telinga.
Tiga kali deringan, panggilannya bersambut.
“Dah hantar dia balik rumah mama?” tanya Adrian, tanpa menunggu Adam menyapa terlebih dahulu. Sebelum penerbangan beberapa jam lalu, dia sudah berpesan kepada Adam supaya membawa Miya ke rumah mama jika Miya discaj sebelum dia pulang.
“I…don’t know.”
“What do you mean, you don’t know?”
“I pergi hospital masa rehat tengah hari tadi, dia dah tak ada. Nurse kata dia dah discharge.”
Terhenti langkah Adrian di depan pintu kereta yang sudah siap dibuka oleh Akram.
“What?” Antara kedengaran dengan tidak saja suara Adrian.
“I dah try call dia, tapi dia tak jawab.”
“Dah try call rumah mama?”
“I kat rumah mama sekarang ni. Miya tak ada kat sini.”
“Okay. Thanks.”
Memutuskan panggilan dengan Adam, Adrian segera meloloskan tubuhnya ke dalam kereta sebelum pintu ditutup Akram.
“Nak pergi mana tuan?” tanya Akram sebaik sahaja mengambil tempat di bahagian pemandu.
“Kondo,” jawab Adrian singkat; berharap Miya berada di sana.
Nombor Miya dicari sebelum dia menekan ikon ‘call’. Namun sama seperti semalam, panggilannya tidak berjawab.
Mengeluh kecewa, Adrian mencampak perlahan telefonnya ke tepi sebelum menyandarkan kepalanya ke tempat duduk. Mata dipejam, walau dia tidak berniat untuk tidur. Nafas ditarik lalu dihembus perlahan. Namun tetap saja masih sesak. Selagi tidak sampai ke kondo, selagi itu dia tidak mampu bertenang. Sangat berharap Miya ada di sana.
Jika tidak ada, bagaimana?
Entahlah. Tetapi dia sangat berharap Miya pulang ke sana.
Bagaimana jika Miya lari? Atau menghilangkan diri?
Ya, kemungkinan itu ada, namun dia tidak sanggup membayangkannya.
LEBIH sejam barulah Adrian sampai ke kondo. Bergegas dia keluar, menuju ke lif lalu menekan angka 10. Tidak luput matanya memandang skrin LED di bahagian atas pintu lif, berharap segera sampai ke tingkat 10.
Sebaik sahaja pintu lif terbuka di tingkat 10, Adrian segera berlari keluar ke unitnya. Menggigil tangannya menekan kata laluan pintu sebelum menyerbu masuk. Bunga lili putih segar di atas meja konsol setentang pintu menghiasi pandangannya. Ya, masih segar. Membuktikan bunga itu baru ditukar. Siapa lagi yang menukarnya kalau bukan Miya. Seketika, jantung yang kuat bekerja tadi sedikit tenang. Lega, kerana ternyata Miya kembali ke rumah ini.
Haruman keju bakar yang menyeruak masuk ke hidungnya membuat dia segera membawa langkahnya ke arah dapur. Namun, tidak ada Miya di sana.
Hanya ada sebuah bekas kaca bertutup di atas meja dan sekeping nota kecil diselipkan di bawahnya.
Pantas tangan Adrian menarik nota kecil itu. ‘Dear Lora, special Mac and Cheese for you. Love,omma.’
Adrian melirik isi bekas kaca itu. Makaroni cheese yang masih panas, melihat wap yang terbentuk pada penutupnya. Bermakna Miya baru siap memasaknya.
Meletakkan semula nota itu ke atas meja, Adrian melangkah ke bilik dengan jantung yang berdebar kencang. Entah apa yang dia debarkan, dia tidak tahu. Yang pasti, jantungnya seperti mahu melompat keluar. Satu persoalan pula muncul di benaknya. Mengapa Miya meninggalkan itu untuk Lora?
Memegang kenop pintu, Adrian menolaknya perlahan. Tidak segera masuk, dia berusaha meneutralkan detak jantungnya terlebih dahulu.
