BAB 2

Drama Completed 531

“Hanya yang tinggal adalah cebisan-cebisan kenangan yang masih bersisa sebagai tanda ingatan abadi di lubuk sanubari Cikgu Hajar yang paling dalam.”

Kesudahannya, hajatnya untuk bertemu dan bercakap sendiri dengan muridnya itu tidak kesampaian. Untuk pergi ke hospital tersebut amatlah jauh dari Jeli dan memakan waktu perjalanan yang lama. Dengan kesibukan dan kerja-kerja yang masih belum dibereskan ini tidak memungkinkan Cikgu Hajar bertemu dengan mereka.

“Tak mengapalah Kak Zura kita pergi melawat di rumahnya pada lain masa,” jelas Cikgu Hajar kepada Kak Zura sewaktu sedang berehat di bilik guru.

“Elok juga tu, kita rancang betul-betul supaya dapat jumpa mereka di rumahnya nanti. Lagipun Kak Zura berasa tidak sampai hati juga kalau kita tidak bertanyakan khabar. Macam ada sesuatu yang tak lepas dari dalam diri Kak Zura ni,” luah perasaan Kak Zura kepada Cikgu Hajar .

“Hajar pun rasa begitu jugak kak . Rasa macam tak sedap hati pula membiarkannya tanpa mengambil tahu hal mereka.” Cikgu Hajar meluahkan perasaan yang sama.

Wajah Muliani manis tersenyum apabila Cikgu Hajar bertentang mata dengannya. Masih segar dalam ingatan akan muridnya yang rajin dan pemurah itu. Jika musim buah-buahan, diberikannnya kepada Cikgu Hajar sebiji dua buah durian untuk dibawa pulang ke Kota Bharu.

Bahkan sewaktu sambutan Hari Guru tahun lalu tatkala rakan-rakannya yang mengajar di bandar menerima sejambak bunga hadiah istimewa daripada anak murid, Cikgu Hajar pula menerima seikat pucuk paku dan buah-buahan hutan yang dia sendiri tidak pernah rasai. Tidak mengapalah bagi dirinya.

Mendapat penghargaan walau sekelumit daripada muridnya itu pun sudah memadai. Dia tidak meminta yang lebih daripada mereka. Begitulah istimewanya mengajar anak-anak Orang Asli ini.

“Buah apa yang Muliani bawakan pada cikgu ni, cikgu tak pernah lihat pun sebelum ini?” Tanya Cikgu Hajar suatu hari sambil membesarkan bebola matanya di balik kaca mata berbingkai hitam yang dipakainya itu pada waktu rehat yang santai.

“Sungguh cikgu tak pernah lihat dan rasa buah ni?” Soal Muliani dengan bersungguh-sungguh soalah-olah tidak mempercayainya.

“Sungguh…di mana Muliani dapatkannya?” Jawab Cikgu Hajar sambil melontarkan semula pertanyaan kepada Muliani .

“Inilah buah Kelisa namanya cikgu. Buah ini hanya terdapat di tepi tebing sungai sahaja. Nun di tepi tebing sungai Kalok ada sepohon pokok Kelisa yang besar dan buahnya sedang masak ranum. Sambil mandi sungai saya panjat dan petiknya untuk cikgu. Cikgu rasalah,” Muliani bersungguh-sungguh memberi penerangan setelah mengetahui cikgunya langsung tidak pernah melihat buah tersebut.

“Macam mana nak koyakkan kulitnya Muliani ?” Soal Cikgu Hajar sambil menggetus sebiji buah Kelisa berwarna ungu kehitaman dan sebesar ibu jari tetapi agak bujur bentuknya itu. Terkial-kial dia mahu mengupasnya.

“Bukan begitu. Macam ni lah cikgu,” Muliani terus menggetus sebiji lagi dan menunjukkan cara-cara mengupasnya iaitu menggigit pada bahagian tengah buah tersebut. Kulitnya yang licin dan rapuh seperti buah keranji itu patah dua setelah digigit kecil oleh Muliani .

Cikgu Hajar meniru seperti yang Muliani lakukan. Dibukanya kulit dengan kedua-dua tangannya lalu nampaklah isinya yang nipis keperangan.

“Mmmm…sedap dan manis rasanya. Macam gula-gula semula jadi.” Cikgu Hajar mengulum-ngulum sambil mengecap-ngecap isinya. Bagaikan tidak puas dia mengecapi manisnya.

Jari-jemari runcing Cikgu Hajar terus menggetus satu demi satu buah Kelisa yang rasanya lemak manis itu. Baginya berada di ceruk terpencil di daerah Jeli ini memberikan seribu pengalaman manis yang tidak mungkin dapat ditimba di tempat lain. Semanis buah Kelisa yang sedang dinikmatinya itu. Keunikan mereka juga menjadikan Cikgu Hajar begitu erat hubungan terutamanya Muliani yang periang dan petah berkata-kata serta pandai bergurau.

Cuma pada awal April yang lalu dilihatnya Muliani lain sekali. Keriangannya selama ini bagai diragut oleh sebuah derita yang disimpan sekian lama. Pada wajahnya tersimpan seribu keresahan yang tidak terungkai. Wajahnya sugul sekali. Matanya suram. Seperti bintang pudar di dada langit yang kelam. Kepetahannya tidak seperti dulu.

Suka menyendiri seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.

“Cikgu Hajar … Cikgu Hajar … ada berita penting ni. Muliani sudah tiada.” Dengan nada yang cukup berat Kak Zura memberitahu.

“Betul ke apa yang Kak Zura ucapkan ni?” Cikgu Hajar yang masih terpinga-pinga dan terkejut itu bertanyakan kembali. Baginya berita yang baru diterima itu bagaikan duri yang terus menancap ke hatinya yang masih dibelenggu dengan persoalan tentang Muliani .

“Ya.. betul Cikgu Hajar . Sewaktu Kak Zura memasuki kelas Mutiara 2, rakan-rakannya memberitahu Muliani telah menhembuskan nafas terakhir di rumahnya awal pagi tadi. Dan dijangka akan dikebumikan tengah hari ini.” Ujar Kak Zura dengan nada sedikit sugul.

Pandangan Cikgu Hajar mula berkaca. Semakin lama semakin kabur. Lalu air matanya mula menitis membasahi pipi. Dibukanya cermin mata berbingkai hitam itu lalu dicapainya sehelai tisu yang terletak di atas meja. Kini perasaan pilu dan sedihnya tidak dapat ditahan lagi.

“Kak Zura marilah kita pergi ke Sungai Rual sekejap. Kalau sempat saya ingin menatap wajahnya buat kali terakhir.” Cikgu Hajar bersuara setelah diam beberapa ketika.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience