Bab 7
AKU tak pasti sama ada nak beri Khairi cuti seminggu ni ke tak. Dia duk merayu dengan aku dari pagi tadi supaya beri kelulusan cuti sampai buat kepala aku serabut bagai nak pecah. Sebenarnya bukan aku tak nak kasi dia cuti tapi seminggu tu… Seminggu! Mana nak melayan pelanggan, mana nak urus debit kredit dengan stok segala yang aku nak kena pilih dari kilang... Ingat aku ni iron woman ke apa?
Aku cakap kat dia, malam ni baru aku mesej dia sama ada dia dapat atau tidak pelepasan cuti tu. Kemudian, dia kata dia sanggup kerja lebih masa pada minggu depannya. Apabila aku tanya kenapa nak cuti, dia hanya menjawab masalah keluarga dan dia tak nak ulas apa-apa fasal tu. Terpaksa juga aku tanya kat ma serta-merta, nak kasi ke tidak cuti kepada Khairi. Kalau kasi, aku akan minta ma pinjamkan staf dia seorang untuk duduk di butik ni selama seminggu semasa ketiadaan Khairi. Cuma dari tadi aku telefon, ma tak angkat-angkat, jadi aku tak boleh nak putuskan apa-apa untuk Khairi buat masa ini.
“Rian, I rasa I ada cadanganlah…”
Tiba-tiba aje Khairi bercakap masa aku sedang betulkan pakaian yang tersarung di model patung. Aku letakkan jarum di atas meja kemudian pandang wajah Khairi.
“I rasa you setuju kali ini.”
Teragak-agak aje Khairi bercakap.
“Apa dia?” tanyaku dengan nada perlahan. Kut-kut boleh juga menyabarkan hati yang tengah panas sebab dari tadi si Khairi ni kacau aku buat kerja.
“Ada adik sepupu I, dia offer diri untuk kerja seminggu untuk gantikan I.”
“Hah?”
“Err, adik sepupu I…”
Aku mendiamkan diri sebentar. Lepas tu aku nampak Khairi dengan muka sedih pergi ke ruang belakang. Mungkin dia tahu yang aku tak setuju dengan cadangan dia.
“Khai, bukan I tak nak tolong tapi you tahukan I tak biasa nak ambil orang sekejap bekerja, takut nanti-nanti jadi apa-apa di luar dugaan pula,” terangku kepadanya. Khairi hanya mengangguk sambil menarik muka sedih sehingga membuat aku rasa tak sampai hati. Lagipun inilah kali pertama Khairi betul-betul meminta cuti daripada kami.
Balik ke rumah aku jumpa ma sedang minum petang di ruang tamu. Apabila aku cakap kepada ma masalah Khairi ni, ma pun terus telefon staf dia. Nasib baik ma beri juga pinjam seorang pekerja dia yang incharge Butik Puteri cawangan baharu tu. Lima hari aje. Tak apa, memang Butik Puteri yang aku pegang ni pun waktu bekerjanya lima hari dalam seminggu je. Jadi, terus aku mesej kat Khairi yang esok dia bolehlah mula bercuti. Tak sampai lima saat, Khairi terus telefon aku.
“Thanks, Rian.” Dia cakap dengan suara yang teruja. “Thanks banyak-banyak. You are the best!” pujinya melambung-lambung.
“Kalau you buat lagi short notice macam pagi tadi, I takkan berlembut lagi Khai,” balasku tegas sambil menghela nafas panjang. “Ingat tu,” sambungku lagi.
“Ingat bos! Terima kasih sekali lagi Rian, you takkan tahu betapa you dah berjasa pada I seminggu ni. Dan I janji I takkan buat lagi. This is the first and the last time, I guarantee,” janjinya bersungguh-sungguh.
“Kalau macam tu okey, I nak rehat awal, enjoy la your holiday seminggu ni.”
“Thanks again Rian… Thank you very much!”
Aku mengerutkan dahi apabila aje terdengar esakan kecil di hujung talian. Apa kena dengan Khairi ni? Apa masalah dia sebenarnya?
“If you have a problem, tell me. You know you can trust me. You kawan I juga, Khai…” pujukku lembut untuk menenangkan hatinya. Pasti dia sedang bercelaru saat ini.