Setelah dirasakan sedikit tenang, barulah dia melebarkan bukaan pintu. Melilau matanya mencari kelibat Miya, namun tidak ada. Dibawa langkahnya ke bilik mandi. Kosong. Malah lantai bilik mandi itu kering seperti sudah lama tidak digunakan. Walk-in closet pula dia tuju. Nihil. Pintu almari yang menempatkan pakaian Miya dibuka sebelum detak jantung yang tidak beraturan tadi kini bagai terhenti.
Ketakutannya benar-benar terjadi. Sudah tidak ada pakaian Miya di sana.
Adrian pejam mata. Lama. Berharap ini cuma mimpi, dan apabila dia membuka matanya semula, pakaian Miya ada di sana. Tersusun rapi mengikut ton warna.
Namun, semuanya hampa. Saat dia membuka semula matanya, almari itu masih kosong.
Keluhan lolos dari sela bibirnya. Telefon dikeluarkan dari saku seluar, sebelum dia menghubungi nombor Miya. Entah untuk apa. Sedangkan dia yakin Miya tidak akan menjawab panggilannya.
Dan benar, panggilannya tetap tidak berjawab. Kembali semula ke bilik, Adrian menjatuhkan tubuhnya ke katil sebelum berbaring dengan kedua-dua kaki terjuntai ke lantai.
‘Where are you, Miya?’
Dengan satu tangan di dahi, terkebil-kebil matanya menatap siling. Bagai tayangan filem pada skrin putih, semua yang berlaku selama hampir setahun ini sejak dia menikahi Miya
terlayar di ruang mata. Bermula dari Miya jatuh di atas bumbung keretanya, minta diselamatkan daripada lintah-lintah darat yang mengejarnya, sehinggalah mereka bernikah setelah saling memanfaatkan antara satu sama lain. Masih dia ingat wajah Miya pada hari pernikahan mereka. Kosong dan terpinga-pinga. Benar-benar kelihatan bingung dan tidak bersedia. Senyumnya juga nampak kekok dan canggung.
Malah, Miya sendirian di hari pernikahannya tanpa ditemani ahli keluarga. Hanya Balqis setia di sisinya dari awal sehingga majlis itu berakhir. Saat itu dia gembira kerana urusannya untuk menceraikan Miya akan menjadi mudah. Tidak ada keluarga Miya yang akan mengganggu atau menentang perceraian mereka.
Namun sekarang, dia jadi bimbang tidak semena-mena. Ke mana Miya menghilang atau menyembunyikan diri sedangkan dia tidak ada sesiapa? Apa Miya bersama Balqis?
Menegakkan semula tubuhnya, telefon yang sempat dicampak tadi dicapai semula. Saat jarinya menggeser skrin mencari nombor Balqis, nama Miya tiba-tiba berkelip pada skrin, membuat dia mengerjap tidak percaya. Mujur otaknya cepat bertindak menganrahkannya segera menjawab panggilan itu.
Gopoh-gopoh dia menjawab panggilan sebelum telefon itu dibawa ke telinga.
“Hallo Miya! Where are you?”
Hening. hanya terdengar desah nafas di hujung sana.
“Miya! Are you there?” Adrian bertanya lagi apabila tidak mendengar suara Miya.
“Saya akan failkan cerai.”
Bagai dipanah petir, kata-kata Miya itu membuat Adrian kaku.
“Tunggu surat daripada mahkamah.” Perlahan dan terdengar sedikit bergetar suaranya, namun setiap butir perkataan itu didengar jelas oleh Adrian.
Namun entah mengapa dia tidak mampu untuk merespon. Mahu bernafas saja terasa sulit, apatah lagi mahu menggerakkan bibir untuk sekadar mengeluarkan suara. Terlalu terkejut sehingga terasa seperti rohnya direnggut keluar secara paksa. Bungkam kaku menatap pintu. Sehingga setelah beberapa minit Miya memutuskan panggilan, Adrian masih tidak mengalihkan telefonnya dari telinga.
Share this novel
bla nk update ag?
bencinya tengok Eryna tu berlakonkan seolah² semua tu salah Adrian eee. Geramnye aku.. sya pun terfikir juga aku kalau Eryna yng merancang untuk bunuh Dahlia dulu kan sebab dia suka kan Adrian dan adrian tak layan PA perasan mcam Eryana
xda updte lg ke.