“Tak Rian. I tak ada masalah. Cuma I rindukan keluarga I.”
Rindukan keluarga dia bermaksud seminggu ni dia nak balik terbang ke Sarawak lah ya? Sebab setahu aku Khairi ni orang Sarawak tapi tak ke pelik rindu sikit pun terus terbang ke sana?
“And… And my wife…”
Aku tertunggu-tunggu sambungan ayatnya namun talian dimatikan begitu sahaja. Lagilah aku rasa pelik dengan sikapnya. Semuanya tamat begitu aje tanpa penutup cerita.
AKU terkejut apabila Kak Ha kata ada seorang lelaki sedang tunggu aku di Restoran Ayam Penyet sebaik aku baru sampai dari kilang kerana mengambil stok baharu yang diminta oleh Datin Izzati. Dia nak lima pasang baju yang sama pattern, jadi aku terpaksa cari di gudang sebab stok aku hanya ada dua pasang aje yang pattern sama di dalam simpanan.
“Siapa, Kak Ha?” Baju-baju tu aku letak di atas meja sebentar.
“Handsome la, macam Cina.”
Macam Cina Kak Ha kata. Aku rasa kalau macam Cina ni tak lain tak bukan mesti Adif. Tiba-tiba aje terasa berdebar-debar kat hati. Kenapa Adif cari aku agaknya, ya?
“Kak Ha, saya turun ke bawah sekejap ya? Kak Ha boleh jaga kedai sendiri, kan?” pintaku sambil menilik jam di tangan. Kak Ha mengangguk kecil.
“Pergilah, Kak Ha tahu nak buat apa,” ucap Kak Ha tersenyum lebar.
Aku pun bergegas mengambil beg tangan di bawah kaunter sambil memandang Kak Ha yang sedang sibuk menyangkutkan baju kurung di atas rak depan.
“Dari pukul berapa dia tunggu saya, kak?”
Kak Ha tilik jam sesaat. Di hujung bibirnya tersungging senyuman tidak bergula.
“Nak dekat sejam dah.”
“Hah!” Aku terjerit kecil.
“Maaf, Kak Ha tak tahu nombor telefon Rian, jadi tak dapat nak beritahu Rian fasal dia,” terang Kak Ha apabila aje melihat kekalutan yang terpamer di wajahku.
“Tak apalah Kak Ha. Saya pergi dulu,” Aku meminta diri sebelum keluar dari butik. Kalau dah dekat sejam maknanya berkemungkinan besar Adif dah balik.
Entahkah betul dia tu Adif ke tidak sebab setahu aku, Adif memang menyimpan nombor telefonku. Jadi buat apa dia nak susah payah tunggu aku sedangkan dia boleh telefon aku kalau dia nak jumpa.
Sampai di restoran tu, aku boleh nampak Adif sedang baca surat khabar sambil bersandar tenang. Memang dialah! Aku telan air liur sebiji-sebiji.
“Hai,” sapaku setelah berada hampir dengannya.
“Cari saya ke?” soalku apabila dia mendongak wajah. Dia pun terus melipat surat khabarnya dan duduk tegak memandang wajahku, mengisyaratkan diriku supaya duduk di hadapannya.
“Lama tunggu?” Soalan kedua dari bibirku kerana dia masih lagi membatukan diri.
“Nak makan apa?” Dia balas soalan dengan soalan pula. Aku termangu beberapa ketika sebelum mengangguk kecil. Setuju bukan sebab nak mengambil hati dia, lagi pula dari pagi tadi aku belum menjamah apa-apa selain air mineral dan sepaket biskut Jacob.
“Lama tunggu?” Aku jongketkan kening sambil menanti jawapannya. Kalau dia tak jawab juga, aku dah plan nak tanya buat kali yang ketiga. Tak pernah-pernah ada orang buat layan tak layan je apabila aku bertanya. Dia orang pertama.
“Awak nak makan apa?” Dia buka menu dengan selamba. Aku terkebil-kebil memandang wajahnya.
“Awak ada benda nak cakap pada saya ke? Kenapa tak call aje?” Aku bertanya sebab tak puas hati.
Mesti ada sesuatu yang terjadi selain acara ‘makan-makan’ yang dari tadi dia duk jadikan sebagai bahan perbualan. Adif merenung wajahku sekilas sebelum memanggil pelayan restoran. Dia orderkan aku tanpa tanya yang mana satu aku mahu. Bertuah punya lelaki! Bossy betul dia ni. Agaknya kalau kahwin dengan dia, kena ikut cakap dia aje sepanjang masa! Rasa nak tergelak dengan diri sendiri sebab boleh berfikir sejauh itu.
“Okey, jadi kita berjumpa ni sekadar untuk makanlah ya?” Aku soal dengan muka separa nak gelak. Sakit hati sebenarnya dengan sikap acuh tak acuh dia.
“Jangan salah faham.” Dia cakap tak bernada. Senyum geram di hujung bibirku mati serta-merta. Aku pun pandang muka dia dengan seribu satu persoalan yang bermain-main di kepala. Dia ingat aku salah faham fasal dia ajak aku makan ni ke? Kalau macam tu, aku pun rasa tak nak salah faham. Takut mencederakan perasaan sendiri sedangkan dia cool bagai tak ada benda mengganggu fikiran.
“Oh, we’re just friend. Makan sama keluar sama. Apa yang salah fahamnya?”
Dia senyum segaris setelah aku menghabiskan ayatku.
“Risau awak ingat saya ni psiko tunggu lama-lama di sini sedangkan saya boleh aje call awak bila-bila masa.”
Alamak! Jauh menyimpang daripada yang aku fikirkan. Tiba-tiba aje aku rasa termalu sendiri. We’re just friend, Rian? Kenapalah bodoh sangat pergi cakap pada dia macam tu?
“Saya tunggu awak dekat sejam, pekerja awak kata awak sibuk jadi saya tak nak ganggu awak sampai awak siapkan kerja-kerja awak.”
Aku tersengih kecil agar tidak nampak terlalu janggal. Masa-masa macam ni terasa mahu menghantuk kepala kat meja pun ada. Malu punya fasal sampai aku tak boleh nak menjawab kata-katanya.
Kita orang duduk diam sampailah pesanan sampai ke meja. Aku berpura-pura sibuk dengan telefon bimbit dan sedaya upaya tidak mahu bertembung mata dengan Adif.
“Awak sibuk ke?”
“Ha!”
Adif meletakkan sudunya di atas meja. “Makanlah, saya belanja.”
Aku pun pandang pinggan di hadapanku. Ayam seketul besar di atas pinggan tu tiba-tiba macam gelakkan aku aje. Aku pandang wajah Adif sekilas yang sedang minum. Tiba-tiba darah berderau ke mukaku. Kenapa dia tak henti-henti tenung muka aku dari tadi? Sedang minum pun, tenung aku juga!
“Saya akan ke Sabah dua minggu atas urusan kerja.” Dia cakap tiba-tiba.
Aku menganggukkan kepala. “Okey,” balasku perlahan. Tangan masih sibuk menguis nasi di pinggan kerana tidak mahu ternampak canggung di hadapan Adif.
“Rian...” Adif menyebut namaku. Jiwaku terasa hangat apabila sahaja mata kami bertemu.
“Kalau kita kahwin, awak okey ke?”
Kahwin? Okey? Mataku sedikit terbeliak. Sangat terkejut kerana tiba-tiba isu kahwin menjadi topik. Sesiapa pun akan berasa pelik kerana sebelum ni Adif langsung tidak pernah luahkan rasa hatinya kepadaku.
Aku ketap bibir. Enggan menjawab soalan Adif yang dah buat hidup aku jadi huru-hara sekelip mata. Lebih tepat, aku tidak terjawab sebenarnya.
Adif mengorak senyuman tipis. “Never mind. Makanlah, saya belanja.” Dia ulang ayat yang sama dengan nada yang berbeza.
Lepas tu kami sama-sama diam sampailah dia meminta diri kerana terpaksa pergi atas urusan pejabat.
“Give me a call later.” Dia berpesan sebelum pergi. Akhirnya aku terkaku sendiri sambil menjamah baki makanan yang tinggal sedikit.
Share this novel